Wednesday, December 5, 2012

KEBANGKITAN UMNO



Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah, saya masih sempat untuk menulis di blog saya ini. Syukur, Perhimpunan Agung UMNO telah pun selamat diadakan dan diselesaikan dalam suasana mood yang cukup baik.

Selain isu-isu yang dibangkitkan pembahas, ucapan dasar dan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah antara perkara paling penting bagi seluruh ahli UMNO dan rakyat.

Rata-rata, Presiden telah menyampaikan amanatnya yang penting memandangkan perhimpunan agung itu adalah yang terakhir sebelum munculnya PRU yang ke-13 nanti.

Selain isu yang sangat bernas dan tajam, cerita atau kisah yang dibangkita Presiden UMNO telah mempunyai maksud dan mesej yang tersirat yang wajar direnungi dan diambil iktibar oleh seluruh pemimpin dan ahli UMNO.

Adalah sesuatu yang agak malang jika mesej pada perhimpunan agung UMNO itu tidak dibawa pulang oleh kita semua sebagai satu semangat atau gelombang kebangkitan bagi kita menghadapi PRU yang akan datang.

Walaupun pembangkang telah mencanangka kononnya PRU kali ini adalah sesuatu yang getir kepada UMNO dan BN, jelas sekali itu hanyalah satu “serangan stategi” semata-mata dan tidak berpijak di bumi nyata.

Jika mereka mengambil kira orang ramai yang mendengar ceramah mereka, sejarah telah membuktikan bahawa PAS sendiri tidak pernah menang walaupun setiap ceramah mereka dihadiri oleh lautan manusia.

Saya tidak mahu menyentuh sehingga ke situ kerana bagi saya, saya mahu menyatakan betapa momentum perhimpunan agung UMNO itu sebenarnya kini sedang ditakuti dan dibimbangi oleh puak pembangkang.

Hakikatnya, mereka sangat gentar dengan mesej yang disampaikan Dato’ Seri Najib dan mereka semua sedar bahawa Dato’ Seri Najib bukanlah calang-calang orang dalam politik sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Saya melihat dengan jelas, seluruh pemimpin dan ahli UMNO memahami apa yang disampaikan Dato’ Seri Najib dan mereka saya fikir memahami tanggungjawab mereka selepas ini.

Apa pun tanggapan, seperti Perdana Menteri, saya juga masih mempercayai bahawa BN akan terus diberikan mandapat mandat yang besar pada PRU ke-13 nanti.

Saturday, November 24, 2012

APABILA POLITIK MENGATASI AGAMA



Assalamualaikum.

Saya tidak terkejut apabila ada pihak yang mendoakan dengan doa yang songsang terutama untuk memburukkan sesama Islam. Malah, lebih tidak terkejut bila ada yang menuduh kononnya UMNO parti murtad.

Mengapa saya katakan sedemikian. Jika anda ingin tahu, inilah bahananya apabila ada orang yang mendakwa dia parti Islam, dia hendak kepada Islam, dia berjuang Islam tetapi dia tidak mematuhi ajaran Islam. Mengapa?.

Kita semua telah dikelirukan. Sebabnya kerana, mereka mengamalkan politik yang songsang.

Apa yang saya faham mengenai politik Islam ialah, Islam mestilah menguasai politik atau dalam maksud yang lain Islam mestilah memandu politik yang dipegang oleh kita. Ada pun yang berlaku di sekeliling kita hari ini adalah politik Islam yang diterjemahkan seolah-olah politik menguasai segala-galanya termasuk agama.

Ertinya, agama pula yang dipandu oleh politik dan bukannya politik itu dipandu oleh agama sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Keadaan inilah yang sengaja tidak difahami, lalu berlakulah apa yang sedang kita lihat.

Apabila itu berlaku, pihak yang berkenaan akan tergamak melakukan apa sahaja demi memenuhi cita-cita politik walaupun ia ditegah dan tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

Agak malang sebenarnya bagi umat Islam di Malaysia kerana mereka terpaksa berhadapan dengan golongan sedemikian. Jika mereka tidak hati-hati, maka mudahlah mereka terjebak dengan golongan itu.

Oleh itu, rakyat perlu memahami keadaan tersebut dan tida semudahnya menelan atau menerima apa yang dilakukan atas nama politik tetapi dilarang oleh agama kita, Islam.

Kita mesti meletakkan Islam sebagai agama yang memandu kita semua dalam semua perkara termasuk politik.

Itulah harapan saya.

Wednesday, November 14, 2012

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1434



Assalamualaikum.

Esok, Khamis tahun baru hijrah 1434 datang lagi. Dalam diam waktu begitu pantas berlalu. Namun syukur Alhamdulillah kita diizinkan menemui lagi tahun baharu.

Berbanding tahun baharu masihi, jujurnya tahun baru Islam ini jarang diingati, apatah lagi untuk diraikan. Namun, saya bersyukur kerana keadaan telah jauh berubah dan masyarakat kita pula semakin sedar mengenai tanggungjawab untuk meraikan kedatangan tahun baru Hijrah ini.

Seperti juga tahun masihi, tahun Hijrah juga ramai yang menanam azam dan tekad. Masing-masing dengan cara tersendiri dalam meluahkan azam mereka. Ada yang mahu menjadi bertambah baik, ada yang mahu meningkatkan mutu kerja dan ada pula yang mahu meninggalkan segala keburukan.

Apa pun yang mereka lafazkan, kenginan untuk berubah adalah sesuatu yang sangat sesuai dengan semangat tahun baru itu.

Tahun baru hijrah sudah tentu membawa mesej yang tersendiri kepada umat Islam dan bagi mereka yang peka mengenainya, kedatangan tahun baru hijrah membawa pengertian yang sangat besar buat mereka.

Sebagai sebuah negara Islam terkenal dan berjaya, pemimpin negara kita telah begitu banyak membawa perubahan demi perubahan. Semua itu sebenarnya sangat menuntut kepada penghijrahan pemikiran, cara hidup dan sebagainya bagi umat Islam di sini.

Sebagai rakyat, kita hendaklah bersama-sama kerajaan dalam menjayakan transformasi ini demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan ummah.

Marilah sempena kedatangan tahun bahharu hijrah ini, kita menanam tekad dan azam untuk menjadi umat Islam yang terbaik, yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi segala-galanya.

Marilah kita semua menolak golongan yang gemar mempersenda-sendakan Islam demi mencapai cita-cita mereka. Kepada umat Islam, marilah kita bersatu bagi mendepani cabaran zaman yang semakin sarat dengan kepelbagaian.

Sesungguhnya pengorbanan paling besar oleh kita sempena tahun baru ini ialah jika kita dapat bersatu demi kekuatan da survival umat Islam itu sendiri, insya’Allah.


Friday, November 2, 2012

SAMA-SAMA KITA FIKIRKANNYA



Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah, Aidiladha sudah pun berlalu. Saya sendiri, selain menganjurkan majlis korban terpaksa memenuhi banyak undangan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Syukur, saya telah berusaha untuk memenuhi kesemua undangan tersebut. Saya gembira sebenarnya, melalui budaya kunjung mengunjung, ikatan muhibbah dapat kita jalinkan dengan begitu akrab sekali.

Melalui program korban pula, jelas kelihatan semangat kerjasama di kalangan masyarakat yang bergotong-royong menjayakan majlis yang diadakan. Kesemuanya dilakukan dengan hati yang ikhlas dan jujur dengan tujuan yang sangat baik sempena Aidiladha.

Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakana bahawa alangkah indahnya, apa yang kita lalui bersama di setiap perayaan termasuk Aidiladha dapat diteruskan sehingga ke hari-hari yang ke seterusnya.

Jika pada hari perayaan kita boleh mengetepikan atau melupakan segala sengketa serta perselisihan faham sesama kita, mengapakah ia tidak boleh diteruskan begitu sehingga selama-lamanya.

Inilah isunya sekarang. Hal-hal yang sangat baik yang telah kita lihat pada musim perayaan sebenarnya kadangkala hanya terhadap pada waktu tersebut sahaja. Ia tidak menular.

Bagi saya, setiap perkara yang baik ia wajar diteruskan tanpa apa-apa alasan sekali pun. Sesungguhnya kehidupan yang kita tonjolkan sepanjang musim perayaan adalah sesuatu yang wajar dikekalkan oleh kita semua.

Saya percaya bahawa anda pasti sependapat dengan saya, apatah lagi dalam keadaan umat Islam hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin getir demi masa depan mereka sendiri.

Saya berharap, apa yang saya catatkan ini akan membolehkan kita semua merenung, berfikir dan mengambil sesuatu di sebaliknya. Itulah harapan saya sebenarnya demi kita semua.


Thursday, October 25, 2012

SALAM IDUL'ADHA



Assalamualaikum.

Esok, Jumaat sekali lagi umat Islam akan merayakan Hari Raya Korban atau AidilAdha. Di negeri di Pantai Timur, Hari Raya Aidiladha disambut dalam suasana yang sangat meriah. Malah di sesetengah tempat, kemeriahannya mengatasi Hari Raya Aidilfitri. Demikianlah uniknya kami di sini.

Apa pun, setiap perayaan wajar disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Manakala dalam sambutan Aidiladha ini pula, umat Islam diberikan didikan agar mempelajari atau mengambil iktibar di sebalik ibadah korban yang dianjurkan oleh Islam.

Dalam konteks yang lain, Hari Raya sebenarnya mampu menjadi medan untuk merapatkan ukhhuwah dan meningkatkan jalinan perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri sebenarnya. Melalui budaya berkunjung dan ziarah menziarahi, ia dapat menyumbang kepada apa yang saya maksudkan tadi.

Begitu juga dengan ibadah korban. Setiap peristiwa yang diingati dalam Islam mempunyai mesej dan iktibarnya tersendiri. Sebagai umat Islam, kita sendiri lebih sedia maklum mengenai perkara tersebut.

Marilah pada hari yang baik dan bulan yang baik ini juga kita bermaaf-maafan sesame kita. Kita lupakan segala sengketa dan salah faham di antara kita jika ada. Kita merapatkan saf untuk berhadapan dengan lebih banyak cabaran pada masa hadapan.

Bersyukurlah dengan apa yang ada. Jika hendak dibandingkan dengan sesetengah negara Islam yang lain di dunia, kita sebenarnya jauh lebih bertuah sehingga membolehkan kita menyambut Hari Raya Haji dengan sangat sempurna.

Sesungguhnya kita semua amat bertuah kerana menjadi rakyat sebuah negara seperti Malaysia.

Kepada umat Islam, saya doakan Iduladha tahun ini akan lebih bermakna. Dan, marilah kita isi hari raya ini dengan segala kebaikan, insya’Allah. Bagi mereka yang menjalankan ibadah korban, semoga ibadah yang kita lakukan itu akan diberkati oleh Allah s.w.t.

Kepada semua, selamat hari raya Iduladha – maaf zahir dan batin.