Sunday, June 24, 2012

PERKASAKAN BAHASA MELAYU


Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah, dapat lagi saya menulis malam ini untuk kita semua.

Ada sedikit kelapangan malam ini, maka saya catatkan ini untuk kita kongsikan bersama. Siang tadi, saya sempat menyertai Persidangan Meja Bulat Mengenai Isu Pencemaran Bahasa Melayu di Kuala Terengganu.

Persidangan ini yang dianjurkan Gagasan dengan kerjasama Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) dan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA). Jujurnya, saya sangat teruja dengan pandangan serta hujah daripada pakar bahasa yang mengupas isu yang dibangkit.

Dengan jelas terlihat, melalui pelbagai contoh yang diberikan pada persidangan itu mengenai pencemaran bahasa Melayu oleh rakyat kita sendiri. Dalam hal itu, agensi berkenaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) digesa agar segera mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut.

Sebabnya, SSM adalah agensi yang bertanggungjawab dalam mendaftar nama syarikat di negara ini. Akibat kelulusan yang diberikan terhadap permohonan penubuhan sesebuah syarikat yang menggunakan perkata yang tidak langsung mencerminkan kemalayuan serta bercampuraduk dengan bahasa asing, maka ia melebarkan lagi masalah yang sedia ada.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula tidak terdaya melakukan apa-apa kerana ia telah diluluskan melalui SSM. Oleh kerana itulah kita lihat banyak papan tanda yang salah dari segi tata bahasanya.

Justeru, saya telah memberikan komitmen untuk membantu membangkitkan isu ini ke pihak atasan. Jika tidak melalui sidang Parlimen, ia mungkin akan dibawa melalui saluran lain yang masih mempunyai matlamat yang sama.

Terima kasih saya ucapkan kepada pakar-pakar bahasa yang memberikan pandangan dan teguran yang sangat berguna tadi.

Saya berhasrat persidangan seperti ini akan dapat kita adakan di peringkat nasional pula, insya’Allah.

Monday, June 18, 2012

POLITIK KITA SEMAKIN MENGELIRUKAN

politik kita semakin mengelirukan

Assalamualaikum.

Satu budaya yang kian segar dalam cara orang kita berpolitik ialah apabila kita menyangka hanya kita sahaja yang betul, orang lain salah belaka. Orang sebegitu, seringkali mencipta fatwanya sendiri, bagi menghalalkan apa jua tindakan yang dia lakukan.

Dalam satu keadaan yang lain, ada orang politik yang tergamak mengatakan orang lain begitu dan begini, tetapi pada hakikatnya, dia lebih buruk daripada orang yang dia katakan itu. Ini saya namakan politik tidak cerminkan diri.

Ada juga di kalangan orang politik yang tergamak menjanjikan sesuatu yang bukan menjadi haknya. Orang sebegini selalunya menyifatkan dirinya sendiri mengatasi apa yang sepatutnya. Ada lagi yang jenis suka bertukar-tukar kata. Hari ini berkata lain, esok pula berkata lain.

Lebih mengaibkan apabila ada orang politik yang menjadikan agama untuk mencapai cita-cita politik mereka. Rakyat kita, yang dihidangkan dengan politik sedemikian, ada juga yang sengaja menelan dan ramai juga yang tertelan. Akhirnya, pemikiran rakyat menjadi keliru dan haru-biru.

Inilah sindrom penyakit politik yang sedang melanda negara kita. Orang politik terlalu ghairah mahukan kuasa sehingga tergamak melakukan apa sahaja termasuk menjual maruah agama, bangsa dan negara tercinta.

Orang politik yang saya maksudkan itu pula sudah tentulah pembangkang. Semakin dekat dengan PRU, semakin galak mereka berjanji. Dan, yang satu lagi pula makin galak mengeluarkan fatwa itu dan ini sehinggakan pandangan ulama paling tersohor di dunia pun sanggup dia sanggah.

Saya berpandangan, keadaan ini jika dibiarkan berterusan, maka ia akan memberikan ancaman terhadap pemikiran rakyat. Saya khuatir, rakyat yang kurang faham atau mengambil mudah akan isu atau janji palsu golongan itu akan tergoda dengan apa yang berlaku.

Jika itu berlaku, akhirnya yang rugi ialah rakyat sendiri. Inilah yang kita tidak mahu lihat sebenarnya. Hakikat yang ada di depan mata kita ialah Malaysia sudah berada pada landasan yang terbaik, yang tidak akan ada lagi lebih baik daripada apa yang sedang kita miliki.

Seperti yang kita faham, orang yang pada hari ini ingin berangan-angan menjadi ketua kerajaan adalah manusia yang kecewa dengan masa depannya. Ia tidak berasaskan kepada aspirasi untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat. Takkanlah itu pun rakyat masih belum nampak?

Kepada rakyat, saya mohon agar mereka sedar mengenai perkara tersebut. Marilah sama-sama kita pertahankan negara kita, pertahankan maruah kita, pertahanankan bangsa kita.

Marilah kita menolak sebarang anasir yang kini sedang berkeliaran di sekeliling kita untuk merosakkan masa depan kita. Ingat tu.