Thursday, August 19, 2010

RAMADHAN YANG DILALUI DENGAN SYUKUR

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Syukur Alhamdulillah apabila kita semua dapat meneruskan ibadah puasa di Ramadan Al Mubarak yang mulia ini. Semoga sehingga ke hari ini, kita semua dapat bertahan dan berjaya melewati pelbagai ujian yang mendatang.

Sesungguhnya Ramadan adalah bulan ujian buat kita semua.


Hari ini, dalam catatan yang agak terbatas ini, saya hanya ingin mengajak anda merenung dan berfikir sejenak dari satu sudut mengenai Ramadan ini. Ya, saya mahu mengajak anda berfikir betapa sebenarnya, kita di Malaysia ini masih lagi bertuah dalam banyak perkara ketika menyambut bulan yang penuh berkat ini.


Walaupun mungkin, terdapat hal-hal yang kita sendiri menganggapnya sebagai satu bebanan, namun kita sebenarnya masih jauh bertuah. Jika kita merenung dan berfikir dengan jujur, apa yang ada di negara ini, tempat tumpah darahnya kita, kita sebenarnya sedang dilimpahi dengan limpahan rezeki yang banyak.


Malah kehidupan kita juga sungguh gembira dan sejahtera berbanding di kebanyakan rakyat atau umat Islam di dunia hari ini. Hakikatnya, tiada siapa pun yang boleh menafikan mengenai hal tersebut. Di negara kita, kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.


Lihatlah, setiap kali tibanya Ramadan dan dekat dengan sambutan Hari Raya, golongan kurang bernasib tidak pernah dilupakan. Kerajaan kita sentiasa membantu mereka. Keadaan lebih meriah apabila program amal jariah ini turut disertai oleh pihak syarikat dan dermawan yang lainnya.


Semua itu dapat kita lakukan dan lalui kerana negara kita aman damai. Ia juga hasil daripada usaha kerajaan yang bijak menguruskan negara ini sehingga berada pada tahap seperti sekarang.


Justeru, ada baiknya kita menjadi rakyat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang ada. Hanya dengan cara itu, ia akan membuatkan apa yang kita miliki itu menjadi lebih bernilai dan berharga.


Marilah dengan semangat Ramadan ini, kita meningkatkan keimanan dan rasa syukur kita agar apa yang sedang kita miliki ini akan terus kita miliki. Percayalah, kealpaan kita daripada bersyukur akan mendedahkan kita kepada pelbagai kemungkinan yang akan merugikan kita pada masa akan datang.


Kepada anda semua, selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.


No comments: