Sunday, June 27, 2010

WAJAH KEBEBASAN MEDIA?

Antara fitnah yang selalu dimainkan akhbar pembangkang

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.


Kebebasan media seringkali menjadi isu di negara kita. Pembangkang misalnya seringkali mendakwa kononnya kebebasan media disekat dan tidak lagi subur. Bagi rakyat yang kurang sensetif dengan isu-isu berkaitan, mereka akan lebih mudah terpedaya. Soalnya, adakah benar dakwaan pembangkan itu.


Jika ditanya saya, ada beberapa persoalan yang harus mereka jawab sebelum tergamak membuat dakwaan seperti itu. Apakah wajah kebebasan media yang mereka mahukan. Apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan. Apakah dengan menyebarkan fitnah juga sebahagian daripada tuntutan kebebasan?. Atau, adakah kebebasan media itu kebal daripada undang-undang yang menjadi pelindung kepada kita semua?. Inilah beberapa persoalan yang mungkin lebih baik jika mereka dapat menjawabnya sebelum membuat andaian kononnya kebebasan media di negara kita kian susut.


Contoh paling dekat ialah apabila akhbar pembangkang, Suara Keadilan yang melaporkan satu berita fitnah mengenai Felda. Sebagai seorang pemimpin rakyat, saya menyokong penuh tindakan Felda untuk menyaman akhbar berkenaan dan pemimpin parti pembangkang yang membuat tuduhan tersebut.


Persoalannya, adakah ini wajah kebebasan media yang kita mahukan ia subur di negara kita?. Jika inilah kebebasan yang dimaksudkan pembangkang, maka ia akan mendedahkan masyarakat kepada pelbagai masalah. Kebebasan harus ada batasnya. Kebebasan mutlak akan hanya mendedahkan kita kepada mala petaka yang tidak diundang.


Maksud saya, kebebasan yang terbaik ialah yang sentiasa diurus oleh undang-undang yang digubal sebagai pelindung kepada kita semua. Kebebasan tidak boleh dibiarkan berlegar hanya kerana namanya adalah kebebasan. Malah, tidak ada sejarah di dunia bahawa kebebasan mutlak menjamin kebaikan kepada masyarakatnya. Hal ini adalah satu fakta yang tidak mungkin akan berubah atau boleh diubah.


Rakyat kita harus memahami mengenai nilai kebebasan itu sendiri. Masalah kita di Malaysia sebenarnya berpunca daripada politik. Ertinya, semua perkara hendak dipolitikkan pembangkang termasuk soal kebebasan. Memanglah kita akan mudah terasa atau tersinggung apabila kemahuan kita disekat. Namun, harus dilihat apakah kemahuan itu. Adakah ia menepati kehendak undang-undang atau sebaliknya. Itulah persoalannya.


Sebetulnya, tiada sesiapa pun yang boleh menyekat setiap kamahuan jika ia bertepatan atau memenuhi tuntutan undang-undang. Bukankah undang-undang itu sendiri menjadi pelindung kepada kita sebagai rakyat. Cuba anda fikirkan, apakah yang akan terjadi jika undang-undang tidak lagi menjadi pelindung kepada kita kerana kononnya kebebasan (termasuklah kebebasan media) adalah mengatasi undang-undang.


Dalam hal ini, rakyat kita harus bijak menilai dan berfikir. Mereka tidak boleh terlalu mudah terjebak dengan pelbagai dakyah atau fitnah yang sengaja dicetuskan pembangkang kononnya atas nama kebebasan. Kita sebagai rakyat harus keluar daripada kepompong pemikiran yang sempit. Kita seharusnya lebih pintar menilai mengenai setiap perkara yang dimomokkan kepada kita.


Jika itu dapat dilakukan, saya yakin dan percaya, ia akan dapat membantu menjadikan kita sebagai rakyat yang berkualiti dan lebih berwibawa.

OH PIALA DUNIA

Assalamualaikum,

Demam piala dunia semakin hangat. Berbanding dengan kejohanan pada musim lalu yang berlangsung pada waktu siang, kali ini ia berlangsung pada waktu malam dan awal pagi di negara kita. Rata-rata orang kita sangat menggilai sukan bola sepak, apatah lagi yang bertaraf dunia.


Saya pun tidak terlepas daripada mempunyai keinginan yang sama. Hakikatnya, hanya orang yang benar-benar meminati sukan itu sahaja yang mampu menyatakan mengapa ia berlaku begitu. Maka tidak hairanlah apabila ramai peminat sukan bola sepak sanggup berjaga malam untuk menyaksikan perlawanan pasukan-pasukan yang menjadi kegilaan mereka.


Itu belum termasuk mereka yang menjadikan kedai kopi, warung terbuka sebagai gelanggang untuk mereka berkumpul untuk menyaksikan perlawanan yang mereka sukai.

Namun, bukan itu yang mahu saya sampaikan kepada anda semua. Ya, ia tetap mempunyai kaitan dan rasanya tidak salah jika kita saling ingat mengingati antara satu sama lain. Maksud saya, dalam kita ghairah menyaksikan perlawanan bola sepak piala dunia, usah kita lupa mengenai tanggungjawab hakiki kita.


Sama ada ia dalam konteks sebuah keluarga, masyarakat atau pekerjaan, demam piala dunia tidak seharusnya mengganggu-gugat perkara tersebut. Bukan apa, saya cuma khuatir apabila ada yang mengantuk di tempat kerja, apatah lagi mungkin ada yang akan tertidur kerana terlalu letih akibat berjaga malam. Perkara tersebut adalah satu risiko yang perlu dihadapi dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku.


Ertinya, dalam kita seronok menyaksikan perlawanan piala dunia, kita juga harus bijak mengurus waktu kita agar ia tidak menimbulkan pelbagai masalah berkaitan. Memang, nasihat ini nampak seperti remeh, namun bagi saya, ia amat penting untuk diberikan perhatian.


Oleh itu, saya berharap kita akan lebih memahami mengenai perkara tersebut dan mengambil satu ketentuan yang bijak agar keseronokkan kita tidak terjejas dan produktiviti kita juga akan terus terpelihara. Itulah harapan saya.


Semoga kita berfikir mengenainya.


Saturday, June 26, 2010

BANGGA ULAMA SERTAI UMNO

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.


Terdapat satu perkembangan positif mengenai UMNO. Sudah tentu apa yang saya maksudkan ialah kemasukan 40 ulama muda ke dalam UMNO semalam. Mereka ini yang terdiri dari kalangan ulama yang berpengalaman telah menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden paerti, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Walaupun peristiwa itu akan dilihat dengan penglihatan sinis oleh pihak tertentu, terutamanya mereka yang tidak pernah senang dengan perjuangan UMNO, namun bagi saya ia tetap menjadi detik penting kepada UMJNO. Saya berpandangan, ia sebenarnya mengambalikan peranan UMNO itu sendiri yang menjadi tunjang kepada kekuatan umat Islam dan Melayu di negara ini.


Hakikatnya, sejarah UMNO itu sendiri amat akrab atau sinonim dengan ulama. Malah, tidak keterlaluan jika saya katakana bahawa UMNO adalah kilang ulama sejak ia ditubuhkan lagi. Mungkin, bagi generasi muda, mereka tidak memahami apa yang saya maksudkan. Namun, bagi mereka yang telah lama dengan UMNO, mereka akan lebih mudah memahaminya.


Hari ini, PAS misalnya telah dilihat begitu ke hadapan dalam menjaja imej ulama kepada masyarakat walaupun sifat, tutur kata dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka yang dianggap ulama di dalam PAS itu jauh tersimpang daripada ajaran Islam. Ia berlaku oleh “ulama-ulama baharu” PAS yang begitu ghairah untuk mendapatkan kuasa, lalu mereka menggunakan kaedah memancing kepercayaan rakyat dengan mengumpan isu-isu yang berkaitan dengan agama.


Mari kita baca sedikit mengenai sejarah politik PAS, yang hendak saya kaitkan dengan kemasukan ulama muda tadi ke dalam UMNO. Mengapa PAS ditubuhkan dan daripada manakah berakarnya pemimpin yang menubuhkan PAS pada tahun 1959.


PAS diwujudkan oleh sekumpulan yang bergelar ulama di dalam UMNO pada waktu itu. Maksudnya, mereka ini datangnya daripada UMNO. UMNOlah yang menjadi parti yang melahirkan mereka. Bagaimanapun, disebabkan sebahagian daripada kecewa dengan UMNO atas sebab-sebab atau kepentingan tertentu, maka mereka meninggalkan UMNO dan menubuhkan PAS.


Di situlah bermulanya penubuhan PAS. Anda lihat teras perjuangannya. Adakah ia benar kerana mahu menubuhkan sebuah negara Islam sebagai yang didakwa pemimpin mereka hari ini, atau bagaimana?. Biarlah. Itu isu lain yang mungkin boleh kita kupas pada waktu yang lain. Apa yang saya mahu kaitkan ialah, UMNO sebenarnya adalah parti yang paling awal dianggotai golongan ulama. UMNO adalah kilang ulama yang dilahirkannya. Justeru, sesiapa yang mendakwa kononnya UMNO meminggirkan ulama atau tidak meletakkan ulama di tempat ang sewajarnya adalah salah.


Oleh kerana itu, penyertaan golongan ulama muda sebagai ahli UMNO telah mengingatkan saya kepada perjuangan awal UMNO itu sendiri. Hal ini tidak boleh sesiapa pun menafikannya. Ia adalah satu hakikat yang tidak mungkin boleh diubah atau berubah.


Saya percaya, rakyat keseluruhannya sedang melihat perkembangan ini. UMNO tidak pernah kisah apa yang hendak dikatakan orang kerana yang lebih penting ialah perjuangan UMNO itu sendiri perlu dan wajar diperkasakan. Saya optimis bahawa kemasukan ulama muda ini, malah beberapa ulama besar lain selepas ini akan memberikan impak politik yang positif terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).


Mereka yang tidak mahu menerima kenyataan ini adalah golongan yang takut akan terhakisnya sokongan rakyat terhadap mereka. Tidak lebih daripada itu sebenarnya.


Pembangkang, terutamanya PAS pasti tidak akan senang dengan perkembangan ini. Dan, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika PAS berpandangan negatif mengenai perkembangan ini.


Ah!, pedulikan saja mereka. Golongan ulama ini sudah tentu akan dapat memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan bagi membantu UMNO. Mereka ikhlas dan jujur menyertai UMNO. Dan, saya juga yakin mereka berbuat demikian kerana percaya dengan kemampuan dan keupayaan UMNO dalam perjuangannya mengenai Islam yang konsisten sejak dahulu lagi.


Saya berdoa agar usaha dan perkembangan murni ini akan membuahkan hasil yang terbaik kepada UMNO. Insya’Allah.


LESEN JUDI: KEPUTUSAN KERAJAAN BN TEPAT

Assalamualaikum.

Kerajaan kita telah membuat keputusan muktamad bahawa TIDAK ADA lesen judi bola sepak dikeluarkan.

Syukur Alhamdulillah ia adalah satu keputusan terbaik selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan reaksi daripada pelbagai pihak. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd najib Tun Razak ketika mengumumkan hal itu semalam berkata, kerajaan amat peka dengan perkara tersebut dan yakin, keputusan yang diambil untuk tidak mengeluarkan lessen berkenaan adalah tepat.

Bagi rakyat kebanyakan, ia merupakan satu berita yang mengembirakan. Sebabnya, hasil daripada pandangan dan reaksi itu, lessen judi bola sepak ini banyak keburukan daripada kebaikan. Maka memang wajarlah keputusan yang diambil kerajaan itu.

Pembangkang misalnya, telah begitu bersungguh-sungguh bermain politik dengan menjadi perkara tersebut sebagai isu untuk membakar perasaan rakyat agar membenci kerajaan. Itulah sifat pembangkang yang sejak dulu hinggalah sekarang, mereka tidak pernah berubah-ubah.

Bagi saya, apa yang dimainkan pembangkang hayalah wayang politik semata-mata, tidak lebih daripada itu. Berbanding kerajaan, kita bertindak dengan fakta dan mengambil kira pelbagai perkara. Hal itu bukan tidak difahami, namun ia sengaja dicetuskan demi kepentingan politik sempit pembangkang.

Saya belum meneliti reaksi pembangkang dalam hal ini. Namun saya percaya, mereka tidak akan pernah positif terhadap setiap keputusan kerajaan walaupun hakikatnya keputusan kerajaan itu betul dan baik. Ini berlaku apabila segala-galanya hendak dijadikan isu politik oleh pembangkang.

Kalau anda tidak percaya apa yang saya katakan, anda akan lihat bagaimana bentuk reaksi mereka. Mereka tidak akan menyokong usaha kerajaan itu kerana modal mereka untuk menghentam kerajaan sudah habis.

Dalam hal ini saya fikir, rakyat perlu celik mata mereka dan melihat apa yang diputuskan kerajaan dengan nilai yang positif. Saya berharap, rakyat tidak lagi terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya pandai bermain lidah dan berniaga politik dengan bermodalkan air liur sahaja.

Membangunkan sesebuah negara tidak semudah apa yang dicakapkan. Ia perlu kepada kebijaksanaan. Begitu juga dalam isu-isu tertentu. Setiap keputusan tidak boleh diambil secara terburu-buru kerana banyak hal yang harus diteliti dan diambil kira.

Nah, sekarang ini kerajaan telah membuatn keputusan muktamad mereka. Oleh kerana itu, seluruh rakyat perlu menyokong usaha ini. Jangan bermain politik. Apa pun, saya percaya, rakyat bersama Barisan Nasional dan UMNO dalam mendepani isu-isu seperti ini. Pembangkang tidak akan ke mana pun sebenarnya. Anda lihatlah nanti.

Monday, June 7, 2010

MEMADAIKAH SEKADAR MENGUTUK ISRAEL

Assalamualaikum,

Serangan komando Israel ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini sememangnya sesuatu yang mendukacitakan. Apatah lagi kapal itu turut membawa sukarelawan dari Malaysia.

Kejadian itu ternyata telah membangkitkan kemarahan dunia melalui pelbagai pendekatan termasuk demonstrasi, persidangan dan sebagainya. Apa pun, ini bukanlah kali pertama kita marah, bukan juga pertama kali kita mengadakan demonstrasi mengutuk kejahatan Israel.

Sebenarnya sudah sekian lama umat Islam melakukan bantahan dengan cara sedemikian, namun Israel tetap degil dan jahat. Sebagai bangsa yang disebut di dalam Al-Quran, Israel bagaikan menguasai segala-galanya. Apa yang dilakukan Israel hanya dibiarkan oleh kuasa besar seperti Amerika. Maksudnya, Israel tetap jahat, tetap zalim dan tetap biadab.

Israel sememangnya satu bangsa yang tidak pernah mengenal erti peri kemanusiaan. Demikianlah jahatnya Israel.

Bagi saya, demonstrasi walaupun menjadi cara lama dalam kita menyatakan bantahan, namun ia tetap relevan sebenarnya. Namun, adalah lebih bagus jika ia ditambah dengan kaedah baru sebagai tanda bantahan terhadap kejahatan mereka ini.

Saya fikir, umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu dalam mendepani isu-isu yang berkaitan dengan kezaliman Israel. Apa yang berlaku sewajarnya menjadikan ia sebagai “sudah sampai waktunya” untuk umat Islam berubah dan bersatu. Hakikatnya hari ini, kelemahan umat Islam ialah mereka itu berpecah dan tidak bersatu. Lebih menyedihkan, mereka berpecah dalam isu-isu yang remeh.

Walaupun mungkin dalam isu penentangan terhadap Israel ini misalnya mereka bersatu. Dalam konteks negara kita misalnya sebagai contoh yang dekat, mereka bersatu merentasi sengketa politik dan sebagainya. Bagaimanapun, selepas daripada isu ini, mereka kembali berpecah.

Oleh itu, sampai bilakah umat Islam mahu kuat?. Inilah persoalannya. Jika dalam soal penentangan terhadap Israel mereka bersatu – itu pun dalam konteks demonstrasi atau seumpamanya, namun dalam hal yang lain mereka berpecah, apa ertinya.

Dalam konteks antarabangsa pula, dunia Arab atau dunia Islam sendiri perlu lebih memainkan peranan. Kita sedar, ia masih berkisah kepada isu-isu perpecahan di kalangan mereka. Maka, usaha menangani kejahatan dan kezaliman Israel tidak ke mana. Inilah yang menyedihkan sebenarnya.

Apa pun, saya berbangga dengan pendekatan Malaysia dalam menangani isu ini. Kita ternyata tegas dalam menyatakan hasrat serta pendirian kita tanpa sebarang kompromi. Malah, kita telah membuat gesaan yang jelas mengenai perlunya tindakan segera diambil bagi menyekat kezaliman Israel yang sejak sekian lama menindas penduduk Palestin.

Kita sedih dengan apa yang berlaku dan kemampuan kita sebenarnya sangat terbatas. Adakah anda percaya jika seluruh umat Islam dan kerajaan Islam di dunia bersatu, apa yang berlaku ini boleh kita bending?. Kalau saya, saya percaya.

Syaratnya, kita semua mesti BERSATU.