Sunday, August 22, 2010

JANGAN MAIN MERCUN

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Sungguh tersentuh hati saya dengan kejadian letupan di sebuah rumah di kampong Seberang baruh, Chabang Tiga tengahari tadi (21/8/2010) sehingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak, Khairul Arif Ayob, 6 tahun manakala dua lagi dilaporkan parah.

Takziah saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan berdoa agar mereka akan sentiasa tabah serta banyak bersabar menghadapi dugaan Allah.

Saya difahamkan kejadian ini berpunca daripada mercun dan bunga api yang disimpan di dalam rumah berkenaan. Ia sudah tentu mempunyai kaitan dengan musim perayaan sekarang.

Yalah, mercun dan bunga api dikatakan menjadi sebahagian daripada kemeriahan menjelang musim perayaan. Malah ada yang mendakwa kononnyalah tanpa mercun dan bunga api, Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri tidak berseri lagi. Betulkah begitu?

Sebenarnya, apa yang berlaku siang tadi adalah antara penyebab utama kerajaan melarang penjualan dan permainan mercun serta bunga api tertentu pada musim perayaan ini. Ia bahaya dan mendedahkan banyak pihak kepadfa pelbagai kemungkinan.

Dan, sebenarnya sudah banyak peristiwa berlaku disebabkan permainan bunga api dan mercun ini. Walaupun di saat kerajaan melarang, masih ramai yang degil dan melakukan kesalahan tersebut. Malah sudah ramai yang maut, kehilangan anggota badan, cacat dan tidak kurang pula yang mengalami kecderaan parah.

Semua itu adalah angkara mercun dan bunga api. Namun, paling menyedihkan ialah apabila masih ramai di kalangan orang kita yang masih berdegil dengan bermain bunga api dan mercun ini. Lebih mendukacitakan, ia dijual oleh mereka secara senyap-senyap.

Keadaan itu tanpa sedar, ia sebenarnya mendedahkan banyak pihak kepada mala petaka. Justeru, harus ada kesedaran di kalangan kita bahawa larangan yang dibuat kerajaan ke atas perkara tersebut ada asas dan sebabnya.

Oleh itu, kita harus sedar mengenai perkara tersebut. Laporkan kepada pihak berkuasa jika ada yang menjual mercun atau bunga api tertentu.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memantau anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan permainan bunga api dan mercun ini.

Cukuplah dengan apa yang telah pun berlaku sebelum ini. Semoga sejarah mengajar kita untuk menjadi orang yang tahu mengambil iktibar daripada setiap peristiwa pahit yang telah berlalu.

1 comment:

Anonymous said...

salam, yb kenapa pihak berkuasa membenarkan jualan mercun di pasar ramadan--- adakah pihak berkuasa yang bersengkokol dalam main mercun