Monday, June 18, 2012

POLITIK KITA SEMAKIN MENGELIRUKAN

politik kita semakin mengelirukan

Assalamualaikum.

Satu budaya yang kian segar dalam cara orang kita berpolitik ialah apabila kita menyangka hanya kita sahaja yang betul, orang lain salah belaka. Orang sebegitu, seringkali mencipta fatwanya sendiri, bagi menghalalkan apa jua tindakan yang dia lakukan.

Dalam satu keadaan yang lain, ada orang politik yang tergamak mengatakan orang lain begitu dan begini, tetapi pada hakikatnya, dia lebih buruk daripada orang yang dia katakan itu. Ini saya namakan politik tidak cerminkan diri.

Ada juga di kalangan orang politik yang tergamak menjanjikan sesuatu yang bukan menjadi haknya. Orang sebegini selalunya menyifatkan dirinya sendiri mengatasi apa yang sepatutnya. Ada lagi yang jenis suka bertukar-tukar kata. Hari ini berkata lain, esok pula berkata lain.

Lebih mengaibkan apabila ada orang politik yang menjadikan agama untuk mencapai cita-cita politik mereka. Rakyat kita, yang dihidangkan dengan politik sedemikian, ada juga yang sengaja menelan dan ramai juga yang tertelan. Akhirnya, pemikiran rakyat menjadi keliru dan haru-biru.

Inilah sindrom penyakit politik yang sedang melanda negara kita. Orang politik terlalu ghairah mahukan kuasa sehingga tergamak melakukan apa sahaja termasuk menjual maruah agama, bangsa dan negara tercinta.

Orang politik yang saya maksudkan itu pula sudah tentulah pembangkang. Semakin dekat dengan PRU, semakin galak mereka berjanji. Dan, yang satu lagi pula makin galak mengeluarkan fatwa itu dan ini sehinggakan pandangan ulama paling tersohor di dunia pun sanggup dia sanggah.

Saya berpandangan, keadaan ini jika dibiarkan berterusan, maka ia akan memberikan ancaman terhadap pemikiran rakyat. Saya khuatir, rakyat yang kurang faham atau mengambil mudah akan isu atau janji palsu golongan itu akan tergoda dengan apa yang berlaku.

Jika itu berlaku, akhirnya yang rugi ialah rakyat sendiri. Inilah yang kita tidak mahu lihat sebenarnya. Hakikat yang ada di depan mata kita ialah Malaysia sudah berada pada landasan yang terbaik, yang tidak akan ada lagi lebih baik daripada apa yang sedang kita miliki.

Seperti yang kita faham, orang yang pada hari ini ingin berangan-angan menjadi ketua kerajaan adalah manusia yang kecewa dengan masa depannya. Ia tidak berasaskan kepada aspirasi untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat. Takkanlah itu pun rakyat masih belum nampak?

Kepada rakyat, saya mohon agar mereka sedar mengenai perkara tersebut. Marilah sama-sama kita pertahankan negara kita, pertahankan maruah kita, pertahanankan bangsa kita.

Marilah kita menolak sebarang anasir yang kini sedang berkeliaran di sekeliling kita untuk merosakkan masa depan kita. Ingat tu.