Friday, April 19, 2013

DEMI RAKYAT, UNDILAH BN


Assalamualaikum.

Saya bersyukur kerana sekali lagi diberikan peluang untuk mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Sesungguhnya amanah ini  saya pikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan kemenangan BN, khususnya di peringkat Parlimen.

Sebagaimana yang dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa kita mahukan satu pasukan yang mampu membentuk kerajaan yang kuat selepas PRU ini, ia merupakan satu mesej betapa kita semua perlu bekerja keras bagi memenuhi impian tersebut.

Sepanjang sepenggal yang lalu, saya telah melakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan dan keupayaan saya untuk rakyat di Parlimen Kuala Nerus dan melihat penerimaan dan sokongan rakyat terhadap BN sebenarnya semakin hari semakin baik dan positif.

BN adalah parti yang dipimpin oleh mereka yang bekerja untuk rakyat dan kerana itu, setiap keperluan dan kemahuan rakyat sentiasa diutamakan.

Saya gembira dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi saya dan penduduk di Parlimen Kuala Nerus yang telah memberikan undi kepada saya pada PRU yang ke-12 yang lalu, dan sudah tentu, dengan kedudukan saya yang kembali bertanding di kerusi yang sama kali ini, saya amat mengharapkan agar pengundi saya akan terus mengundi saya di Parlimen Kuala Nerus dan juga calon-calon BN di peringkat DUN.

Kepada mereka yang pada PRU ke-12 dahulu yang mungkin tidak mengundi saya, saya berharap kali ini mereka akan memberikan sokongan dan undi kepada saya sebagai calon BN demi kelangsungan perjuangan membawa perubahan kepada rakyat.

Saya sedar, sebagaimana anda semua bahawa PRU ke-13 ini adalah detik pertarungan yang sengit antara parti-parti yang bertanding. Pun begitu, saya masih tetap optimis bahawa rakyat lebih bijak untuk terus mengekalkan wakil BN untuk menjadi wakil rakyat mereka. Ini bukan retorik sebenarnya tetapi hakikat yang ada di hadapan kita.

Hal tersebut saya sendiri lalui dalam siri jelajah menemui rakyat di kawasan saya dan mereka ternyata bersyukur kerana memilih wakil rakyat BN kerana bagi mereka, rakyat akan lebih selesa di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Saya sangat berharap, agar rakyat terus bersama-sama menyokong dan mendokong perjuangan BN untuk memajukan negara dan membawa lebih kesejahteraan kepada rakyat.

Hakikatnya ialah, hanya BN yang mampu membawa kebaikan kepada rakyat dulu, kini dan selamanya.


Sunday, April 14, 2013

RAKYAT MULA MEMPERAKUI KELEBIHAN BN



Assalamualaikum.

Parlimen telah pun dibubarkan, malah hari penamaan calon dan hari mengundi juga telah ditetapkan.

Tiga tarikh penting yang dinanti-nantikan oleh rakyat selama ini telah pun terjawab. Masing-masing kini sedang memberikan tumpuan terhadap kempen-kempen mereka bagi memastikan kemenangan pada PRU ke-13 ini.

Walaupun banyak pihak berpendapat bahawa PRU kali ini adalah yang paling hangat, paling sengit dan paling getir, namun nampak semuanya berjalan lancar. Bagi saya, sudah tentu saya sangat percaya bahawa rakyat akan sekali lagi memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri Terengganu serta negeri-negeri lain di Malaysia.

Begitu juga di peringkat Parlimen, BN sekali lagi dijangka mampu membentuk kerajaan yang lebih kuat berbanding PRU ke-12 yang lalu.

Banyak sebab sebenarnya mengapa saya berkata demikian, selain faktor kejayaan BN itu sendiri dalam membangun dan memajukan negara serta menjaga kebajikan rakyat, kecelaruan serta isu-isu yang menggemparkan yang melanda parti pembangkang sejak kebelakangan ini telah turut membuka mata rakyat.

Selain itu, rakyat semakin bijak dan matang walaupun persekitaran mereka sekarang sedang diasak dengan pelbagai isu-isu yang sengaja dicetuskan melalui internet dan sebagainya. Hakikatnya, rakyat telah bijak dalam menapis isu-isu yang dibawa ke pengetahuan mereka.

Jelas sekali hari ini, BN telah diberikan sokongan dan sambutan yang amat baik dan BN juga berada pada posisi yang sangat meyakinkan untuk memenangi PRU ke-13 ini.

Jika anda ingin mengesahkan apa yang saya katakana, anda boleh bertemu rakyat yang tidak fanatik dan pemikirannya pula terbuka, mereka pasti akan menyatakan secara terbuka mengenai kejayaan dan potensi kemenangan BN.

Kepada mereka yang masih kurang yakin atau tidak yakin kepada kerajaan BN terutamanya penyokong pembangkang, waktu masih ada untuk mereka berubah kepada yang lebih baik.

PAS telah pun memerintah Terengganu pada 1999-2004 dan telah terbukti menjadi kerajaan yang gagal. Oleh kerana itu, saya berpandangan, rakyat tidak lagi sepatutnya memberikan kepercayaan kepada kerajaan yang gagal itu pada PRU ke-13 kali ini.

Harapan saya, marilah kita semua sebagai rakyat bersatu dan bertekad untuk terus memberikan undi kepada BN untuk  menerajui Terengganu dan Malaysia ini.


Sunday, April 7, 2013

TERIMA KASIH RAKYAT


Assalamualaikum

Parlimen telah pun dibubarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 3 April lalu.

Apa yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat telah pun menjadi kenyataan dan apa yang dinantikan sekarang adalah hari penamaan calon dan hari pengundian.

Sempena pembubaran Parlimen itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pengundi, penduduk dan agensi-agensi kerajaan serta swasta yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen kepada saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus lima tahun yang lalu.

Sesunguhnya saya gembira kerana dapat bekerjasama bersama anda semua dalam melaksanakan amanah penting untuk rakyat dan kemajuan di Parlimen Kuala Nerus.

Saya berdoa, segala kejayaan itu akan berterusan dan selagi kita memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang memerintah, rakyat akan sentiasa mendapat faedahnya.

Thursday, March 28, 2013

BERSATU PERTAHAN KEDAULATAN NEGARA


Assalamualaikum.

Isu pencerobohan pengganas Kiram yang mengaku Raja Sulu ke atas Sabah sejak lebih sebulan lalu telah membuka mata banyak pihak. Negara tiba-tiba digemparkan dengan peristiwa yang tidak digambarkan oleh rakyat akan berlaku, namun ia telah pun berlaku.

Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, sudah tentu hati kita marah apabila mengikuti kejadian tersebut. Apatah lagi, pengganas itu pula telah membunuh pasukan keselamatan kita dengan cara yang amat kejam.

Saya melihat isu ini dalam beberapa perkara dan pengajarannya.

Pertama, isu keselamatan di sempadan negara terutamanya di Sabah perlu diberikan perhatian dan wajar dipertingkatkan lagi. Kita sedar tugas menjaga perairan dengan negara jiran yang sangat dekat itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun peristiwa pencerobohan itu telah menuntut kita untuk memberikan perhatian terhadap perkara tersebut.

Kedua, peristiwa itu sangat mengunji pasukan keselamatan kita. Apatah lagi, operasi tersebut bukan sahaja telah mendapat liputan meluas media, malah juga orang perseorangan yang terlalu ghairah melaporkannya melalui laman sosial masing-masing.

Apa yang berlaku itu seharusnya mengajar kita betapa TIDAK PATUT kita membicarakan mengenai aset keselamatan negara sehingga ia boleh menggagalkan usaha pasukan keselamatan menjaga keamanan negara ini. Inilah sebenarnya, mengapa kerajaan tidak mahu isu-isu keselamatan negara dibincangkan secara terperinci sebagai yang sering diocetuskan pihak tertentu di negara kita ini sehingga banyak maklumat-maklumat yang sepatutnya dirahsiakan menjadi terdedah.

Ketiga, kejadian itu juga sangat menguji semangat cintakan negara di kalangan rakyat kita. Kita kesal, di saat semua pihak memberikan sokongan moral yang kuat kepada pasukan keselamatan, ada pihak yang busuk hati membuat pelbagai tuduhan terhadap pasukan keselamatan dan ada pula yang cuba memperlekehkannya.

Saya tidak pernah terjumpa sebenarnya di mana-mana negara di dunia ini yang rakyatnya sanggup menghina dan memperlekehkan pasukan keselamatannya sendiri apabila tanahair mereka diceroboh. Namun amat menyedihkan apabila hal itu berlaku di Malaysia.

Saya berdoa semoga Allah membuka hati mereka yang selama ini menghina pasukan keselamatan negara agar kembali berubah dan menjadi rakyat yang sayang dan cintakan negara.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh Allahyarham wira negara yang meninggal dunia di medan perang kerana mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Alfatihah.

Friday, February 22, 2013

APABILA NIK AZIZ HINA RAKYAT

Gambar yang perlu anda sendiri nilaikannya.

Assalamualaikum.

Saya tidaklah terkejut sangat dengan kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Mat yang menyamakan penerima bantuan kerajaan pusat seperti haiwan. Dia ulama politik dan apa yang dia cakap juga bermotifkan politik.

Bagi saya mudah, ulama politik akan hanya mempertahankan kepentingan politiknya sahaja walaupun ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tidak perlulah saya menyebut semula apakah kata-kata Nik Aziz sebelum ini, namun saya fikir kita semua sudah sedia maklum akannya.

Yang sedikit terkilan, kata-kata Nik Aziz terhadap penerima bantuan Kerajaan Pusat yang diterajui BN, telah terkena sama ke atas batang hidung ahli dan penyokong. Sebabnya, pemberian bantuan kerajaan BN, ia tidak mengira apa jua fahaman politik. Setiap rakyat yang layak akan diberikan.

Saya tidak dapat bayangkan betapa hinanya rakyat susah ini di mata Nik Aziz. Lebih terkilan apabila beliau menyatakan bahawa pemberian wang ringgit adalah bukan menjadi ajaran Islam kerana menurutnya Islam mengajar umatnya diberikan ilmu.

Entahlah, sepatutnya sebagai ketua kepada sebuah kerajaan yang dia dakwa kononnya sebagai kerajaan Islam, bantu membantu adalah sesuatu yang wajar diberikan sokongan.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan. Percaturannya mudah sahaja, jika Nik Aziz tidak mampu lakukan atau berikan apa-apa kepada rakyat Kelantan, usahlah beliau menghina orang lain yang membantu rakyatnya.

Adalah sesuatu yang malang jika sebuah kerajaan yang selama ini cuba menukar prinsipnya kepada sebuah kerajaan berkebajikan kononnya, mendakwa pemberian wang kepada rakyat umpama memberikan makanan kepada haiwan. Ia sungguh memalukan.

Bagi kerajaan BN, rakyat adalah diutamakan. Bagi kerajaan BN, apa jua keperluan rakyat mestikan diletakkan dalam senarai paling atas sekali. Bukankah, mandat sesebuah kerajaan itu datangnya daripada rakyat?. Justeru, kerajaan perlulah menjadi pihak yang mampu membiayai kehidupan rakyat dan bukanlah sebaliknya.

BN adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Nik Aziz boleh berkata apa pun, namun rakyat akan menilainya dengan adil.

Jelas sekali, kenyataan Nik Aziz itu mendedahkan kegagalannya mentadbir negerinya sendiri dan memang wajar BN merampas semula Kelantan pada PRU akan dating ini, insya’Allah.

APABILA SEMUA BENDA HENDAK DIPOLITIKKKAN


Assalamualaikum.

Malam tiidak berbau. Semalam (Rabu) kita dikejutkan lagi dengan insiden struktur bumbung di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak yang terjatuh ketika kerja-kerja merobohkannya.

Seperti biasa, ia segera diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memberikan gambaran yang salah mengenai insiden itu. Malah, diwar-warkan kononnya stadium berkenaan yang dibina pada tahun 2005 itu sekali lagi runtuh.

Saya mengikuti dengan dekat apa yang disebarkan melalui internet akan ulasan orang ramai mengenai kejadian berkenaan.

Sebenarnya, stadium berkenaan tidak runtuh dan tidak pernah runtuh. Kejadian pertama pada bumbung sebelah timur juga bukannya stadium runtuh. Kejadian pertama, adalah struktur bumbungnya sahaja runtuh disebabkan factor-faktor tertentu.

Kejadian kedua itu pula juga bukannya stadium runtuh. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah struktur besi bumbung (bumbung itu sendiri telah pun dicabut) yang terjatuh ketika kerja-kerja mencabut dan memecat struktur besi tersebut. Malah, keputusan yang diambil untuk merobohkan bumbung di sebelah selatan itu dibuat hasil cadangan perunding yang membuat kajian intergriti bahawa bumbung tersebut juga tidak selamat sebagaimana bumbung yang telah runtuh sebelum itu.

Maka, ketika kerja-kerja mencabut struktur besi berkenaan berlaku, maka terjadilah kemalangan tersebut. Memang, ia sangat menyedihkan, namun jika insiden itu dilihat hanya untuk dijadikan isu politik, saya fikir ia tidak adil sama sekali.

Tragedi boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana juga tanpa mengira parti mana. Bagaimanapun disebabkan wujudnya pihak yang bersifat menyalahkan kerajaan di atas semua kejadian, maka wujudlah mengenai perkara tersebut. Perkembangan itu bagi saya adalah sangat malang sekali kerana kita tidak memberi pandangan atau mengulas berasaskan kepada fakta yang betul.

Bagi saya, tragedi adalah sesuatu yang tiada siapa pun yang mengkehendakinya. Namun jika ia berlaku, kita harus mempelajari sesuatu di sebaliknya.

Oleh kerana itu, janganlah kita melihat semuanya atas nama politik. Kita mesti menjadi rakyat yang bijak dan tahu mengulas sesuatu berasaskan kepada kebenaran dan fakta.

Apalah salahnya kita bercakap dan menulis perkara yang benar … itu lebih baik sebenarnya berbanding suka menabur fitnah dan menambah cerita.

Fikir-fikirkanlah.

Monday, February 18, 2013

ANTARA DUA PERISTIWA



Assalamualaikum.

PRU sudah semakin hampir, sangat-sangat hampir. Di kebanyakan tempat, perang bendera sudah pun bermula. Ia bagaikan Parlimen sudah dibubarkan.

Pembangkang pula semakin galak dengan program mereka – fitnah sana, fitnah sini – mengata sana, mengata sini. Barisan Nasional (BN) pula terus bekerja untuk negara dan rakyat.

Dalam kita ghairah menantikan detik sebenar PRU, anda mungkin kurang perasan mengenai dua peristiwa yang sedang berada di hadapan anda.

Peristiwa pertama, anda melihat pemimpin pembangkang siang dan malam mengadakan program ceramah dengan menabur pelbagai fitnah dan mengkritik secara tidak berasas terhadap BN. Jika anda mendengar pemimpin pembangkang berceramah, semua yang kerajaan BN buat adalah salah dan tidak betul, walaupun pada masa yang sama, mereka sendiri menikmati hasil perjuangan BN.

Tidak cukup dengan kata-kata fitnah biasa, muncul juga kata-kata yang melampau – semuanya berkisar kononnya kerajaan BN tidak betul.Itu peristiwa pertama.

Pada masa yang sama, berlaku peristiwa kedua iaitu pemimpin BN dan kerajaan BN sejak dahulu tidak pernah jemu bekerja untuk rakyat. Mereka kurang bercakap, tetapi saban hari pemimpin BN masuk kampong, mendegngar rintihan rakyat dan membantu apa yang patut untuk rakyat.

Sebagai sebuah kerajaan yang mendahulukan rakyat, pemimpin BN tidak mahu melihat rakyat hidup susah dan bantuan akan segera diberikan.

Bagi pemimpin BN, rakyat adalah segala-galanya. Ini bukan retorik, tetapi anda boleh melihatnya sendiri bagaimana rakyat dibantu dan diberikan perhatian. Inilah hal yang mungkin kita tidak perasan sebenarnya.

Hakikatnya, perjuangan pemimpin BN adalah jauh berbeza dengan pembangkang. Pembangkang berjuang dengan air liur, bukan sahaja tidak membantu rakyat tetapi “mengambil” wang rakyat dengan berselindung di sebalik jenama kutipan derma.

Pemimpin BN sebaliknya bekerja untuk rakyat, demi rakyat dan memelihara rakyat. Rakyat harus menilai dua peristiwa ini, yang bagi saya ia sangat jelas untuk membantu rakyat membuat penilaian mengenai parti yang bakal mereka pilih.

Jika rakyat peka, prihatin dan sensetif dengan persekitaran politik semasa, tidak syak lagi, rakyat akan sekali lagi memberikan mandat yang besar kepada BN.
Undilah BN.

Thursday, January 31, 2013

GEMBIRA DAPAT RM100... TAHNIAH KERAJAAN BN

Assalamualaikum.

Nampak gembira ibu bapa yang mengiringi anak-anak mereka menerima bantuan persekolahan RM100 yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada pelajar-pelajar sekolah di negara ini. Bukan sahaja pelajar sekolah kerajaan, malah pelajar sekolah swasta juga menikmati bantuan tersebut.

Lebih mulia lagi, bukan sahaja anak penyokong kerajaan BN sahaja yang diberikan, malah anak kepada penentang kerajaan, mereka yang selama ini memaki hamun kerajaan BN pun, kerajaan BN berikan bantuan tersebut.

Sebabnya, sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan berjuang demi rakyat, maka setiap rakyat akan diberikan perhatian dan jika terhadap habuan yang diberikan, maka ia sama-sama dinikmati.

Selebihnya, jika ada yang tidak tahu bersyukur atau rasa berterima kasih – itu terserah dan terpulang kepada mereka.

Apa yang penting, kerajaan BN telah melakukan yang terbaik demi rakyat. Walaupun bantuan RM100 tidaklah seberapa, namun bagi mereka yang bersyukur dengan nikmat tersebut, nilainya amatlah besar sekali. Dan, kerajaan BN telah membelanjakan jutaan ringgit bagi pemberian tersebut. Alhamdulillah.

Saya sendiri melihat dan dapat merasakan betapa gembiranya ibu bapa menerima bantuan/sumbangan tersebut. Namun, ada juga segelintir yang tidak menunjukkan tanda-tanda begitu kerana terlalu terpedaya dengan fahaman yang tidak mengajak mereka menjadi seorang yang tahu bersyukur dan berterima kasih.

Tidak mengapalah, pedulikan mereka. Bagi majoriti rakyat, mereka sangat berterima kasih kepada kerajaan BN yang sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan rakyat.

Selepas ini, giliran ibu bapa pula menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) sebanyak RM500 seorang. Bagi anak-anak muda pula, mereka akan memperolehi bantuan juga.

Kepada rakyat Terengganu, mereka menerima bonus setiap kali tibanya hari raya apabila diberikan imbuhan sebanyak RM300 seorang daripada Wang Ehsan. Alangkah bertuahnya rakyat di negara ini. Tidak tahulah jika ada yang tidak ada rasa mahu berterima kasih.

 Bagi kerajaan BN, usaha memajukan negara ini tidak pernah dihentikan. Dan, pada masa yang sama, usaha memartabatkan kebajikan rakyat telah lama dilaksanakan. Rakyat kita hari ini sungguh bertuah, dan tuah itu tidak ada di kebanyakan negara di dunia.

Apa yang penting, rakyat perlu bersatu dalam memastikan agenda ini dapat diteruskan dan bukannya mendedahkan diri mereka untuk terpedaya dengan anasir-anasir yang merugikan negara.

Itulah harapan saya. Semoga kita akan terus maju dan hidup dalam serba berkebajikan di bawah kerajaan BN. Alhamdulillah.

Tuesday, January 29, 2013

BERSYUKURKAH KITA



Assalamualaikum.

Bersyukur, satu kata-kata yang mudah diucapkan namun ia tidaklah semudah untuk dihayati atau berada di hati setiap orang.

Kata orang dunia sudah jauh berubah. Perasaan manusia pun begitu juga. Turut berubah. Bagaimanapun perubahan manusia yang melalui perubahan itu semakin hari semakin jauh berbeza dengan orang dulu-dulu.

Orang dulu-dulu, mereka sangat kaya dengan akal budi, mudah berterima kasih dan tidak terlalu berburuk sangka. Oleh kerana itu, kehidupan mereka jauh lebih indah daripada apa yang sedang kita lewati sekarang.

Apa ertinya perubahan, pembangunan dan kejayaan jika kita tidak tahu bersyukur. Apatah lagi di saat kita memiliki dan mempunyai apa yang orang lain tidak mampu miliki.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat bertuah kerana berada di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Walaupun kerajaan BN dihina, dipandang keji, namun kerajaan BN tidak pernah terhenti dalam memajukan negara dan menjaga kebajikan rakyatnya – tanpa mengira perbezaan idealogi politik pulak tu.

Namun hari ini, masih ada yang tidak tahu bersyukur. Jauh sekali mahu berterima kasih kepada kerajaan BN di atas segala usaha dan bantuan yang diberikan. Mengapa?. Sifat dan perasaan itu semakin terhakis disebabkan masyarakat kita dikelilingi oleh penghasut yang menghasut rakyat agar membenci kerajaan.

Tidaklah terlalu aneh, namun agak pelik apabila kerajaan BN memberikan sesuatu kepada rakyat demi rakyat, ada yang memandangnya sebagai serong sedangkan apabila mereka hadir pada majlis golongan yang menentang kerajaan BN, mereka terpaksa mengeluarkan wang bagi membiayai parti tersebut – di situ tidak pula mereka rasa malu kerana menjadi rakyat yang terpaksa diperalatkan parti tersebut.

Jauh berbeza dengan BN, ia adalah sebuah parti yang mengutamakan rakyat. Bagi BN, mereka pantang melihat rakyat berada dalam kesusahan, maka bantuan akan segera dihulurkan. Saya tidak berhasrat untuk memperkatakan perkara ini secara detail di sini kerana saya akan mengupasnya dalam posting saya yang lain.

Apa yang ingin saya nyatakan, betapa sifat tidak bersyukur di kalangan segelintir orang kita sekarang adalah sesuatu yang boleh mencemarkan nilai keindahan hidup kita. Segelintir rakyat kita sekarang gagal menilai sesuatu kebaikan dengan bijaksana dan kerana itu, mereka kurang bersyukur.
Apa pun, saya yakin masih ramai di kalangan rakyat yang masih bersyukur dengan segala nikmat dan rakyat yang mereka kecapi. Rakyat yang mempunyai perasaan sedemikian akan tahu bahawa bukan semua kerajaan mampu melakukan perkara yang sama. Rakyat yang sedemikian akan mengerti bahawa hanya BN yang mampu menjadi kerajaan untuk rakyat, demi rakyat.

Saya sangat menghargai kepada rakyat yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih terhadap setiap pemberian, bantuan dan sumbangan yang kerajaan berikan kepada mereka. Sesungguhnya mereka adalah insan-insan yang terpuji yang wajar dicontohi.

 

Sunday, January 13, 2013

DEMI KUASA, PEMBANGKANG LAKUKAN APA SAHAJA

Gambar hiasan

Assalamualaikum.

Perhimpunan parti pembangkang di Stadium Merdeka semalam telah pun selesai. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, perhimpunan dan hak bersuara tidak pernah dihalang selagi ia mematuhi undang-undang.

Demokrasi tidak bermaksud kita bebas melakukan apa sahaja atau menyuarakan apa sahaja. Demokrasi yang sempurna adalah demokrasi yang berjaya diurus oleh peraturan serta undang-undang.

Bagi pembangkang di negara kita, mereka akan membangkang apa sahaja. Dan, apabila mereka dilihat semakin layu, mulalah mereka mahu berhimpun.

Membaca pelbagai komen mengenai Himpunan Samsidar semalam, saya hanya tersenyum. Hampir keseluruhannya memperkatakan jumlah mereka yang hadir. Ada yang kata 20 ribu, ada yang ada 50 ribu dan ada yang kata 100 ribu. Tidak kisahlah apa pun angkanya, yang penting itulah tahap penilaian perhimpunan mereka. Matlamat hilang entah ke mana. semuanya dikerah dari seluruh negara.

Bagi rakyat, jumlah itu berapa persenlah sangat berbanding dengan jumlah rakyat dan pengundi yang masih cinta dan sayangkan keamanan. Kalau hendak bandingkan jumlah itu, berapa persenlah sangat dengan jumlah Umat Islam yang kini menentang penggunaan nama Allah untuk bukan Islam. Majoriti rakyat TIDAK bersama mereka.

Hakikatnya, matlamat telah tenggelam dan tujuan berhimpun tidak memberikan apa-apa makna selain ia hanya mempamerkan sikap sebenar mereka ini – tidak bersyukur, suka menyusahkan orang ramai dan gemar melakukan sesuatu yang merugikan.

Saya terkilan, di saat umat Islam kian hebat dilemahkan dan yang terbaharu diuji dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, tidak ada pun perhimpunan diadakan puak pembangkang mengenai isu itu. Malah, mereka pula menyokong penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

Demikianlah apabila ketamakan untuk berkuasa diletakan di depan sehingga gagal melihat perkara-perkara yang lebih penting.

Saya berharap, rakyat menilai hal ini dengan adil dan menolak mereka yang sering menimbulkan suasana yang merugikan negara. Sepatutnya, kita mesti bersatu dalam memaju dan membangunkan negara ini dan bukan sebaliknya.

Kepada rakyat, marilah kita menolak manusia yang hanya meletakkan kerakusan untuk berkuasa mengatasi segala-galanya termasuk menggadaikan maruah agama dan bangsa sendiri – demikianlah pembangkang.