Tuesday, November 16, 2010

ANDA GEMUK?... BERUBAHLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini kita alihkan sedikit topik perbincangan. Kalau kita bercakap hal politik selalu pun, tak seronok juga.

Ketika sedang melayari internet malam ini, saya sangat tertarik dengan kenyataan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenai isu kegemukan.

Menurut beliau, Tiga puluh peratus penduduk di negara ini mempunyai berat badan berlebihan manakala 30 peratus lagi obes.

Ia merangkumi semua peringkat umur, manakala jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Apakah reaksi anda dengan pendedahan tersebut. Kalau saya, saya sangat bimbang. Ini kerana, kegemukan bukan sahaja boleh menyusahkan pergerakan tetapi juga mendedahkan kita kepada pelbagai jenis penyakit.

Ia termasuklah masalah jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. Dan, apakah bagi anda, 60 peratus itu adalah jumlah yang kecil?. Bayangkan, hampir separuh rakyat kita berhadapan dengan masalah seperti itu.

Ertinya, kita harus melakukan sesuatu. Jangan biarkan masalah ini berlarutan sehingga ia menjejaskan kesihatan kita sendiri. Hakikatnya, masalah ini hanya boleh diselesaikan oleh kita sahaja, bukannya orang lain.

Masalah saya fikir, masyarakat kita tidak terlalu mementingkan isu yang kita bincangkan ini. Ramai yang mahu kuruskan badan, tetapi tidak ramai yang berjaya mencapai apa yang mereka inginkan.

Maksudnya, ada yang tidak tahan dengan dugaan makan lalu mereka tidak mampu bertahan dengan diet yang sewajarnya. Oleh itu, kegemukan terus menjadi risiko yang harus mereka hadapi. Inilah masalahnya.

Lihatlah ketika puasa misalnya. Sebaik hari raya, pesta makan pun bermula. Secara lawaknya, manalah tidak gemuk orang kita ini.

Apa pun saya berharap, apa yang didedahkan menteri itu boleh membuka mata kita semua untuk memberikan perhatian terhadap cara pemakanan kita, cara diet kita agar kita tidak mengidap masalah seumpama itu.

Mudah-mudahan, ia cukup menginsafkan.

Sunday, November 14, 2010

BERUBAHLAH UNTUK KEBAIKAN


Assalamualaikum dan salam satu Malaysia.

Kita sudah hampir kepada sambutan hari raya Aidil Adha atau juga disebutkan sebagai Hari Raya Haji. Tinggal beberapa hari sahaja lagi. Teringat saya ketika kecil dahulu, jika menjelangnya Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha, suasana gembira dapat dirasakan. Kemerian yang ada di hati sangat luar biasa sekali.

Bagaimanapun hari ini, keadaan sudah jauh berubah. Berubah mungkin disebabkan usia kita yang semakin dewasa, manakala jadual hidup pula begitu padat berbanding di zaman kanak-kanak dahulu. Atau mungkin juga disebabkan zaman itu sendiri sudah jauh berubah.

Sebenarnya yang merasai ia berubah ialah kita, dan yang mengubah juga adalah kita. Begitulah nilai kemeriahan Hari Raya yang saya mahu maksudkan.

Cuma saya ingin menarik perhatian betapa sebenarnya, di zaman ini, kadangkala kemeriahan itu kita lupakan kerana kita terlalu sibuk berpolitik. Akuilah bahawa sehingga di saat inipun, isu-isu politik telah menguasai sepenuhnya diri kita tanpa kita memberikan perhatian khusus terhadap peristiwa penting yang bakal kita lalui.

Secara jujurnya, saya melihat keadaan ini amat tidak sihat. Ia tidak menyumbang kepada kelebihan untuk kita sebagai rakyat Malaysia. Seharusnya kita memperbetulkan keadaan ini, kembali menjadikan budaya mengutamakan terhadap apa yang wajar diutamakan diberikan perhatian.

Keadaan menjadi bertambah kalut apabila politik kita dilihat menguasai semua perkara. Maksudnya, setiap perkara mesti dikaitkan dengan politik. Saya berpendapat itu tidak sewajarnya.

Oleh kerana itu, ada baiknya kita kembali kepada budaya hidup kita dahulu yang meletakkan kepentingan lain selain politik sebagai yang diutamakan. Kita harus menghayati semangat korban sempena Aidil Adha beberapa hari lagi ini untuk kita berkorban dalam mencari kebaikan.

Marilah kita bersatu, berpakat dan melupakan segala sengketa politik. Dan, jika pun kita mahu berpolitik, amalkanlah politik secara sihat dan bukannya politik yang merugikan.

Saya percaya bahawa jika kita semua mempunyai semangat untuk berubah, tiada ada sebab kita tidak boleh mencapai apa yang kita sendiri mahukan. Mudah-mudahan, kita boleh menjadi rakyat yang tahu memilih kepentingan dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya. Harapan saya, biarlah kita berpada-pada.

Seperti rakyat, saya juga amat bimbang dengan setiap perkembangan yang berlaku kerana saya khuatir kalau-kalau Negara kita boleh hancur kerana kita sendiri mengamalkan satu budaya yang tidak menguntungkan kita dan Negara kita.

Fikirkanlah.

Saturday, November 13, 2010

Assalamualaikum

Saya mengikuti dengan sangat teliti perkembangan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini sedang berhadapan dengan pelbagai krisis kepimpinan yang saya sifatkan sebagai menunggu kehancuran.

Apa yang anda lihat seharusnya membuka minda mereka yang menjadi ahli dan menyokong parti pembangkan itu untuk menilai dan menyemak semula PKR sebagai sebuah parti politik yang boleh diharapkan.

Bukan hendak mengata tetapi apa yang ada di hadapan kita sudah semakin jelas bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang berada sebagaimana yang mereka janji dan gambarkan kepada rakyat.

Kepincangan yang berlaku di dalam PKR tidak pun dimulakan oleh orang UMNO tetapi ia dilakukan oleh pemimpin dan ahli PKR sendiri. Memanglah itu hal dalam parti mereka tetapi sebagai rakyat, anda berhak untuk mengambil tahu mengenai parti tersebut.

Secara jelas,m PKR diwujudkan kerana perjuangan peribadi, kononnya atas nama reformasi tetapi akhirnya apa yang dapat kita lihat ialah sebagaimana apa yang kit abaca dan pandang hari ini. Tidak lebih dan tidak kurang.

Demikianlah apabila parti politik yang berniaga idealogi bermodalkan air liur tanpa menyedari atau enggan memperakui kekurangan serta kelemahan diri. Akhirnya, lihatlah apa yang berlaku.
Soalnya, apakah parti seperti PKR itu yang rakyat hendak harapkan memerintah negeri atau Negara kita?. Saya tidak mahu membayangkannya tetapi anda sendiri pasti lebih jelas pandangannya berbanding saya jika itulah yang berlaku.

Sejak dari awal lagi, saya tidak pernah meletakkan PKR sebagai sebuah parti yang penting. Saya membaca sejarah UMNO bahawa parti serpihan yang ditubuhkan atas dasar dendam dan kecewa tidak mungkin dapat ke mana. Asas atau matlamat perjuangannya sudah salah, maka jalan yang mereka tuju juga pasti salah. Itu jelas.


Anda lihat sendiri apa yang berlaku ke atas PKR, ia adalah satu bukti kukuh apa yang saya maksudkan.

Orang mungkin begitu sinis terhadap saya, tetapi saya tidak ada pilihan untuk menyatakan bahawa di Negara kita ini, yang bertuah ini, hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu membela nasib rakyat dan menjamin masa depan Negara yang hebat.

Ini fakta dan kerana itu saya sebutkannya di sini. Oleh itu, saya mengajak rakyat agar kembali ke pangkuan BN untuk sama-sama kerajaan membina Negara ini dan melaksanakan agenda membela nasib rakyat secara berkesan.

Cukup-cukuplah rakyat terpedaya dengan cara berpolitik murahan. Belajarlah daripada apa yang telah dan sedang berlaku di dalam parti pembangkang.

Anda pasti memilih jalan tepat apabila kembali kepada BN dan terus mendokong perjuangannya yang selama ini telah terbukti membina sebuah Negara Malaysia yang serba hebat.

Saturday, November 6, 2010

KITA HARUS SEPAKAT BANTU MANGSA BANJIR

Assalamualaikum dan salam bloger,

Kita lupakan seketika kisah politik, walaupun ia masih panas di pasaran sebenarnya. Hari ini, saya mahu mengajak anda semua melihat, berfikir dan merenung sejenak mengenai pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling kita, sama ada yang jauh atau dekat.

Jika kita mengambil yang jauh, apa yang sedang berlaku di negara jiran Indonesia adalah lebih baik untuk kita merenunginya. Kejadian tsunami yang berulang sehingga menyebabkan hilangnya ratusan nyawa – sudah tentu mengekalkan lebih banyak anak-anak yatim dan meletupnya Gunung Merapi adalah dua keadaan yang cukup menginsafkan.

Kita bersyukur sebenarnya, sekurang-kurangnya kita tidak berhadapan dengan bencana sedemikian. Oleh itu, sebagai rakyat, adalah satu hal yang penting untuk kita merasai keinsafan terhadap apa yang berlaku itu – betapa sebenarnya kita adalah antara manusia yang bertuah dilahirkan di Malaysia ini.

Kita semua harus menjaga apa yang kita miliki ini dengan baik dan terus berdoa agar kita sentiasa jauh dan dibebaskan daripada bencana seperti itu. Mudah-mudahan doa kita itu sentiasa dimakbulkan Allah.

Nah!, ambil pula apa yang berlaku di negara kita. Banjir. Ya, keadaan banjir menjadi semakin buruk terutamanya di negeri-negeri sebelah utara. Jika sebelum ini, apabila negara jiran Indonesia ditimpa musibah, maka cepatnya orang kita mengutip derma dan pergi ke sana atas nama misi kemusianaan dan sebagainya.

Justeru, apabila bencana turut berlaku di negara sendiri, kita juga sebenarnya ingin melihat perkara yang sama berlaku. Rata-rata “kesungguhan” untuk kita membantu sepertimana kita pernah “membantu orang” masih tidak kelihatan begitu jelas.

Saya sendiri pun kurang faham mengenai keadaan tersebut. Namun, saya amat bangga kita rakyat kita mempunyai semangat untuk membantu dengan kuat. Dalam erti kata lain, kita semua mempunyai tanggungjawab dan tidak hanya meletakkan di bahu kerajaan semata-mata.

Jika kerjasama dan sumbangan sedemikian boleh dilakukan, saya percaya kita pasti dapat melihat terzahirkan satu kumpulan masyarakat yang membanggakan kita semua.

Dalam hal ini, kita ketepikan soal perbezaan fahaman politik. Seperti yang saya katakan tadi, ketepikan dahulu soal politik. Saya ingin benar melihat keadaan itu berlaku.

Percayalah bahawa kejadian banjir yang sedang berlaku adalah satu permulaan. Kita semua harus berwaspada. Dan saya berharap, kita sebagai rakyat lebih berganding bahu bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ini.

Friday, November 5, 2010

RAKYAT SUDAH SEDAR

Assalamualaikum,

Apa pun tafsirannya, kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah dan merampas semula kerusi DUN Galas di Gua Musang Kelantan telah memberikan makna yang tersendiri terhadap iklim politik di negara kita.

Sebagai seorang pemimpin rakyat dan parti BN, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN di Galas, Abdul Aziz Yusoff yang telah menewaskan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi.

Ucapan tahniah juga kepada Datin Linda Tsen Thau Lin yang berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang agak besar iaitu 6,359 undi.

Walaupun mungkin selepas ini pembangkang boleh menyatakan pelbagai alas an bagi menyejukkan hati mereka dengan kekalahan tersebut, namun saya percaya, rakyat juga ada tafsirannya tersendiri. Bagi BN saya fikir, ia adalah satu permulaan kepada transformasi politik negara untuk melihat BN terus kukuh dan utuh di negara ini.

Mengapa saya katakan sedemikian?. Pembangkang telah diuji, diberikan peluang dan ruang melalui sistem demokrasi yang mereka sendiri sentiasa pertikaikan. Jika dahulu mereka melalak tanpa kuasa tetapi hari ini mereka telah menguasai beberapa negeri, malah berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga kerajaan BN di Parlimen.

Maksud saya ialah, rakyat telah menilai pembangkang dengan baik dari segenap sudut – keupayaan mereka sebagai kerajaan dan kemampuan mereka membela nasib rakyat. Akhirnya selepas dua tahun, ternyata rakyat telah melihat dengan jelas KEGAGALAN pembangkang.

Lalu mereka menyampaikan mesej itu melalui dua PRK di Batu Sapi dan DUN Galas. Itu tidak syak lagi bagi saya. Oleh itu, saya merakamkan ucapan tahniah kepada majoriti rakyat di dua kawasan berkenaan yang telah memilih BN pada PRK itu semalam.

Orang boleh berkata apa sahaja tetapi bahawa hanya BN yang mampu memimpin rakyat di negara ini tidak boleh disangkal sama sekali. Rakyat sendiri telah melihat keadaan tersebut.

Bagi saya, rakyat di dua kawasan berkenaan telah membuat pilihan yang bijak dan tepat dengan memilih BN. Hanya mereka di kawasan berkenaan sahaja yang tahu dan faham apa yang saya maksudkan. Oleh itu, BN harus meningkatkan keupayaan dan kemampuan mereka untuk memikat hati rakyat di kawasan berkenaan.

BN adalah parti yang dipimpin oleh mereka yang bekerja untuk rakyat dan bukannya berpolitik 24 jam sehari. Oleh kerana itu anda boleh melihat pemimpin BN sentiasa memberikan perhatian terhadap kepentingan negara dan kebajikan rakyat. Ini bukan cakap-cakap kosong.

Berbeza dengan pembangkang yang melihat BN dari satu persepsi sahaja iaitu apa sahaja yang dibuat BN adalah salah. Pembangkang hanya bermain politik dalam semua perkara termasuk memperalatkan agama sendiri.

Hakikatnya, perbezaan BN dengan pembangkang amat jauh sekali. Umpama langit dengan bumi. BN adalah parti yang terasas sejak dahulu dan sehingga kini telah terbukti kejayaan dan keupayaannya membangun, membina negara tercinta ini dan menjaga kebajikan rakyatnya.

Kepada rakyat, terima kasih dan berharap seluruh rakyat Malaysia juga kembali sedar bahawa mereka selama ini telah terbuai dengan agenda politik kosong yang dipalu pembangkang. Ia tidak pernah mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Oleh itu, rakyat perlu terus bersama BN. Percayalah, hanya BN yang mampu menjadi payung kepada anda semua.

Tahniah!