Monday, October 11, 2010

KONVENSYEN TERENGGANU, PEMBAHARUAN PERSEPSI POLITIK NEGERI

Assalamualaikum dam salam 1Malaysia.


Selepas hampir dua tahun berlalu, iklim politik Terengganu dilihat dari luar tidak banyak berubah. Keadaan itu telah mencetuskan pelbagai tanggapan, dan diburukkan lagi dengan andaian-andaian salah yang dikemukakan pada forum yang juga salah.


Hakikatnya, apakah hal tersebut itu benar. Rata-rata, ia lebih bersifat persepsi semata-mata. Persepsilah yang mencorakkan watak dan wajah politik kita termasuk di Terengganu. Ertinya, walaupun hakikatnya UMNO itu tidaklah berpecah, namun disebabkan persepsi mengatakan bahawa ia berpecah, maka perpepsilah yang lebih menang.


Pertemuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein baru-baru ini misalnya amat baik sekali. Terdapat keadaan di mana, kita sebenarnya sudah lebih kuat dan kesan kepada usaha pemulihan parti itu berjalan dengan baik.


Justeru, saya berpendapat, Konvensyen Terengganu yang akan diadakan selama dua hari Jumaat ini akan menjadi platform kepada UMNO untuk mengubah persepsi, atau sekurang-kurangnya membentuk semula persepsi yang sedia ada.


Sepastinya, apa yang akan disuarakan, dilontarkan nanti akan membantu ke arah mencentuskan persepsi baharu terhadap landskap politik Terengganu itu sendiri. Dan, kerana itu bagi saya, Konvensyen Terengganu ini bukan sahaja menarik perhatian masyarakat di negeri ini tetapi juga orang-orang politik di luar sana.


Konvensyen Terengganu akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan baharu politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sudah pasti akan mengundang kebimbangan musuh politiknya yang selama ini masih berprasangka bahawa UMNO/BN Terengganu sudah lemah dan mudah ditumbangkan. Sangkaan yang meleset itu akan terbukti atau dibuktikan melalui bukan sahaja penyatuan dalam konteks kesepakatan duduk setempat tetapi penyatuan suara mereka akan menjadi satu keadaan yang akan membantu memperkukuhkan UMNO/BN.


Saya sangat optimis mengenai apa yang bakal dirumuska dan dihasilkan melalui Konvensyen Terengganu nanti. Fokus kita pasti ke arah mengubah atau membentuk semula persepsi umum mengenai politik Terengganu itu sendiri. Saya percaya betapa UMNO sebenarnya sentiasa melihat pandangan rakyat serta ahli akar umbi parti sebagai penting untuk diambil sebagai ramua berguna dalam memastikan UMNO Terengganu terus kukuh dan utuh.


Konvensyen Terengganu adalah umpama pra Perhimpunan Agung UMNO di mana beberapa selepas itu, mereka semua akan berkampung semula di PWTC bagi tujuan tersebut.


Saya melihat UMNO sentiasa mempunyai keupayaan untuk terus kekal sebagai parti yang sentiasa ada di hati rakyat. Lihatlah nanti apa yang akan dirumuskan pada Konvensyen Terengganu. Ia pasti bukan sesuatu yang mengecewakan.

Sunday, October 10, 2010

MINI KONVENSYEN KUALA NERUS BERJAYA

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, UMNO Bahagian Kuala Nerus telah berjaya mengadakan Mini Konvensyennya hari ini sebelum semua pemimpin UMNO empat peringkat menyertai Konvensyen Terengganu yang akan diadakan pada 16 Oktober ini.


Saya sangat gembira sebenarnya apabila UMNO Bahagian Kuala Nerus adalah satu-satunya yang menganjurkan Pra Konvensyen atau Mini Konvensyen yang menghimpunkan pemimpin akar umbi parti bagi membincangkan pelbagai isu-isu yang berkaitan kepentingan parti, rakyat dan kerajaan negeri.


Hari ini, mereka telah duduk bersama, berfikir dan berbincang mengenai isu-isu yang dimaksudkan di mana idea serta pandangan mereka ini akan dibawakan pula pada Konvensyen Terengganu itu nanti.


Hari ini, saya melihat kesungguhan mereka melontarkan idea dan memberikan pandangan yang bagi saya, ia menggambarkan betapa mereka sebenarnya sangat sayangkan UMNO. Sebagai pemimpin bahagian, saya telah melihat semua pandangan yang diberikan sebagai penting.


Sama ada ia positif atau sebaliknya, apa yang mereka perkatakan bagi saya adalah sesuatu yang menuntut saya mengambil perhatian yang serius. Apatah lagi Kuala Nerus akan dinaik taraf sebagai sebuah daerah baharu, Mini Konvensyen ini adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi saya dan seluruh ahli UMNO serta penduduk di Kuala Nerus itu sendiri.


Lebih mengembirakan apabila tokoh professional yang terdiri daripada bekas pemimpin kanan kerajaan serta pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam turut sudi menyertai Mini Konvensyen ini dengan memberikan pelbagai input serta pandangan berguna buat UMNO.


Ya, hakikatnya kita harus bersedia – bukan sahaja dalam konteks untuk melihat pembangunan material tetapi juga pemikiran masyarakat Kuala Nerus apabila ia menjadi sebuah daerah Baru kelak. Inilah bagi saya yang telah menjadi cabaran penting buat kita semua di Kuala Nerus.


Saya percaya, beberapa cadangan yang dikemukakan pada Mini Konvensyen tersebut bakal membantu mencorak serta membentuk wajah Kuala Nerus ke era yang lebih meyakinkan selepas ini.


Bagi pihak rakyat pula, mereka harus melihat perkara tersebut dari sudut yang positif serta tidak terikut dengan rentak pihak tertentu yang hanya melihat dari sudut politik semata-mata.


Hari ini, kita bukan bersatu hati dalam Mini Konvensyen di Kuala Nerus ini tetapi juga kita telah bersatu suara untuk melihat Kuala Nerus terus berubah dalam tempoh yang singkat.


Kita telah meminta untuk melihat Kuala Nerus menjadi sebuah daerah baharu tetapi pada masa yang sama kita harus bersedia dengan pelan tindakan ke arah tersebut agar apa yang kita inginkan akan lebih cepat menjadi kenyataan. Itulah harapan saya kepada ahli parti, pendokong dan penyokong parti UMNO serta seluruh penduduk di Kuala Nerus.


Terima kasih kepada anda semua.