Friday, October 23, 2009

PEMBAHARUAN DALAM UMNO

Salam bloger,

Pertama sekali saya memohon maaf kerana tidak dapat update blog saya beberapa ketika. Secara terus-terang, waktu yang tidak mengizinkan telah menyebabkan kehendak saya untuk mencatatkan sesuatu untuk anda terbantut. Banyak perkara yang ada di fikirkan, saya mahu kongsikan bersama anda. Saya tahu bahawa anda sedang dan sentiasa mengikuti blog saya.

UMNO sedang melewati proses perubahan dan pembaharuan. Itu yang hendak saya kupas hari ini. Bermula dengan kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang, Negeri Sembilan hinggalah kepada Perhimpunan Agung UMNO yang telah memberikan sesuatu yang penting dan bermakna buat seluruh ahli melalui amanat Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Jelas kelihatan, bukan sahaja angin perubahan dan semangat ahli-ahli UMNO untuk terus menyalakan obor perjuangan ini dengan lebih marak, malah mereka juga mahu merealisasikan apa yang diminta Presiden. Sejajar dengan Gagasan 1Malaysia, rakyat adalah pihak yang sentiasa didahulukan. Presiden telah meminta semua pemimpin parti agar sentiasa turun padang dan memahami kehendak rakyat.

Sama ada anda bersetuju atau tidak, UMNO sudah pun melalui proses perubahan. Ia mungkin tidak dirasakan jika kita sentiasa mempunyai persepsi yang negatif mengenai setiap perkara atau peristiwa. Cuba kita renung dan fikirkan, telah banyak perubahan dan pembaharuan dilaksanakan kerajaan yang diterajui Datuk Seri Mohd Najib. Ia mungkin masih belum memadai, namun ia sesuai dengan tempoh pemerintahannya yang masih singkat. Itu wajar kita fahami.

Hari ini pula, Perdana Menteri mengumumkan Bajet 2010 yang membuktikan kecaknaan dan kesungguhan kerajaan untuk memastikan bukan sahaja Negara ini terus maju tetapi pada masa yang sama, kebajikan rakyat terus terbela dan diberikan perhatian.

Bagi kerajaan, apa gunanya Negara maju jika rakyatnya terus terpinggir dan dipinggirkan. Keseimbangan itulah yang diwujudkan Perdana Menteri. Setiap insentif yang diberikan kepada pelbagai lapisan rakyat dan masyarakat adalah bukti betapa caknanya kerajaan terhadap kita semua.

Soalnya, adakah kita menyangka bahawa semua kerajaan mampu melakukan perkara yang sama?. Jika itu tanggapan anda, anda tersilap sebenarnya. Lihat di Negara-negara tertentu, apabila kerajaan mereka bertukar, bagaimanakah corak, wajah dan lakaran pemerintahan mereka. Berbeza sama sekali, malah ada yang jauh lebih buruk daripada yang diganti.

Di Negara kita, kita bersyukur kerana kerajaan Malaysia yang diperintah BN dan ditunjangi parti UMNO, Malaysia berada pada tahap yang amat membanggakan. Malah pembangkang yang kian galak mahu memerintah Negara pun, mereka masih gagal dalam pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai. Itu satu model kegagalan mereka sebenarnya.

Nah!... kejayaan kerajaan kita sudah tentu perlu diterjemahkan sebagai keupayaan UMNO itu sendiri kerana ia adalah tunjang utama kepada kerajaan yang ada. Apa yang dilaksanakan kerajaan, wajar juga dilihat dalam konteks keupayaan parti kerana kerajaan itu terbentuk adalah dengan adanya parti-parti.

Tidak mungkin sesebuah kerajaan mampu terbentuk tanpa kelahiran parti seperti UMNO. UMNO yang telah menunjangi pemerintahan negara sejak dulu lagi telah membuktikan keupayaannya memaju dan membangunkan Negara. Anda berani menafikannya!.

Saya percaya, rakyat semakin melihat dan menilai keupayaan itu. Dan, UMNO pasti terus kekal di hati rakyat negara ini.

No comments: