Saturday, December 11, 2010

TOPIK YANG MENARIK, BACALAH.

Assalamualaikum.

Daripada membicarakan isu-isu yang berat, termasuk politik, hari ini saya tertarik untuk menulis mengenai satu isu yang sangat menarik perhatian saya untuk kita kongsikan bersama.

Rata-rata hari ini, usia tua seringkali dikaitkan dengan pelbagai masalah kehidupan. Kesihatan, penjagaan hidup dan lain-lain. Namun bak kata orang, zaman sudah jauh berubah dan apa yang pernah berlaku dahulu tidak pernah berlaku sekarang. Dan, apa yang tidak pernah berlaku dahulu, boleh berlaku sekarang.

Di kalangan anda, berapa ramaikah yang menyedari mengenai penyakit tulang rapuh atau retak, yang sebelum ini hanya dikaitkan dengan golongan tua atau kita panggil sebagai warga emas.

Apakah kita sedar bahawa wanita Malaysia adalah antara tiga negara Asia yang paling berisiko menghidap osteoporosis pada awal usia 30-an.

Menurut kajian, 50 peratus rakyat Malaysia berhadapan risiko penyakit tersebut pada usia 50-an. Demikian kata Pengurus Asas Kesihatan Fonterra Asia dan Timur Tengah, Joanne Todd.

Kajian tersebut yang menganalisis 2.1 juta imbasan tulang yang dilakukan di seluruh Asia turut menunjukkan seorang daripada tiga penduduk Asia berusia 35 tahun ke atas menghadapi risiko osteoporosis, katanya.

Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata.

Nah!, sekarang ini jelas apa yang sedang berlaku. Apa pun, saya tidak fikir kita serius dalam mendepani isu berkenaan. Seperti isu merokok misalnya. Sudah berbuih kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menjelaskan mengenai kesan serta akibat daripada tabiat merokok, namun rata-rata kita tetap tidak berubah atau takut.

Ini adalah sebahagian daripada isu kesihatan yang sudah tentu bagi saya mempunyai kaitan dengan pemikiran. Kita harus berubah dan melihat isu berkaitan kesihatan ini dengan lebih serius, apatah lagi di zaman kebanyakan makanan dianggap sebagai “beracun”.

Penyakit tulang reput ini misalnya tidaklah terlalu menakutkan kita kerana kita kurang arif mengenai isu ini. Maka sudah tentu saya berharap, kita harus berubah dari sudut pemikiran agar kita tahu atau bijak menjaga kesihatan.

Kita tidak boleh mengandaikan kehidupan hanyalah satu takdir Tuhan tanpa kita berusaha ke arah menjaga atau memeliharanya. Justeru, saya berharap kita semua lebih jujur dengan diri sendiri dan meletakkan kesihatan sebagai satu nilai yang paling tinggi dalam kehidupan.

Sama-sama kita fikirkannya.

No comments: