Saturday, January 21, 2012


gambar hiasan

Assalamualaikum.

Kita tinggal seketika mengenai topik politik. Hari ini saya ingin menulis mengenai budaya bercuti panjang, terutama pada musim cuti perayaan seperti Tahun Baharu Cina. Dan, scenario itu seringkali dikaitkan dengan isu kemalangan jalan raya.

Seperti cuti panjang pada musim perayaan setiap tahun, kemalangan jalan raya terus menjadi isu yang panas. Melalui Opss Sikap yang dilaksanakan PDRM, bagitu banyak kematian dicatatkan. Saya yang mengikuti perkembangan itu, naik takut dibuatnya.

Yalah, kajian mendapati bahawa kebanyakan kemalangan berpunca daripada kealpaan pengguna mematuhi peraturan atau undang-undang jalan raya. Sikap takut kepada anggota pihak berkuasa seperti Polis atau JPJ telah menyebabkan orang kita kurang kesedaran atau sengaja mengabaikan tanggungjawab mematuhi undang-undang.

Lebih memilukan lagi apabila ada juga yang terkorban akibat kecuaian orang lain. Persoalannya, apakah masalah ini dapat kita tangani atau atasi?

Bagi saya, kita boleh jika semua orang mempunyai tanggungjawab atau kesedaran. Sikap berhemah, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri ketika memandu adalah resepi paling berguna bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Bayangkan jumlah mereka yang menderita akibat kemalangan. Itu belum termasuk kerugian terhadap negara apabila sekian ramai rakyat terkorban di jalan raya?.

Hakikatnya, ramai yang terkejut dan takut setiap kali melihat berlakunya kemalangan. Namun agak malang, orang yang sama jugalah gagal menjadi pemandu yang berhemah ketika memandu. Jadi, sampai bila semua itu harus dibiarkan.

Saya berharap, kita semua berhati-hati. Jangan memandang mudah tanggungjawab sebagai pemandu berhemah di jalan raya. Banyakkan bersabar, pastikan kenderaaan dalam keadaan baik dan pastikan tahap kesihatan memuaskan ketika memandu.

Semoga percutian anda dan kita semua tidak tercemar dengan kemalangan pada musim perayaan ini, InsyaAllah.

Friday, January 20, 2012

DEMIKIANLAHLAH PAS ...



Assalamualaikum.

Mungkin saya agak terlewat sedikit untuk mengulas mengenai pemecatan Datuk Dr Hassan Ali sebagai ahli Pas, sekaligus sebagai Exco Kerajaan Selangor. Namun, dengan perkembangan menarik yang berlaku selepas  pelantikan exco kerajaan negeri yang menggantikan Datuk Dr Hassan Ali dibuat dengan portfolio hal ehwal agama Islam dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR, ia menarik perhatian saya.

Saya tidak peduli (seperti ayat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mengenai portfolio itu dipegang oleh PKR ke, Pas ke kerana bagi saya, selagi mereka berada dalam Pakatan Pembangkang yang didalamnya ada DAP, keadaan tidak mungkin mampu mengubah apa-apa.

Pada pendapat saya, saya tidak nampak bahawa selain Datuk Dr Hassan Ali, ada lagi pemimpin Pas yang berani dalam menegakkan perjuangan partinya. Soal pada pandangan UMNO, Pas adalah parti yang memperalatkan Islam itu soal lain yang kita ketepikan seketika – kerana jika tidak, ada yang beranggapan saya bersetuju dengan Datuk Dr Hassan Ali sewaktu beliau berada dalam Pas.

Begini, ketegasan Datuk Dr Hassan Ali dalam memperjuangkan isu murtad di kalangan umat Islam di Selangor misalnya, dilihat menjangkaui kepentingan politik semata-mata. Oleh sebab itu, ia dilihat dalam banyak perkara, bertentangan dengan ramai pemimpin tertinggi Pas dan saya amat yakin bahawa sesiapa pun yang rapat dengan Datuk Dr Hassan Ali, selain melihat trek rekod beliau dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Islam, maka kita simpulkan bahawa Datuk Dr Hassan Ali adalah seorang yang ikhlas dalam perjuangannya.

Pokoknya ialah, mengapa manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali tersingkir dan disingkirkan. Ya, bagi seorang pemimpin UMNO dan BN, sudah tentu saya “gembira” dengan apa yang berlaku kerana ia sudah tentu membawa sedikit keuntungan kepada parti saya. Namun, apakah seorang manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali yang tegas dalam perjuangan Islam, hendak kita letak ketepi.

Jauh daripada itu, ia lebih kepada soal perjuangan umat Islam yang merentasi sempadan parti politik pun sebenarnya.

Apa yang saya inginkan ialah, rakyat mesti membuka mata dan melihat apa yang sedang berlaku ini dengan matang dan terbuka. Kita tidak boleh terlalu fanatik kerana orang yang fanatik tidak akan dapat berfikir dengan waras dan bijaksana.
Oleh itu, marilah kita melihat isu ini dengan bijaksana untuk menilai, siapakah Pas sebenarnya. Apakah ia benar-benar sebuah parti Islam, atau hanyalah sebuah parti yang inginkan kuasa.

Apakah ia hanya sebuah parti yang pentingkan partinya mengatasi kepentingan lain termasuk Islam?. Atau apakah wajar rakyat yang selama ini terpedaya dengan Pas untuk terus menyokong Pas.

Anda fikir, renung dan tentukan pendirian anda.

Sunday, January 1, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012


Assalamualaikum ..

Alhamdulillah, Allah memberikan kita lanjutan usia untuk sekali lagi bertemu tahun baru, kali ini tahun 2013.

Tahun baru sebenarnya banyak membawa petanda kepada manusia. Petanda paling penting ialah, ia membuktikan usia kita makin lanjut dan menuntut kita kepada lebih banyak perhitungan. Bagi orang kita, tahun baru sentiasa dikaitkan dengan azam yang baru. Walaupun mungkin ada yang belum menyempurnakan azam yang lama, namun apabila tibanya tahun baru, maka azam lama itu pun berlalu dan timbullah azam yang baru.

Apa pun, kita merasa bangga kerana yang berazam itu – sama ada azam baru atau lama – semuanya kea rah mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Ertinya, itulah keinginan orang kita, satu keinginan yang baik sebenarnya.

Bagi orang politik pula, kedatangan tahun baru 2012, ia dikaitkan dengan teka-teki tarikh PRU yang dikatakan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dengan ramai yang meramalkan ia mungkin diadakan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Walaupun semua orang tahu bahawa kuasa mutlak mengenai tarikh PRU hanya terletak di tangan Perdana Menteri, namun telaah itu tetap berlaku dan diwar-warkan. Apa pun, terpulanglah kepada kita semua.

Namun, sedikit mendukacitakan apabila kedatangan tahun baru diraikan oleh segelintir mahasiswa yang melakukan perhimpunan haram di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam semalam.

Apa pun alasan mereka, perbuatan itu sebenarnya amat memalukan kerana sebagai manusia yang digolongkan sebagai pelajar telah terpedaya dengan gejala yang merugikan.

Saya yang menonton video mengenai kejadian itu sangat malu melihat gelagat mahasiswa kita yang sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Demikian cara orang kita meraikan Tahun Baru – tahun 2012 yang sarat dan penuh dengan cabaran.

Saya berdoa kepada semua, agar tahun 2012 akan mendatangkan kita kepada lebih kebaikan, dan apa yang kita inginkan dapat kita capai dengan sebaiknya.

Kepada anda semua, selamat menyambut tahun baru 2012.