Sunday, May 8, 2011

TERIMA KASIH IBU

Assalamualaikum.


Terima kasih kepada semua sahabat dan kenalan yang telah memberikan pandangan serta sokongan melalui laman blog saya ini. Juga, terima kasih kepada mereka yang telah menjadi sahabat Facebook saya dan telah memberikan komentar serta pandangan yang sangat berguna.

Jujurnya, saya merasai anda dekat dengan saya melalui perhubungan maya. Kita tinggalkan dahulu hal itu.


Hari ini, saya ingin mencatatkan mengenai istimewanya bulan Mei ini. hari ini misalnya, kita semua meraikan Hari Ibu, satu sambutan yang pada pandangan saya sangat memberi impak serta kesan yang mendalam terhadap hubungan kita dengan ibu kita. Di laman sosial facebook misalnya, sungguh terharu saya membaca sekian banyak ucapan Hari Ibu diluahkan dengan begitu kreatif dan berkesan sekali.


Rata-rata, warga ibu yang mampu mengikuti perkara tersebut sudah tentu dapat merasai nikmat diraikan oleh anak-anak. Sebagai seorang anak, saya juga merasai nikmatnya mempunyai ibu.


Seorang ibu adalah insan yang paling berharga, paling bernilai dan tiada gantinya jika ia pergi meninggalkan kita. Ibu adalah satu-satunya insan yang melahirkan kita, walaupun mungkin ada di kalangan ibu yang tidak sempat membesarkan kita. Pengorbanan seorang ibu untuk seorang anak, tiada batasnya.


Saya kagum dan ingin berkongsi kegembiraan dengan anda semua bahawa sambutan Hari Ibu sebenarnya semakin meriah, semakin bernilai dan menjadi semakin penting dalam kehidupan kita. Inilah hari yang tidak ada selama ini, tetapi telah kita adakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada ibu kita.


Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu, bajailah kasih sayang, curahkanlah segala pengorbanan untuk seorang ibu, usah dilukai hati seorang ibu. Selain syurga itu di bawah tapak kaki ibu, anak-anak yang berkorban untuk ibunya, Allah pasti akan melipatgandakan rezeki kepadanya.


Kepada mereka yang ibunya telah pergi selama-lamanya, berdoalah buat ibu. Doa seorang anak akan memberikan sekian banyak rahmat kepada arwah ibu kita.


Kepada mereka yang bergelar ibu, saya dengan rasa bangga dan rendah diri, ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu.


Terima kasih ibu, ibu adalah permata hati kita semua.

Monday, May 2, 2011

TERIMA KASIH PM, DAN RAKYAT KUALA NERUS









Assalamualaikum.


Sebenarnya saya sangat teruja mahu mencatatkan sesuatu sebaik selesai lawatan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Parlimen Kuala Nerus, Sabtu lalu. Namun, disebabkan kekangan waktu, baru sekarang saya mempunyai sedikit kelapangan untuk menulis.


Umumnya, saya mengucapkan terima kasih kapada YAB Perdana Menteri kerana telah memilih Parlimen Kuala Nerus sebagai sebahagian daripada destinasi lawatannya ke Terengganu ini selain di DUN Manir, di Parlimen Hulu Terengganu dan DUN Bandar di Parlimen Kuala Terengganu.


Istimewanya lawatan ini, seperti yang saya ucapkan pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong tempoh hari, ialah kerana YAB Perdana Menteri telah memilih empat tempat di Parlimen Kuala Nerus ini untuk siri lawatannya kali ini.


Selain Pekan Batu Enam, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melawat Kampung Pangkalan Arang, Bukit Tunggal dan Pulau Duyong. Inilah yang saya sifatkan sebagai lawatan berganda dari PM ke Parlimen Kuala Nerus.


Saya juga mahu merakamkan rasa kagum, gembira dan terima kasih kepada rakyat di Parlimen Kuala Nerus ini yang telah memberikan sokongan dan dokongan yang kuat untuk menjayakan program yang diatur.


Dengan kehadiran yang melebihi sasaran, saya terjemahkan ini sebagai satu gelombang baharu rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) terutama dalam mendepani senario politik Terengganu pada masa depan.


Program lawatan PM ini adalah terbuka dan ia bukanlah satu kerahan kehadiran tetapi melihat kepada sambutan luar biasa rakyat, saya sangat terharu sebenarnya.


Tidak dapat saya gambarkan rasa gembira itu, ia benar-benar ada di dalam hati saya seperti adanya rakyat di hati raya. Saya sangat kagum dan gembira di atas sambutan yang diberikan dan berharap, sokongan seperti ini akan berterusan sampai bila-bila.


Kepada YAB Perdana Menteri, saya bagi pihak pengundi dan penduduk Parlimen Kuala Nerus ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih. Kepada Rakyat di Parlimen Kuala Nerus, saya mahu menghargai mereka dan saya ingin nyatakan, mereka sangat membanggakan sebenarnya.


Mudah-mudahan usaha ini akan diberkati oleh Allah s.w.t, insyaAllah.