Assalamualaikum…
Masih tidak
terlalu lewat sebenarnya untuk saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu
kepada semua golongan ibu.
Alhamdulillah,
saya sangat teruja sebenarnya apabila melihat begitu ramai anak-anak kita kini
meraikan ibu bapa mereka sempena Hari Ibu. Dan, kerana itulah, saya tetap
menulis mengenai perkara tersebut walaupun agak terlewat sedikit.
Kata orang,
syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Demikianlah besarnya erti seorang ibu dalam
kehidupan manusia, khususnya kita yang beragama Islam ini. Bagi mereka yang
memahami tanggungjawab itu, mereka tidak akan sedikit pun mengecewakan ibu mereka,
apatah lagi membiarkan ibu mereka menitiskan air mata kerana kecewa dengan
sikap anaknya.
Cuma agak
malang sedikit di zaman moden ini, apabila masih ramai di kalangan anak-anak
yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa sendiri. Buktinya, masih ada
anak-anak yang tergamak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dan
tidak sanggup menjaga ibu sendiri.
Keadaan ini
sebenarnya sangat menyedihkan. Ibu bapa kita boleh berkorban apa sahaja untuk
membesarkan berapa ramai anak sekalipun, namun sepuluh orang anak masih belum
mampu menjaga seorang ibu. Keadaan ini adalah senario yang biasa berlaku di
zaman sekarang.
Oleh itu,
sempena sambutan Hari Ibu, marilah kita semua meraikan ibu bapa kita. Ingat dan
kenanglah jasa mereka, bukan sahaja kerana tanpa mereka tiadalah kita tetapi
mereka adalah golongan yang diwajibkan ke atas kita untuk mentaati dan
menjaganya.
Apa pun, Hari
Ibu telah membuka satu lembaran baru kepada masyarakat kita hari ini. Ia
keadaan yang wajar dilihat secara positif dan mempunyai nilai-nilai murni yang
baik.
Kepada
golongan ibu, saya ucapkam selamat hari Ibu … semoga ibu akan sentiasa di hati
setiap anak yang dilahirkannya.