Friday, August 27, 2010

CUKUPLAH MENEMPAH TRAGEDI DI AIDILFITRI

Assalamualaikum.

Selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan. Mudah-mudahan puasa kita semua diberkati Allah dan dilimpahi dengan pahala yang berlipat kali ganda.

Hari ini saya ingin mencatatkan mengenai isu paling sinonim dengan musim perayaan. Bukan mercun tetapi kemalangan jalan raya. Walaupun Ramadan baru memasuki separuh daripada usianya, namun kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut ini makin menjadi-jadi.

Entah di mana silapnya, kejadian ini terus berlaku. Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kitalah yang paling layak dan berhak menjawabnya.

Timbul persoalan di fikiran saya, apakah orang kita tidak pernah insaf di sebalik sekian banyak kemalangan yang meragut nyawa sebelum ini. Apakah yang ada di akal mereka tatkala memandu dengan laju di jalan raya. Tidak cukupkah dengan segala peristiwa pahit, kehilangan ahli keluarga dan insan tersayang di musim perayaan.

Bagi saya, isu utama di sebalik kemalangan jalan raya ini masih berbalik kepada soal sikap. Adalah amat memalukan, untuk memastikan keselamatan diri sendiri, kita terpaksa bergantung kepada kempen-kempen yang diadakan. Seharusnya, tragedi yang berlaku sebelum ini sudah cukup menjadi pengajaran untuk kita menjadi pengguna berhemah di jalan raya.

Menurut kajian pihak berkuasa, kebanyakan kemalangan maut yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia. Nah!, sekarang jelas akan sebabnya dan sudah tentu bukan susah untuk mencari jalan penyelesaian.

Oleh kerana itulah saya katakan ia lebih berkisar kepada isu sikap tadi. Kalau kita masih enggan dan degil sebagai pemandu yang teruk di jalan raya, selagi itulah ia mendedahkan anda dan orang lain kepada bahaya. Tiada jalan pintas dalam menyelesaikan masalah ini selain kita harus berubah sikap di jalan raya.

Semua orang ingin cepat, semua orang mahu mengejar waktu. Namun, kesabaran pasti menjadi ubat paling mujarab bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Oleh itu saya berharap, kita semua akan lebih banyak bersabar, akan lebih berhemah dan mementingkan keselamatan di jalan raya. Maklumlah, “badi” musim perayaan ini kata orang begitu kuat sekali. Jika kita berhati-hati dan anda semua berhati-hati, kita semua akan selamat di jalan raya.

Menanglah ajal dan maut itu di tangan Allah, namun itu tidak seharusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang lalai dan alpa.

Doa saya, semoga kes kemalangan jalan raya pada musim perayaan tahun ini akan berkurangan.

Selamat berpuasa.

Sunday, August 22, 2010

JANGAN MAIN MERCUN

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Sungguh tersentuh hati saya dengan kejadian letupan di sebuah rumah di kampong Seberang baruh, Chabang Tiga tengahari tadi (21/8/2010) sehingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak, Khairul Arif Ayob, 6 tahun manakala dua lagi dilaporkan parah.

Takziah saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan berdoa agar mereka akan sentiasa tabah serta banyak bersabar menghadapi dugaan Allah.

Saya difahamkan kejadian ini berpunca daripada mercun dan bunga api yang disimpan di dalam rumah berkenaan. Ia sudah tentu mempunyai kaitan dengan musim perayaan sekarang.

Yalah, mercun dan bunga api dikatakan menjadi sebahagian daripada kemeriahan menjelang musim perayaan. Malah ada yang mendakwa kononnyalah tanpa mercun dan bunga api, Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri tidak berseri lagi. Betulkah begitu?

Sebenarnya, apa yang berlaku siang tadi adalah antara penyebab utama kerajaan melarang penjualan dan permainan mercun serta bunga api tertentu pada musim perayaan ini. Ia bahaya dan mendedahkan banyak pihak kepadfa pelbagai kemungkinan.

Dan, sebenarnya sudah banyak peristiwa berlaku disebabkan permainan bunga api dan mercun ini. Walaupun di saat kerajaan melarang, masih ramai yang degil dan melakukan kesalahan tersebut. Malah sudah ramai yang maut, kehilangan anggota badan, cacat dan tidak kurang pula yang mengalami kecderaan parah.

Semua itu adalah angkara mercun dan bunga api. Namun, paling menyedihkan ialah apabila masih ramai di kalangan orang kita yang masih berdegil dengan bermain bunga api dan mercun ini. Lebih mendukacitakan, ia dijual oleh mereka secara senyap-senyap.

Keadaan itu tanpa sedar, ia sebenarnya mendedahkan banyak pihak kepada mala petaka. Justeru, harus ada kesedaran di kalangan kita bahawa larangan yang dibuat kerajaan ke atas perkara tersebut ada asas dan sebabnya.

Oleh itu, kita harus sedar mengenai perkara tersebut. Laporkan kepada pihak berkuasa jika ada yang menjual mercun atau bunga api tertentu.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memantau anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan permainan bunga api dan mercun ini.

Cukuplah dengan apa yang telah pun berlaku sebelum ini. Semoga sejarah mengajar kita untuk menjadi orang yang tahu mengambil iktibar daripada setiap peristiwa pahit yang telah berlalu.

Friday, August 20, 2010

SELAMAT BERBUKA PUASA

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Syukur Alhamdulillah, hari ini saya mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakyat di Pejabat Parlimen Kuala Nerus – yang merupakan majlis tradisi yang diadakan saban tahun.

Walaupun saya sedar bahawa menjelang pertangan Ramadan ini, jemputan berbuka puasa kian bertambah, namun saya bersyukur setiap kali majlis yang saya adakan, kehadiran rakyat tidak pernah susut. Apa pun yang ada di fikiran, saya percaya mereka merasai sesuatu di sebalik tradisi yang telah berlaku.

Ada nostalgianya majlis seperti ini, bukan sahaja untuk sama-sama berbuka puasa dengan pemimpin, malah menjadi tempat untuk bersua muka dengan sahabat handai dari seluruh kawasan Parlimen Kuala Nerus ini.

Ternyata, saya sangat gembira, kagum dan terharu di atas sambutan rakyat terhadap majlis berbuka puasa yang diadakan saban tahun itu.

Sempena Ramadan ini, saya turut menaruh harapan yang tinggi agar kita semua bukan sahaja meningkatkan ibadah, tetapi juga melebarkan muafakat dan perpaduan sesama kita. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, perpaduan kini menjadi antara isu penting dan perlu diberikan lebih keutamaan.

Hakikatnya, rakyat kita sedang terdedah dengan ancaman perpaduan yang agak teruk dan jika tidak diperbetulkan dengan bijak, ia akan mengundang masalah – bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga negara tercinta ini.

Oleh kerana itulah, sempena kedatangan Ramadan al Mubarak ini, ada baiknya kita mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan hubungan silaturrahim sesama kita.

Ramadan mengajar kita agar menjadi seorang yang lebih jiwa, hati dan kehidupannya. Ia juga mengajar kita untuk “mengalah” seketika dalam hal-hal yang tidak begitu sebelum ini. Banyak kelebihannya Ramadan ini. Jadi, kalau kita semua tidak mengambil peluang ini, maka rugilah kita.

Kepada yang hadir ke majlis berbuka puasa di Pejabat Parlimen Kuala Nerus petang ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih. Saya amat berharap dan berdoa, majlis ini akan memberikan lebih kebaikan kepada kita semua, insya’Allah.


Thursday, August 19, 2010

RAMADHAN YANG DILALUI DENGAN SYUKUR

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Syukur Alhamdulillah apabila kita semua dapat meneruskan ibadah puasa di Ramadan Al Mubarak yang mulia ini. Semoga sehingga ke hari ini, kita semua dapat bertahan dan berjaya melewati pelbagai ujian yang mendatang.

Sesungguhnya Ramadan adalah bulan ujian buat kita semua.


Hari ini, dalam catatan yang agak terbatas ini, saya hanya ingin mengajak anda merenung dan berfikir sejenak dari satu sudut mengenai Ramadan ini. Ya, saya mahu mengajak anda berfikir betapa sebenarnya, kita di Malaysia ini masih lagi bertuah dalam banyak perkara ketika menyambut bulan yang penuh berkat ini.


Walaupun mungkin, terdapat hal-hal yang kita sendiri menganggapnya sebagai satu bebanan, namun kita sebenarnya masih jauh bertuah. Jika kita merenung dan berfikir dengan jujur, apa yang ada di negara ini, tempat tumpah darahnya kita, kita sebenarnya sedang dilimpahi dengan limpahan rezeki yang banyak.


Malah kehidupan kita juga sungguh gembira dan sejahtera berbanding di kebanyakan rakyat atau umat Islam di dunia hari ini. Hakikatnya, tiada siapa pun yang boleh menafikan mengenai hal tersebut. Di negara kita, kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.


Lihatlah, setiap kali tibanya Ramadan dan dekat dengan sambutan Hari Raya, golongan kurang bernasib tidak pernah dilupakan. Kerajaan kita sentiasa membantu mereka. Keadaan lebih meriah apabila program amal jariah ini turut disertai oleh pihak syarikat dan dermawan yang lainnya.


Semua itu dapat kita lakukan dan lalui kerana negara kita aman damai. Ia juga hasil daripada usaha kerajaan yang bijak menguruskan negara ini sehingga berada pada tahap seperti sekarang.


Justeru, ada baiknya kita menjadi rakyat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang ada. Hanya dengan cara itu, ia akan membuatkan apa yang kita miliki itu menjadi lebih bernilai dan berharga.


Marilah dengan semangat Ramadan ini, kita meningkatkan keimanan dan rasa syukur kita agar apa yang sedang kita miliki ini akan terus kita miliki. Percayalah, kealpaan kita daripada bersyukur akan mendedahkan kita kepada pelbagai kemungkinan yang akan merugikan kita pada masa akan datang.


Kepada anda semua, selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.


Saturday, August 7, 2010

TERIMA KASIH WARTAWAN

Assalamualaikum

Alhamdulillah, beberapa hari lalu saya sempat meraikan teman-teman wartawan di Taman Tamadun Islam. Sungguh gembira dengan sambutan mereka yang bagi saya mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak.

Sebenarnya, ini adalah acara tahunan yang selalu saya adakan untuk meraikan rakan-rakan media. Bagi saya, media tidak dapat tidak telah memainkan peranan yang sangat penting, bukan sahaja dalam konteks Kuala Nerus yang menjadi kawasan pilihan raya saya tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.

Pengaruh media sebenarnya sangat penting, terutamanya kepada orang politik seperti saya. Namun bukanlah saya maksudkan saya mendekati mereka kerana saya orang politik. Dari segi sejarahnya, keluarga saya sememangnya sangat sinonim dengan dunia kewartawanan. Almarhum ayahanda saya, Tan Sri Ibrahim Fikri juga pernah menjadi wartawan dan pernah memegang jawatan penting di Utusan Melayu pada suatu dulu.

Mungkin juga kerana sejarah itu, saya telah menjiwai media dengan baik dan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan wartawan dan pengamal media.

Di Terengganu, saya sangat kagum dengan rakan wartawan. Saya masih ingat ketika BN kalah pada pilihan raya umum 1999, wartawan di Terengganu telah memainkan peranan mereka dengan sangat berkesan dalam membantu kemenangan semula parti itu pada 2004.

Perkara itu tidak boleh dinafikan sama sekali kerana ia telah menjadi satu sejarah yang tidak boleh membohongi sesiapa.

Selalunya majlis meraikan media diadakan pada bulan Ramadan, namun seperti tahun lalu, saya memilih di penghujung bulan sebelum Ramadan. Bagi saya, waktu ini lebih lapang kerana rakan media akan lebih sibuk dengan pelbagai undangan pada bulan Ramadan nanti.

Kepada rakan-rakan wartawan, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat mereka. Semoga mereka akan terus gigih berusaha dan berkhidmat. Dan, saya juga berharap agar kami dapat sentiasa menjalinkan kerjasama dengan mereka.

Terima kasih media dan wartawan. Peranan kalian amat saya sanjungi dan hargai.