Thursday, August 13, 2009

TERIMA KASIH RAKAN WARTAWAN

Assalamualaikum,

Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama warga media Terengganu dalam majlis hi-tea yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) petang tadi. Walaupun sederhana, namun ia sangat meriah dengan kehadiran lebih 40 orang wartawan, jurugambar dan pengamal media.

Sebagai pemimpin, sama ada di peringkat kerajaan dan parti, mereka adalah sebahagian daripada rakan-rakan saya yang sangat akrab. Saya gembira dengan mereka dan sumbangan mereka. Maka, saya aturkan pertemuan dalam acara yang sangat santai di TTI. Sungguh meriah.

Sebenarnya saya memahami mengenai peranan dan tugas wartawan kerana bapa saya, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri adalah seorang wartawan dan penulis. Malah arwah pernah menjadi Pengarah Urusan akhbar Utusan Melayu yang menjadi akhbar yang sangat berpengaruh di negara ini.

Saya tahu bahawa pada bulan Ramadan nanti, pastinya jadual rakan-rakan media kita akan lebih padat kerana setiap acara akan diadakan pada sebelah petang. Maka saya mengambil inisiatif ini untuk mengadakan pertemuan dengan mereka dalam waktu yang lebih awal.

Pertemuan ini telah mengingatkan saya dengan banyak peristiwa. Bukan sahaja mengenai sejarah arwah bapa saya tetapi bagaimana peranan media kita dalam membangkitkan semula Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan Terengganu pada pilihan raya umum 2004.

Sebelum itu, di era 1999 hingga 2004, saya dan rakan-rakan dalam parti sentiasa bertemu dengan rakan-rakan media. Kami minum kopi sambil membincangkan pelbagai isu dan peristiwa. Dan, sudah tentu rakan-rakan media kita begitu banyak membantu, apatah lagi pada waktu itu, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Saya berharap dan berdoa agar pertemuan seperti itu akan dapat terus diadakan pada masa akan datang. Mereka adalah sebahagian daripada saya. Itulah nilai kegembiraan saya sebenarnya.

Terima kasih yang tidak terhingga buat semua rakan-rakan media.


1 comment:

Unknown said...

blogger mcm saya tak dijemput ke...