Wednesday, June 24, 2009

TERKUBURNYA SATU KISAH

Assalamualaikum …

Saya tidak terkejut langsung apabila pakatan pembangkang menolak cadangan Kerajaan Perpaduan. Segala-galanya adalah sesuatu yang mudah dijangka kerana Pas bukannya sebuah parti “yang menguasai” Pakatan Pembangkang walaupun gema yang mereka gendangkan seolah-olah merekalah menjadi ketua dalam pakatan tersebut.

Sebaliknya sudah kedengaran kini suara-suara sumbang oleh segelintir pemimpin pembangkang yang mahu menyalahkan UMNO dalam isu Kerajaan Perpaduan. Begitulah wajah dan watak pembangkang. Apabila mereka tersepit, mereka akan menyalahkan orang lain tanpa mereka tergamak mencerminkan diri sendiri. Rakyat sendiri boleh mendengar dan melihat ucapan para pemimpin Pas mengenai isu Kerajaan Perpaduan. Ia bukanlah suara “mimming” semata-mata.

Biarlah. Mereka menolak pun, ia bukannya menjadi satu kerugian kepada UMNO. Kerajaan BN yang diterajui UMNO tidak sedikit pun terjejas dengan penolakan tersebut. Cuma, apabila satu cadangan yang baik seperti Kerajaan Perpaduan dikemukakan, maka UMNO menyambutnya dengan baik. Sebabnya bagi UMNO, apa yang baik bagi rakyat, itulah yang baik bagi UMNO. Tiada prejudis atau kepentingan bagi mencapai sesuatu yang baik. UMNO tidak pernah berdalih dan tidak pernah meletakkan sebarang syarat berbanding Pas yang sejak dulu mencabar dan mengajak UMNO untuk bermuzakarah tetapi pada masa yang sama telah meletakkan pelbagai syarat.

UMNO tidak begitu. UMNO adalah sebuah parti rakyat yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara yang mesti didahulukan. UMNO tidak pernah curiga atau berprasangka buruk terhadap sesuatu yang baik. Malah, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak percaya hasrat Pas mengenai Kerajaan Perpaduan adalah ikhlas. Namun semuanya terhalang. Ia dihalang oleh perasaan prasangka yang tebal, takut pada bayang-bayang sendir dan persepsi salah mengenai masa depan umat Islam/Melayu itu sendiri.

Politik sedemikian tidak akan membawa kita ke mana-mana. Jangan terlalu yakin dengan cara berpolitik sedemikian. Saya agak terkilan dengan perkembangan isu ini. ia sebenarnya telah menjadi harapan rakyat. Namun ia dihancurkan dan dihalang oleh parti yang bercita-cita besar dan meletakkan impian untuk menjadi manusia paling berkuasa sebagai matlamat yang mengatasi kepentingan rakyat. Itulah masalahnya.

Lagi menyedihkan apabila yang mencadangkan itu pula turut akur dengan kehendak kuasa berkenaan. Fikirkanlah.

Monday, June 22, 2009

KEPUTUSAN SEORANG KETUA

Salam bloger …

Pengumuman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein semalam (Ahad) mengenai rombakan pucuk kepimpinan badan itu ternyata mengembirakan banyak pihak. Bagi saya, ia adalah satu rombakan yang amat tepat dan mampu memberi sumbangan besar ke arah menyatu dan memperkukuhkan UMNO di Terengganu ini. Pelantikan tiga pemimpin baharu di peringkat Badan perhubungan itu jelas tidak menampakkan Datuk Seri Hishamuddin memberilkan “kemenangan” kepada mana-mana pihak.

Walaupun mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut, namun bagi saya, itu sajalah jalan terbaik bagi pucuk kepimpinan parti dalam menyelesaikan masalah yang berlaku hari ini. Hakikatnya, tidak ada keputusan yang mampu memuaskan hati semua pihak. Namun, jika semua pihak bersikap akur dengan ketua parti, maka jalan penyelesaiannya sebenarnya sudah terbuka.

Pelantikan Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Badan Perhubungan adalah wajar kerana beliau adalah seorang tokoh yang berpengalaman, sama ada dalam kerajaan dan juga parti. Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau pernah menjawat jawatan tersebut sebelum ini dan apabila sudah memegang jawatan menteri di peringkat pusat, sudah tentu beliau mempunyak banyak kelebihan untuk bekerja keras demi parti.

Saya juga gembira dengan pelantikan timbalan saya, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang dilantik sebagai Bendahari. Pelantikan itu saya terjemahkan sebagai satu penghormatan pucuk kepimpinan parti kepada saya dan bahagian yang saya ketuai – Kuala Nerus. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang telah dilantik.

Sebenarnya saya melihat, semuanya bersedia bekerja demi parti, mahu melihat UMNO terus utuh dan sentiasa bertakhta di hati rakyat. YAB Menteri Besar, Datuk Ahmad Said misalnya, walaupun daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan kemudiannya hanya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, beliau tetap akur demi parti. Begitu juga dengan Datuk Tengku Putera, juga akur dengan pelantikan itu walaupun bagi sesetengah orang ia ditafsir kononnya sebagai “turun pangkat”.

Di dalam politik, tiada istilah diturunkan pangkat kerana setiap ahli parti mempunyai tanggungjawab terhadap parti. Justeru, jika pemimpin kita boleh akur dengan keadaan itu, mengapa kita tidak boleh sebagai pemimpin lain di peringkat kerajaan dan parti?. Saya tidak nampak perkara itu tidak boleh berlaku. Oleh itu, saya berharap agar pelantikan yang diumumkan semalam diterima dengan positif dan demi masa depan parti.

Jika itu dapat dipupuk dan diterima dengan baik, UMNO Terengganu akan kembali kuat dan kukuh. Setiap masalah perlu ada jalan penyelesaiannya. Anggaplah apa yang diputuskan semalam sebagai penghujung kepada masalah itu. Sekarang adalah masa untuk kita bersatu, kembali bertaut pada dahan perjuangan demi agama, rakyat, negara, parti dan bangsa.

Thursday, June 18, 2009

TAFSIRAN DEMOKRASI

Salam bloger …

Kita adalah sebuah negara demokrasi. Ya, kita semua tahu mengenainya. Bagaimanapun sejak beberapa ketika yang lalu, hinggalah sekarang, terdapat persepsi silap mengenai demokrasi di mata rakyat. Ia disilapkan oleh pemimpin politik yang sedar akan hakikat tersebut tetapi sengaja memesongkan pemikiran rakyat terhadap demokrasi.

Demokrasi telah ditafsirkan sebagai kebebasan yang mutlak. Setiap tindakan, kata-kata dan perancangan yang jika disekat (walaupun yang bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan), maka kedengaran tuduhan dan dakwaan nakal kononnya kerajaan yang memerintah (dalam konteks negara ini sudah tentu Barisan Nasional) telah menyekat kebebasan. Lalu, mereka menjaja kononnya demokrasi telah mati di negara ini. Adakah anda percaya?.

Saya berpendapat, demokrasi bukan satu kebebasan yang mutlak. Malah, dalam kehidupan manusia pun, tiada kebebasan yang mutlak. Demokrasi yang sihat ialah demokrasi yang diurus melalui undang-undang. Undang-undanglah yang menjadi tunjang dan benteng yang akan menyuburkan demokrasi. Demokrasi tidak bermaksud membenarkan demonstrasi jalanan. Ia juga tidak membenarkan budaya menfitnah, melontar batu sembunyi tangan. Demikian salah faham mengenai demokrasi.

Saya sedih apabila ada cubaan pembangkang yang mahu menghidupkan kembali budaya demontrasi jalanan. Kononnya di atas sifat demokrasi, maka mereka mahu menganjurkan demontrasi. Demonstrasi adalah satu masalah dan sudah tentu ia tidak lagi menjadi antara jalan penyelesaian kepada setiap masalah. Yang merana nantinya ialah rakyat, kita semua. Janganlah kita sentiasa mengikut perasaan demi impian yang songsang. Rakyat mesti diutamakan dan negara mestilah dipelihara daripada setiap ancaman.

Sebenarnya demokrasi tidak pernah mati di Malaysia. Namun, ia semakin tercemar akibat perbuatan manusia politik yang berkepentingan dan gilakan kuasa. Kita masih diberikan kebebasan yang luas. Jika kita mematuhi undang-undang, tiada siapa pun yang mampu menyekat kebebasan kita. Sebaliknya jika kita memilih untuk menongkah undang-undang kononnya di atas dasar demokrasi, ia adalah sesuatu yang tidak pernah dihalalkan oleh demokrasi itu sendiri.

Kita masih diberikan peluang yang bebas dalam memilih kerajaan serta pemimpin melalui proses pilihan raya. Meski pun ada pihak yang sentiasa menuduh sistem pemilihan itu kononnya tidak adil dan penuh tipu muslihat, namun andaian itu dibuat terhadap kekalahan mereka semata-mata. Jika mereka menang, tiada tuduhan dibuat. Jelas, andaian itu sarat dengan tipu muslihat dan kepentingan. Kita juga masih bebas bersuara. Jika kita meletakkan undang-undang yang teratas, tiada siapa pun yang mampu menyekat suara kita.

Masalahnya, kita selalu memilih sesuatu yang diharamkan. Itu bukan demokrasi namanya. Perkara tersebut selalunya dilakukan oleh mereka yang korup idea dan mengalami penyakit atau masalah mentaliti politik yang ketara.

Kita mempunyai acuan demokrasi kita sendiri. Ia telah terbukti menjadi asas keamanan, kesejahteraan dan kejayaan kita. Saya percaya, anda juga bersetuju dengan saya.

Tuesday, June 16, 2009

POLITIK: SATU PENILAIAN

Salam bloger …

Sama ada kita suka atau tidak, antara sebab kemunduran rakyat dan sesebuah negeri atau negara, ia banyak bergantung kepada kegagalan rakyat memilih kerajaan atau pemimpinnya. Tentu sekali kita bercakap mengenai negara kita. Landskap politik orang kita, secara jujurnya saya melihat sudah agak tersasar. Hakikat itu dapat dilihat melalui rumusan politik yang dibuat segelintir rakyat yang bertindak seolah-olah tidak lagi mementingkan masa depan mereka.

Mereka menolak pembangunan kononnya pembangunan adalah duniawi semata-mata. Katanya, mereka mahu membina jambatan ke syurga. Orang kita berpolitik secara sentimen dan meletakkan “perasaan geram” mengatasi kebijaksanaan berfikir dan bertindak. Akhirnya mereka memilih wakil rakyat atau pemimpin yang tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Maka tidak hairanlah apabila ada wakil rakyat yang makan gaji buta sedangkan rakyat diabaikan begitu sahaja. Ada pemimpin yang sebelum ini kerjanya menyertai demontrasi jalanan tetapi dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya. Pemimpin seperti itu boleh buat apa?. Lebih jauh lagi apabila adanya wakil rakyat tidak pernah berhenti mencari publisiti murahan melalui tindakan yang semakin memualkan rakyat.

Semalam misalnya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin telah diarahkan keluar dewan di Parlimen selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang apabila beliau dikatakan melaungkan sesuatu dan memakai lilitan di kepalanya. Dalam reaksinya, beliau berkata, perkara itu dilakukan bagi menarik perhatian agar DUN Perak dibubarkan.

Saya sedih, selepas sikap tidak menghormati Dun Perak dilakukan beliau dan rakan-rakannya dalam Pakatan Pembangkang, budaya yang seakan-akan sama mahu di bawa ke Parlimen. Bagi saya, rakyat mesti membuat penilaian yang bijak mengenai peristiwa yang berlaku itu.

Sebenarnya ada yang tidak sedar, mereka yang mengkritik demokrasi kononnya sebagai tidak lagi wujud atau subur di negara bertuah ini, mereka berada di tempatnya sekarang juga kerana dan sebabnya demokrasi. Sebagaimana demokrasi menghantar saya ke Parlimen, maka begitulah mereka. Saya fikir, rakyat perlu berubah mengenai cara mereka berpolitik. Mereka tidak harus membina benteng yang boleh melupai mereka bahawa sejak merdeka dahulu sehingga kini, yang membangun dan memajukan negara ini BUKANNYA parti Pas, PKR atau DAP.

Yang membela rakyat sehingga kita semua memperolehi nikmat sehingga hari ini juga BUKANNYA parti yang saya sebutkan tadi. Mengapa kita mudah lupa hanya semata-mata kerana perasaan dendam yang disuburkan parti yang kita tahu rekod dan sejarahnya tidak menyumbang kepada masa depan negara.

Hakikatnya, kita berada dalam keadaan selesa di hari ini, ia adalah jasa dan sumbangan besar parti Perikatan yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). BN adalah parti yang sudah terbukti rekodnya yang cemerlang kerana segala bukti itu berada di hadapan mata kita. Ia tidak boleh dinafikan lagi. Politik tidak boleh dijadikan bahan eksperimen. Kesilapan kita berpolitik akan hanya mendedahkan kita kepada sekian banyak padahnya.

Kepada rakyat, lihatlah apa yang ada di hadapan anda dan berfikirlah dengan bijak dan matang demi masa depan kita semua. Ingat, hanya BN yang telah pun terbukti berjaya membawa perubahan dan menjamin masa depan kita. Itu muktamad kerana parti-parti lain yang baharu sahaja menerima kuasa, selain mereka ketiadaan rekod yang cemerlang, mereka kini sudah mula dilihat bermasalah yang menggugat kemampuan mereka. Dan, keadaan itu jika rakyat biarkan, ia akan mengundang kepada masalah yang berpanjangan buat mereka. Fikirkanlah.


Sunday, June 14, 2009

POLITIK SIMPATI

Assalamualaikum…

Orang politik selalu dikatakan sanggup melakukan apa sahaja demi politiknya. Walaupun mungkin ia dilihat menentang arus, namun semua itu tergamak dilakukan. Bagi ahli politik yang masih terkapai-kapai dan impian besarnya masih di awangan, mereka biasanya sanggup mengeluarkan kenyataan, bertindak dan melakukan sesuatu yang kadangkala seolah-olah mahu meraih simpati. Orang politik seperti ini biasanya mempunyai masalah pemikiran kerana mahu merealisasikan hajat mereka dalam gambaran seperti “sudah tiada banyak masa” untuknya mencapai apa yang ada di hatinya.

Maka, begitulah saya lihat apabila DS Anwar Ibrahim membuat kenyataan yang menggesa kerajaan membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia. Mengapa saranan itu dibuat mengikut perkiraan politik saya, ia hanya mahu meraih simpati pengundi Cina walaupun dia terpaksa mengguris hati orang Melayu itu sendiri. Kerajaan BN telah memutuskan bahawa Chin Peng tidak akan dibenarkan pulang ke negara ini. Walau di atas apa pun perkiraannya, Chin Peng telah meninggalkan sesuatu yang tidak mudah rakyat Malaysia lupakan dan maafkan.

Kerana kejahatan dan kezaliman yang ditinggalkan itulah, maka nama komunis itu sendiri sudah menjadi sebutan yang menjijikkan. Mereka yang tidak merasakan demikian adalah golongan yang berjiwa rendah, tidak sensetif serta sengaja mahu mengundang masalah. Apa yang menjadi masalah kepada kita sekarang, kita hidup dalam keadaan segala-galanya berwajah politik. Ia sentiasa dikaitkan walaupun hati dan perasaan bekas prajurit kita yang berjuang demi negara menentang komunis tidak dijaga langsung.

Politik yang sihat tidak mungkin akan membenarkan pandangan yang serong dan merugikan. Kerajaan telah membuat keputusan mengenai perkara itu selepas membuat kajian, menerima pandangan banyak pihak dan bersetuju dengan suara terbanyak rakyat yang menolak kepulangan Chi Peng. Isu ini tidak wajar dihidupkan kembali kerana keputusan mengenainya telah pun dibuat secara muktamad.

Saya sedih kerana cara kita berfikir, bercakap dan melontarkan pandangan mengenai isu ini seolah-olah bagi kita Chi Peng adalah seorang hero dan antara manusia penting bagi rakyat dan negara ini. Sekali lagi, ia adalah satu tindakan yang menjijikkan.

Justeru, jika ada mana-mana pihak termasuk DS Anwar sendiri yang mahukan Chin Peng dibenarkan pulang, maka bukan sukar untuk memahami akan agenda yang tersurat. Kita tidak akan ke mana-mana jika sentiasa berpegang dengan politik murahan. Di saat, rakyat sudah pintar berfikir, menilai dan merumuskan apa yang wujud di persekitaran mereka, apa yang mahu kita lontarkan kepada mereka mestilah mempunyai asas yang kukuh.

Dalam hal ini, kerajaan BN telah pun menterjemahkannya. Segala-galanya kerana rakyat didahulukan dalam semua perkara.

Saturday, June 13, 2009

PARTI MENGUASAI KERAJAAN, RAKYAT?

Assalamualaikum …

Apakah yang anda faham mengenai parti menguasai kerajaan?. Dalam percaturan politik, ia adalah sebahagian daripada sifirnya. Hakikatnya, sebuah kerajaan tidak akan ditegakkan dengan jayanya jika hanya berpegang kepada parti menguasai kerajaan walaupun itu mungkin menjadi satu kemestian. Seperti kata Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, DS Mohd Najib Tun Abdul Razak, konsep parti menguasai kerajaan akan lebih lengkap jika rakyat diajak sama menjayakannya.

Maksudnya, parti yang menguasai kerajaan tidak akan banyak bermakna tanpa kita melibatkan rakyat kerana kejayaan sesebuah parti itu banyak disumbangkan oleh kuasa rakyat. Maka, parti, kerajaan dan rakyat adalah tiga komponan yang amat penting untuk dibajai. Dalam keadaan parti menguasai kerajaan, ahli-ahli parti atau pemimpin parti pula mestilah menterjemahkan aspirasi tersebut kepada rakyat. Ahli parti atau pemimpin parti tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak, bersuara atau melontarkan apa yang mereka mahukan tanpa mengambil kira kuasa, kedudukan dan perasaan rakyat. Tidak boleh sama sekali.

Oleh kerana itu, apabila tercetusnya sesuatu krisis politik, kita mesti kembali kepada kepentingan rakyat. Kita mesti memikirkan apakah tindakan, ucapan atau kemahuan kita itu sejajar serta selaras dengan kehendak atau kemahuan rakyat. Parti yang menguasai kerajaan tetapi memisahkan rakyat daripadanya akan mendedahkan mereka kepada mala petaka politik. Itu tidak syak lagi. Bagi ahli dan pemimpin parti politik yang memahami keadaan tersebut, mereka pasti akan lebih berhati-hati sebelum bertindak.

Oleh itu, bagi membentuk sebuah kerajaan yang berjaya dan kekal, parti mestilah mengutamakan rakyat selain tidak meminggirkan langsung kepentingan ahli parti. Bunyinya agak berbelit sedikit, tetapi falsafahnya amat jelas. Kerajaan dan parti mesti diperkasakan melalui kuasa rakyat. Ke mana pun tujuan dan apa pun kemahuan kita, akhirnya kuasa rakyat yang menentukan nasib kita dan parti kita. Itu hukum demokrasi.

Saya sentiasa percaya dengan kuasa rakyat dan kerana itu saya meletakkan penghormatan tinggi terhadap rakyat adalah antara perkara yang paling teratas dalam senarai kepentingan hidup saya sebagai wakil rakyat. Saya berharap saya masih mampu berada di landasan sebagaimana sekarang. Saya bangga kerana menjadi ahli dan pemimpin sebuah parti politik, apatah lagi parti saya yang menguasai kerajaan.

Justeru, saya berharap rakyat akan terus bersama-sama saya. tegurlah saya, berikanlah pandangan yang bernilai untuk saya terus berbakti kepada mereka, insya’Allah.

Friday, June 12, 2009

DAERAH KUALA NERUS

Wujudnya Daerah Kuala Nerus akan memberi impak yang positif kepada rakyat

Assalamualaikum …

Selepas sekian lama menunggu, penduduk di Kuala Nerus kian mendekati detik bersejarah bagi menjadikannya sebagai sebuah daerah baru di Terengganu. Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara tetapi saya ingin memaklumkan bahawa pengundi saya bakal memperolehi khabar gembira mengenainya.

Sebagaimana yang telah diperjuangkan sejak agak lama, Kuala Nerus sememangnya sudah layak dinaiktaraf sebagai sebuah daerah baru. Dengan itu, Kuala Nerus akan mempunyai Pejabat Daerah sendiri yang mampu menjadi pusat pentadbiran yang akan mengurus hal ehwal pembangunan serta perkara-perkara berkaitan di sini. Apatah lagi Kuala Nerus kini sudah kian pesat membangun, malah adakalanya wajah Kuala Nerus itu sendiri jauh lebih hebat dengan daerah-daerah lain.

Dengan mempunyai pusat pentadbiran sendiri, Kuala Nerus akan dapat diurustadbir dengan berkesan dan ia juga mampu menjana pertumbuhan ekonomi rakyat dan negeri. Selain itu, perkara tersebut juga akan membantu mengurangkan aliran trafik di Kuala Terengganu yang kini kian sesak ekoran tumpuan yang berlebihan diberikan rakyat. Apatah lagi Kuala Terengganu itu sendiri adalah sebuah kawasan pentadbiran yang amat luas yang sekarang ini melibatkan dua kawasan Parlimen.

Sebenarnya, saya dan rakan-rakan yang lain telah memperjuangkan perkara ini dengan seriusnya. Sejak dipilih sebagai ADUN Kawasan Bukit Tunggal lagi, perkara ini telah dibangkitkan beberapa kali dan kami sentiasa lantang dalam memastikan Kuala Nerus diiktiraf sebagai sebuah daerah baru. Malah pada satu ketika, pernah saya cadangkan agar dibina sebuah terowong bawah tanah dan dihidupkan semula perkhidmatan feri Kuala Terengganu ke Seberang Takir. Juga disuarakan pembinaan sistem aliran ringan di bandar Kuala Terengganu itu sendiri. Keadaan ini tidak akan berlaku jika Kuala Nerus dinaiktaraf sebagaimana yang dimaksudkan.

Saya gembira apabila Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja sendiri telah membangkitkan perkara yang sama ketika majlis pembukaan sidang DUN Terengganu baru-baru ini. Ia bukan sahaja memberikan keyakinan yang berlebihan, malah mencerminkan apa yang telah kami suarakan sejak sekian lama telah diberikan perhatian.

Saya optimis, apa yang kita semua impikan ini bakal menjadi kenyataan dalam tempoh yang sudah tidak lagi lama. Terima kasih di atas segala sokongan anda. Kuala Nerus: Membangun Bersama.

Thursday, June 11, 2009

UMNO DAN KETERBUKAAN

UMNO sentiasa memimpin perpaduan. Bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi sedang MEMIMPIN (bukan dipimpin) MB Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Ini bukti UMNO sentiasa mendukungi semangat perpaduan yang kini diteruskan di era kepimpinan
DS Mohd Najib Tun Abdul Razak

Assalamualaikum …

Dalam tempoh kebelakangan ini, politik negara kecoh seketika mengenai isu Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan Presiden Pas, DS Abdul Hadi Awang. Ia ternyata telah mencetuskan polemik yang ketara, bukan sahaja di kalangan ahli serta pemimpin Pas tetapi juga dalam pakatan pembangkang. Cadangan itu bagaimanapun ditolak dengan keras oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Itu masalah Pas dan saya tidak mahu mengambil kisah mengenai apa yang sedang menimpa mereka. Namun, apabila wujudnya polemik yang ketara itu, maka antara perkara yang dibangkitkan sesetengah pihak ialah betapa cadangan DS Abdul Hadi itu akan hanya memberikan nyawa kepada UMNO yang dianggap lemah ketika ini. Dan, ada pula yang melihat reaksi positif UMNO terhadap cadangan tersebut sebagai satu lagi helah politik parti tunjang Barisan Nasional (BN) terhadap parti pembangkang itu. Mungkin ada yang melihat begitu, tetapi saya tidak pernah berpandangan begitu.

Kesediaan UMNO menerima cadangan Kerajaan Perpaduan yang menurut pucuk pemimpin UMNO perlu diperjelas dan diperhalusi secara terperinci adalah kesinambungan daripada pendirian UMNO yang sentiasa ikhlas dalam mencari titik perpaduan. Tidak timbul langsung ketika UMNO lemah atau kuat dalam mencari perpaduan ini. Jika anda masih ingat, UMNO sentiasa terbuka dalam merealisasikan agenda perpaduan bersama pembangkang, khususnya Pas suatu masa dulu. Lalu timbullah apa yang dinamakan muzakarah UMNO-Pas. Waktu itu, UMNO sudah bersedia kerana UMNO sememangnya sebuah parti Melayu yang amat ikhlas dalam hal itu. Malangnya pada waktu itu, Pas pula yang bersikap jual mahal dan meletakkan pelbagai syarat pula sebelum ia menjadi kenyataan.

Di peringkat bawahan Pas pula, tercetusnya andaian dan tuduhan kononnya UMNO takut berhadapan dengan Pas. Itu tidak benar. Bagi UMNO, jika mahu bersatu, perlu ada keikhlasan dan tidak sepatutnya ada syarat yang mesti dipatuhi. Sekarang, perkara yang sama telah berlaku. Kali ini, ia dicetuskan kembali oleh pemimpin tertinggi Pas sendiri. Seperti dulu, UMNO sentiasa bersedia berbincang dengan Pas demi Islam dan Melayu serta masa depan negara ini. UMNO tidak pernah mengenakan syarat dan tidak mahu menerima syarat jika mahu melihat perpaduan yang dicanangkan itu menjadi kenyataan.

Walaupun bagi saya wajah cadangan Kerajaan Perpaduan itu masih lagi kabur, namun ia tetap menjadi satu permulaan yang baik. Dan, setiap yang baik wajar bebas daripada setiap prasangka. Maka, UMNO menyambutnya dengan nawaitu yang baik. Saya berdoa, semoga usaha yang baik ini akan berjaya direalisasikan.

Saya percaya bahawa harapan itu bukan sahaja lahir dari diri saya, tetapi juga mereka yang cintakan perpaduan. Percayalah!.

Tuesday, June 9, 2009

STADIUM DAN WAJAH BARU BLOG SAYA

Assalamualaikum dan salam bloger,

Syukur alhamdulillah, selepas agak lama saya tidak menjengah blog ini, hari ini saya kembali menemui anda semua. Terima kasih kepada anda yang masih setia dan sudi menjengah, membaca dan berkongsi pandangan melalui laman ini. Syukur ke hadrat Allah s.w.t, selepas pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci beberapa hari lalu, saya masih diberikan kekuatan untuk menulis dan mencatatkan sesuatu yang mengajak anda semua berfikir dan berkongsi kisah serta pengetahuan bersama saya.

Seperti yang sedang anda saksikan, laman blog saya ini sedang dibangunkan semula dengan wajah dan pengisian yang lebih berbeza. Ia adalah berkat pandangan serta perhatian daripada anda semua agar laman blog ini akan terus bertakhta di hati anda semua. Saya sentiasa bersedia menerima setiap pandangan anda mengenai tulisan, wajah baru dan pengisian laman blog ini. Pandangan anda akan menjadi inspirasi saya untuk terus menulis di sini. Mulai sekarang, saya akan terus memberikan perhatian terhadap laman blog ini. Anda ikutilah sepanjang masa kerana janji saya, saya akan sentiasa mengisinya dengan sesuatu yang baru untuk anda.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, ke mana saya ketika berlakunya insiden runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang kebetulan berada di kawasan Parlimen saya – yang selama ini menjadi simbol kebanggaan rakyat Terengganu. Saya di Mekah ketika kejadian itu. Namun, sebagai pemimpin dan wakil rakyat, saya sentiasa dimaklumkan mengenai setiap peristiwa yang berlaku di kawasan saya. Alhamdulillah, segala-galanya sentiasa berada di dalam pengetahuan saya di sana.

Bagi saya, menunding jari bukanlah satu jalan terbaik dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku. Sebaliknya, jika kita bijak untuk mengutip pengajaran di sebalik apa yang telah terjadi, ia sudah tentu akan mengajar kita kepada banyak perkara. Tiada sesiapa pun yang mahukan mala petaka seperti itu berlaku, apatah lagi berulang kembali. Maka, pelajarilah sesuatu daripadanya agar apa yang telah terjadi tidak terus terjadi.

Saya berharap, kita semua tidak menjadi seperti bangau oh bangau tetapi semua pihak perlu mencari punca mengapa tragedi itu terjadi. Dalam banyak keadaan, setiap kali berlaku peristiwa sedemikian, maka kerajaanlah yang akan dipersalahkan. Pelbagai andaian dibuat sehingga kadangkala ia mencetuskan kekeliruan. Pembangkang misalnya, adalah pihak paling galak mencetuskan sesuatu yang saya maksudkan itu. Hakikatnya, kelemahan ada di mana-mana. Ia tidak mungkin terlepas daripada genggaman manusia. Kelemahan tidak bermaksud penyelewengan dan setiap andaian akan hanya mengeruhkan keadaan.

Tragedi bumbung stadium runtuh itu perlu menyedarkan banyak pihak agar berhati-hati dengan setiap perancangan pembinaan projek-projek besar seperti itu. Saya percaya, rakyat sedang melihat kita dan menilainya. Cuma kebimbangan saya, rakyat akan menilainya mengikut persepsi yang bersifat andaian semata-mata, tanpa mahu percaya kepada fakta yang sebenar. Apa pun, yang berlaku telah pun berlaku. Maka, pelajarilah sesuatu di sebalik kejadian tersebut.