Friday, October 23, 2009

BAJET 2010: TERIMA KASIH PM

Assalamualaikum dan salam bloger…

Syukur Alhamdulillah, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selesai membentangkan Bajet 2010. Ketika saya menulis ini, anda semua pasti telah pun mengikuti mengenai intipati serta pengisian bajet yang dimaksudkan. Saya pasti, bahawa tidak ada seorang pun yang mengeluh dengan bajet yang dibentangkan itu.

Dengan peruntukan sebanyak RM191.5 bilion, bajet yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama itu ternyata mengambil kira mengenai kepentingan rakyat dan negara. Saya berpendapat, bajet tersebut walaupun kurang sedikit berbanding RM215.7 bilion untuk Bajet 2009, namun kaedah pengagihannya amat unik dan menyeluruh.

Maka benarlah bahawa jumlah yang besar tidak bermaksud ia mampu memberikan pulangan yang juga besar jika ia tidak dirangka dengan penuh strategi dan diurus dengan perancangan yang teliti.

Dengan memberikan fokus terhadap tiga strategi utama iaitu ke arah memacu ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistic dan mapan serta berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, ternyata Perdana Menteri telah mengambil kira sebarang perkara mengenai kita.

Tidak perlu saya sebutkan mengenai pecahan perbelanjaanya kerana anda semua pastinya sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut. Bukan mahu mengampu, namun apa yang jelas, Bajet 2010 adalah yang dianggap terbaik dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Inilah, dalam sejarah kelahiran pakatan pembangkang, mereka terdiam dan tidak mampu membuat gangguah terhadap apa yang dirancang kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Sebelum ini, apabila tiba pebentangan bajet di Parlimen, pembangkang juga sibuk membentangkan bajetnya sendiri walaupun ia sebenarnya adalah satu angan-angan Met Jenin sahaja.

Kali ini mereka tidak mampu melakukan begitu. Mungkin mereka tidak terkata dengan segala faedah yang diberikan kerajan BN kepada rakyat dan pada masa yang sama pembanguna negara diteruskan melalui perbelanjaan yang sangat berhemat tetapi tepat pada sasarannya.

Pembangkan sendiri yang kini terbelit dengan pelbagai krisis kepimpinan sudah tentu tidak menyangka apa yang dihadiah BN kepada rakyat melalui Bajet 2010. Terbukti, kebajikan rakyat adalah diutamakan sejajar dengan apa yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia.

Saya percaya, rakyat meraikan dengan kegembiraan di atas perhatian dan kecaknaan kerajaan melalui Bajet 2010. Kita semua sepatutnya bersyukur dengan segala nikmat yang ada dan berterima kasih kepada kerajaan BN kerana telah menyediakan satu Bajet Negara yang mengkagumkan. Nah!, sekarang adalah ketikanya kita bekerja merealisasikan apa yang dihasratkan melalui bajet tersebut.

Usahlah kita menghabiskan masa dengan berpolitik secara tidak sihat dan terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang hanya berjuang bermodalkan air liur semata-mata. Sama-samalah kita menjayakan Bajet 2010 untuk negara dan kita semua.

Terima kasih PM, terima kasih BN, terima kasih Malaysiaku.

PEMBAHARUAN DALAM UMNO

Salam bloger,

Pertama sekali saya memohon maaf kerana tidak dapat update blog saya beberapa ketika. Secara terus-terang, waktu yang tidak mengizinkan telah menyebabkan kehendak saya untuk mencatatkan sesuatu untuk anda terbantut. Banyak perkara yang ada di fikirkan, saya mahu kongsikan bersama anda. Saya tahu bahawa anda sedang dan sentiasa mengikuti blog saya.

UMNO sedang melewati proses perubahan dan pembaharuan. Itu yang hendak saya kupas hari ini. Bermula dengan kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang, Negeri Sembilan hinggalah kepada Perhimpunan Agung UMNO yang telah memberikan sesuatu yang penting dan bermakna buat seluruh ahli melalui amanat Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Jelas kelihatan, bukan sahaja angin perubahan dan semangat ahli-ahli UMNO untuk terus menyalakan obor perjuangan ini dengan lebih marak, malah mereka juga mahu merealisasikan apa yang diminta Presiden. Sejajar dengan Gagasan 1Malaysia, rakyat adalah pihak yang sentiasa didahulukan. Presiden telah meminta semua pemimpin parti agar sentiasa turun padang dan memahami kehendak rakyat.

Sama ada anda bersetuju atau tidak, UMNO sudah pun melalui proses perubahan. Ia mungkin tidak dirasakan jika kita sentiasa mempunyai persepsi yang negatif mengenai setiap perkara atau peristiwa. Cuba kita renung dan fikirkan, telah banyak perubahan dan pembaharuan dilaksanakan kerajaan yang diterajui Datuk Seri Mohd Najib. Ia mungkin masih belum memadai, namun ia sesuai dengan tempoh pemerintahannya yang masih singkat. Itu wajar kita fahami.

Hari ini pula, Perdana Menteri mengumumkan Bajet 2010 yang membuktikan kecaknaan dan kesungguhan kerajaan untuk memastikan bukan sahaja Negara ini terus maju tetapi pada masa yang sama, kebajikan rakyat terus terbela dan diberikan perhatian.

Bagi kerajaan, apa gunanya Negara maju jika rakyatnya terus terpinggir dan dipinggirkan. Keseimbangan itulah yang diwujudkan Perdana Menteri. Setiap insentif yang diberikan kepada pelbagai lapisan rakyat dan masyarakat adalah bukti betapa caknanya kerajaan terhadap kita semua.

Soalnya, adakah kita menyangka bahawa semua kerajaan mampu melakukan perkara yang sama?. Jika itu tanggapan anda, anda tersilap sebenarnya. Lihat di Negara-negara tertentu, apabila kerajaan mereka bertukar, bagaimanakah corak, wajah dan lakaran pemerintahan mereka. Berbeza sama sekali, malah ada yang jauh lebih buruk daripada yang diganti.

Di Negara kita, kita bersyukur kerana kerajaan Malaysia yang diperintah BN dan ditunjangi parti UMNO, Malaysia berada pada tahap yang amat membanggakan. Malah pembangkang yang kian galak mahu memerintah Negara pun, mereka masih gagal dalam pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai. Itu satu model kegagalan mereka sebenarnya.

Nah!... kejayaan kerajaan kita sudah tentu perlu diterjemahkan sebagai keupayaan UMNO itu sendiri kerana ia adalah tunjang utama kepada kerajaan yang ada. Apa yang dilaksanakan kerajaan, wajar juga dilihat dalam konteks keupayaan parti kerana kerajaan itu terbentuk adalah dengan adanya parti-parti.

Tidak mungkin sesebuah kerajaan mampu terbentuk tanpa kelahiran parti seperti UMNO. UMNO yang telah menunjangi pemerintahan negara sejak dulu lagi telah membuktikan keupayaannya memaju dan membangunkan Negara. Anda berani menafikannya!.

Saya percaya, rakyat semakin melihat dan menilai keupayaan itu. Dan, UMNO pasti terus kekal di hati rakyat negara ini.