Saturday, February 27, 2010

SELAMAT MERAIKAN MAULIDUR RASUL

Assalamualaikum ...

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul 1431H kepada seluruh umat Islam.

Doa saya, semoga sambutan ini akan memberikan kita banyak keinsafan dan kesedaran buat kita semua. Jadilah, hari penting ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita dan membuka mata kita semua betapa sebenarnya kita wajar terus meningkatkan diri ke arah memajukan umat.

Janganlah kita mengisi cuti Maulidur Rasul hanya sekadar bercuti. Sebaliknya, hayati pengertian sambutan tersebut demi kita dan masa depan kita.

Thursday, February 25, 2010

TERIMA KASIH DI ATAS DOA DAN KUNJUNGAN

YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein menziarahi saya di Hospital Pakar Damansara.

Rakan-rakan yang menghantar saya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum saya berlepas ke Kuala Lumpur
Menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah ada sedikit ruang untuk mencatatkan sesuatu hari ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana saya sekarang semakin sihat.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan datang melawat saya.

Terima kasih kepada kepada Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sudi meluangkan waktu melawat saya di Hospital Pakar Damansara hari ini walaupun beliau amat sibuk.

Ucapan terima kasih kepada semua rakan-arakan Yang Berhormat, pemimpin badan bukan kerajaan, pemimpin parti dan rakyat yang sudi menziarahi saya dan mendoakan kesihatan saya. Juga di atas sekian banyak sms dan pesanan melalui laman facebook rakan-rakan yang mendoakan agar saya segera sembuh.

Juga ucapan yang sama dan penghargaan kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang membantu membawa saya ke hospital dan doktor, jururawat serta petugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang menjaga dan merawat saya dengan sungguh gigih dan baik hati.

InsyaAllah saya sudah kembali pulih dan akan bertugas seperti biasa dalam waktu terdekat ini.

Thursday, February 18, 2010

Salam bloger,

Sekali lagi kedengaran suara kuasa asing yang mahu mencampuri urusan hal ehwal negara kita. Kali ini, dari ahli Parlimen Australia pula. Menurut laporan, mereka ini mahukan kerajaan kita menggugurkan pertuduhan liwat yang kini sedang dihadapi Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim.

Menyedari betapa gesaan itu adalah sesuatu yang biadab dan menjadi satu pencabulan terhadap kedaulatan negara, saya turut sama dengan ahli Parlimen Malaysia petang tadi telah menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Australia di Kuala Lumpur. Ia bukan sahaja sebagai tanda protes tetapi juga kami mahu menyatakan betapa Malaysia adalah negara berdaulat yang tidak sewajarnya diperlukan sedemikian rupa.

Sebenarnya ini bukan kali pertama adanya pihak asing mahu mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara kita. Ia pernah berlaku sebelum ini. Sebagai rakyat, kita pastinya marah dengan apa yang berlaku. Namun malangnya apabila ada di kalangan rakyat kita sendiri yang membuka peluang dan memberi peluang kepada pihak asing untuk berbuat demikian.

Dalam konteks gesaan Ahli Parlimen Australia itu, saya sendiri tidak faham bagaimana ia boleh berlaku. Apakah yang mereka mahu tunjukkan selain nilai kebodohan semata-mata. Mereka itu jelas tidak faham mengenai undang-undang negara kita di mana institusi mahkamah tidak boleh diganggu-gugat oleh kerajaan dan meliwat itu pula adalah satu kesalahan di negara kita. Mengapakah mereka itu tidak memahami fakta tersebut atau sengaja mereka buat-buat tidak faham kerana mempunyai agenda dan tujuan tertentu.

Inilah bahananya apabila setiap kali ada golongan yang menghadapi masalah cuba meminta bantuan asing yang sekaligus membuka ruang kepada mereka untuk berbuat demikian. Gesaan Ahli Parlimen Australia itu jelas mencabuli hak negara ini, menghina Perlembagaan Negara dan mencetuskan provokasi serius terhadap perasaan rakyat.

Saya ingin bertanya, apakah belum memadai untuk rakyat menilai semula sikap dan tingkah laku pihak tertentu yang selama ini kononnya memperjuangkan keadilan dan kebebasan. Inikah wajah dan watak manusia yang hendak kita harapkan memimpin negara kita?. Rakyat harus menjawabnya dengan jujur mengenai perkara tersebut dan tidak terlalu terjebak dengan cara berfikir yang salah. Saya sebutkan ini kerana terdapat rakyat kita sendiri yang bagaikan tidak kisah dengan apa yang berlaku. Kita tidak boleh begitu. Apa yang sedang berlaku sebenarnya amat serius. Ia melibatkan kedaulatan negara bertuah ini.

Oleh itu saya berharap, rakyat kita lihatlah isu ini dengan penuh insaf dan tanggungjawab betapa sebenarnya campurtangan asing adalah sesuatu yang wajar ditentang. Pada masa yang sama, kita perlu menolak golongan tertentu di negara ini sendiri yang sentiasa gemar meminta bantuan pihak asing.

Cukuplah dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Semoga ia tidak berulang lagi dan rakyat yang selama ini telah memilih jalan salah dengan memilih pemimpin yang pendirian politiknya agak songsang agar segera kembali ke pangkal jalan.

Sesungguhnya mereka masih belum terlambat.

Wednesday, February 17, 2010

HENTIKAN PERBUATAN TERKUTUK INI

Assalamualaikum.

Hari ini kita ketepikan seketika isu politik. Sungguh sedih saya mengikuti isu pembuangan bayi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Bukan setakat buang sehingga mati bayi itu, malah sudah ada yang tergamak membakar bayi. Apa ni!. Sesiapa pun akan marah melihat kejadian tersebut dan saya juga tidak terlepas daripada merasai perasaan yang sama.

Apakah gelaran yang sepatutnya diberikan kepada manusia yang tidak berhati perut itu. Walaupun bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku di zaman moden ini, namun ia tetap menjadi satu perbuatan yang terkutuk dan menjijikkan. Jelas sekali bagi saya, isu ini perlu segera ditangani dengan apa cara sekali pun.

Reaksi segera daripada pelbagai pihak – bermula dengan pucuk kepimpinan tertinggi negara sehinggalah rakyat biasa – ia telah menggambarkan betapa sebenarnya kita semua sudah tidak lagi mampu bertahan melihat kejadian ini berlaku. Bagi mereka yang otaknya sempit, pasti mereka mahu mengaitkan kelemahan kerajaan dalam hal ini. Golongan itu selalunya mahu menuduh dan melemparkan tuduhan kononnya ia berpunca daripada kegagalan kerajaan. Entahlah. Biarkan sahaja tanggapan tersebut kerana ia hanyalah satu permainan politik semata-mata.

Masalahnya, kes ini turut berlaku di Kelantan yang negerinya dipimpin oleh mereka yang terlalu selalu mendakwa mengenai pemerintahan Islamnya. Saya bukan mahu mengaitkan hal itu sebenarnya. Saya Cuma mahu mengajak anda berfikir bahawa isu ini adalah penyakit manusia yang berlaku di mana-mana. Ia adalah hal yang di luar kemampuan kita untuk tahu bahawa ia akan berlaku atau dilakukan.

Justeru, saya menyokong usaha mana-mana pihak untuk mewujudkan pusat khas bagi membantu gadis bermasalah ini agar gejala membuang bayi ini tidak terus berlaku. Ia tidaklah pula bermaksud, kita menggalakan perbuatan terkutuk itu berlaku tetapi ini semua lebih kepada membantu agar ia tidak berulang lagi.

Masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap setiap usaha kea rah itu. Pada masa yang sama, saya fikir ibu bapa juga perlu meningkatkan pemantauan ke atas pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka agar apa yang telah dan sedang berlaku tidak lagi berulang. Saya sedih dengan apa yang berlaku, sangat sedih sekali. Apatah lagi apabila melihat gambar-gambar mengenai kejadian ini.

Saya berharap, kita semua perlu membantu menghentikan semua ini. Kita perlu memulakannya sebelum segala-galanya terlambat. Penyakit dunia ini akan terus berlaku. Cuma di tangan kitalah bagaimana kaedah, cara dan kebijaksanaan kita dalam menangani. Itulah harapan saya. Marilah sama-sama kita membantu, memainkan peranan dalam memerangi gejala ini.