Assalamualaikum.
Saya tidak terkejut apabila ada pihak
yang mendoakan dengan doa yang songsang terutama untuk memburukkan sesama
Islam. Malah, lebih tidak terkejut bila ada yang menuduh kononnya UMNO parti
murtad.
Mengapa saya katakan sedemikian. Jika
anda ingin tahu, inilah bahananya apabila ada orang yang mendakwa dia parti
Islam, dia hendak kepada Islam, dia berjuang Islam tetapi dia tidak mematuhi
ajaran Islam. Mengapa?.
Kita semua telah dikelirukan. Sebabnya
kerana, mereka mengamalkan politik yang songsang.
Apa yang saya faham mengenai politik
Islam ialah, Islam mestilah menguasai politik atau dalam maksud yang lain Islam
mestilah memandu politik yang dipegang oleh kita. Ada pun yang berlaku di
sekeliling kita hari ini adalah politik Islam yang diterjemahkan seolah-olah
politik menguasai segala-galanya termasuk agama.
Ertinya, agama pula yang dipandu oleh
politik dan bukannya politik itu dipandu oleh agama sebagaimana yang saya
sebutkan tadi. Keadaan inilah yang sengaja tidak difahami, lalu berlakulah apa
yang sedang kita lihat.
Apabila itu berlaku, pihak yang
berkenaan akan tergamak melakukan apa sahaja demi memenuhi cita-cita politik
walaupun ia ditegah dan tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.
Agak malang sebenarnya bagi umat Islam
di Malaysia kerana mereka terpaksa berhadapan dengan golongan sedemikian. Jika
mereka tidak hati-hati, maka mudahlah mereka terjebak dengan golongan itu.
Oleh itu, rakyat perlu memahami
keadaan tersebut dan tida semudahnya menelan atau menerima apa yang dilakukan
atas nama politik tetapi dilarang oleh agama kita, Islam.
Kita mesti meletakkan Islam sebagai
agama yang memandu kita semua dalam semua perkara termasuk politik.
Itulah harapan saya.