Tuesday, March 29, 2011

Assalamualaikum.


Apa khabar anda hari ini. Semoga sejahtera hendaknya. Saya sekarang menyertai persidangan di Parlimen menggunakan kemudahan yang ada. Sekarang ini, di mana-mana pun kita boleh melayari internet dan update tulisan kerana kemudahan sudah semakin canggih dan terkini.


Hari ini, saya dimaklumkan mengenai cuaca yang tidak menentu dan hujan begitu lebat di Kuala Terengganu khususnya. Keadaan itu telah menyebabkan kejadian banjir di beberapa tempat. Saya berharap, mereka yang terlibat dengan kejadian banjir mengejut ini akan kuat bersabar sementara bantuan akan dihulurkan kerajaan serta pihak lain.

Saya amat faham akan kesulitan ini, namun setiap kejadian seringkali di luar pengetahuan dan jangkaan kita. Itulah yang sering berlaku. Namun, apa yang penting, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, kita semua haruslah sentiasa bersiap-sedia dengan pelbagai kemungkinan. Kita tidak harus hanya sekadar melihat.


Bagi mereka yang tidak terlibat dengan kejadian banjir, bantulah mereka yang memerlukan bantuan kita dan bantuan itu pula tidak semestinya berbentuk kewangan. bantulah jirang kita sekurang-kurangnya jika mereka berada dalam kesusahan akibat kejadian banjir.


Saya percaya, agensi kerajaan berkaitan sedang mengambil langkah perlu bagi membantu mangsa-mangsa banjir. Bagi mereka yang sedikit terjejas, semoga mereka bersabar.


Saya sendiri, walaupun sedang menunaikan tanggungjawab di Parlimen, namun sentiasa memantau apa yang sedang berlaku di Terengganu. Alhamdulillah, semuanya dalam pengetahuan saya.


Semoga kita mempelajari sesuatu di sebalik apa yang pernah berlaku sebelum ini dan bersiap-sedia apabila cuaca tidak menentu.

Thursday, March 24, 2011

HENTIKAN POLITIK MERUGIKAN

Assalamualaikum ...

Iklim politik kita semakin panas. Makin banyak yang terdedah dan didedahkan. Akibatnya, rakyatlah yang terheret dengan keadaan tersebut. Dalam isu-isu yang besar, yang tidak dituduh boleh menafikan penglibatannya, manakala yang merasakan dirinya dituduh lagilah tidak mahu mengaku perbuatannya. Selebihnya, bagi orang yang diberitahu atau yang tahu, ada juga yang beriya-iya benar menafikannya sedangkan mereka sendiri tidak pasti apa yang sebenarnya.

Ada juga orang yang bersekongkol dengan orang yang didakwa itu awal-awal membuat penafian, malah lebih jengkel lagi apabila mereka pula yang menuduh orang lain punya angkara sehingga timbulnya sesuatu isu tersebut.

Apa yang pasti, geografi akal politik orang kita (sebahagiannya) sudah tidak begitu menarik. Ramai yang berfikiran berat sebelah. Maksud saya, apabila sesuatu pendedahan mengenai puak mereka dibuat, mereka segera menafikan dan berkata boleh bahawa ini adalah satu konspirasi walaupun dalam keadaan mereka tidak tahu apa sebenarnya.

Dalam keadaan yang lain, mereka dengan bulat-bulat menerima keburukan musuh politik mereka walaupun tahu bahawa apa yang sampai ke telinga mereka itu adalah satu pembohongan. Lebih menjijikkan lagi apabila ada yang menggunakan Islam untuk menghalalkan setiap dakwaan dan tuduhan. Itulah yang sedikit menyedihkan.

Saya berpandangan, cara berfikir sedemikian tidak menyumbang kepada kelebihan diri dan masa depan kita. Kita harus berani menjadi rakyat yang boleh menerima kenyataan walaupun ianya pahit untuk ditelan. Kita harus berdiri sebagai rakyat yang sayangkan negara mengatasi sayangnya kita kepada pemimpin tertentu.

Kita harus belajar menerima yang salah adalah salah, dan berani pula mengatakannya. Dan, bijak mengatakan yang benar adalah benar. Kita tidak boleh terlalu cepat menjatuhkan andaian tanpa usul periksa hanya dengan kepentingan politik semata-mata.

Dalam konteks yang hampir sama bagi saya, negara telah kerugian banyak masa kerana melayan karenah politik sedemikian. Banyak yang sudah terganggu dan diganggu denga isu politik yang sedang melingkari kita. Asyik-asyik isu yang sama dan melibatkan orang yang sama. Rakyat harus lihat di mana kerugian mereka jika membiarkan politik sedemikian berlarutan. Itulah yang penting.

Marilah kita bertekad untuk menjadi rakyat yang hebat, dengan mempunyai pemikiran yang hebat dan bukannya tersumbat.

Tuesday, March 22, 2011

AKHIRNYA ....

Assalamualaikum,...

Ketika Mesir dilanda krisis apabila ramai rakyatnya turun di jalan raya menunjuk perasaan kerana mahu Presiden mereka, Hosni Mubarak turun atau berundur, pelbagai reaksi dapat kita saksikan. Jika kita bercakap dalam konteks politik, suara dari negara kita seperti begitu ghairah menyokong penunjuk perasaan di Mesir.

Malah terdapat pihak tertentu di negara ini, seperti yang disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang cuba meracuni pemikiran rakyat untuk menyamakan apa yang berlaku di Mesir dengan Malaysia. Apabila peristiwa yang sama merebak di beberapa negara Arab, terdapat beberapa ramalan yang boleh dibuat.

Terbaharu ialah di Libya, juga berhadapan dengan krisis dan rakyatnya turun ke jalan raya. Pada awalnya, apa yang berlaku di Libya itu adalah jangkitan dari Mesir kerana golongan minoriti yang gagal dalam proses pemilihan pemimpin secara undang-undang telah menggunakan kekerasan. Namun bukan itu isunya.

Akhirnya, apa telah terjadi ke atas Libya. Dua hari lepas, negara yang dipimpin Muammar Gadaffi yang sebelum ini sangat terkenal sebagai anti barat telah diserang oleh tentera bersekutu yang diketuai Amerika. Dan, apabila itu berlaku, siapakah yang untung?. Rakyat Libyakah atau siapa? Hakikatnya, rakyat Libya yang sebelum ini ghairah turun di jalan raya telah diserang oleh tentera yahudi. Bagi saya, yahudi ada agenda di Libya dan ia bukan rahsia lagi kerana Libya adalah negara Arab yang sangat kaya dengan hasil minyaknya.

Sebelum itu, yahudi mencuba hal yang sama di Iran, namun usaha mereka ternyata gagal kerana ketegasan pemimpin Iran dalam menangani keganasan di negaranya telah menyelamatkan mereka.

Di sinilah pengajarannya. Kita di Malaysia, jangan terpedaya dengan pelbagai pendekatan keganasan yang cuba dicetuskan pihak tertentu. Jangan terlalu ghairah dengan kemahuan melangit sehingga tergamak menggadai maruah negara sendiri. Ingat, sekali lagi kita dijajah, kita tidak mungkin akan dimerdekakan lagi.

Apa yang saya lihat, tali barut yahudi terutama Amerika ada di mana-mana. Mereka ini sanggup dan tergamak melakukan apa sahaja demi kuasa dan kepentingannya. Amerika juga tidak mustahil sepertimana yang sering diperkatakan orang, mereka boleh menggunakan manusia tertentu di negara tertentu untuk diperalatkan.

Lihat apa yang berlaku di Libya sebagai contoh, negara mereka kini berhadapan dengan peperangan pula yang sengaja dicetuskan oleh tentera asing kononnya untuk menyelamatkan Libya sedangkan tindakan memerangi oleh Amerika telah menyebabkan lebih banyak nyawa melayang.

Kita cuma bimbang, tali barut yahudi juga ada dekat dengan kita ... berhati-hatilah.

Tuesday, March 8, 2011

NIK AZIZ: BELAJARLAH MENERIMA KEPUTUSAN RAKYAT

Assalamualaikum.

Bukan sukar sebenarnya untuk menilai kenyataan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nikmat ketika mengulas kekalahan Pas pada PRK Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka beberapa hari lalu.

Beliau antara lain dipetik sebagai berkata bahawa dia tidak halal dengan kemenangan BN pada kedua-dua PRK tersebut kononnya BN telah menggunakan taktik kotor. Memanglah ia satu kenyataan yang sangat keterlaluan, namun apabila ia keluar dari mulut Nik Aziz, ia bukanlah sesuatu yang pelik.

Demikian berbezanya UMNO/BN dengan Pas dalam menghadapi pilihan raya. BN, ketika kalah di Kelantan 20 tahun lalu, kalah di Terengganu pada PRU 1999 serta beberapa PRK, kita tidak pernah pun melemparkan apa-apa pandangan yang menunjukkan rasa tidak puas hati selain akur dengan kehendak rakyat.

BN menerima kekalahan sebagai sesuatu yang akhirnya boleh membantu parti menilai serta menyemak setiap usaha dan gerak kerja parti untuk rakyat.

Lain pula dengan pemimpin Pas, setiap kali mereka kalah dalam PRU atau PRK, mereka akan menuduh BN dengan tuduhan yang bermacam-macam. Menipu, rasuah, penyelewengan, pilihan raya paling kotorlah dan apa sahaja yang tergamak mereka katakan sebagai tanda penerimaan mereka terhadap keputusan rakyat.

Mereka akan menuduh, menfitnah BN apabila mereka kalah, tetapi di kerusi atau kawasan yang mereka menang, tiada pula kedengaran tuduhan sedemikian. Inilah tafsiran songsang pembangkang mengenai kalah dan menang dalam setiap pilihan raya. Seperti yang saya katakan semalam, kejayaan BN adalah petanda penerimaan rakyat terhadap parti itu yang selama ini telah bekerja dengan jujur dan ikhlas untuk agama, bangsa dan negara.

Rakyat sudah bijak untuk menilai kenyataan Nik Aziz. Dam, saya percaya kenyataan retorik seperti itu akan hanya menyebabkan rakyat makin meluat dengan pembangkang.

Hakikatnya, demokrasi di Malaysia masih segar tetapi ia dilihat buruk hanya semata-mata apabila pembangkang tidak boleh menerima kenyataan bahawa partinya telah kalah dalam pilihan raya. Jika pembangkang boleh menerima kekalahan dengan terbuka sebagaimana BN pernah menerimanya, keadaan akan menjadi bertambah baik.

Apa yang pasti, demokrasi dikotorkan oleh tangan-tangan dan mulut-mulut yang taksub dan terlalu teruja untuk memperolehi kuasa sedangkan rakyat tidak menyukai mereka.

Saya berdoa, rakyat kita akan terus kekal dengan pertimbangan yang bijak dalam menangani hal tersebut. Jangan mudah terpedaya dengan kenyataan yang melucukan mengenai demokrasi.

Demokrasi adalah hak rakyat.... jangan ada yang sengaja menfitnah demokrasi kerana rakyat akan membenci. Percayalah!.

Monday, March 7, 2011

TAHNIAH BN ATAS KEMENANGAN DI KERDAU DAN MERLIMAU

Assalamualaikum,

Tahniah saya ucapkan kepada YB Roslan Ahmad yang telah memenangi PRK Merlimau, Melaka semalam dan juga YB Syed Ibrahim Syed Ahmad yang turut menang pada PRK Kerdau, Pahang.

Kejayaan mereka yang mewakili BN ternyata telah memberikan sesuatau yang baharu kepada politik negara ini, apatah lagi BN dihadapkan dengan pelbagai isu-isu oleh pembangkang (walaupun isu berkenaan remah dan sengaja diada-adakan).

Bagi saya, kejayaan dengan majoriti besar oleh BN itu juga adalah petanda betapa rakyat kini, terutama pengundi muda kembali yakin kepada BN. Jauh daripada itu, rakyat memahami apa yang sedang kerajaan tanggung walaupun itu dilihat dari perpektif isu oleh pembangkang. Rakyat sedar betapa semua yang berlaku adalah satu proses yang akan menguntungkan mereka biarpun pembangkang melihatnya sebagai satu beban.

Rakyat juga melihat bahawa kerajaan BN telah sedaya upaya berusaha untuk meringankan apa jua beban rakyat melalui pelbagai pendekatan yang jujur dan ikhlas. Berbeza dengan pembangkang yang mengamalkan politik menggula-gualakan rakyat tetapi ternyata mereka gagal dalam misi mereka.

Tidak dapat tidak, PRK Merlimau dan Kerdau telah memberi suntikan baharu kepada BN untuk terus bergerak dan berusaha bagi memenangi hati rakyat. Saya percaya, pucuk kepimpinan BN sentiasa mempelajari sesuatu di sebalik setiap PRK yang diadakan.

Untuk itu, saya ucapkan tahniah kepada pengundi di kedua-dua DUN berkenaan kerana telah membuat pilihan tepat dengan mengundi BN pada PRK itu semalam.

Saya berharap, rakyat di seluruh negara juga dapat melihat keadaan tersebut secara positif bahawa politik yang diamalkan pembangkang banyak merugikan negara. Berbeza dengan BN yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan, kesejahteraan dan kejayaan hidup rakyat.

Sebenarnya, kejujuran BN adalah kunci kepada kejayaan tersebut. BN tidak berjuang dengan bermodalkan air liur semata-mata seperti pembangkang. Apa yang pemimpin BN cakap, itulah yang pemimpin BN buat demi rakyat dan negara.

Ternyata juga, usaha mempolitikkan agama oleh pembangkang telah ditolak oleh rakyat di Kerdau dan Merlimau. Pengundi di dua kawasan berkenaan telah berjaya membezakan antara Islam sebenar dengan Islam Pas yang terlalu banyak kepentingan politik.

Saya berdoa, penduduk di Kerdau dan Merlimau akan meperolehi lebih banyak pembelaan selepas ini. Percayalah, hanya BN yang mampu membela nasib rakyat di negara ini. Muktamad.

Wednesday, March 2, 2011

CUKUPLAH BERPOLITIK SECARA MURAH

Assalamualaikum.

Sudah agak lama saya tidak update blog saya. Tentu sekali, kekangan waktu telah menjadi sebab utama kepada keadaan tersebut. Apa pun, setiap kali saya mempunyai ruang, saya akan kembali mencatatkan di sini. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan yang telah atau sering mengikuti tulisan saya.

Rata-rata setiap hari, orang bercakap mengenai politik. Hal ini pernah saya ulas dalam posting saya yang terdahulu. Persoalannya ialah, apakah berpolitik sepanjang masa ini banyak mendatangkan keuntungan atau sebaliknya. Pilihan Raya Kecil (PRK) misalnya, telah menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Khabarnya, sudah masuk 16 kali PRK terpaksa diadakan. Keadaan itu sedikit sebanyak telah menyebabkan rakyat terheret dengan kemelut politik.

Saya cuma ingin mengajak anda berfikir, apakah berpolitik dengan cara sekarang telah berjaya membentuk jati diri, sahsiah rakyat untuk memacu kelebihan dalam semua perkara. Rata-rata hari ini, setiap benda hendak dipolitikkan. Walaupun secara jujurnya, politik BN lebih banyak yang menjurus kepada keuntungan rakyat dan negara, namun dakyah pembangkang juga tidak boleh dipandang mudah.

Ini kerana, pembangkang lebih gemar menggunakan pendekatan fitnah dan dakyah untuk mempengaruhi pemikiran rakyat sehingga ia boleh mencetuskan kekeliruan. Apatah lagi, pembangkang gemar menabur janji, lantaran "perniagaan politik" mereka hanyalah bermodalkan air liur sahaja.

Saya berpandangan, kita harus meredakan keadaan agar tidak terus berpolitik sepanjang masa. Kita harus ada tempoh tertentu untuk berpolitik agar fokus serta tumpuan dapat diberikan terhadap usaha memaju dan membangunkan negara. Hal ini sangat penting sebenarnya, kerana terlibat dengan politik putaran waktu ini akan hanya menyebabkan banyak pihak mengabaikan cabaran yang lebih getir.

Saya melihat perkembangan yang berlaku dengan sangat teliti. Saya sangat khuatir terhadap apa yang berlaku kerana apa yang saya mahukan ialah, kita perlu memberikan fokus terhadap isu-isu yang lebih serius demi masa depan kita dan negara kita.

Kepada rakyat, mereka harus lebih bijak dalam menangani keadaan ini. Jangan mudah terpedaya atau terpengaruh dengan dakyah yang dibawa pembangkang kerana kita harus melihat beberapa model yang ada di depan mata kita.

Malaysia ini unik. Beberapa negeri telah diberikan kuasa kepada pembangkang. Jadilah negeri berkenaan sebagai rujukan sebelum anda mahu mengubah Kerajaan Pusat. Jika mentadbir kuasa yang telah diberikan rakyat, pembangkang sudah gagal, di mana kemampuan mereka kononnya mahu menguasai Putrajaya.

Itu yang rakyat harus fikirkan.