Friday, December 24, 2010

DEMOKRASI MASIH SEGAR

Assalamualaikum.

Walaupun ia bukanlah yang kita inginkan, nampaknya kita akan menghadapi PRK sekali lagi. Kali ini di DUN Tenang, Johor yang penamaan calonnya telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 22 Januari dan hari mengundi pula pada 30 Januari.

Hari ini kita lihat iklim politik kita sentiasa panas. Ia dipanaskan oleh pelbagai isu yang sengaja dicetuskan oleh puak pembangkang yang tidak pernah senang dengan kerajaan BN. Jika kita mendengar mereka berkata-kata, seolah-olah kerajaan BN tidak melakukan apa-apa sedangkan apa yang mereka kecapi adalah hasil kerajaan BN.

Biarkan. Itu dari satu sudut. Hari ini, saya hanya ingin mengajak anda berfikir betapa sebenarnya kita telah dan sedang mengamalkan demokrasi yang subur. Tidak perlu saya sebutkan sejarah kalah dan menangnya BN dalam PRK yang lepas pada penggal ini.

Namun, setiap kali berlakunya kematian atau peletakkan jawatan wakil rakyat, hak rakyat untuk memilih pemimpin tidak pernah disekat atau tersekat. Itulah hakikatnya.

Bagaimanapun agak malang sedikit apabila pembangkang masih menabur pelbagai fitnah kononnya demokrasi telah mati dan sebagainya. Mengapa?. Hanya kerana apabila mereka tidak menang, maka itulah tuduhan yang paling popular yang mereka lemparkan. Peliknya, jika mereka menang, mereka akan diam seribu bahasa. Inilah politik rimba yang diamalkan pembangkang.

Bagi BN, kita menerima setiap keputusan rakyat dengan penuh keinsafan, sama ada kita menang atau sebaliknya. BN tidak pernah kecoh apabila kalah. Apa yang menyedihkan saya ialah, ramai juga rakyat yang terpedaya dengan dakyah pembangkang yang akalnya sempit ini. Sedih saya.

Yang terpedaya itu pula bukan calang-calang orang. Namun, itulah kenyataan yang ada di depan mata. Oleh itu saya berharap, biarlah kita membuka mata kita, melihat hakikat yang ada dengan sebenar-benarnya.

Jangan lagi terpedaya dengan perniagaan politik air liur, jangan!. Kita mempunyai masa depan yang harus kita lakarkan. Jangan kita abaikan, jangan kita lacurkan nasib bangsa kita hanya semata-mata hanyut terpedaya dengan dakyah pembangbang.

Bersyukurlah kerana menjadi rakyat Malaysia yang sehingga kini telah jauh maju dan membangun hasil sebuah kerajaan yang terbukti mampu membela nasib kita semua. Tidak perlu lagi parti lain sebenarnya.

Percayalah, hasil daripada demokrasi inilah kita telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kecemerlangan. Jelas!.

Friday, December 17, 2010

GELAGAT MP PEMBANGKANG YANG MEMALUKAN

Assalamualaikum..

Seperti yang anda tahu, sidang Parlimen sudah pun berakhir dan lebih menyedihkan apabila ia diakhiri dengan sikap atau tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bukan sahaja membuat kecoh tetapi membawa sepanduk ke Dewan Rakyat.

Perasaan ini saya kongsikan dengan anda bukan kerana saya adalah wakil rakyat BN, tetapi jauh dari sudut itu saya melihat betapa pemimpin pembangkang tidak langsung menghornati institusi terpenting negara itu. Jika seorang Ali Parlimen atau wakil rakyat tidak lagi tahu menghormati dewan dan speaker, apakah yang sepatutnya ada lagi pada wakil rakyat berkenaan.

Tindakan mereka itu hanya kerana mahu mempertahankan ketua mereka iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Anwar Ibrahim dan dua lagi rakan mereka iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R. Sivarasa (PKR-Subang), yang digantung selama enam bulan.

Saya tidak berhasrat membahaskan mengenai isu-isu yang bekaitan mengapa tindakan tersebut wajar diambil tetapi saya lebih ingin melihat kepada tindakan yang diambil pemimpin pembangkang dalam menangani keadaan itu. Mereka cukup biadab dan tidak pernah tahu menghormati undang-undang.

Justeru, rakyat harus melihat keadaan ini dengan adil dan bijak serta menilainya untuk menterjemahkan betapa sebenarnya orang yang tidak tahu menghormati institusi dewan adalah tidak layak sama sekali dipilih sebagai pemimpin pada masa akan datang. Ini adalah peristiwa yang benar-benar berlaku di hadapan mata kita sendiri, kita menyaksikannya.

Saya akan tidak faham jika pemimpin seperti ini mahu terus disokong dan dipilih. Rakyat tidak harus terpedaya denga keadaan ini termasuk terperangkap dengan permainan emosi yang tidak munasabah. Hakikatnya, perbuatan mereka sangat memalukan.

Saya juga kesal apabila masih ada segelintir rakyat yang bukan sahaja tidak peka tetapi terus terjerat dengan pembangkang. Inikah watak pemimpin yang hendak kita harapkan untuk membina dan membangunkan negara. Tolonglah, saya tidak nampak mereka ini berkemampuan. apatah lagi dengan sikap sedemikian, ia menjelaskan lagi bahawa mereka ini sememangnya tidak layak sama sekali.

Jujurnya untuk kita berfikir betapa sebenarnya undang-undang atau peraturan adalah sesuatu yang wajib dipatuhi tanpa mengira siapa pun kita. Adalah tidak bijak apabila kita membelakangi undang-undang hanya semata-mata undang-undang itu tidak memihak kepada kita. apa yang lebih baik ialah memperbetulkan kesilapan dan kelemahan.

Apa yang saya lihat, rakyat cuba dialihkan pandangan agar buta daripada melihat kesilapan yang dilakukan pemimpin pembangkang. Kita bukan sebuah negara yang mengamalkan undang-undang rimba. bukan. Kita adalah sebuah negara yang mendaulatkan undang-undang dan mempertahankannya.

Yang benar tetap benar dan yang bersalah tetap dikenakan hukuman. Akurlah dengan setiap keputusan yang dibuat kerana sebarang usaha mencabuli dan melanggari undang-undang akan hanya mendedahkan rakyat serta negara kepada pelbagai padah. Percayalah!.


Sunday, December 12, 2010

LIHATLAH KEBAIKAN SEBAGAI BAIK

Assalamualaikum

Salam sejahtera dan salah 1Malaysia buat semua pembaca blog saya ini. Terima kasih kerana anda masih setia untuk terus membaca catatan saya di sini. Sekurang-kurangnya kita dapat juga berkongsi pandangan dan idea mengenai pelbagai isu.

Sejak kebelakangan ini, saya melihat satu sindrom kurang baik sedang berkembang dengan segarnya di kalangan orang kita. Apa yang saya maksudkan ialah sikap suka menyalahkan orang lain dan beranggapan orang lain sentiasa salah belaka. Dalam konteks politik, apa yang saya maksudkan apabila ada yang sentiasa melihat kerajaan dari persepsi negatif semata-mata walaupun hakikatnya apa yang dibenci itu baik.

Mengapa hal tersebut berlaku?. Bagi saya, ia adalah hasil “racun” yang ditanam ke dalam pemikiran rakyat saban hari oleh pembangkang agar rakyat membenci kerajaan. Tidak syak lagi sebenarnya, kerajaan BN adalah yang terbaik untuk rakyat. Mengapa saya katakan demikian?.

Ia bukan kerana saya adalah wakil rakyat BN, tetapi apa yang berlaku itu sudah pun terbukti. Pembangkang sendiri pernah dan sedang memerintah beberapa negeri. Ertinya, mereka berkuasa. Jadi, apa yang mereka buat setakat ini pada pandangan anda.

Bagi saya, samalah ketika mereka menjadi pembangkang, mereka tetap kekal dengan budaya ceramah memaki hamun orang, menfitnah sehingga lupa atau mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat yang telah memberikan mandat kepada mereka.

Nah!, terbukti mereka GAGAL dalam mengisi dan mengurus kemenangan. Rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai tidak pernah untung. Nasib baik ada Kerajaan Pusat yang sentiasa memberikan bantuan serta sumbangan.

Apa pun, saya kesal dan terkilan sedikit apabila ada di kalangan rakyat yang termakan “racun” yang dilontarkan pembangkang sehingga mereka tidak melihat setiap kebaikan kerajaan adalah baik.

Bagi saya, perkara sedemikian tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia boleh menjadi penyakit yang akhirnya membawa masalah kepada kerajaan. Kepada rakyat, lihatlah dengan jujur segala apa yang ada.

Terimalah hakikat bahawa mereka yang selama ini membenci kerajaan BN, dan mereka yang menabur “racun” itu serta anak cucu mereka, mereka ini membesar dengan kemudahan yang disediakan kerajaan BN. Jangan sesiapa pun menafikan hal ini.

Sejak disedari seorang ibu itu mengandung, mereka telah mendapat menafaat daripada usaha kerajaan BN. Sekali lagi, jangan cuba nafikannya.

Oleh itu, rakyat harus bersatu, bijak mengurus perasaan dan tidak terlalu bermain dengan emosi atau perasaan. Ingatlah, bak kata orang, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Kita kena bijak, kena profesional dalam hal ini.

Hanya dengan cara itu sahaja, setiap yang baik dilihat baik. Kepada yang teklah terlajak, anda masih belum terlambat. Jadilah rakyat yang bersyukur. Mudah-mudahan kita boleh dilimpahi dengan lebih banyak kebaikan serta kelebihan.

Saturday, December 11, 2010

TOPIK YANG MENARIK, BACALAH.

Assalamualaikum.

Daripada membicarakan isu-isu yang berat, termasuk politik, hari ini saya tertarik untuk menulis mengenai satu isu yang sangat menarik perhatian saya untuk kita kongsikan bersama.

Rata-rata hari ini, usia tua seringkali dikaitkan dengan pelbagai masalah kehidupan. Kesihatan, penjagaan hidup dan lain-lain. Namun bak kata orang, zaman sudah jauh berubah dan apa yang pernah berlaku dahulu tidak pernah berlaku sekarang. Dan, apa yang tidak pernah berlaku dahulu, boleh berlaku sekarang.

Di kalangan anda, berapa ramaikah yang menyedari mengenai penyakit tulang rapuh atau retak, yang sebelum ini hanya dikaitkan dengan golongan tua atau kita panggil sebagai warga emas.

Apakah kita sedar bahawa wanita Malaysia adalah antara tiga negara Asia yang paling berisiko menghidap osteoporosis pada awal usia 30-an.

Menurut kajian, 50 peratus rakyat Malaysia berhadapan risiko penyakit tersebut pada usia 50-an. Demikian kata Pengurus Asas Kesihatan Fonterra Asia dan Timur Tengah, Joanne Todd.

Kajian tersebut yang menganalisis 2.1 juta imbasan tulang yang dilakukan di seluruh Asia turut menunjukkan seorang daripada tiga penduduk Asia berusia 35 tahun ke atas menghadapi risiko osteoporosis, katanya.

Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata.

Nah!, sekarang ini jelas apa yang sedang berlaku. Apa pun, saya tidak fikir kita serius dalam mendepani isu berkenaan. Seperti isu merokok misalnya. Sudah berbuih kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menjelaskan mengenai kesan serta akibat daripada tabiat merokok, namun rata-rata kita tetap tidak berubah atau takut.

Ini adalah sebahagian daripada isu kesihatan yang sudah tentu bagi saya mempunyai kaitan dengan pemikiran. Kita harus berubah dan melihat isu berkaitan kesihatan ini dengan lebih serius, apatah lagi di zaman kebanyakan makanan dianggap sebagai “beracun”.

Penyakit tulang reput ini misalnya tidaklah terlalu menakutkan kita kerana kita kurang arif mengenai isu ini. Maka sudah tentu saya berharap, kita harus berubah dari sudut pemikiran agar kita tahu atau bijak menjaga kesihatan.

Kita tidak boleh mengandaikan kehidupan hanyalah satu takdir Tuhan tanpa kita berusaha ke arah menjaga atau memeliharanya. Justeru, saya berharap kita semua lebih jujur dengan diri sendiri dan meletakkan kesihatan sebagai satu nilai yang paling tinggi dalam kehidupan.

Sama-sama kita fikirkannya.

Thursday, December 9, 2010

INGATLAH WAHAI MELAYU

Assalamualaikum.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang masih setia mengikuti laman blog ini. Hari ini, sekali lagi saya ingin menulis mengenai ancaman terhadap Melayu oleh orang Melayu sendiri tetapi dari konteks yang sedikit berbeza dengan tulisan saya sebelum ini.

Polemik ini telah berlalu dengan begitu panjang, terutamanya apabila ia menjadi isu politik atau sengaja dipolitikkan. Hakikatnya, adalah sesuatu yang amat memalukan apabila orang Melayu sendiri mempertikaikan mengenai Melayu atau seumpama dengannya.

Kita bukan rasis tetapi apa yang kita cakapkan adalah fakta yang benar. Di negara kita, Melayu telah menjadi tunjang kepada pemerintahan negara. Kedaulatan Melayu tidak boleh dipertikaikan lagi walau dengan apa pun. Hakikatnya Melayu telah menjadi pelindung kepada bangsa-bangsa lain adalah hal yang sangat penting untuk diikuti. Justeru, tidak harus lagi adanya polemik kononnya akan ada satu bangsa yang tertindas kerana yang menjadi tunjangnya Melayu.

Ia telah dikelirukan dengan begitu hebat. Diberikan dengan pelbagai persepsi yang salah serta jauh tersasar.

Hari ini, kita sangat dukacita dengan segelintir orang Melayu sendiri yang cuba memperlekehkan bangsanya sendiri. Oleh kerana itu, orang Melayu harus memberikan perhatian serta mendengar peringatan yang dititahkan oleh Raja-Raja Melayu agar tidak ada lagi yang sengaja mempertikaikan mengenai kepentingan Melayu atau pun merendah-rendahkan kepentingan orang Melayu.

Bagi saya, ia merupakan satu peringatan yang sangat penting untuk kita semua renungkan. Saya pasti, bahawa setiap orang Melayu mempunyai perasaan keMelayuannya yang tersendiri. Hanya mereka yang berkepentingan sahaja yang tergamak melacurkan kepentingan bangsanya demi mencapai kepentingannya sendiri.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Friday, December 3, 2010

MELAYU DULU, MELAYU SEKARANG

Assalamualaikum,

Menulis mengenai Melayu, ia sangat menyentuh perasaan saya sebenarnya. Ternyata Melayu dahulu berbeza dengan Melayu sekarang.

Melayu dahulu sangat serius dan peka dengan kepentingan bangsanya, pantang dicabar dan diperlekehkan, maka bangkitlah Melayu. Suara Melayu adalah suara keramat pada waktu itu. Suara Melayu tidak akan ada yang berani menyanggah. Melayu dahulu sanggup melakukan apa sahaja, mempertaruhkan apa sahaja demi agama, bangsa dan negaranya. Kehebatan Melayu dahulu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Oleh kerana itu, lahirnya kata-kata, takkan Melayu hilang di dunia. Itu Melayu dahulu.

Melayu sekarang?. Melayu sekarang mudah melatah, Melayu sekarang sanggup jadi pak turut, Melayu sekarang pandai bercakap tapi tak pandai buat, Melayu sekarang hanya jaguh di jalan raya (menjadi perusuh dan penunjuk perasaan), Melayu sekarang hanya hebat di pentas ceramah... Melayu sekarang, di mana identitinya.

Walaupun bukan semua Melayu sama seperti Melayu sekarang itu, namun sudah ramai yang bergelar "Melayu Sekarang" itu.

Hakikatnya, Melayu sekarang tergamak mahu membuang ketuanan Melayunya. Tergamak merendah-rendahkan bangsa politik kononnya pendekatan Ketuanan Melayu itu lebih bersifat kehambaan. Siapa kata?

Sela hampir 60 tahun Malaysia merdeka dengan semangat ketuanan Melayu, tidak pernah ada kepentingan bangsa lain tersekat, disekat atau mundur ke belakang. Malah bangsa-bangsa lain bebas dengan amalan dan cara hidup bangsanya - dalam banyak keadaan, bangsa lain jauh lebih berjaya?. apakah mereka berjaya selama ini kerana menjadi hamba Melayu?. Tidak. Falsafah itu sengaja diwujudkan oleh golongan yang telah terlajak kata mengenai bangsanya sendiri.

Agak malang sebenarnya, apabila orang pertama yang memperlekeh dan cuba merendah-rendahkan Melayu adalah orang Melayu sendiri. Nah!, mungkin ada yang berkata bahawa memperkatakan mengenai bangsa adalah sempit. Orang yang bercakap sedemikian adalah mereka yang mahu melacurkan kepentingan bangsa dan mereka hanya mahu menghalalkan segala-galanya termasuk menjahamkan bangsa sendiri agar cota-cita mereka tercapai.

Rakyat harus sedar akan hakikat ini. Jangan terpedaya, terperangkap dengan golongan yang tergamak menghina bangsanya sendiri.

Melayu sekarang, bangkitlah mempertahankan bangsa kita. Mari kita bersatu, sepakat dan bertekad dalam mendepani situasi ini. Melayu, mari kita menolak pengkhianat bangsa ini.

Perjuangan kita masih jauh, membina Melayu yang cemerlang dan hebat, bersifat local dan global - kita semua harus membina kekuatan ini kerana Melayu telah terbukti bukan hanya melindungi Melayu tetapi menjadi payung kepada bangsa-bangsa lain.

Mudah-mudahan Melayu sekarang tidak mudah lupa - yang tersesat, kembalilah ke pangkal jalan.