Monday, August 27, 2012

JEMPUTLAH KE RUMAH TERBUKA SAYA


Assalamualaikum.

Walaupun sudah hampir sepuluh hari Syawal berlalu, namun kemeriahan Aidilfitri masih dirasakan. Di sana sini masih banyak diadakan rumah terbuka dan budaya kunjung mengunjung masih lagi segar di kalangan masyarakat kita hari ini.

Tidak terlambat bagi saya dan isteri untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam, di mana jua mereka berada khususnya pengundi dan rakyat di Parlimen Kuala Nerus.

Apa yang berlaku di hadapan kita sekarang adalah sesuatu yang sangat menakjubkan. Kita berada di sebuah negara yang aman dan damai hasil daripada usaha kerajaan BN yang tidak pernah jemu memaju dan membangunkan negara ini.

Saya gembira sebenarnya melihat rakyat hidup aman damai dan gembira, terutama pada Aidilfitri ini.

Rata-rata di mana-mana pun saya berkunjung, saya melihat keadaan yang sangat mengkagumkan sedang dinikmati oleh mereka – ia sesuatu yang tidak mungkin ada di semua negara di dunia ini – berilah apa pun alasannya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk menjemput dan mempersilakan kalian semua ke majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuala Nerus yang akan diadakan pada 1 September ini di Perkarangan Pejabat Parlimen Kuala Nerus.

Datanglah beramai-ramai, dapatlah kita bersua muka, bertanya khabar dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita.

Mudah-mudahan usaha murni akan diberkati oleh Allah s.w.t jua. Insya’Allah.

Sunday, August 26, 2012

BERTUAHNYA RAKYAT MALAYSIA


Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan untuk mencatatkan sesuatu untuk anda semua.

Bersyukur jugalah kerana Syawal sekali lagi datang menjengah dan kita di Malaysia yang bertuah ini dapat menyambut hari lebaran dengan meriahnya. Jujurnya, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia, kita di sini sebenarnya jauh lebih bertuah.

Fakta ini tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikannya. Saya dan anda sendiri mampu melihat betapa Aidilfitri telah diraikan dengan meriah, harmoni dan penuh dengan semangat perpaduan di kalangan rakyat.

Jauh daripada itu, rakyat kita juga mewah dengan pelbagai bantuan dan sumbangan, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga orang perseorangan. Ramadan yang baru sahaja kita tinggalkan misalnya telah meninggalkan banyak peristiwa kepada kita.

Selain kita telah mengisinya dengan amal ibadah untuk menikmati ganjaran dan tawaran pahala berlipat kali ganda dari Allah s.w.t, Ramadan juga telah memperlihatkan di negara ini bagaimana umat Islam dan kerajaan tidak “menang tangan” menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Saya sendiri sebagai wakil rakyat yang merasai sendiri keadaan tersebut telah melihat betapa bertuahnya rakyat di negara ini kerana sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan. Sebutkan sahaja di mana ada rakyat yang susah, pasti akan segera dibantu.

Saya sangat teruja sebenarnya untuk menyatakan betapa jika kita semua di negara bertuah ini tidak bersyukur dengan segala nikmat itu, maka tidak tahulah saya untuk berkata apa lagi.

Oleh itu, saya ingin mengajak rakyat agar melihat dan menilai keadaan ini agar mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh merugikan negara dan masa depan mereka.

Ini adalah satu realiti yang harus kita terima dengan hati yang terbuka, siapa pun kita, di mana pun kita berada.

Kita rakyat Malaysia sebenarnya sangat bertuah.

Monday, August 6, 2012

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kerana sekali lagi saya dapat menganjurkan majlis berbuka puasa di Pejabat Parlimen Kuala Nerus beberapa hari yang lalu.

Saya sesungguhnya sangat gembira, teruja dan terharu dengan kehadiran para tetamu dan rakyat di Parlimen Kuala Nerus sekalian yang bagi saya, ia adalah satu simbol kasih sayang dan persahabatan antara kita.

Saya faham bahawa dalam kita sudah ke arah jumlah hari berpuasa yang “menurun”, maka banyaklah yang menganjurkan majlis berbuka puasa. Namun saya bersyukur, majlis yang saya anjurkan ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Bagi saya, kerjasama dan sokongan sedemikian wajar diteruskan pada masa akan datang. Saya rasa, jalinan kerjasama tersebut telah memberi impak yang baik kepada kita semua sebagai umat Islam.

Apa pun, kita sebenarnya jauh lebih bertuah jika dibandingkan dengan rakyat di kebanyakan negara di dunia. Bukan sahaja kita dapat mengecapi nikmat keamanan, malah rezeki yang Allah berikan kepada kita juga melimpah ruah.

Dengan keadaan sedemikian, kita telah dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa dan sejahtera.

Oleh kerana itu, wajarlah andainya kita dapat menginsafi apa yang kita miliki ini dengan penuh rasa syukur. Fikirkanlah bahawa apa yang sedang kita kecapi ini tidak semuanya mampu dikecapi oleh orang lain.

Marilah kita belajar menjadi insan yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menyediakan keamanan serta kemakmuran ini.

Terima kasih kepada semua, selamat berpuasa.

Sunday, August 5, 2012

MEMULIAKAN RAMADAN

Assalamualaikum.

Benarlah kata orang, politik negara kita sentiasa panas. Tanpa mengira waktu, tanpa mengira apa pun, semuanya mahu dikaitkan dengan politik.

Malah di bulan Ramadan ini pun, politik juga panas. Cuma agak malang sedikit apabila di bulan Ramadan yang mulia ini, trend berpolitik boleh dikatakan gagal dikendurkan.

Lihalah apa yang ada di laman social misalnya. Kata-kata kesat, fitnah dan menghina sesame umat tidak pernah hilang. Ia sentiasa ada dan segar. Lebih malang lagi, yang melakukan itu adalah mereka yang mengaku Islam, mengaku memperjuangkan Islam, mengaku sebagai pengikut kepada parti Islam.

Itulah yang agak menyedihkan saya apabila melihat perkembangan tersebut. Hairan, mengapa orang kita tidak boleh mengalah langsung dalam hal politik ini. Hairan, mengapa orang kita tidak boleh sensetif dengan perkara-perkara sedemikian di bulan Ramadan ini.

Sewajarnya Ramadan diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Bulan yang menganjurkan segala kebaikan buat kita semua. Kita seharusnya melupakan sengketa politik sempena Ramadan ini.

Saya berpandangan, cara berfikir masyarakat kita harus berubah. Mereka tidak boleh terlalu ghairah dengan meletakkan politik mengatasi segala-galanya termasuk kemuliaan Ramadan.

Saya khuatir, perkembangan sedemikian akan membawa kehancuran kepada kita umat Islam.

Marilah kita mengisi Ramadan dengan benda yang baik, perkara yang baik, tutur kata yang baik – dan semuanya yang baiklah. Mudah-mudahan Ramadan kita ini akan diberkati.


TERENGGANU JUARA LAGI SUKMA

Terengganu muncul juara keseluruhan buat empat kali berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XV Pahang  2012 selepas berakhirnya tiga acara hari ini.

Kali pertama Terengganu muncul juara keseluruhan SUKMA ketika menjadi tuan rumah temasya yang berlangsung di tempat sendiri pada 2008.

Kemudian, negeri itu muncul sekali lagi sebagai juara pada temasya SUKMA yang diadakan di Melaka.

Terengganu dinobatkan selaku juara selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa manakala Selangor muncul naib juara dengan meraih 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Tuan rumah, Pahang pula menduduki tempat ketiga apabila memperoleh 45 emas, 40 perak dan 38 gangsa.

Majlis penutupan temasya tahun ini akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong serta beberapa menteri dan timbalan menteri.

Majlis penutup temasya dimulakan dengan acara kayuhan basikal oleh Perdana Menteri  beberapa menteri, ketua-ketua kontinjen serta pemenang pingat emas acara basikal dengan mengelilingi stadium.

Selain itu, beberapa artis tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Kumpulan Sofaz serta Nubhan akan turut memeriahkan majlis dan pelakon dan pelawak Nabil bertindak sebagai pengacara.

Tahniah saya ucapkan kepada pasukan Terengganu.