Monday, August 31, 2009

IMPIAN DAERAH BAHARU SEMAKIN HAMPIR

Salam Ramadhan,

Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama meraikan penduduk di Parlimen Kuala Nerus dalam majlis berbuka puasa di pejabat saya petang Sabtu lalu. Lebih meriah lagi apabila majlis tahunan itu turut dihadiri YAB Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Sesungguhnya saya sungguh terharu dengan sambutan dan kehadiran yang begitu ramai pada majlis tersebut.

Saya ingin memohon maaf kepada sahabat-sahabat dan orang ramai yang tidak dapat berbuka puasa dengan selesa lantaran tempat yang disediakan telah dipenuhi kerana jumlah kehadiran pada petang itu adalah di luar dugaan sekali. Apa pun, terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan sama-sama berbuka puasa bersama saya dan Menteri Besar.

Saya gembira dengan ucapan Datuk Ahmad Said pada majlis itu. Antara lain beliau menyebut bahawa Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti satu tapak sesuai untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus. Pengumuman itu tentu sekali menterjemahkan betapa usaha menjadikan Kuala Nerus sebagai sebuah daerah baharu di negeri ini semakin hampir menjadi kenyataan.

Rakyat yang hadir, ketika mendengar ucapan itu nampak bagaikan gembira. Itulah yang dapat saya lihat. Bagi saya, Kuala Nerus mempunyai kawasan yang luas dan untuk mendapatkan satu tapak bagi tujuan itu bukanlah sesuatu yang sukar.

Apa pun, saya percaya kelahiran sebuah daerah baharu itu kini dalam proses. Ia perlu melalui beberapa peringkat proses lagi termasuk diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu sebelum ianya menjadi kenyataan. Seperti penduduk di Kuala Nerus, saya juga menaruh harapan yang tinggi agar apa yang saya perjuangkan ini akan lebih cepat menjadi kenyataan.

Kerajaan kita di bawah kepimpinan Menteri Besar sudah tentu akan melakukan yang terbaik bagi memastikan hasrat kita semua menjadi kenyataan.

Kita telah pun mendengar dan melihat satu permulaan yang baik mengenainya. Ia lahir dari mulut YAB Menteri Besar sendiri. Percayalah, impian kita semua semakin hampir.

Selamat meneruskan ibadah puasa di bulan Ramadhan.


Thursday, August 27, 2009

BN TIDAK KALAH

Assalamualaikum,…

Ramai yang geleng kepala dengan kekalahan BN di Permatang Pasir. Ada yang sini bunyinya tetapi itulah lumrahnya apabila parti yang disayangi kalah walaupun hakikatnya parti yang kalah itulah lebih banyak berjasa dan berkemampuan membawa perubahan serta membela nasib rakyat di kawasan pilihan raya berkenaan.

Politik Malaysia tidak menilai kemampuan. Ia lebih berteraskan kepada emosi semata. Lihat, orang yang menentang kerajaan, menuduh BN zalim dan sebagainya – orang yang berkata itu pun selama ini mendapat nikmat dan faedah daripada dasar dan kerajaan BN. Jika tanpa BN, mereka belum tentu jadi begitu.

Simbol pembangkang sudah ada, bukan tidak ada. Di Kelantan, sudah hampir 20 tahun pembangkang memerintah, apa yang Pas buat di Kelantan. Mereka hanya berceramah setiap malam, manakala kerja-kerja untuk rakyat amat tidak memadai. Dalam tempoh 1999 hingga 2004, apa yang Pas buat ketika memerintah Terengganu.

Sudah terang pembangkang tidak layak dan tidak mampu menjadi kerajaan. Bagaimanapun, disebabkan cara politik orang kita tidak ke arah melihat soal betapa rekod cemerlang sesebuah kerajaan itu sebagai kayu ukurnya, maka begitulah jadinya.

Bagi saya, dalam banyak pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU yang ke-12, BN hanya kehilangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu sahaja manakala kerusi-kerusi lain, pembangkang mengekalkan kerusi. Jadi, tidak timbul soal UMNO atau BN kalah. Malah, dalam banyak keadaan, BN berjaya menyusutkan undi majority pembangkang. Itu kejayaan sebenarnya.

Jadi, tidak perlulah gundah-gulana sangat dengan kekalahan BN kerana pembangkang hanya mempertahankan kerusi mereka sahaja. BN tidak rugi apa-apa. Namun, sekurang-kurangnya BN tidak mahu memberikan kemenangan percuma kepada pembangkang.

BN dan UMNO sentiasa mahu meneruskan perjuangannya untuk rakyat dan Negara. Saya lihat, sudah ada petanda rakyat semakin memberikan sokongan kepada BN selepas pelbagai kemelut dan kegagalan kerajaan pembangkang. Cuma, saya mendoakan agar rakyat kita lebih bijak dan matang berpolitik.

BN tidak pernah memaksa mereka tetapi jika mereka tersilap memilih kerajaan, merananya sudah tentu agak lama apabila terpaksa menunggu PRU yang seterusnya.

Tuesday, August 25, 2009

CATATAN DI PERMATANG PASIR

Salam Ramadan…

Syukur Alhamdulillah akhirnya dapat disempurnakan tugas sebagai ketua delegasi Badan Perhubungan UMNO Terengganu bagi membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir (Dalam Parlimen Permatang Pauh), Pulau Pinang. Memang sungguh mencabar, apatah lagi kita ditugaskan di kawasan yang sememangnya terkenal sebagai kubu kuat Pas.

Cuba anda bayangkan bahawa BN telah tewas calon Pas, Allahyarham Datuk Mohd Hamzan Abdul Rahman dengan majoriti 5,400 undi pada pilihan raya umum lalu. DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi di mana 72.34 peratus pengundi Melayu, 25.86 peratus pengundi Cina, 1.64 peratus pengundi India dan 0.16 peratus pengundi kaum lain-lain.
Memang satu tanggungjawab yang berat sebenarnya untuk meraih sokongan dan mengembalikan keyakinan rakyat di kawasan berkenaan, apatah lagi BN dilihat dalam perspektif yang lemah. Dan, ditambah lagi dengan ketibaan Ramadan ini, ia meningkatkan lagi cabaran yang ada buat kami.

Bagi saya, Ramadan bukanlah satu halangan kita ini bukanlah pengalaman pertama berkempen di bulan Ramadan. Pilihan raya kecil DUN Lunas di Kedah pada tahun 2000 juga diadakan dalam bulan Ramadan. Ketika itu, saya adalah Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Cuma kali ini agak kebetulan sekali kerana tatkala pilihan raya kecil diadakan di DUN Permatang Pasir, ADUN Lunas (yang mana kerusi itu pernah diadakan pilihan raya kecil di bulan Ramadan sebagaimana yang saya sebutkan tadi) telah mengistiharkan dirinya keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya percaya bahawa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan mudah-mudahan ia diterjemahkan melalui undi penduduk Permatang Pasir sendiri.

Saya bersyukur kerana segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya bersama-sama rakan-rakan Ahli Parlimen dan kepimpinan bahagian yang lainnya, kita telah menggerakan jentera kempen kita dengan begitu berkesan sekali. Kita mempunyai pengalaman kerana kita adalah sebuah parti yang penah kalah di Terengganu pada pilihan raya umum 1999 yang lalu. Kekuatan itu telah kita gunakan bagi menggerakkan jentera kempen kita.

Alhamdulillah, saya Nampak kita mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk dan pengundi di Permatang Pasir sendiri.

Apa pun, kita telah melakukan yang terbaik dan sama-samalah kita berdoa agar BN mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil itu nanti, insyaAllah.

Friday, August 21, 2009

SELAMAT BERPUASA


Salam Perjuangan…

Esok (Sabtu), seluruh umat Islam akan memulakan ibadah puasa. Bagi mereka yang memahami fadilat Ramadan, kehadiran bulan yang penuh berkat ini sememangnya sentiasa dinanti-nantikan. Sehubungan itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut ketibaan Ramadan kepada seluruh umat Islam.

Saya berdoa, walaupun suasana yang kita lalui tahun ini mungkin agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya – maksudnya dengan isu-isu persekitaran yang mencabar seperti masalah kelembapan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya dan penyebaran wabak selesema babi, ia tidak mengganggu atau menjejaskan ibadah puasa kita.

Sebagai umat Islam, kita telah diajar untuk lebih kuat berhadapan dengan cabaran dan dugaan, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

Jika saya boleh mengingatkan sesuatu kepada umat Islam, biarlah kita mengamalkan budaya kesederhanaan di bulan Ramadan ini. Membeli juadah berbuka biarlah berpada-pada, jangan terlalu ghairah serta membeli melebihi keperluan. Itu membazir namanya dan dilarang agama Islam yang Maha Suci.

Saya menyatakan demikian kerana itulah yang saya lihat. Jangan ingat hal ini remeh, kerana itulah tabiat kita setiap kali datangnya Ramadan. Mungkin itu telah menjadi budaya orang kita barangkali.

Begitu juga dengan selesema babi. Kita perlu berhati-hati dengan keadaan persekitaran. Perlu ada langkah-langkah pencegahan, apatah lagi ketika kita berada di khalayak yang sesak – sama ada di kedai atau bazar Ramadan. Jangan memandang mudah mengenainya kerana saya fikir itu adalah satu ancaman yang serius terhadap kita sekarang.

Dalam pada itu, kita juga kena ingat mengenai betapa bertuahnya kita di Malaysia ini yang bukan sahaja aman, malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan amat sempurna. Berbanding di negara-negara lain yang bergolak, sebenarnya ada sebab mengapa kita mesti bersyukur kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya membina sebuah negara Malaysia yang hebat sebagaimana sekarang.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini akan lebih memberikan pulangan pahala yang lebih lumayan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Hayatilah roh Ramadan ini dan carilah segala kebaikan di sebaliknya sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya.



Wednesday, August 19, 2009

POLITIK MELAYU

Assalamualaikum...

Keadaan zaman sudah jauh berubah. Landskap politik negara juga ikut sama berubah dan aliran juga mengikut acuan semasa. Namun, apakah kita berada dalam arus perubahan yang menguntungkan?. Atau, adakah ia sebaliknya.

Saya cukup terkilan dengan politik Melayu hari ini. Ia kadangkala nampak keterlaluan, melampau dan sanggup menggadai maruah bangsa demi mencapai cita-cita politik. Politik Melayu telah mengatasi segala-galanya, lebih atas daripada kepentingan agama dalam keadaan tertentu. Orang Melayu tahu perpecahan akan mengundang rebah tetapi perpaduan tidak diletakkan dalam senarai paling atas. Politik Melayu akan tergamak menentang sekeras-kerasnya terhadap perpaduan yang tidak menguntungkan Melayu.

Jika kita melihat tahap perpecahan orang-orang Melayu di ketika ini, kadangkala amat menakutkan. Saya bukan rasis dalam isu ini tetapi saya berani menyatakan bahawa dalam keadaan tertentu, kuasa orang Melayu bagaikan di hujung tanduk. Jika tidak begitu, mengapa sudah ada orang yang berani mengejek, menghina dan menuduh Melayu?.


Dulu suatu ketika, saya masih ingat ketika Singapura berpisah dengan Malaysia. Orang Melayu Singapura adalah antara yang bangga kerana menjadi rakyat republik itu kononnya Presiden Singapura pada waktu itu (kalau tidak silap sayalah) adalah orang Melayu. Akhirnya, apa sudah jadi dengan Melayu Singapura hari ini?. Tidakkah kita mengambil pengajaran daripadanya?.

Hari ini di Malaysia, Melayu lawan Melayu. Itu lebih dibanggakan. Kalau Melayu dapat lawan Melayu, maka hebat sangatlah kisahnya sedangkan orang lain tidak begitu?.

Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahatahir Mohamad pernah menangis kerana memikirkan mengenai orang Melayu. Malah, selepas memegang kuasa selama 25 tahun, antara kegagalan beliau ialah mengubah nasib orang Melayu. Ertinya, Melayu memang susah dan tidak mahu berubah. Tengoklah apabila ada rusuhan, menderhaka kepada Raja, demonstrasi jalanan - siapakah yang menyertai dan menjadi dalangnya. Melayu!.

Saya juga adalah Melayu dan kerana itu saya amat malu kerana mempunyai bangsa yang sebegitu. Manusia, mereka boleh bergaduh dan bermusuh. Namun, ada masanya segala-galanya mestilah dilupakan demi kebaikan dan kepentingan bersama. Ada waktunya, segala sengketa mesti dihentikan tanpa ragu lagi. Di saat kepentingan Melayu semakin digugat dan tergugat, orang Melayu mesti meletakkan kepentingan kaumnya mengatasi segala kepentingan yang ada.

Orang Melayu tidak boleh mengambil keputusan yang terlewat. Waktu tidak menunggu kita. Kita tidak boleh menyesal di kala segala-galanya telah hilang dari genggaman kita. Ayuh!, bangunlah Melayu, bangkitlah Melayu ... sama-sama kita perjuangkan dan bersatu hati dalam menghadapi cabaran zaman. Politik tidak akan membawa kita ke mana. Ada waktunya kita mesti bersatu dan sekarang adalah masanya.

Percayalah!.

Tuesday, August 18, 2009

APABILA MANUSIA BERKATA MELAMPAUI HAKNYA

Assalamualaikum,

Beberapa hari lagi kita bakal menjengah bulan yang mulia Ramadan Al-Mubarak. Semalam pula berlangsungnya hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kawasan Permatang Pasir, Pulau Pinang. Melayu lawan Melayu. Namun, itu demokrasi yang ada, maka sama-sama kita isi.

Apa yang hendak saya perkatakan ialah mengenai demokrasi yang kita banggakan dan sikap Melayu sendiri yang kini dihinggapi penyakit tidak kisah yang terlalu tebal. Orang Melayu (tentu sekali Islam) sudah sekian lama tidak kisah dengan apa yang dikatakan kepada mereka termasuk ditipu oleh puak-puak yang berkepentingan.

Semalam di Pulau Pinang, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Azin Nik Mat sekali lagi membuat kenyataan yang “menipu” umat Islam dengan mendakwa atau menuduh bahawa ahli UMNO tidak boleh masuk syurga. Tersenyum saya membaca kenyatan itu kerana itulah Nik Aziz. Itu jugalah manusia yang seringkali mempertikaikan demokrasi sedangkan dia sendiri bebas berkata-kata termasuk yang di luar hak, kuasa dan kemampuan beliau sendiri.

Kita sebagai umat Islam tahu bahawa janji syurga bukan kita yang tentukan tetapi sudah tentu dengan kenyataan mengarut Nik Aziz itu, orang Melayu boleh menelannya bulat-bulat dan percaya. Nik Aziz kononnya nak membandingkan Islam UMNO dengan Islam Pas.

Mungkin Islam yang boleh masuk syurga itu ialah mereka yang menghalalkan kaum bukan Islam menghina Islam, mungkin juga mereka yang selalu menabur fitnah di pentas politik, bercakap melontar batu sembunyi tangan, maki hamu, membuat tuduhan melampau dan bersekongkol dengan manusia yang mahu menjual arak secara terbuka. Itukah wajah ahli syurga yang Nik Aziz maksudkan?.

Mungkin Pas lebih Islam atau mungkinkah terlebih Islam apabila selalu mengubah hukum sedangkan lidah membaca ayat-ayat suci Al Quran dan itukah wajah ahli syurga yang Nik Aziz maksudkan sehingga dia mahu mendabik dada seolah-olah hanya Pas sahaja yang Islam. Pas diwujudkan bila dan Pas parti serpihan siapa?.

Biarlah, itu karenah Nik Aziz. Kita pula bagaimana?. Sampai bila kita begitu mudah dipermain dan diperbodohkan oleh manusia seperti itu. Nik Aziz digelar Tok Guru tetapi dia tidak memperkatakan sesuatu yang benar-benar sesuai dengan gelaran yang diberikan. Sudah sampai umat Islam menilai pemimpin seperti Nik Aziz. Apabila sudah sampai bercakap merapu-rapu dan di luar haknya, maka beliau adalah seorang yang perlu dinilai semula. Umat Islam perlu kembali kepada pemikiran yang waras dan berfikiran terbuka serta bertanggungjawab.

Nik Aziz adalah seorang pemimpin politik. Setiap kata-katanya adalah berasaskan kepentingan politik. Jika anda sudah tahu bahawa Pas selama ini menjual agama untuk kepentingan diri sendiri dan partinya, maka kenyatan Nik Aziz itu bukanlah sesuatu yang pelik. Itulah perniagaan Pas sebenarnya. Anda tentu faham apakah yang saya maksudkan. Fikirkanlah.

Thursday, August 13, 2009

TERIMA KASIH RAKAN WARTAWAN

Assalamualaikum,

Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama warga media Terengganu dalam majlis hi-tea yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) petang tadi. Walaupun sederhana, namun ia sangat meriah dengan kehadiran lebih 40 orang wartawan, jurugambar dan pengamal media.

Sebagai pemimpin, sama ada di peringkat kerajaan dan parti, mereka adalah sebahagian daripada rakan-rakan saya yang sangat akrab. Saya gembira dengan mereka dan sumbangan mereka. Maka, saya aturkan pertemuan dalam acara yang sangat santai di TTI. Sungguh meriah.

Sebenarnya saya memahami mengenai peranan dan tugas wartawan kerana bapa saya, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri adalah seorang wartawan dan penulis. Malah arwah pernah menjadi Pengarah Urusan akhbar Utusan Melayu yang menjadi akhbar yang sangat berpengaruh di negara ini.

Saya tahu bahawa pada bulan Ramadan nanti, pastinya jadual rakan-rakan media kita akan lebih padat kerana setiap acara akan diadakan pada sebelah petang. Maka saya mengambil inisiatif ini untuk mengadakan pertemuan dengan mereka dalam waktu yang lebih awal.

Pertemuan ini telah mengingatkan saya dengan banyak peristiwa. Bukan sahaja mengenai sejarah arwah bapa saya tetapi bagaimana peranan media kita dalam membangkitkan semula Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan Terengganu pada pilihan raya umum 2004.

Sebelum itu, di era 1999 hingga 2004, saya dan rakan-rakan dalam parti sentiasa bertemu dengan rakan-rakan media. Kami minum kopi sambil membincangkan pelbagai isu dan peristiwa. Dan, sudah tentu rakan-rakan media kita begitu banyak membantu, apatah lagi pada waktu itu, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Saya berharap dan berdoa agar pertemuan seperti itu akan dapat terus diadakan pada masa akan datang. Mereka adalah sebahagian daripada saya. Itulah nilai kegembiraan saya sebenarnya.

Terima kasih yang tidak terhingga buat semua rakan-rakan media.


Thursday, August 6, 2009

MELAYU DAN JIHAD EKONOMI

Assalamualaikum…

Melihat kepada isu-isu ekonomi orang Melayu, saya terpanggil untuk memberikan pandangan. Selain isu tabiat, budaya perniagaan yang diselitkan dengan sifat malas berusaha dan mahu mudah berjaya, orang Melayu sering kali terbantu dalam mencapai kejayaan. Ia ditambah dengan budaya orang Melayu lain yang tidak menyokong perniagaan orang Melayu atas alasan-alasan yang remeh.

Jika di restoran, cara melayan pelanggan adalah hal yang penting tetapi sengaja dipandang remeh dan ditambah dengan mereka yang suka mengambil kesempatan sehingga perniagaan mereka tidak bertahan lama.

Lihatlah bagaimana cara orang kita membeli. Jika di kedai orang Melayu dijual barangan mahal hanya lima sen berbanding kedai lain, orang Melayu sudah pandai bising. Tiada langsung istilah pengorbanan untuk membantu Melayu berniaga. Mengapa Melayu gagal?. Modal mereka kecil dan pemikiran perniagaan mereka tidak terlalu meluas sebagaimana orang lain.

Jika begini, bagaimana peniaga Melayu mahu berkembang. Jika di sesebuah kampung ada beberapa orang golongan berada, apalah salahnya mereka berkorban membeli di kedai runcit orang Melayu di sekitar rumah mereka berbanding ke bandar ke pusat membeli-belah.

Saya sangat terkilan dengan keadaan ini dan kerana itu saya amat memberikan perhatian terhadap tabiat tersebut. Dan, sudah tentu saya sebagai pemimpin, saya perlu memperlihatkan satu contoh untuk saya mulakan. Dan, sememangnya saya telah lama memulakannya.

Hakikatnya, orang Melayu kurang latihan dalam pengurusan ekonomi termasuk perniagaan. Itulah perkara asas yang mereka terlepas pandang walau sekecil mana pun perniagaan mereka. Mereka beranggapan hanya memadai dengan kemahuan untuk berniaga sedangkan persiapan diri langsung tidak ada. Ditambah dengan tabiat orang Melayu yang tidak membantu Melayu itu tadi.

Mungkin sekali lagi kerajaan perlu membantu dalam hal ini dengan menghantar mereka menjalani latihan ke syarikat tertentu atau sebagainya.

Lihat orang Bangladesh yang datang ke sini. Mereka tidak kisah dibayar gaji yang murah tetapi mereka mahukan ilmu dan latihan. Sudah tentu selepas lama mempelajarinya di sini, mereka akan memulakan sendiri di tempat mereka nanti. Orang kita bagaimana?.

Oleh itu, saya lihat bahawa orang Melayu perlu bangkit – mereka mesti bangkit menegakkan jihad ekonomi agar mereka tidak terpinggir dan dipinggirkan dalam arus ekonomi di negara sendiri. Orang Melayu perlu mempunyai pemikiran perniagaan dan tidak biarkan orang lain menguasai mereka. Orang Melayu, dalam konteks pengguna adalah golongan paling ramai. Saya bukan rasis tetapi saya percaya bahawa jika semua orang Melayu membantu perniagaan Melayu, tidak ada sebab peniaga Melayu tidak boleh berjaya atau maju.

Saya hanya melontarkan apa yang saya fikirkan. Saya melihat, kerajaan telah menyediakan hampir segala-galanya untuk mereka. Namun, di tangan mereka jualah segala penentuannya.



Tuesday, August 4, 2009

PERLUNYA JAMBATAN KEDUA KUALA NERUS-KUALA T'GANU

Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang meningkat saban tahun


Assalamualaikum ...

Saya melihat perlunya Kerajaan Negeri memulakan pembinaan jambatan kedua yang menghubungan Kampung Teluk Pasu- Pulau Sekati-Losong yang kini merupakan satu keperluan yang akan mendesak. Ai adalah satu keperluan yang amat penting bagi rakyat di sebelah Parlimen Kuala Nerus yang menghubungkan Kuala Terengganu.

Saya tidak selesa dan tidak nampak mengapa projek yang telah diumumkan sejak empat tahun lalu masih belum menjadi kenyataan sedangkan ia adalah satu keperluan. Bukan apa, sebagai wakil rakyat yang sentiasa menerima rungutan dan pandangan rakyat mengenai perkara itu, saya juga bimbang dengan kapasiti di Jambatan Sultan Mahmus yang dikatakan hanya mampu menampung maksimum kenderaan sehingga tahun depan sahaja.

Bukan berapa tahun, tetapi berapa bulankah lagi masa yang ada dan jika pembinaan jambatan baru itu tidak menjadi kenyataan, saya faham jika ramai yang semakin merungut. Pastinya saya akan terus memainkan peranan dalam hal ini, dan menggesa Kerajaan Negeri agar tidak melengahkannya lagi.

Paling mendukacitakan apabila setiap kali berlakunya kemalangan di Jambatan Sultan Mahmud, ia telah membawa kesan amat teruk terhadap pengguna lain. Ia sungguh menyeksakan dan saya sebenarnya memahami keadaan tersebut apabila terperangkap.

Kuala Nerus sendiri yang bakal dinaiktaraf sebagai sebuah daerah baru tidak lama lagi memiliki begitu banyak kepentingan awam termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kompeks Sukan dan beberapa pusat pengajian tinggi. Limpahan penduduk dan penghuninya bakal menyumbang kepada kesesakan yang melampau jika ia tidak diatasi.

Sebenarnya, jambatan kedua Kuala Nerus ke Kuala Terengganu tidak boleh dilengahkan lagi. Masa terlalu suntuk untuk kita mengejar pertambahan jumlah kenderaan dan pengguna jambatan yang kian mendadak. Saya percaya bahawa ia sedang dalam penelitian Kerajaan Negeri.