Friday, January 21, 2011

PILIHAN RAYA KECIL LAGI

Assalamualaikum.

Belum pun tiba hari penamaan calon PRK Tenang, Johor yang dijadualkan esok (Sabtu - 22 Jan 2011), seorang lagi wakil rakyat di Melaka dilaporkan meninggal dunia malam tadi yang menandakan satu lagi PRK yang terpaksa diadakan.

Takziah saya ucapkan kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Melaka, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dan berdoa semoga roh Allayarham akan ditempatkan di kalangan insan-insan yang beriman. Semoga keluarga Allahyarham melalui dugaan ini dengan penuh sabar.

Adalah tidak elok jika saya menulis mengenai PRK yang akan diadakan di Melaka itu tetapi secara umumnya akan ada PRK baharu bakal diadakan.

Seperti yang kita semua sedia maklum, kali ini adalah paling banyak PRK yang terpaksa diadakan, sama ada disebabkan wakil rakyat yang meletakkan jawatan atau pun meninggal dunia. Sedang menanti dalam senarai ialah kes di Selangor berikutan Speaker DUN negeri itu mengistiharkan kerusi DUN Pelabuhan Kelang telah kosong atas sebab-sebab yang beliau telah umumkan.

Biarlah apa pun faktornya, PRK adalah satu proses yang menuntut kepada perbelanjaan yang besar. Sama ada kita menyukainya atau tidak, keadaan tersebut tidak boleh dielakkan lagi. Kecuali kes yang melibatkan kematian, kes-kes lain sehingga menyebabkan PRK terpaksa diadakan haruslah ditangani dengan sebaik mungkin.

Ini berlaku disebabkan kita terlalu bermain politik walaupun kita baharu sahaja mendapat mandat rakyat pada PRU ke-12 yang lalu. Sepatutnya selepas PRU, kita memberikan fokus kepada usaha membela nasib rakyat dan menunaikan segala janji yang ada.

Politiking yang terlalu melampau bagi saya telah mengganggu kerja-kerja wakil rakyat terhadap usaha menjaga kepentingan rakyat. Saya berpendapat, hal ini tidak boleh dipandang remeh dan sebelah mata. Harus ada sesuatu yang wajar dilakukan bagi mengelak agar ia tidakj terus berlarutan.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Tuesday, January 18, 2011

BENTUK KEMENANGAN BN

Assalamualaikum.
Jika pun dikatakan "tidak", namun ramalan di warung kopi mengatakan bahawa pilihan raya umum semakin hampir. Seronoknya mendengar apa yang mereka ceritakan, seolah-olah mereka tahu apa yang di fikiran Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.
Baiklah. Kita ketepikan soan betul atau salah mengenai ramalan tersebut. Soalnya, semua orang bercakap mengenai pilihan raya. Andaian saya mudah, orang kita terlalu fanatik dengan politik sehingga mereka berpolitik 24 jam sehari.
Apa pun, saya mengambil satu persepsi yang positif di mana jentera parti perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya yang diadakan, sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Jadi, apakah dalam keadaan sekarang kita sudah bersedia?. Dalam keadaan iklim politik yang semakin tidak menentu, saya fikir sudah sampai masanya kita semua ahli-ahli parti mengetepikan hal-hal yang remeh dalam politik.
Semua orang tidak tahu bilakah pilihan raya umum akan diadakan. Mungkin tahun ini, mungkin tahun depan atau beberapa tahun lagi. siapa tahu selain Perdana Menteri sahaja. Biarlah. Kita tinggalkan seketika perkara itu.
Saya amat tertarik dengan kata-kata Presiden UMNO, DS Mohd najib Tun Razak bahawa beliau akan menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon BN di PRK Tenang nanti. Saya berpendapat, jika semua pihak akur dengan pilihan pucuk pimpinan, UMNO/BN tidak akan berada dalam gambaran bermasalah walaupun hakikatnya tidaklah begitu.
Saya amat optimis bahawa jika kita semua akur dan diam dengan apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan, BN akan mampu menang besar dalam setiap pilihan raya. Pas tidak akan ke mana pun. Apabila Pas meletakkan calon wanita di PRK Tenang, saya melihatnya sebagai satu "permainan" mereka untuk menonjolkan kononnya Pas iktiraf wanita kerana mereka sendiri sedar bukan senang Pas hendak menang di sana.
Jadi, saya berharap semua pihak akan akur dengan kehendak pucuk pemimpin itu demi kemenangan BN.
Hakikatnya, rakyat sudah semakin sedar dengan apa yang dicanangkan pembangkang hanyalah satu permainan demi kuasa semata-mata. Tidak lebih daripada itu.
Kepada rakyat, lihatlah dengan matang apa yang sedang berlaku di depan mata. Usah berfikir secara emosional sehingga mengabaikan apa yang sepatutnya mereka pertahankan. Bukan kerana saya orang UMNO atau pemimpin UMNO tetapi kerana saya melihat kenyataannya bahawa hanya BN sahaja yang mampu membela nasib rakyat dan memajukan negara ini.
Insaflah bahawa pembangkang telah GAGAL dalam mengurus kuasa yang mereka perolehi di negeri-negeri tertentu di negara ini. Rakyat bukan sahaja terabai tetapi kaedah mengajak rakyat berpolitik atau berpolemik sepanjang masa sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah untuk masa depan mereka.
Fikir-fikirkanlah.

Sunday, January 9, 2011

PERTEMUAN YANG SANGAT PENTING

Perjumpaan PM dengan Ahli Parlimen - Gambar Utusan

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Buat pertama kali, YAB Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN secara khusus bagi mendengar apa jua masalah dan cadangan-cadangan. Sebelum ini, pertemuan sentiasa diadakan tetapi pada semalam, ia diadakan lebih khusus.

Saya tidak mahu mencatatkan apakah yang dibincangkan kerana itu adalah hal pentadbiran, tetapi apa yang pasti, pertemuan tersebut amat penting dalam usaha PM untuk menjayakan agenda yang digariskan dalam gagasan 1Malaysia.

Kaedah yang digunakan PM cukup tepat bagi mendengar sendiri secara telus dan telrs mengenai apa jua perkara. bagi saya, inilah transformasi politik yang sedang dilaksanakan PM kerana beliau mahu memastikan setiap janji kepada rakyat, kita tunaikan.

Saya percaya, PM telah memperolehi banyak input di sebalik pertemuan tersebut yang sudah pasti akan membantu beliau melaksanakan apa yang beliau inginkan. Saya melihat ini sebagai perkembangan yang akan meningkatkan keuntungan politik kepada parti pemerintah, BN.

Saya percaya bahawa PM sedang dalam usaha untuk melakukan lebih banyak perubahan politik bagi memastikan BN akan terus kekal sebagai parti pemerintah negara ini pada masa akan datang.

Itu saja.


Monday, January 3, 2011

TAHUN BAHARU DAN PERISTIWA

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Dalam diam sudah tiga hari kita memasuki tahun 2011. Apa yang telah kita tinggalkan pun, semakin hari semakin hilang dari ingatan. Entah di mana silapnya, itulah yang sentiasa berlaku.

Ada juga yang menanam azam di tahun baharu, masuk di hari ketiga ini, ia semakin hilang dari perhatian. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya kita mempunyai azam sendiri, kita ada kemahuan dan kita ada keinginan. Saya merasakan masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut tahu baharu kepada anda semua. Mudah-mudahan tahun ini akan menjadi lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dalam politik Terengganu, tahun baharu telah meleraikan satu persoalan besar mengenai pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Terengganu. Tahniah kepada YAB Menteri Besar Terengganu yang telah diberikan semula amanah untuk memimpin parti. Bagi saya, ia telah membawa satu pengertian yang besar dalam kontekjs ia diumumkan menjelangnya tahun baharu.

Saya menaruh harapan yang kuat bahawa kepimpinan baharu parti akan dapat melaksanakan apa yang telah diamanahkan. Dan, sudah tentu kita semua - pemimpin dan ahli parti mestilah berganding bahu dalam memastikan kejayaan ini.

Tahun baharu juga kita raikan dengan kejayaan Malaysia dalam Piala Suzuki - meleraikan penantian selama 14 tahun. Lebih bertuah, enam pemain dalam pasukan Malaysia itu adalah anak Terengganu yang sudah tentu amat mengembirakan kita semua.

Esok, tahun baharu yang ketiga bermulanya alam persekolahan. Anak-anak dan ibu bapa yang mempunyai anak pertama kali ke sekolah akan lebih sibuk. Mudah-mudahan anak kita akan terus melakar kejayaan dan menjadi pewaris masa depan negara yang hebat dan berjaya dalam apa jua bidang dan perkara.

Itulah harapan saya, semoga ia menjadi nyata. Insya'Allah.