Monday, August 31, 2009

IMPIAN DAERAH BAHARU SEMAKIN HAMPIR

Salam Ramadhan,

Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama meraikan penduduk di Parlimen Kuala Nerus dalam majlis berbuka puasa di pejabat saya petang Sabtu lalu. Lebih meriah lagi apabila majlis tahunan itu turut dihadiri YAB Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Sesungguhnya saya sungguh terharu dengan sambutan dan kehadiran yang begitu ramai pada majlis tersebut.

Saya ingin memohon maaf kepada sahabat-sahabat dan orang ramai yang tidak dapat berbuka puasa dengan selesa lantaran tempat yang disediakan telah dipenuhi kerana jumlah kehadiran pada petang itu adalah di luar dugaan sekali. Apa pun, terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan sama-sama berbuka puasa bersama saya dan Menteri Besar.

Saya gembira dengan ucapan Datuk Ahmad Said pada majlis itu. Antara lain beliau menyebut bahawa Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti satu tapak sesuai untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus. Pengumuman itu tentu sekali menterjemahkan betapa usaha menjadikan Kuala Nerus sebagai sebuah daerah baharu di negeri ini semakin hampir menjadi kenyataan.

Rakyat yang hadir, ketika mendengar ucapan itu nampak bagaikan gembira. Itulah yang dapat saya lihat. Bagi saya, Kuala Nerus mempunyai kawasan yang luas dan untuk mendapatkan satu tapak bagi tujuan itu bukanlah sesuatu yang sukar.

Apa pun, saya percaya kelahiran sebuah daerah baharu itu kini dalam proses. Ia perlu melalui beberapa peringkat proses lagi termasuk diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu sebelum ianya menjadi kenyataan. Seperti penduduk di Kuala Nerus, saya juga menaruh harapan yang tinggi agar apa yang saya perjuangkan ini akan lebih cepat menjadi kenyataan.

Kerajaan kita di bawah kepimpinan Menteri Besar sudah tentu akan melakukan yang terbaik bagi memastikan hasrat kita semua menjadi kenyataan.

Kita telah pun mendengar dan melihat satu permulaan yang baik mengenainya. Ia lahir dari mulut YAB Menteri Besar sendiri. Percayalah, impian kita semua semakin hampir.

Selamat meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadhan.


3 comments:

badul said...

tahniah dato'. kami penduduk kuala nerus sentiasa menyokong dan bersama dato' bagi melihat lahirnya sebuah daerah kuala nerus. kami bangga sangat dengan usaha dato'

Anonymous said...

teruskan perjuangan datuk. jangan layan sangat pengkhianat umno di kuala nerus datuk. saya sokong usaha datuk tu.

matgok said...

tahniah juga dari saya.usaha ini dari ramai orang..so tahniah kepada semua yang terlibat.semoga Kuala Nerus dapat ditadbir dengan lebih berkesan.
...saya idamkan juga YB DUN teluk Pasu ade Blog sendiri,boleh berkomunikasi dengan pengundi secara terus dan terbuka.