Monday, November 28, 2011

BIAR PUN KALAH LAGI ... KITA MASIH HEBAT.

Assalamualaikum.

Sedikit kecewa, namun tidaklah terlalu terkilan. Itu yang saya rasakan mengenai kekalahan Malaysia 2-3 di tangan Bahrain dalam perlawanan kelayakan Olimpik yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Sedikit kecewa kerana saya beranggapan kita mampu bertahan dengan kemenangan 2-0 pada babak kedua, namun 12 minit terakhir, kita dihukum oleh Bahrain.

Tidak terkilan kerana skuad bawah 23 tahun negara telah beraksi dengan sebaik mungkin dan keupayaan mendahului pasukan Bahrain dengan dua gol terawal adalah satu petanda yang sangat meyakinkan walaupu peristiwa itu tidak mendatangkan apa-apa makna dalam konteks perlawanan tersebut.

Kejohanan pra Olimpik selain kita mahu terus mara mencipta sejarah, saya juga berpandangan ia menjadi kilang paling lengkap untuk melahirkan ramai pemain bola sepak pelapis negara. Ia adalah gelanggang yang sangat menguji skill, keupayaan dan ketahanan pemain untuk terus mendepani cabaran dalam sukan bola sepak.

Kita yang menonton tidak semudah mereka yang terpaksa bertungkus lumus selama 90 minit di padang meski pun mereka digaji. Hakikatnya, tidak semua kemahuan akan menjadi hak kita walaupun ia sebenarnya sudah semakin hampir dalam genggaman.

Kekalahan Malaysia malam tadi hanya sebahagian daripada peristiwa yang sangat menguji pemain dan perasaan penyokong Malaysia. Saya bangga dengan anak Malaysia yang tidak pernah lekang dari memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada semua pemain negara. Itu petanda mereka faham bahawa dalam percaturan, ada menang dan kalahnya.

Kekalahan itu pula akan lebih bernilai jika kita mempelajari sesuatu daripadanya dan tidak membiarkan kekalahan terus menjadi kekalahan yang tidak mempunyai apa-apa. Sesiapa pun tidak mungkin dapat menyangkal bahawa mutu permainan bola sepak negara sudah jauh berubah dan ke hadapan.

Jika ada yang tidak berpendapat sedemikian, mereka mungkin buta bola negara atau sekurang-sekurangnya mereka tidak mengikuti dengan dekat perkembangan bola sepak tanahair. Maaf, saya terpaksa menulis sedemikian kerana kita harus mengakui sesuatu yang benar-benar ada.

Tahniah saya ucapkan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan. Saya komited untuk melihat pemain muda negara ini akan terus melakarkan kecemerlangan bermain bola sepak demi negara. Mereka telah berjuang sehabis-habis kemampuan mereka.

Kelemahan ada di mana-mana, namun kekecewaan tidak mungkin dapat mengubah kelemahan. Justeru, teruskan usaha dan memperkasakan keupayaan untuk beraksi sebagai pasukan yang lebih cemerlang pada masa depan.

Tinggalkan hari ini sebagai sejarah yang akan mencipta lebih banyak kelebihan. Itulah harapan saya.

Sunday, November 27, 2011

SALAM MAAL HIJRAH

Assalamualaikum...

Selamat menyambut tahun baharu 1433 Hijrah kepada seluruh umat Islam - kedatangan tahun yang baharu menjadi petanda putaran waktu kian pantas meninggalkan kita.

Selalunya kita sangat popular dan teruja untuk menyambut atau meraikan tahun baharu Masihi berbanding tahun baharu Hijrah. Bagaimanapun saya amat gembira sebenarnya apabila menerima banyak sms daripada teman-teman yang mengucapkan selamat menyambut tahun baharu hijrah - satu petanda ia sentiasa ada di ingatan kita sebagai umat Islam.

Tidak cukup di situ, mereka menyampaikan ucapan di laman sosial facebook dengan azam dan tekad yang baharu. Hakikat, kita semakin teruja dengan tahun baharu hijrah. Saya percaya, anda juga akan sependapat dengan saya akan hal tersebut.

Apa pun, persoalannya ialah, apakah azam tahun baharu kita dan apakah azam lama yang kita tekadkan setahun yang lalu telah menjadi kenyataan?. Atau adakah semuanya itu hanya tinggal azam semata-mata.

Insan yang berazam adalah mereka yang benar-benar menanam keinginan dalam dirinya. Mereka akan bersungguh untuk mencapai apa yang ada dalam dirinya ketika setiap kali datangnya tahun baharu. Bagaimanapun agak malang sedikit jika menanam azam hanya menjadi satu peristiwa rutin dan biasa bagi kita tanpa kita memandangnya sebagai sesuatu yang serius.

Saya sangat percaya bahawa kita semua bukan tergolongan di kalangan golongan sedemikian. Apabila kita bersungguh dengan keinginan yang ditanam di awal tahun, saya sangat yakin kita semua juga akan sentiasa bersungguh untuk mencapainya.l Itulah harapan saya.

Saya berharap, dengan kedatangan tahun baharu hijrah ini, ia akan mengajar kita mengenai banyak peristiwa dan pengalaman hidup yang telah kita tanam sejak setahun yang lalu. Kita mesti mempelajari sesuatu di sebaliknya sebelum kita meraikan kedatangan tahun yang baharu.

Tahun baharu hijrah sebenarnya membawa cabaran besar kepada kita sebagai umat Islam - dengan pelbagai isu-isu persekitaran yang kian mencengkam dan mencabar umat Islam, maka kita seharusnya beriltizam untuk terus menunaikan tanggungjawab demi masa depan Islam dan umat Islam dengan lebih bersungguh lagi.

Di hari yang baik ini, saya menyeru kepada kita semua agar kembali melihat punca kelemahan umat Islam itu sendiri. Saya sangat berminat sebenarnya untuk melihat penyatuan berlaku di kalangan umat Islam. Hakikatnya, kita berpecah disebabkan masalah-masalah yang sebenarnya boleh kita ketepikan.

Tidak perlulah saya mengupas mengenainya tetapi saya sangat optimis bahawa umat Islam akan kuat apabila mereka bersatu. Marilah sempena hari yang baik ini, kita tingkatkan hubungan ukhhuwwah di kalangan kita dengan harapan kita akan membina dan membentuk kekuatan darinya.

Percayalah, apabila kita inginkan sesuatu, maka kita perlu berani berkorban untuknya. Kepada anda semua, selamat menyambut kedatangan tahun baharu 1433 hijrah.

Hijrah itu perjuangan!

Thursday, November 24, 2011

HATI-HATI DENGAN BANJIR

Assalamualaikum.

Walaupun keadaan cuaca di Terengganu panas sebelum ini walaupun November sudah menghampiri penghujungnya - waktu yang sering dikaitkan dengan musim tengkujuh atau banjir di negeri Pantai Timur. Namun tiba-tiba hujan lebat yang turun telah menyebabkan berlakunya banjir.

Walaupun saya terpaksa menghadiri sidang Parlimen di ibu negara, namun saya mengikuti secara dekat kejadian banjir di Terengganu, khususnya di kawasan saya di Parlimen Kuala Nerus. Saya gembira bukan sahaja mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak berkenaan tetapi saya juga mendapatkan input yang banyak daripada rakan-rakan facebook dan pembaca blog saya.

Jumlah mangsa banjir dikatakan telah meningkat mencecah lima kali ganda berbanding dua hari lalu - satu petanda keadaan banjir sebenarnya semakin buruk. Nasihat saya, kepada mereka yang diarahkan berpindah, maka berpindahlah. Jangan banyak soal lagi.

Sebabnya apabila anda diarahkan berpindah, maka ada keperluan untuk anda berpindah pada pandangan pasukan keselamatan. Apa yang wajar diberikan perhatian ialah soal keselamatan diri, manakala keselamatan barang-barang boleh diurus kemudian dengan bantuan pasukan penyelamat.

Bagi anak-anak pula, berhati-hati ketika bermain air banjir. Jangan terlalu ghairah atau menganggapnya sebagai pesta. Jika perlu, jauhkan terus daripada tabiat bermain air banjir, terutamanya di kawasan-kawasan yang airnya dalam serta berarus deras. Hal ini tidak boleh dipandang mudah, ia adalah satu perkara yang seringkali menjadi punca hilangnya nyawa manusia.

saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan misi bantuan banjir ini dan berharap kesemua mangsa agar lebih bersabar menerima ujian Allah ini. Bagi pihak kerajaan, kami akan membantu apa yang sepatutnya.

Semoga keadaan banjir yang sedang berlaku sekarang tidak akan seteruk seperti yang diramalkan.

Tuesday, November 22, 2011

KEJAYAAN YANG DIKONGSIKAN SELURUH RAKYAT

Assalamualaikum.

Tahniah saya ucapkan kepada skuad bola sepak Harimau Muda pada sukan SEA yang sedang berlangsung di Jakarta malam tadi. Malaysia menang 5-4 ke atas Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan satu sama pada 90 minit perlawanan dan kedudukan itu terus kekal selepas masa tambahan.

Walaupun seperti biasa penyokong Indonesia mencetuskan provokasi yang melampau terhadap pasukan dan pegawai negara kita, saya percaya bahawa keadaan itu telah menjadi sebahagian daripada punca kebangkitan pemain negara yang mahu membuktikan kejayaan mereka.

Walaupun permainan sebenarnya agak seimbang, sekaligus menjadikannya pertemuan yang sangat menarik dan menghiburkan, namun kesungguhan pemain Malaysia telah menjawab segala-galanya. Kejayaan itu telah diraikan dengan semangat yang begitu berkobar-kobar oleh seluruh penyokong negara pada setiap pelusuk tanah air.

Malah di sesetengah tempat seperti kedai kopi yang dikerumuni oleh ramai penyokong Malaysia yang menyaksikan siaran langsung perlawanan itu telah menjadikan keadaanya sama seperti stadium - riuh rendah dan ada menyanyi - sama seperti apa yang selalu kita lihat di stadium.

Demikianlah kuatnya pengaruh bola sepak. Ia dapat mewujudkan satu kumpulan yang setia dan saling berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Di setiap hati penyokong peminat, mereka ingin melihat pasukan Malaysia menang. Mereka berkongsi perasaan yang sama.

Saya sangat kagum dan teruja dengan apa yang berlaku dan jika ia diwujudkan dengan suasana yang sihat, maka banyak faedah yang mampu kita kecapi di sebalik aktitivi sukan ini.

Namun malang sedikit apabila di negara kita ada pihak yang pendek akal membawa bendera parti politik ke dalam stadium. Ia satu keadaan yang tidak menguntungkan dan tidak seharus terus berlaku. Contohi bagaimana pasukan Malaysia mencapai kejayaan dan bagaimana sokongan rakyat yang diberikan kepada mereka dengan merentasi kepentingan politik.

Sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada pasukan Malaysia yang membawa emas melalui sukan bola sepak. Kejayaan itu telah dikongsikan kegembiraan oleh seluruh rakyat Malaysia. Semoga Malaysia akan terus berjaya.

Majulah bola sepak untuk mengharumkan nama negara.

Saturday, November 19, 2011

NILAI KEJAYAAN

Assalamualaikum ..

Tahniah saya ucapkan kepada anak-anak yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR yang diumumkan Khamis lalu. Kepada yang tidak berjaya, adik-adik masih ada waktu untuk terus meningkatkan usaha bagi memperolehi lebih kecemerlangan.

Sebagai anak Terengganu, saya amat bangga apabila negeri saya sekali lagi mengekalkan rekod cemerlang dalam keputusan UPSR – sekaligus muncul sebagai negeri terbaik dalam tempoh sebelas tahun berturut-turut – satu pencapaian yang di luar jangkaan dan sewajarnya dibanggakan.

Lihat sedikit analisis mengenai keputusan tersebut. Daripada 22,801 calon yang menduduki UPSR tahun ini, seramai 3,548 peratus atau 15.6 peatus telah mencapau keputusan 5A.

Ini sudah tentu merupakan pencapaian yang baik apabila ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding apa yang telah dicapai tahun lalu.

Bagi saya, kejayaan tidak datang bergolek. Perjuangan untuk memperolehi kejayaan tidak hanya bermodalkan dengan air liur semata-mata. Banyak pihak yang berkait dengan kejayaan ini. Selain anak-anak yang gigih berusaha dan ditambah dengan petua-petua tertentu, maka guru dan ibu bapa juga turut memainkan peranan.

Kerajaan pula telah menyediakan peruntukan yang besar saban tahun bagi memastikan rakyat memperolehi pendidikan yang sempurna. Kejayaan dalam UPSR itu adalah satu bukti betapa usaha kerajaan kita selama ini telah menampakkkan hasil.

Terima kasih saya ucapkan kepada guru yang banyak menyumbang bakti dan tidak pernah mengalah dalam memikul tanggungjawab bagi mencapai kejayaan tersebut.

Jika dilihat pada riak wajah murid yang berjaya dan guru yang menjayakannya, saya percaya perkembangan seperti ini amatlah sihat dan wajar diteruskan.

Hubungan silaturrahim yang akrab antara guru dan murid dengan ibu bapa sebenarnya mampu memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar.

Sebagai seorang pemimpin, saya sentiasa mengikuti dengan dekat perkembangan pendidikan anak-anak kita di sekolah. Saya berhubung rapat dengan Jabatan Pelajaran serta pihak sekolah untuk mengikuti perkembangan anak-anak kita.

Saya berhaap, kejayaan yang dicapai melalui UPSR dan peperiksaan lain wajar diteruskan dan ditingkatkan pada masa akan datang.

Sesungguhnya persaingan dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan ini adalah satu perkara yang sihat, kerana ia akan menuntut kita agar bekerja dengan lebih kuat bukan sahaja bagi mengekalkan kejayaan tetapi juga meningkatkan kecemerlangan.

Itulah cabaran apabila berjaya dan saya berharap ianya akan dipikul dengan penuh semangat oleh semua pihak – kerajaan, guru, pelajar dan ibu bapa sendiri – mudah-mudahan kejayaan akan sentiasa memihak kepada kita.

Insya’Allah.

Thursday, November 3, 2011

TERCABAR LAGI.... SAMPAI BILA?

Gambar Hiasan

Assalamualaikum.

Sekali lagi negara dikejutkan dengan isu penganjuran Seksualiti Merdeka yang dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk membuka ruang terhadap isu-isu seksual songsang dengan berselindung di sebali hak asasi manusia.

Semalam di Parlimen, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan mengenai isu ini dengan ada yang menyifatkannya sebagai budaya binatang. Mungkin ramai yang tidak faham mengenai program tersebut dan kerana itu, reaksi segera mereka gagal dikesan. Program tersebut dikatakan mempromosikan budaya seksual yang bertentangan dengan Islam dan adapt timur yang sekian lama kita amalkan.

Malah, mereka yang terlibat menyokong program ini pula bukanlah calang-calang orang. Ia terdiri daripada NGO yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia selain individu yang dikaitkan dengan program ini adalah manusia yang sama terlibat dengan perhimpunan BERSIH yang diharamkan itu.

Walaupun sebagai seorang pengamal politik, saya tidak melihat isu ini dalam konteks berkenaan. Sebaliknya saya ingin melihat perkara tersebut sebagai seorang rakyat – di mana sebenarnya akibat daripada sikap orang kita sendiri, maka ada orang lain yang lebih berani melakukan sesuatu yang boleh mengancam, menghina dan mencetuskan keadaan yang diharamkan agama Islam yang Maha Suci.

Sudah acapkali umat Islam diuji dalam isu-isu yang sensetif tetapi mereka masih tidur dan lena. Oleh kerana itu, mereka mudah terbuai dan tidak sensetif dengan isu-isu yang melibatkan dengan kepentingan mereka.

Bagi rakyat yang fanatik, apa yang dilakukan oleh puak dan golongan sekutu mereka, mereka akan memplaster mulut dan tutup telinga. Mereka tidak berminat. Inilah manusia yang sentiasa memakai topeng. Dan, ini jugalah cabaran serta masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam sebenarnya.

Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat agar lebih sensetif terhadap isu berkenaan dan tidak memandangkan sebagai hanya perkara terpencil. Bagi saya, ini adalah satu ancaman dan cabaran kepada rakyat dan umat Islam.

Ingat, ada hal-hal yang boleh kita kompromosi, namun ada hal-hal tertentu pula, kita tidak boleh bertolak ansur, apatah lagi ia berada pada tahap yang melampau.

Kita telah berada di dalam sebuah negara Malaysia yang sangat aman damai. Oleh kerana itu, jangan ada mana-mana pihak yang cuba meragut keamanan dan keharmonian itu dengan menganjurkan acara yang bukan-bukan di negara ini.

Sedarlah, kita sedang diperhati dan setiap ruang kelemahan kita akan diambil kesempatan oleh manusia yang tidak pernah tahu bersyukur itu.

Sedarlah rakyat.

Tuesday, November 1, 2011

TERIMA KASIH PENYOKONG TERENGGANU

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Agak lama juga saya tidak update blog saya ini. Kesuntukan waktu telah menyebabkan ia berlaku dan selalunya, ia tidak boleh dielakkan.

Hari ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Terengganu yang mara ke peringkat akhir Piala Malaysia musim 2011 walaupun tewas di tangan Negeri Sembilan 1-2 di Stadium Shah Alam Sabtu lalu. Memang kecewa, sesiapa pun akan merasai perkara yang sama jika diminta mengulas keputusan perlawanan itu.

Apa pun, kalah menang adalah adat perlawanan. Ada juga yang mengembirakan saya. Saya gembira apabila pemain Terengganu telah melakukan yang terbaik untuk menang walaupun ada beberapa kelemahan yang bagi saya masih boleh diperbetulkan pasa masa akan datang. Ingat, sekurang-kurangnya Terengganu telah mara ke perlawanan akhir – satu perlawanan yang hanya melibatkan dua pasukan terbaik dari semua pasukan dalam sepanjang musim. Itu sudah memadai dan mengembirakan sebenarnya.

Lebih mengembirakan saya apabila melihat kerterujaan penyokong Terengganu. Mereka berduyun-duyun membanjiri Stadium Shah Alam tanpa mengira usia sebagai sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan Terengganu, pasukan kegemaran mereka.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan isu kenaikan mendadak harga tiket perlawanan sepertimana diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun mereka tetap membeli tiket. Bagi mereka yang tinggal di Kuala Terengganu, mereka sedikit bernasib baik kerana Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju membiayai 50 peratus harga tiket yang dibeli peminat Terengganu.

Tapi mereka yang tinggal di Lembah Kelang atau kawasan-kawasan lain, mereka tetap membeli dengan harga RM50 tiket perlawanan. Apa yang pasti, kesemua kerusi adalah penuh dan ini membuktikan betapa kesetiaan penonton dan peminat, khususnya kepada pasukan Terengganu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Saya berharap, sokongan ini akan diteruskan pada masa akan datang. Bola sepak tanpa peminat dan penyokong tidak akan ke mana.

Kepada mereka yang kecewa, marilah kita menerima hakikat bahawa nasib tidak menyebelahi kita untuk menang. Namun, apa yang penting, kita telah melakukan yang terbaik untuk menang.

Saya berdoa agar Terengganu akan terus cemerlang tahun depan dengan pasukan yang lebih mantap dan hebat. Saya percaya, Terengganu akan terus kekal sebagai kuasa besar bola sepak pantai timur untuk tempoh yang seterusnya jika kita semua mempunyai kesungguhan untuk mengekalkannya.

Terima kasih kepada semua.