Tuesday, May 22, 2012

SELAMAT HARI IBU


Assalamualaikum…

Masih tidak terlalu lewat sebenarnya untuk saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu kepada semua golongan ibu.

Alhamdulillah, saya sangat teruja sebenarnya apabila melihat begitu ramai anak-anak kita kini meraikan ibu bapa mereka sempena Hari Ibu. Dan, kerana itulah, saya tetap menulis mengenai perkara tersebut walaupun agak terlewat sedikit.

Kata orang, syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Demikianlah besarnya erti seorang ibu dalam kehidupan manusia, khususnya kita yang beragama Islam ini. Bagi mereka yang memahami tanggungjawab itu, mereka tidak akan sedikit pun mengecewakan ibu mereka, apatah lagi membiarkan ibu mereka menitiskan air mata kerana kecewa dengan sikap anaknya.

Cuma agak malang sedikit di zaman moden ini, apabila masih ramai di kalangan anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa sendiri. Buktinya, masih ada anak-anak yang tergamak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dan tidak sanggup menjaga ibu sendiri.

Keadaan ini sebenarnya sangat menyedihkan. Ibu bapa kita boleh berkorban apa sahaja untuk membesarkan berapa ramai anak sekalipun, namun sepuluh orang anak masih belum mampu menjaga seorang ibu. Keadaan ini adalah senario yang biasa berlaku di zaman sekarang.

Oleh itu, sempena sambutan Hari Ibu, marilah kita semua meraikan ibu bapa kita. Ingat dan kenanglah jasa mereka, bukan sahaja kerana tanpa mereka tiadalah kita tetapi mereka adalah golongan yang diwajibkan ke atas kita untuk mentaati dan menjaganya.

Apa pun, Hari Ibu telah membuka satu lembaran baru kepada masyarakat kita hari ini. Ia keadaan yang wajar dilihat secara positif dan mempunyai nilai-nilai murni yang baik.

Kepada golongan ibu, saya ucapkam selamat hari Ibu … semoga ibu akan sentiasa di hati setiap anak yang dilahirkannya.


Monday, May 14, 2012

MENGINGATI SEJARAH SEBAGAI PENGAJARAN


Assalamualaikum.

Saya tidak pasti, sama ada ramai yang mengingati detik 13 Mei semalam. Bagi generasi muda, mereka mungkin tidak faham mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 1969 itu.

Walaupun ia merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk ditelan dalam sejarah negara, namun ia wajar dikenang sebagai pengajaran kepada semua agar apa yang pernah berlaku itu tidak akan berlaku lagi. Kita bertuah sebenarnya, dalam sebuah negara majmuk sebagaimana kita, kita masih boleh menjalani kehidupan yang sangat harmoni, saling menghormati sesama kita.

Sebenarnya sejarah tidak meninggalkan kita hanya sebagai sejarah untuk kita kenang mengenainya. Namun, sejarah yang berlaku adalah pengajaran yang sangat berguna untuk kita memiliki sesuatu yang lebih baik daripada itu.

Malang sekali apabila terdapat sesetengah pihak yang bukan sahaja takut kepada sejarah tetapi sangat sinis terhadapnya. Saya berpandangan, itu tidak bagus sebenarnya.

13 Mei adalah isu sensetif untuk dibincangkan. Namun, sebagai sejarah yang boleh mengajar kita erti perpaduan, kerjasama dan tolak ansur dalam mengisi kemerdekaan negara bertuah ini, maka bagi saya ia adalah sangat wajar kita kenang dan ingat.

Apatah lagi di saat negara kita kini mulai diresapi dengan anasir-anasir yang mampu memberikan kesan yang tidak baik terhadap perpaduan dan kesepakatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Kepada rakyat, khususnya anak-anak muda, mereka perlu tahu mengenai sejarah tanahair mereka sendiri. Mereka tidak wajar hanya menjadi golongan yang mengikut apa yang ditelunjukkan kepada mereka. Tidak boleh begitu. Bagi saya, generasi muda terutamanya perlu mempunyai pengetahuan sendiri mengenai sejarah negara, barulah mereka akan faham mengenai tanggungjawab mereka terhadap negara bertuah ini.

Apa pun, marilah kita mengingati sejarah. Marilah kita mempelajari sesuatu daripada sejarah itu. Semoga kita akan terus kekal memiliki sebuah negara yang aman, harmoni dan mempunyai masyarakat majmuk yang memiliki semangat setiakawan dan toleransi yang tinggi.

Semuanya, demi Malaysia!

UMNO TERUS JADI PILIHAN RAKYAT


Assalamualaikum.

Alhamdulillah, sambutan hari ulang tahun kelahiran UMNO tiba lagi. Dalam kita ghairah berusaha membangun dan memajukan negara selain mendahulukan kebajikan untuk rakyat, UMNO kini sudah berusia 66 tahun – satu tempoh yang cukup sarat dengan pengalaman.

Saya sangat teruja dengan sambutan 66 tahun UMNO kali ini. Kemuncak acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan dihadiri lebih 100,000 orang, ia sebenarnya sangat menakjubkan. Malah, terus-terang saya katakan bahawa gelombang merah yang ditunjukkan oleh ahli UMNO melambangkan mereka sebenarnya sangat bersemangat dan masih setia dengan parti keramat ini.

Jika kita melayari laman social misalnya, pembangkang nampak takut dengan keadaan itu. Lalu seperti biasa, mereka melemparkan pelbagai fitnah dan dakyah bagi mematikan kekaguman rakyat terhadap sambutan yang luar biasa itu.

Hebatnya peristiwa itu ialah, ia berlaku di saat UMNO dikatakan semakin lemah ekoran asakan bertubi-tubi pembangkang. Saya bukannya ingin mendabik dada, untuk meruntuhkan sebuah parti seperti UMNO, apatah lagi oleh sebuah pakatan songsang yang sangat rapuh, ia bukanlah semudah yang mereka laungkan.

UMNO adalah parti yang telah menentukan jatuh bangunnya negara ini. UMNO adalah parti yang telah memakmurkan setiap inci bumi yang ada demi rakyat dan negara. UMNOlah yang telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat sebagaimana sekarang. Kejayaan itu disokong dengan kerjasama erat daripada parti-parti komponan dalam Barisan Nasional (BN).

Saya melihat, angin perubahan yang sangat kuat berlaku sekarang di mana rakyat, khususnya anak-anak muda sebenarnya masih setia dengan UMNO. Tidak perlu sayalah detailkan mengenai perkara tersebut, tetapi kehadiran begitu ramai anak-anak muda di Stadium Nasional Bukit Jalil telah memadai untuk memberikan jawapan terhadap apa yang saya lontarkan ini.

Bagi saya, UMNO akan terus berada di persadanya dengan hebat dan perkasa. Jasa UMNO tidak mungkin akan dilupai rakyat.

Biarpun perjalanan semakin rumit dan berliku, UMNO sebenarnya sudah bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. UMNO mempunyai cara dan kaedah sendiri dalam perjuangannya dalam menentukan survival politiknya terus relevan dengan persekitaran dan kehendak semasa.

Marilah kita berdoa agar UMNO akan terus utuh dan kekal di bumi Malaysia ini. Saya amat optimis bahawa UMNO akan terus berada di hati rakyat Malaysia yang tahu akan jasa serta rekod UMNO dalam memaju dan membangunkan negara.

Pembangkang mungkin boleh membakar emosi rakyat untuk membenci UMNO, namun mereka tidak akan mudah dapat memadamkan hakikat mengenai hasil dan kejayaan UMNO di bumi Malaysia ini.

66 tahun UMNO sangat berjaya dalam perjuangannya, dan di atas sebab itulah, UMNO akan terus kekal hebat sebagai satu-satu parti yang mampu membela nasib rakyat, membawa perubahan terhadap masa depan negara dan menjamin keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran UMNO yang ke 66.

Hidup UMNO!!! … hidup UMNO!!! … hidup UMNO!!! …


Wednesday, May 9, 2012

TOLAK PENGKHIANAT AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Tindakan ini mungkin boleh memuaskan hati mereka tetapi tanpa mereka sedar ia membawa mudarat yang lebih besar bukan sahaja kepada negara tetapi umat Islam di Malaysia.

Assalamualaikum.

Saya di Abu Dhabi ketika saya menulis ini kerana menyertai lawatan kerja rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Alhamdulillah, sempat mencuri sedikit waktu untuk mencatatkan sesuatu. Syukur.

Dari kejauhan ini, saya sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di tanahair. Inilah hebatnya dunia yang tiada sempadan, membolehkan kita mendapat apa jua maklumat mengenai apa sahaja dan di mana sahaja.

Saya juga memohon maaf kepada rakan-rakan FB saya yang telah memberikan pelbagai pandangan serta idea untuk kesejahteraan kita semua. Saya akan membalas pesanan anda dalam waktu yang terdekat, insyaAllah.

Hari ini saya ingin memberikan reaksi mengenai isu kerajaan Arab Saudi yang memberikan amaran kepada kerajaan Malaysia mengenai insiden Perhimpunan Bersih yang diadakan di Madinah dan Mekah baru-baru ini.

Khabarnya, kerajaan Arab Saudi yang selama ini sangat sensetif dan mempunyai kawalan yang ketat terhadap sebarang aktiviti perhimpunan seperti itu tidak senang dengan apa yang berlaku.

Malah, ia memungkinkan tindakan membekukan kebenaran jemaah Haji dan Umrah dari Malaysia jika perlu. Inilah akibatnya bila sesetengah rakyat keras kepala dan degil. Bertindak ikut emosi dan tidak memikirkan akan kesannya.

Di Malaysia, kita adalah sebuah demokrasi. Salurannya terbuka luas. Demokrasi di Malaysia walaupun dihina dan dikeji oleh puak pembangkang, mereka sehingga kini mampu menguasai empat negeri.

Andailah kata benar kerajaan Arab Saudi ambil tindakan pembekuan itu, apa yang akan berlaku. Siapa yang susah, siapa yang rugi.

Adakah Ambiga, Anwar, Hadi Awang atau Nik Aziz dan Kit Siang?

Apa pun kerajaan Malaysia yang dipimpin Barisan Nasional (BN) tidak pernah membiarkan nasib rakyat menjadi sebegitu walaupun kerajaan dihina, dituduh macam-macam, dikeji dan sebagainya. Bagi kerajaan BN, rakyat adalah diutamakan.

Rakyat kita harus bijak dalam menilai perkara ini. Mereka tidak boleh memandang mudah. Kepada rakyat, lihatlah akibat segelintir manusia hipoktir yang sengaja menjahamkan nama dan imej negara sehingga sanggup melakukan sedemikian rupa.

Insaflah wahai rakyat. Tolak manusia dan golongan yang menjadi perosak negara. Marilah kita bersatu menyokong dan mendokong kerajaan BN dalam pembetukan sebuah negara yang aman, harmoni dan maju.
  


Monday, May 7, 2012

TERIMA KASIH KEPADA RAKAN FB SAYA


Assalamualaikum.

Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan facebooker yang hadir pada program santai petang Khamis lalu di Taman Tamadun Islam (TTI). Sebenarnya saya sudah memikirkan agak lama untuk mengadakan program sedemikian tetapi malangnya kekangan waktu tidak mengizinkan saya.

Apa pun, apa yang saya hasratkan telah pun menjadi kenyataan. Dan saya amat gembira sekali di atas sambutan, kehadiran dan sokongan yang diberikan.

Melalui program sedemikian sebagaimana yang kita maklum, saya dapat mengenali rakan-rakan facebook saya, sama ada dari kawasan saya di Parlimen Kuala Nerus atau di mana sahaja. Apa yang penting kita dapat bersua, dapat berbicara dan bertukar-tukar pandangan mengenai banyak perkara.

Jujurnya, saya kagum dan teruja dapat bertemu rakan facebook. Ternyata mereka sangat mempunyai semangat setiakawan yang tinggi sesame mereka. Saya kagum dengan anda semua sebenarnya.

Kepada mereka yang tidak dapat hadir atas apa jua sebab, mungkin di lain waktu kita dapat bersua lagi dalam acara yang lain pula.

Saya fikir, facebooker adalah antara golongan yang sangat penting di kala ini. Mereka menjadi wartawan dan juru lapor mengenai apa jua peristiwa. Saya sendiri sebagai wakil rakyat, memperolehi banyak maklumat mengenai peristiwa di kawasan saya melalui apa yang dicatatkan oleh rakan-rakan facebook. Ada di antara mereka menghantar mesej melalui chatting dan sebagainya.

Bezanya hari ini, kita bersua muka dan saling mengenali antara satu sama lain.

Saya sangat berharap agar kita dapat bersua lagi di suatu masa nanti, insyaAllah.

Terima kasih kepada semua.