Friday, November 27, 2009

BERSATU, BERKORBAN DI AIDILADHA

Assalamualaikum.

Syukur alhamdulillah, hari ini seluruh umat Islam menyambut hari raya Aidil Adha atau juga dipanggil sebagai Hari Raya Korban. Walaupun, hari raya ini diraikan dalam keadaan kita di sini (Terengganu) sedang berhadapan dengan kejadian banjir, namun saya amat mengharapkan agar mereka yang terlibat supaya lebih banyak bersabar dan bertahan dengan dugaan ini.

Memanglah, seberat mana pun mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Demikianlah apa yang sedang sebahagian daripada rakyat kita alaminya. Sesungguhnya saya amat bersimpati dan mengambil berat dengan keadaan tersebut.

Maka, sememangnya amat perlu bagi umat Islam yang meraikan hari berbahagia hari ini untuk berkorban dengan memberikan apa jua perhatian serta pertolongan kepada rakan-rakan kita yang sedang bermasalah itu. Usahlah, di kala kita meraikan hari ini, kita melupai mereka.

Apa pun, kita juga seharusnya ingat dan sedar betapa sebenarnya apa yang sedang kita lalui di sini merupakan ujian yang kecil sahaja berbanding dengan apa yang telah dan sedang menimpa kebanyakan umat Islam lain di dunia. Itulah hal yang wajar kita meninsafinya. Kita sebenarnya masih jauh bertuah kerana sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan.

Seharusnya juga, Aidiladha ini menjadi hari perpaduan yang menuntut kita bukan sahaja sepakat tetapi bersatu dalam menangani apa jua cabaran.

Walaupun hal sedemikian tidak sahaja dituntut pada hari raya seperti hari ini, namun hari ini dilihat hari yang paling sesuai. Sebabnya, di hari ini, tembok perasaan yang negatif mampu kita robohkan. Apatah lagi di hari raya korban ini, biarlah kita mengorbankan kepentingan diri bagi mencapai sesuatu yang mampu menyumbang kepada kekuatan ummah. Bukan kita tidak mampu sebenarnya. Cuma, dalam banyak keadaan, kita bagaikan tidak mempunyai kemahuan. Itu saja!.

Marilah kita semua mengambil pengajaran dan iktibar di atas peristiwa korban yang dikaitkan dengan sambutan hari raya korban ini. Biarlah kita semua memahami mesejnya dan menjadikannya sebagai satu pedoman berguna untuk kita muncul sebagai umat Islam yang bukan sahaja sanggup berkorban untuk kebaikan tetapi berdaya tahan dalam menghadapi sebarang dugaan serta cabaran.

Marilah kita menjadikan hari ini untuk saling bermaaf-maafan sesama kita. Usahlah kita terlalu berpegang kepada prinsip yang tidak pernah membawa kita ke mana-mana. Biarlah apa pun tanggapan dan persepsi kita, hari ini, hari raya korban ini biarlah menjadi detik paling sesuai untuk kita memulakan sesuatu yang sepatutnya sudah lama kita mulakan.

Oleh itu, sempena hari yang mulia ini, saya, isteri dan seluruh ahli keluarga saya ingin merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam terutamanya kepada pengundi saya di Parlimen Kuala Nerus. Saya sekeluarga juga ingin memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap jika ia berlaku.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha. Maar Zahir dan Batin.

Friday, November 20, 2009

JUMPA SENDIRI NELAYAN DITAHAN DI PONTIANAK, INDONESIA

Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah saya tiba di Pontianak, Indonesia tengahari tadi selepas bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul tujuh pagi tadi dengan membawa satu misi yang saya fikir amat penting buat saya sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat. Saya bersama isteri, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam dan rombongan berada di sini bagi menemui lima nelayan Terengganu dari Seberang Takir (Kawasan saya) yang ditahan pihak berkuasa perikanan Indonesia Khamis lalu.

Walaupun sebenarnya saya perlu menghadiri mesyuarat agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang juga penting berikutan berlakunya proses “peralihan kuasa” selepas badan itu diletakkan di bawah Akta Belia, namun dalam hal ini, saya fikir rakyat mesti didahulukan dan itu jugalah yang dimahukan kepimpinan negara hari ini.

Alhamdulillah, pukul 4.30 petang tadi, kami berpeluang menemui lima nelayan yang dimaksudkan iaitu Wan Budiman Che Wan Ngah, 31 tahun, Musa Mohammad, 33 tahun, Ahmad Puad, 23 tahun, Mohd Arif Rosli, 20 tahun, dan Ahmad Faisal Sulong, 23 tahun di Pusat Tahanan Laut (Bukannya lokap atau penjara). Syukur, saya diberitahu dan melihat bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan sihat dan telah diberikan layanan yang baik oleh pihak berkuasa Indonesia.

Buat masa ini, mereka kini dalam proses perundangan dan perbin cangan telah diadakan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapat maklumat sebenar dan terkini selain ingin memohon agar proses perundangan yang dimaksudkan dapat dipercepatkan.

Dalam kejadian Khamis lalu, kelima-lima nelayan terbabit telah ditahan pihak berkuasa perikanan Indonesia apabila memasuki perairan negara jiran itu ketika menangkap ikan. Saya difahamkan, kesemua mereka pada mulanya cuba melarikan diri walaupun selepas diarahkan berhenti sehingga ia memaksa pihak berkuasa Indonesia melepaskan tembahan dan terkena salah seorang nelayan tersebut.

Saya telah memberikan kata-kata semangat kepada nelayan terbabit agar mereka lebih bersabar menghadapi dugaan dan cabaran ini. Mereka juga gembira apabila mengetahui dan melihat kedatangan kami ke sini dan sudah tentu saya lihat di wajah mereka, adanya “kekuatan baru” buat mereka.

Kami bakal berlepas pulang ke ibu negara Ahad ini tetapi sebelum kami pulang, kami perlu menemui mereka lagi petang esok (Sabtu – 21/11/2009).

Saya berdoa, semoga usaha untuk membebaskan mereka tidak berhadapan dengan apa-apa masalah.

Thursday, November 19, 2009

RASUAH, DAKWAH DAN JUBAH

Salam Bloger,

Bukan pelik, tetapi ia tetap janggal. Mengapa saya katakan begitu?. Sebabnya masih ramai di kalangan orang kita (Melayu/Islam khususnya) bagaikan masih belum mampu menerima bahawa mereka yang berjubah, berserban, berimej warak dan digelar Tok Guru pun adalah manusia. Maksudnya, mereka tidak terlepas daripada salah dan silap.

Anehnya, tetapi bukanlah mengejutkan apabila pemikiran orang kita terlalu taksub terhadap mereka yang dipanggil Tok Guru. Seolah-olah manusia seperti itu tidak melakukan kesalahan langsung.

Jika saya boleh berikan pandangan mengenai isu penajaan menunaikan Fardhu Haji kepada MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Saya panggil Tok Guru bagi menggambarkan apa yang saya maksud di perenggan pertama tadi). Kalaulah pihak yang sudi menaja itu menaja Perdana Menteri kita ke Mekah, anda tentu faham apa yang Pas bakal jaja. Habis seluruh pelusuk Negara mereka menjaja kononnya pemimpin UMNO rasuah dan sebagainya. Mengapa?. Kerana PM kita adalah bukan Tok Guru walaupun ilmu dan kepintaran beliau jauh lebih baik berbanding Nik Aziz.

Sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan UMNO dan disebut atau dikaitkan dengan penajaan boleh dilabelkan sebagai rasuah atau perasuah oleh Pas. Bagaimana dengan kes Nik Aziz. Oh tidak!... Nik Aziz mana ada rasuah sebab dia kan seorang Tok Guru, seorang ulama, takkan dia sanggup terima rasuah.

Maka pemberian itu dan persetujuan menerimanya (Sebelum keputusan membatalkan pemergian ke Mekah) tidak langsung diusik sebagai rasuah kononnya kerana ia melibatkan soal nak cari berkat dan sebagainya. Nah!, itu bila melibatkan orang yang dipanggil Tok Guru.

Saya serahkan saja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan yang khabarnya sedang berjalan.

Apa yang hendak saya lontarkan ialah cara kita berfikir. Mengapa mesti kita terlalu taksub terhadap seseorang sehingga kita lupa bahawa dia juga adalah manusia biasa. Apakah Islam menganjurkan sedemikian rupa?. Akibat daripada inilah, maka pemikiran umat Islam mudah dipesongkan, apatah lagi yang ditaksubkan itu ialah orang politik yang sudah tentu setiap kenyataan, tindakan, keputusan dan tingkah lakunya pastinya berteraskan kepada kepentingan atau pertimbangan politiknya. Dan, yang jelas, sudah pasti bahawa apa yang diputuskan itu BENAR.

Jelas, kita wajar dan kena berubah dalam soal persepsi serta sifat taksub ini. Contoh yang saya sebutkan tadi menggambarkan betapa kita TIDAK BERANI menyalahkan orang yang selama ini dipanggil Tok Guru kerana di fikiran kita telah tetapkan bahawa seorang manusia yang dinamakan atau digelarkan sedemikian seolah-olah tidak mungkin melakukan kesilapan. Hakikatnya, kitalah yang silap dalam menilai. Itu jelas.

Saya bimbang, hal ini kita terus bersarang di dalam diri umat Islam, ia bakal mendedahkan mereka diperalatkan oleh pihak yang berkepentingan. Akhrinya, yang rugi ialah umat Islam itu sendiri.

Saya berharap, kita sama-sama fikir mengenai perkara di atas demi agama kita, diri kita dan masa depan generasi kita.

Friday, November 13, 2009

LIHATLAH WAHAI SEKALIAN RAKYAT


Assalamualaikum dan salam bloger…

Banyak kecelaruan yang menimpa pembangkang sejak akhir-akhir ini. Bermula dengan krisis politik Pas, bai’ah wakil rakyat Pas, kemelut kepimpinan di Selangor hinggalah isu penajaan mengerjakan haji untuk MB Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semua itu bukannya berlaku di belakang tirai. Ia wujud dengan nyata di hadapan mata rakyat. Apa yang berlaku itu jelas bertentangan dengan apa yang pemimpin pembangkang katakan.

Segala-galanya kini bertentangan. Ibarat, mereka telah meludah ke langit dan kini terkena muka sendiri. Jika dulu, tidak ada orang yang nampak berlakunya perbalahan antara puak-puak tertentu dalam Pas tetapi hari ini semuanya terdedah. Sudah ada saling tuduh menuduh sesama mereka. Saya percaya pergolakan di dalam Pas bukanlah baru tetapi selama ini mereka pandai menyimpan apa yang mereka makan.

Satu hal yang menarik, pemimpin pembangkang kian tersepit sehingga memaksa mereka mengaku apa yang mereka buat. Nik Aziz misalnya. Kalau tidak didedahkan, tak mungkin dia akan mengaku dia ke Mekah di bawah tajaan orang. Buat diam sajalah dia. Soalnya, inikah parti atau pemimpin yang hendak diharapkan mentadbir negara dan memerintah rakyat?.

Anda semua melihatnya apa yang berlaku di depan anda. Jika anda masih tertanya-tanya dan tidak mahu menerima kenyataan itu, ternya anda tergolong di kalangan mereka yang bebal akal. Segala-galanya kini terdedah dan didedahkan tanpa peranan UMNO atau BN. Mereka yang mendedahkan sesama mereka mengenai masalah dan kepincangan mereka.

Demikianlah sifat manusia yang baru mendapat kuasa. Selama ini hanya bercakap berapi-api dan hebat sekali, tetapi apabila diuji dengan kuasa, mereka tewas dan kalah. Rakyat mesti melihat semua ini. Mesti memikirkan betapa pembangkang sebenarnya tidak ada kelayakan langsung untuk memerintah.

Akal mereka telah tertanam susuk politik yang salah. Maka, proses pengurusan politik mereka juga adalah salah dan akibatnya kini sedang ditanggung oleh rakyat. Saya masih kelihat betapa ada kesukaran di sesetengah rakyat kita untuk mempercayai apa yang berlaku itu. Sebabnya, mereka telah ditanam dengan fahaman bahawa orang lain semuanya salah tetapi apa sahaja yang puak mereka buat adalah betul.

Maka tidak hairanlah jika selipar Nik Aziz pun menjadi rebutan kononnya kerana nakkan berkat.. Yang bercakap itu pula dengan angkuh dan sombongnya mengatakan seliparnya tidak boleh ditinggal di luar. Teruknya kehidupan hari ini.

Anda fikirlah sendiri. Cuma, nasihat saya fikirklah dengan matang dan bijaksana baharulah berguna keputusannya.

Sunday, November 8, 2009

GPMS: TERUSKAN AGENDA BESAR INI



Assalamualaikum dan salam blogger,

Terasa lega kerana semalam dapat menyelesaikan mesyuarat agung terakhir GPMS – satu pertubuhan pelajar tertua di Negara ini. Ia menjadi kali terakhir kerana mulai sekarang, GPMS akan dipimpin oleh mereka yang berusia 40 tahun ke bawah sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Belia yang baharu. Saya merasa lega kerana melepaskan jawatan ini yang akan disambung oleh mereka yang tidak kurang kemampuannya untuk mentadbir dan memimpin GPMS.

Saya gembira, dalam tempoh saya memegang jawatan sebagai Pengerusi GPMS Terengganu, kita telah sama-sama melakarkan banyak kejayaan hasil kesepakatan dan komitjmen yang kuat di kalangan pemimpin dan ahlinya. Pemimpin boleh silih berganti tetapi wadah perjuangan tidak sewajarnya terbiar atau dibiarkan. GPMS, khususnya di Terengganu telah pun membuat persiapan awal bagi menghadapi peralihan kuasa ini dan hari ini, prose situ telah berlaku dengan jaya dan mudahnya. Alhamdulillah.

Jika ditanya mengenai harapan saya, sudah tentu saya mahu melihat kepimpinan baharu GPMS akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang batu asasnya telah lama terpahat. Bukan mudah sebenarnya untuk memimpin sebuah pertubuhan pelajar yang ketika ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, dugaan dan tuntutan semasa serta persekitaran yang hebat. Saya percaya bahawa melalui proses yang telah kita siapkan, kepimpinan baharu GPMS pastinya lebih matang dan bijak dalam meneruskan agenda perjuangan pertubuhan yang kita sayangi ini.

Kita telah menyusun sekian banyak agenda dalam memperkasakan GPMS ini.. Maka menjadi hasrat dan impian saya agar semua itu diteruskan dengan jayanya oleh kepimpinan baharu. Hakikatnya GPMS bukan sekadar sebuah gerakan pelajar semata-mata. Sebaliknya, ia adalah simbol penyatuan Melayu dan sentiasa menyalakan obor memperkasakan anak bangsa yang berjiwa besar, bergagasan serta mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.

GPMS telah menjadi antara tunjang penting kepada wadah perjuangan Melayu itu sendiri walaupun di tengah-tengah ledakan krisis demi krisis yang berkaitan dengan pelbagai bangsa di Negara ini. Kita tidak. GPMS terus bergerak dengan satu nawaitu yang telah disepakatkan oleh setiap daripada kita. Oleh kerana itulah, dalam konteks Terengganu ini, GPMS sentiasa berjaya melalui peranannya dalam semua perkara. Kita telah mendepani segala cabaran itu dengan jayanya.,

Harapan saya kepada kepimpinan baharu yang muda ini, teruskan agenda GPMS dan bertindaklah berteraskan kepada pertimbangan dan penilaian yang matang dan bijaksana. Saya memberikan komitmen untuk terus membantu GPMS Terengganu dalam semua hal yang difikirkan perlu. Saya berharap semua pihak yang telah meninggalkan GPMS ini atas sebab-sebab usia dan dikaitkan dengan Akta Belia ini, juga akan terus memberikan kerjasama dan sumbangan mereka bagi memastikan badan ini akan terus cemerlang di persadanya.

Thursday, November 5, 2009

MASANYA KITA BERSATU

Salam bloger,

Wujudnya beberapa isu sejak kebelakangan ini, seperti penahanan pemimpin politik dengan rasuah dan terbaharu pula, tangkapan ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin yang didakwa mengadakan ceramah tanpa kuliah, ia telah menenggelamkan beberapa isu yang dianggap penting sebelum itu. Pergolakan di dalam Pas misalnya sehingga kini masih belum sendik (Dialek Terengganu yang membawa maksud belum reda) misalnya, ia bagaikan sudah tercicir daripada pemikiran kita.

Saya bukan mahu melontarkan sesuatu yang sudah basi tetapi saya sangat tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengenai Perpaduan Melayu. Ketika Pas bergelumang dengan prinsip menutup pintu rundingan dengan UMNO mengenai perpaduan, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mempelawa mereka bersatu. Ada yang melihat gesaan itu sebagai satu cubaan menangguk di air yang keruh dan ada pula yang berprasangka kononnya UMNO sengaja mencetuskan semula isu itu tatkala Pas sedang bermasalah sekarang ini.

Saya tidak melihat begitu. Kata-kata Datuk Seri Mohd Najib bahawa pelawaan itu adalah di atas kepentingan agama Islam dan bangsa cukup menterjemahkan bahawa ia bebas daripada sebarang sampah politik. Maksudnya, ia menggambarkan bahawa UMNO benar-benar jujur dan ikhlas dengan tujuannya. Yalah, kalau Pas tidak mahu, UMNO tidak rugi apa-apa pun. UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) masih menjadi kerajaan dan memerintah negara. Tapi mengapa UMNO tetap membuat gesaan itu.

Alasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terlalu anti untuk bersepakat dengan UMNO bahawa Pas mempunyai pengalaman yang pahit adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Itu hanya helah politik semata-mata. Apa yang saya bimbang, Pas sentiasa menjadikan apa sahaja sebagai "perniagaan politik". Jika sesuatu perkara itu menguntungkannya, maka dia akan ikut dan terima. Maka begitulah sebaliknya. UMNO tidak begitu. Dalam apa jua keadaan dan situasi, UMNO sentiasa bersedia. Perpaduan tidak akan menjadi kenyataan jika ia diniagakan. Itu sangat jelas.

Secara tidak sedar, UMNO sebenarnya sudah "mengalah" sedikit dan benar-benar mahukan perpaduan sebagaimana yang telah ditegaskan. Tiada permainan tarik tali, apatah lagi mahu menjadikan perpaduan sebagai satu pertaruhan. Sepatutnya dalam keadaan umat Islam sedang dicabar dan tercabar, semua pihak mestilah sanggup berkorban.

Walaupun sudah ada permulaan yang baik di dalam Pas pada satu waktu, namun ia dihapuskan oleh sentimen yang tebal oleh pemimpin yang lain, maka apa yang dihasratkan itu terus terkubur. Saya amat sedih dengannya. Dalam keadaan sekarang, dan saya fikir pada waktu mendatang pun, sengketa politik perlu diredakan. Atas nama kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu, pelawaan UMNO perlu disemak dengan teliti dan serius. UMNO seolah-olah mendedahkan dirinya dengan pelbagai andaian atau mungkin juga tohmahan dengan cara begitu.

Namun, di atas rasa sedar betapa perpaduan Islam dan Melayu itu adalah tunjang penting yang sangat dituntut di kala ini, maka UMNO tidak pernah mengenai semuanya itu. Saya benar-benar masih ingin melihat perkara ini benar-benar menjadi kenyataan. Saya mendoakan kesedaran bakal menjelma di kalangan pemimpin Islam, Melayu di kalangan pembangkang agar memikirkan perkara ini dengan semasak-masaknya.

Usahlah kita jadikan perpaduan sebagai satu pertaruhan. Persengketaan politik pun sepatutnya ada batasnya.