Tuesday, July 28, 2009

BEGITULAH NIK AZIZ

Salam bloger...

Seperti yang dijangkakan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memperbetulkan” kenyataannya bahawa “salam” yang dihulurkan bukannya antara Pas dan UMNO tetapi lebih kepada Kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Pusat. Inilah yang saya fokuskan dalam tulisan saya semalam agar semua pihak tidak terbuai dengan kenyataan Nik Aziz itu.

Nik Aziz memang suka memutarbelitkan kenyataannya dan kenyataan yang terbaharu itu bukanlah sesuatu yang asing dan pelik. Mana mungkin Nik Aziz sebagai seorang yang melihat DAP itu “lebih Islam” daripada UMNO hendak berbaik-baik dengan parti utama Melayu itu. Saya tidak nampak keajaiban boleh berlaku sehingga Nik Aziz sanggup berkorban prinsipnya yang anti UMNO untuk berbaik-baik dengan UMNO. Tidak mungkin!.

Bagi Nik Aziz, DAP dan PKR adalah sebaik-baik parti yang boleh dibuat kawan olehnya dan kedua-dua parti berkenaan dilihat “lebih Islam” daripada parti-parti Melayu lain. Oleh kerana itulah, Nik Aziz akan bermati-matian mempertahankan DAP dan PKR kerana itulah “sahabat Islam” beliau. Manakala umat yang jahil di bawah pula akan menelan apa yang pemimpin mereka seperti Nik Aziz ini perkatakan.

Kalau ditanyakan saya, saya tidak pernah hairan dengan kenyataan dan perangai Nik Aziz kerana sebelum ini beliau berkata, Pas boleh berkawan dengan syaitan pun.

Maka tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sudah sampai masanya UMNO menutup pintu perbincangan dengan Pas kerana parti itu tidak pernah ikhlas untuk mencari perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini. Pas tidak mampu melihat UMNO sebagai parti yang perlu diberikan perhatian kerana itulah yang ditanam dalam benak dan otak mereka selama ini. UMNO tidak Islam, UMNO kafir ... itu tuduhan mereka.

Tapi bila dengan DAP, mereka tidak kisah langsung walaupun DAP terang-terang menjadi parti yang menentang hasrat penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan Hukum Hudud ala Pas. UMNO harus diingat bahawa Pas tidak akan ke mana jika mereka bersama DAP melainkan Pas itu sendiri menjadi alat DAP semata-mata.

Saya berharap, media kita tidak lagi memberikan laporan yang melampau mengenai hal-hal yang berkaitan dengan isu perpaduan ini kerana ia lebih bersifat provokasi Nik Aziz semata-mata. Cukuplah dengan permainan kotor mereka selama ini. UMNO usah terperangkap lagi dengan permainan itu.

Kita lihatlah ke mana Pas nak pergi selepas ini. Pas mungkin seronok kerana menyangka mereka sudah boleh “mempermainkan” UMNO tetapi dalam diam, Pas terlupa bahawa dirinya sudah lama dipermainkan oleh PKR dan DAP. Tunggu dan lihat sahajalah, apakah kesudahannya nanti.

Monday, July 27, 2009

JANGAN TERLALU TERUJA PELAWAAN NIK AZIZ


Salam bloger...

Saya seperti kebanyakan daripada anda, berfikiran bahawa tidak perlu dilayan secara berlebihan kenyataan MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang khabarnya sudah mula berlembut lidah mengenai UMNO. Katanya, dia mahu melupai segala sengketa dengan UMNO demi perpaduan.

Perpaduan?. Rakyat masih tidak lupa bagaimana Datuk Nik Abdul Aziz mengganyang cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan sehingga ke satu tahap beliau menyamakan UMNO dan BN dengan komunis dan pengikut ajaran sesat Ayah Pin. Jadi, adakah semudah itu beliau mahu menarik balik setiap kata-katanya sebelum ini dan kini mahu berbaik-baik pula dengan UMNO. Soalnya, layakkah Nik Aziz berbaik-baik dengan UMNO kerana akalnya yang masih belum suci dan bersih daripada prasangka buruk terhadap UMNO?.

Melihat reaksi yang agak ketara di kalangan segelintir orang UMNO sendiri terhadap reaksi terbaharu Nik Aziz itu, saya sebenarnya agak sedikit gusar mengenainya. Seolah-olah memang benar Nik Aziz mahu melupai segala sengketa hanya semata-mata kerana beliau melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad sebagai penasihat kepada satu acara kerajaan negeri. Saya tidak percaya bahawa Nik Aziz ada kejujuran dalam pandangan terbaharunya itu selain beliau mahu memasang jerat politik semata-mata.
Saya tidak nampak walau sedikit pun alasan Nik Aziz untuk berbaik-baik dengan UMNO lantaran kefahaman yang terbenam di otak beliau sudah terlalu songsang mengenai UMNO. Tidak ada sebab beliau mahu menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan tidak ada bukti mengenai nilai keikhlasan di sebalik pelawaan tersebut, tidak ada.

Apa yang saya nampak, Nik Aziz hanya mahu mencari jalan untuk mengendurkan ketegangan dengan Kerajaan Pusat melalui UMNO untuk kepentingan kerajaannya di Kelantan. Nik Aziz ada agenda dan permintaan yang akan menjadi satu desakan dan syarat utama untuknya berbaik-baik dengan UMNO. Isu royalti minyak yang kononnya berkaitan dengan Kelantan akan menjadi asas kepada permainan politik terbaharu Nik Aziz ini.

Begitu juga dengan isu-isu perpecahan di kalangan pemimpin PAS dan Pakatan Pembangkang. Nik Aziz cuba melontarkan sesuatu yang diketahuinya bahawa UMNO akan menyambutnya sehingga menjadi isu yang besar dan dibesarkan. Jadi, tenggelamlah segala kemelut, masalah dan hal-hal yang merugikan PAS.

Jadi, orang UMNO perlu berhati-hati, tidak boleh terlalu teruja dan memberikan reaksi secara melampau mengenai apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz itu. UMNO sudah mempunyai banyak sejarah dalam hal-hal sebegini. Maka, adalah amat malang jika UMNO terjerat dengan sesuatu yang sudah dipasang di depan mata mereka sendiri.

Hakikatnya, bukan mudah untuk UMNO bersatu dengan PAS, apatah lagi hanya dengan kenyataan seorang pemimpin seperti Nik Aziz yang dikenali sebagai seorang yang anti UMNO dan BN. Tidak mungkin!. UMNO dan PAS hanya boleh bersatu jika ada kenyataan atau penegasan rasmi daripada semua pemimpin PAS sendiri, bukan kenyataan yang bersifat peribadi atau individu. maka dalam konteks kenyataan Nik Aziz itu tadi, UMNO boleh membuat pertimbangan tetapi jangan terlalu melayan.

Ya, kita semua cintakan dan mahukan perpaduan tetapi bagi PAS, perpaduan adalah satu alat politik semata-mata. Mereka akan mencari perpaduan jika di situ ada kepentingannya. Pasti. Jika tidak, usah bermimpi PAS mahu menghulurkan tangan begitu mudah kepada UMNO. Saya tidak nampak itu akan berlaku.
Sejarah telah membuktikan mengenai banyak keadaan yang saya maksudkan. PAS tidak akan menawarkan perpaduan secara percuma kepada UMNO. Mereka pasti ada syarat-syaratnya yang bersifat memelihara dan mencari kepentingan partinya bukannya demi agama, bangsa dan negara. Itu PAS. Saya percaya, kenyataan Nik Aziz itu hanyalah satu permainan politik yang sudah boleh diramalkan apa kesudahannya.
Jika UMNO tidak berhati-hati, tidak mustahil sekali lagi PAS akan mendapat keuntungan daripada isu yang sengaja mereka ciptakan sendiri.

Thursday, July 23, 2009

DEMI RAKYAT

Assalamualaikum …


Kabinet semalam memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock minggu lalu. Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Keputusan itu dibuat kerana Kabinet mahu penyiasatan kematian Teoh dilakukan dengan menyeluruh bagi mencari punca kejadian tersebut.

Katanya Kabinet turut memutuskan satu suruhanjaya diraja diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

Walaupun saya percaya bahawa keputusan yang dibuat kabinet itu tidak mungkin mampu memuaskan hati pembangkang, namun itu adalah yang terbaik setakat ini dalam mencari penyelesaian kepada isu yang berlaku. Pembangkang yang membuat gesaan dan permintaan itu tetapi berdasarkan pengalaman lepas, itu hanyalah satu permainan mereka sahaja.

Bagi kerajaan, isu itu adalah perkara yang dipandang serius, maka keputusan sedemikian telah dibuat. Seperti yang saya katakana dalam posting saya yang lepas, BN adalah sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat. Jika itu adalah satu kebaikan bagi rakyat, maka itulah yang dilaksanakan kerajaan.

Kerajaan tidak mahu terlalu memikirkan soal pembangkang sangat kerana pembangkang di negara kita sudah dijangkiti penyakit politik yang agak teruk sehingga mereka mahu menjadikan segala-galanya sebagai isu tanpa meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara yang diutamakan.

Melalui keputusan yang dibuat kabinet itu, siasatan terperinci bakal dilakukan dan ia boleh diikuti oleh rakyat. Cuma, rakyat perlulah menerima hasil siasatan itu nanti dengan terbuka tanpa berikap prejudis terhadapnya. Saya tidak berminat untuk mengulas panjang tetapi cukuplah jika saya katakana kerajaan telah memutuskan sesuatu yang baik untuk rakyat. Bagi kerajaan tidak ada apa yang hendak disembunyikan tetapi pada masa yang sama, rakyat kenalah tahu menghargai dan menerima keterbukaan kerajaan itu dengan seadilnya.

Kerajaan tidak mahu bermain politik di sebalik isu yang berlaku kerana apa yang dicari ialah jawapan di sebalik segala persoalan yang timbul. Rakyat mesti bersabar dan bertenang. Jangan terlalu teruja dengan dakwaan, tuduhan dan tohmahan pembangkang. Mereka hanya mahu mengaut keuntungan politik semata-mata. Itu perangai pembangkang.

Rakyat perlu profesional dalam setiap hal. Maka dengan itu, mereka mampu memperolehi jawapan yang berteraskan keprofesionalisme juga. Bersabarlah…. Jawapan kepada segala persoalan bakal menjelma nanti. Percayalah.

Tuesday, July 21, 2009

POLITIK KESEMPATAN


Salam bloger …

Kata orang, politik itu adalah alat untuk mendapatkan kuasa. Melalui kuasa politiklah, maka sesebuah kerajaan dapat dibentuk. Dan, kerajaan yang Berjaya menawarkan kelebihan kepada rakyat melalui kaedah pentadbiran yang berkesan sudah pasti akan menarik sokongan rakyat.

Di Malaysia, Barisan Nasional (BN) telah terbukti masih mendapat sokongan rakyat kerana kemampuan, kejayaan dan sejarahnya telah amat meyakinkan rakyat. Walaupun sejak kebelakangan ini, beberapa negeri telah jatuh ke tangan pembangkang, belum sampai sepenggal, rakyat di negeri berkenaan sudah boleh menilai mengenai keupayaan dan kejayaan kerajaan pembangkang berbanding BN sendiri. Tidak perlulah saya mengulasnya lagi.

Pun begitu, satu sindrom yang amat menakutkan dan juga berbahaya bagi saya ialah mengenai politik kesempatan. Apa yang saya maksudkan ialah, apa sahaja yang boleh mendatangkan kepentingan kepada sesebuah badan politik, maka ia akan dipolitikkan. Untuk apa!. Segalanya demi kuasa.

Anda lihat pemimpin pembangkang, mereka berkuasa di negeri tetapi masih berlagak seperti pembangkang. Kebajikan rakyat, kepentingan rakyat mereka letak di mana?. Yang mereka nampak ialah kepentingan. Maka tidak hairanlah apabila berlaku sesuatu isu, maka mereka ini akan lebih ke hadapan mencuri kesempatan.

Isu kematian setiausaha politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock pada Khamis lepas misalnya ternyata telah dipolitikkan. Pembangkang tidak mahu menerima penjelasan dan menanti hasil siasatan kerana itulah kesempatan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dihina, dituduh dan diperendahkan martabatnya sedangnya semua orang tidak tahu apakah kisah sebenarnya. Tunggulah hasil siasatan.

Lihat pula bagaimana cara mereka mendepani isu-isu penjenayah yang mati ketika dalam tahanan polis dan sebagainya sebelum ini. Ia adalah satu kaedah yang berteraskan kepada politik kesempatan. Segala-galanya mahu diambil kesempatan termasuklah yang berkaitan dengan hal-hal agama dan kaum.

Menuduh memang mudah tetapi ia tidak semudah untuk dikemukakan buktinya. Saya agak janggal dengan keadaan itu kerana kehidupan masyarakat kita akan rosak apabila mereka dikerumuni politik kesempatan.

Saya tidak faham, apakah rakyat kita sudah sedar, atau semakin sedar mengenai perkara tersebut serta kesannya terhadap mereka. Jika diambil kira keputusan pilihan raya kecik DUN Manik Urai tempoh hari, mungkin ia menjadi sebahagian kecil daripada kesedaran tersebut. Ini bukan isu remeh dan sudah tentu, ia tidak boleh dipandang mudah oleh kita semua.

Politik yang berteraskan kepada kesempatan tidak akan menguntungkan rakyat dan kuasa politik yang diperolehi. Ia akan hanya membawa keuntungan kepada orang politik dan masa depan politiknya sahaja. Manakanala rakyat, diletakan di saf yang terkebelakang dalam senarai pihak yang wajar diberikan perhatian.

Dan, anda lihat bagaimana dengan BN. Kita adalah parti yang sentiasa percaya dan bertindak berteraskan kepentingan serta kepercayaan rakyat. Kita percaya kepada kuasa rakyat yang jujur dan ikhlas tanpa mencari kesempatan yang melampaui batas. BN percaya kepada amanah yang diberikan rakyat dan kita sentiasa melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Maka wujudlah gagasan Satu Malaysia yang kita banggakan.

Percayalah bahawa kemajuan di Malaysia hari ini tidak akan wujud semata-mata wujudnya memang begitu. Ia diwujudkan melalui pemikiran dan kerja keras pemimpin terdahulu di bawah Perikatan dan kini BN. Ia satu bukti yang tidak mampu dipadamkan oleh sesiapa pun sampai bila-bila.

Tidak ada apa yang hendak dipolitikkan sepanjang tempoh itu kerana BN tidak bergerak di atas politik kesempatan. Politik kesempatan tidak akan bertahan lama. Hanya waktu yang akan menentukan waktu untuk mereka dikuburkan. Tunggulah.

Wednesday, July 15, 2009

MANIK URAI SATU PERMULAAN

Salam bloger,

Saya tidak tahu orang lain, tetapi hati saya kuat menyatakan rakyat sudah mula menilai semula prestasi dan kemampuan Pas berdasarkan keputusan pilihan raya DUN Manik Urai, Kelantan semalam. Walaupun calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tewas, namun jumlah majoriti yang dimenangi calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah sebanyak 65 undi adalah sesuatu yang memeranjatkan.

Jika itu dikatakan satu kejutan, ia memang kejutan. Yalah, dalam demokrasi walaupun dengan majoriti satu undi pun, yang menang tetap menang dan yang kalah tetap kalah. Namun, sifir politik lain pula tolak kiranya. Ia membawa banyak tafsiran dan rumusan.

Majoriti PAS merosot sebanyak 1,287 berbanding majoriti yang diperoleh penyandang sebelum ini Allahyarham Ismail Yaacob sebanyak 1,352 pada pilihan raya umum 2008 telah membuktikan betapa rakyat kini kian beralih kepada UMNO dan BN, apatah lagi senario itu berlaku di Kelantan – sebuah negeri yang menjadi kubu kuat Pas.

Walaupun Pas Nampak tidak begitu “gembira” dengan kemenangan tipis itu dengan menunding jari kepada UMNO dalam meletakkan punca “kegagalan” mereka di Manik Urai, namun apa yang saya lihat, itulah yang saya rumuskan – UMNO/BN Kelantan kini meneroka peluang mencari kemenangan.

Saya tidak mahu terlalu memperhalusi mengenai punca kemenangan tipis Pas itu tetapi bagi saya, sudah ada petanda meyakinkan bahawa rakyat Kelantan kini mahu beralih arah. Jika saya boleh memberikan pandangan, saya fikir usaha lebih gigih perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan rakyat Kelantan kepada UMNO dan BN.

Maksudnya, pemimpin UMNO dan BN, sama mereka yang menjadi wakil rakyat atau sebaliknya mestilah diperkasakan melalui kaedah-kaedah yang menampakkan keuntungan kepada rakyat dan negeri Kelantan. Kemahuan untuk berubah angin kepada UMNO/BN sudah ada, tetapi keyakinan itu mesti ditingkatkan agar rakyat Kelantan secara mutlak menolak Pas pada pilihan raya umum akan datang.

Ia juga merupakan satu kejayaan kepada penilaian prestasi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam memacu dan menggerakan kemajuan serta perubahan besar kepada Negara. Rakyat kita sedang dan telah melihat dengan mereka sentiasa membuat penilaian mengenainya. Mesej awal yang mereka berikan tentu sekali melalui keputusan pilihan raya kecil DUN Manik Urai tersebut.

Saya bukan mahu mengajak anda berfikiran sama dengan saya tetapi saya percaya bahawa anda bersetuju dengan saya, sebenarnya rakyat kini sudah mahu kepada sebuah kerajaan yang bekerja untuk kebajikan dan masa depan mereka. DUN Manik Urai adalah satu permulaan yang meyakinkan. Saya optimis bahawa rakyat akan terus membuat kejutan pada masa akan datang iaitu menolak parti yang kuat bercakap tetapi tidak cekap.

Sama ada kita suka atau tidak, hanya BN kerajaan yang mampu membela nasib kita. Jika rakyat berlegar dengan permainan politik negara, akhirnya mereka akan kembali kepada BN kerana tidak ada parti lain yang mampu menandingi BN. Percayalah!.


Monday, July 13, 2009

PM: SERATUS HARI YANG MEYAKINKAN

Salam blogger …

Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah diraikan dalam seratus hari tempoh pentadbirannya. Seratus hari mungkin hanya sekadar angka bagi mereka yang tidak peka dengan persekitaran, namun bagi mereka yang lain, seratus hari adalah detik penting yang wajar diberikan pertimbangan dan penilaian.

Maka begitulah seratus hari Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri. Seratus hari pertama, beliau sangat bertuah kerana dapat melalui tempoh penilaian yang meyakinkan dan mengembirakan rakyat. Ia menjadi simbol dan kayu ukur ke atas keyakinan rakyat yang lebih berganda terhadap beliau dan kerajaan selepas ini.

Seratus hari pertama ada prose penilaian yang saya anggap sebagai amat penting. Jika seseorang pemimpin itu gagal dalam tempoh tersebut, ia akan dinilai sebagai kegagalan yang berpanjangan walaupun peluang untuk berubah dan mengubah tetap ada. Demikian beratnya bahu seseorang pemimpin jika anda ingin memahaminya.

Dalam tempoh seratus hari, beliau telah membuktikan bahawa seorang pemimpin mesti sentiasa mendampingi rakyat dan mendahului kehendak rakyat. Itulah antara perkara yang perlu rumuskan dalam gagasan Satu Malaysia yang kini menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Paling mengembirakan, Perdana Menteri kita tela mengumumkan sebelas hadiah kepada rakyat sempena sambutan seratus hari pentadbirannya. Ia adalah satu terjemahan terhadap corak dan cara beliau memimpin kita dan negara.

Secara peribadi, saya mempunyai pelbagai kisah bersama beliau dan Allahyarham bapanya. Kebetulan ayah saya, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri adalah MB Terengganu ketika Allahyarham Tun Razak menjadi PM, maka banyaklah peristiwa penting yang berlaku di antara mereka yang sentiasa saya ikuti dengan kagumnya. Datuk Seri Mohd Najib pula adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan kebetulan saya pula berada dalam Pergerakan Pemuda UMNO di era beliau menjadi ketuanya. Jadi, saya sudah sudah tentu mempunyai corak penilaian yang tersendiri mengenai beliau dan bagi saya, tidak hairanlah rakyat amat saying kepada beliau kerana Datuk Seri Mohd Najib adalah pemimpin rakyat.

Saya tidak mahu memuji terlalu banyak kerana saya tidak mahu mengheret anda kepada persepsi yang lain pula terhadap saya walaupun itulah sebenarnya sebahagian kecil kisah yang mampu membuatkan saya membuat penilaian yang lebih tepat mengenai kepimpinan beliau. Mungkin saya kurang adil kerana saya adalah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan sudah tentu pandangan saya ke arah itu akan dilihat lain. Tidak, saya tidak mahu begitu.

Namun, saya ingin menyatakan bahawa saya menulis ini bukan kerana saya seorang wakil rakyat yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib. Saya menulis hari ini adalah sesuatu mengenai apa yang saya lihat rakyat sedang rasakan mengenai kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib. Itulah yang jelas.

Jikalah saya boleh simpulkan, seratus hari pertama Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang amat meyakinkan untuk beliau mendepani lebih banyak cabaran dan dugaan.

Friday, July 10, 2009

PERGINYA SEORANG WANITA BERNAMA NATRAH

Rusuhan Natrah di Singapura

Natrah bersama ibu angkatnya, Che Aminah

Salam bloger,

Ramai yang tidak tahu, mungkin terlepas pandang mengenai seorang wanita bernama Natrah yang diberitakan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu lalu akibat penyakit leukemia pada usia 72 tahun.

Mengapa saya terdetik untuk mencatatkan mengenai wanita ini yang nama asalnya Bertha Hertogh. Beliau adalah seorang wanita yang mungkin boleh dianggap sebagai kontroversi kerana sejarah hidupnya yang berkahwin dengan seorang lelaki Islam.

Kerana Natrahlah, berlakunya satu rusuhan di Singapura pada tahun 1950 yang dikenali sebagai “Rusuhan Natrah” apabila masyarakat Islam di sana tidak berpuas hati dengan undang-undang British/Belanda yang tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada melangsungkan perkahwinan.

Natrah menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan antara ibu angkatnya yang dikenali sebagai Che Aminah dengan keluarga asalnya yang berketurunan Belanda. Natrah ketika itu baharu berusia 13 tahun dan telah memeluk Islam sebelum bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Natrah dilahirkan pada 24 mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh. Pada Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Natrah ketiak itu berusia 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam. Pada 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah. Pada 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda. September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Pada 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman dan 2 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura. Pada 24 April 1950 pula, Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura .


Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co. Pada 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura. 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Pada Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah. 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan. Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian?.

Bapanya lebih berhak ke atasnya. Pada 12 Disember 1950 adalah detik menyedihkan apabila hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Pada 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh. Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah meminta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda. Pada 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu. Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

Pada 1976, ibu angkat Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh bekas suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda.

Menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

Demikianlah kisahnya mengenai manusia bernama Natrah. Saya catatkan untuk anda merenung, berfikir mengenai kisah seorang wanita yang pernah menggemparkan dunia melalui sejarah hidup yang tragis dan menyayat hati.
Hebatnya, seorang anak Terengganu berjuang hingga ke akhir hayat dalam mempertahankan keIslaman insan bernama Natrah.

Pemergian Natrah sudah tentu akan mengimbau banyak nostalgia dan ia pasti menyentuh perasaan terutamanya bagi penduduk di Kemaman yang pernah bersama-sama dengan wanita tersebut ketika hayatnya.

Thursday, July 9, 2009

PPSMI: Kerajaan Berjiwa Rakyat

Assalamualaikum …

Walaupun mempunyai waktu yang agak terbatas, namun memandangkan apa yang saya tulis, ramai yang sudi membacanya dan berkongsi pandangan, maka saya lebih selesa meluangkan waktu untuk mencatatkan di sini.

Pastinya keputusan kabinet semalam mengenai pemansuhan dasar pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012 menjadi topik yang sangat diperkatakan. Semua orang mahu memberikan pandangan. Ada yang bersetuju, ada juga yang masih sinis dan tidak kurang pula yang hanya pandai mengkritik dan mahu berlagak betul seumur hidup.

Bagi mereka yang sentiasa tidak pernah sedar mengenai setiap kebaikan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), keputusan yang diumumkan kerajaan itu mungkin tidak membawa apa-apa nilai kepada mereka. Paling tidak pun, mereka akan mengandaikan bahawa keputusan kerajaan itu adalah hasil desakan mereka dan kumpulan mereka sebelum ini. Kononnya!.

Bagi saya, saya melihatnya dari perspektif yang berbeza. Bukan kerana saya ini seorang Ahli Parlimen dan wakil rakyat, tetapi saya pasti lebih merasai mengenai apa yang diputuskan oleh sebuah kerajaan yang parti sayalah yang menjadi tunjangnya. Pemansuhan PPSMI lebih kepada menterjemahkan gagasan Satu Malaysia yang antara lain telah meletakan kepentingan rakyat didahulukan. Sebagaimana yang pernah saya tuliskan sebelum ini, apa yang baik bagi rakyat, maka itulah yang baik bagi kerajaan.

Gagasan itulah bagi saya yang menjadi asas penting dalam setiap keputusan yang dibuat termasuk PPSMI ini dan ia dicantumkan pula dengan asas-asas yang lain.

Rakyat pasti akan diracuni oleh perosak akal manusia di negara kita kononnya keputusan yang dibuat itu adalah kerana kerajaan BN telah tunduk kepada desakan. Sebenarnya tidak!. Sebelum mereka membantah lagi, kerajaan telah memberikan jaminan bahawa setiap dasar akan sentiasa dikaji dan kerajaan sendiri tidak pernah menutup pintu perbahasan mengenainya. Maka begitulah dengan PPSMI.

Apa yang berlaku itu juga membuktikan bahawa kerajaan BN bukannya dipimpin oleh mereka yang hanya bercakap bermodalkan air liur semata-mata kerana setiap yang menjadi kebaikan rakyat, itulah yang akan didahulukan.

Percayalah bahawa kerajaan kita tidak pernah tunduk kepada mereka yang menyertai demonstrasi jalanan dalam menyelesaikan sesuatu isu. Sebabnya, demonstrasi jalanan tidak mempunyai pemikiran. Ia wujud dan diwujudkan berteraskan emosi semata-mata dan kerana itu, mereka yang tidak memahami langsung mengenai dasar PPSMI pun turut menyertai demonstrasi jalanan. Itu bukan pertimbangan kerajaan.

Selain mengambil kira pendapat dan pandangan rakyat, dan ditambah dengan hasil kajian yang terperinci serta teliti oleh pakar-pakar, maka baharulah setiap keputusan dibuat kerajaan. Ertinya, keputusan yang dibuat kerajaan adalah berteraskan pemikiran.

Kerajaan kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan itulah bagi kerajaan yang terbaik untuk rakyat, PPSMI dimansuhkan demi rakyat.

Tahniah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyddin Yassin.


Monday, July 6, 2009

DEMOKRASI DAN PENGERTIANNYA

Salam bloger…

Sudah sah, berlaku pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan. Ia telah diputuskan pada proses penamaan calon yang diadakan hari ini (6hb Julai 2009). Apakah pengertiannya bagi anda apabila berlakunya pilihan raya kecil. Apakah bagi anda, anda hanya melihatnya dari sudut nilai politik kepartian semata-mata. Maksudnya jika anda penyokong BN, adakah memadai jika kita hanya menyertai pilihan raya seperti itu?. Atau bagi anda yang menyokong Pas, adakah hanya memadai dengan berceramah kosong, menahan bas yang disangka terisi hantu atau bersikap ganas terhadap orang lain?.

Bagi saya, ada sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang yang selama ini sengaja dan cuba diperdayakan oleh pembangkang terhadap pemikiran dan tindakan kita. Pilihan raya kecil itu adalah satu lagi bukti proses demokrasi masih segar dan hidup dengan mekarnya di negara kita. Ia adalah bukti betapa sebenarnya, apabila tiba masanya, rakyat akan diberikan hak untuk memilih pemimpin. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menolak dan menafikan hak tersebut. Oleh itu, setiap kali kita mendengar dakwaan pembangkang mengenai demokrasi, ia amat menjengkelkan. Mereka mahu mentafsir, demokrasi hanya sesuatu yang memberikan kemenangan atau memihak kepada mereka. Tidak bolehlah begitu.

Di Manik Urai, rakyat diberikan hak sebebas-bebasnya untuk memilih pemimpin mereka, yang mereka yakini mampu membela nasib mereka. Namun, kadangkala ramai di kalangan kita yang tersilap memilih pemimpin dan apabila pemimpin itu gagal melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan, rakyat di kawasan mereka mahu menyalahkan kerajaan pula. Sekali lagi, tidak bolehlah begitu.

Demokrasi telah terlaksana dan dilaksanakan. Jika, kita tersilap menunaikan hak kita, maka ia adalah sesuatu yang amat malang sekali. Demokrasi tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini, apatah lagi mahu dicemari, tidak boleh. Bagi saya, mereka yang berprasangka buruk terhadap demokrasi adalah mereka yang tidak mencerminkan diri. Mereka gagal melihat segarnya demokrasi disebabkan kesilapan mereka sendiri. Itulah yang menyedihkan. Sebagai pemimpin yang dipilih melalui proses demokrasi yang tulin, saya menyedari hakikat tersebut dan saya gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin untuk rakyat saya.

Kepada pengundi di Manik Urai atau lebih popular kini dipanggil “MU” (semacam pasukan bola sepak MU), mereka mesti bijak memilih pemimpin kerana jangan akhirnya nanti kesilapan yang dibuat menyebabkan mereka menunding jari kepada demokrasi. Memilih pemimpin biarlah berasaskan kemampuan pemimpin itu sendiri dan keupayaan parti yang diwakili pemimpin itu.

Demokrasi akan binasa jika hak yang diberikan telah disalahgunakan. Maksudnya, kita memilih pemimpin secara salah dengan berasaskan emosi, kepuakan dan seumpamanya tanpa kita memikirkan mengenai kepentingan kita, kemampuan pemimpin yang hendak dipilih dan nasih penduduk yang bakal diwakili pemimpin berkenaan. Kita kena bijak memilih dan mesti mengambil kira rekod parti yang diwakili pemimpin yang hendak dipilih. Jangan memilih hanya semata-mata kita diberikan hak memilih. Ingat, kita juga diberikan pertimbangan dan pertimbangan itu pula amat menuntut kepada kebijaksanaan kita.

Kita tidak boleh gagal. Tidak apa yang perlu dibuktikan di Manik Urai. Memadai jika sekadar kita memahami demokrasi dan menyokong ia terus disegarkan. Jika kita mampu memahami pengertian demokrasi, pilihan yang bakal dibuat pastinya tepat.

Dan, yang paling tepat semestinya pemimpin yang mewakili parti yang hebat dan telah terbukti berjaya memaju dan membangunkan negara ini selain sentiasa cakna terhadap kebajikan dan masa depan rakyat.

Anda tidak harus malu atau segan untuk mengakui bahawa parti yang saya maksudkan ialah BN. Muktamad.

Wednesday, July 1, 2009

DEBAT HANYA HELAH PAS

Pemimpin UMNO sentiasa berhemah dan tidak pernah mencabar sesuatu yang karut
Salam blogger …

Sejak sehari dua ini, kecoh pasal Mb Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ajak PM kita berdebat. Jika mendengar orang Pas bercakap, mereka akan kata begitulah UMNO, takut bila ajak berdebat. Sebenarnya, UMNO adalah sebuah parti yang matang dan kerana itu UMNO tidak perlu melayan sebarang permintaan yang boleh dianggap mengarut.

Apa yang kita cari di sebalik debat tersebut. Kebenaran?. Apakah masyarakat Pas adalah golongan yang bersedia mendengar dan menerima hujjah orang lain?. Atau, adakah masyarakat Pas berani menolak setiap pandangan Datuk Nik Aziz walaupun ia didapati salah dan palsu?. Apa yang kita cari. Perpaduan?. Berdebat dengan Pas tidak mungkin boleh mencari perpaduan. Anda semua faham mengenai maksud saya.

Saya tidak nampak apakah tujuan murni di sebalik pelawaan berdebat itu selain ada perasaan sombong dan riak. Pas sekarang sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut yang melibatkan Datuk Nik Aziz sendiri dan apa yang saya Nampak, berdebat hanyalah jalan terakhir Pas untuk meluputkan perhatian masyarakatnya kepada masalah parti itu. Datuk Nik Aziz sedar bahawa berdebat bukan budaya UMNO dan UMNO pasti tidak akan melayan cabaran tersebut. Bukan kerana takut. Sebabnya, pemikiran pemimpin dan masyarakat Pas masih terkongkong dengan kaedah yang sempit, tidak mampu menerima pendapat orang lain dan hanya menganggap dirinya sahaja yang betul.

Oleh kerana itu, UMNO lebih selesa memilih jalan perbincangan kerana ia bukan sahaja boleh dilihat lebih harmoni, tetapi kesannya juga dalam. UMNO tidak pernah menjadikan perpaduan sebagai mata pancing atau alat bagi mencapai cita-cita politik. Bagi UMNO, perpaduan adalah sesuatu yang dimahukan. Justeru, setiap usaha ke arah itu, walau dengan apa kaedah pun, maka pintu UMNO sentiasa terbuka.

Bagi UMNO berdebat sebagaikan yang dimahukan Datuk Nik Aziz hanyalah seperti budak-budak yang kalah bertekak (berhujjah) tetapi ajak bertumbuk. Datuk Nik Aziz dah berhujjah tetapi ternyata sekarang ini tidak semua rakyat boleh menerima hujjah beliau. Maka itu, dia ajak PM atau UMNO masuk gelanggang. Buat apa lagi nak berdebat. Di siding DUN, Parlimen dan forum-forum lain, kami sentiasa berdebat tetapi apa kesudahannya?. Apakah Pas boleh terima kenyataan dan setiap penjelasan kerajaan yang tidak sebulu dengan mereka?.

Iniah masalahnya apabila semuanya hendak dipolitikkkan. Kita akan rugi jika setiap tembok kita pecahkan hanya kerana mahu menyelamatkan politik. Saya lebih percaya kepada perbincangan dan kerana itu saya setuju sepenuhnya apabila UMNO tidak mahu melayan permintaan Datuk Nik Aziz itu.