Thursday, September 30, 2010

BELAJARLAH DARIPADA SEJARAH

Assalamualaikum.


Sejak kebelakangan ini, insiden atau kenyataan yang bersifat perkauman makin menjadi-jadi. Ia ternyata menjadi satu perkembangan tidak sihat di sebuah negara seperti Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum.

Saya tidak faham, apakah punca keadaan tersebut berlaku. Apakah kerana kita telah diberikan terlalu luas ruang kebebasan atau adakah itu sememangnya cara kita dalam menyuarakan sesuatu perkara. Soalnya, mengapa sekarang hal sedemikian berlaku dan tidak selama ini sedangkan apa yang kita lalui adalah sama.


Apa pun alasannya, apa sahaja ucapan, kenyataan atau tindakan yang bersifat perkauman di khalayak umum – sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis adalah sesuatu yang wajar dielakkan.


Kita tidak ada pilihan selain itu kerana jika dibiarkan, ia boleh mendedahkan kita semua kepada keadaan yang tidak sepatutnya. Bukankah kita telah melewati sejarah 13 Mei 1969 yang puncanya adalah perkauman?.


Apakah kita tidak mempelajari sesuatu daripada sejarah yang telah berlaku?. Saya bimbang, keberanian tidak bertempat oleh banyak pihak, terutama mempertikaikan hak-hak kaum tertentu walaupun ianya telah termaktub dalam perlembagaan akan hanya mendedahkan masyarakat kita kepada lebih banyak masalah.


Apa yang jelas, isu ini mesti ditangani dengan tegas dan muktamad sebelum ini merebak menjadi penyakit yang sukar diubati. Saya percaya bahawa ramai yang bersetuju dengan saya kerana tidak tidak mahu sejarah pahit yang berlaku tidak lagi berulang kembali.


Oleh itu, semua pihak perlu lebih berhati-hati, teliti dan peka dengan sensetiviti masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Lebih utama, kita semua mestilah berpegang kuat dan akur dengan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan agar kita tidak tergelincir dari landasan yang telah begitu kukuh kita bina bersama sejak sekian lama.


Kita semua mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Saya tidak percaya wawasan itu akan menjadi kenyataan jika isu perkauman ini tidak ditangani dengan bijak.


Adalah sangat janggal bagi sebuah negara seperti Malaysia yang rakyat berbilang kaum mahu mencapai apa jua hasraatnya tanpa seiring dengan perpaduan dan kesepakatan kaum. Adalah amat malang bagi kita, jika kita mengabaikan apa yang sepatutnya kita pelihara dan pertahankan.


Saya akui bahawa isu berkenaan banyak berpunca daripada hal-hal yang berkaitan dengan politik. Lebih buruk lagi apabila ada di kalangan kita sendiri yang mengamalkan politik secara tidak matang sehingga tergamak melakukan apa sahaja demi untuk mencapai cita-cita politik. Perkauman telah menjadi sebahagian daripada umpan yang sengaja dilemparkan untuk tujuan tersebut.


Oleh itu, dengan semangat 1Malaysia, saya ingin mengajak seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, etnik, anutan politik agar segera menghentikan apa jua hal yang berkaitan dengan perkauman.


Kita semua harus kembali kepada kehidupan yang harmoni sebagaimana sebelum ini. Kita harus sama-sama membina Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan kekal sebagai bumi yang sentiasa indah bagi semua kaum.


Saya berpandangan, kita tidak harus saling mempertikaikan kerana segala-galanya telah dimeterai melalui Perlembagaan Persekutuan. Jika kita berpegang kepada apa yang telah kita persetujui melalui Perlembagaan itu, percayalah bahawa kita akan terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan berjaya dalam segala segi.


Itulah harapan saya, dan sudah tentu saya percaya itu juga adalah harapan anda semua.

Tuesday, September 28, 2010

TERIMA KASIH

Bersama isteri tercinta

memotong kek sempena majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuala Nerus

Isteru (berbaju hijau) melayan tetamu yang hadir.


Assalamualaikum.


Alhamdulillah saya bersyukur, pada 25 September lalu, majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuala Nerus telah diadakan dengan jayanya. Sebenarnya saya amat terharu dengan sambutan masyarakat terhadap majlis saya itu.


Kemeriahan itu dapat saya lihat apabila majlis seumpama itu telah dapat dijadikan sebagai tempat untuk kita semua bertemu bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai hal-hal semasa.


Jelas sekali, majlis Rumah Terbuka telah membawa kesan yang cukup besar kepada masyarakat setempat dan seharusnya menjadi aktiviti yang wajar diteruskan.


Dalam suasana kehidupan kita yang panas dengan isu-isu tertentu, majlis Rumah Terbuka telah menjadi sebahagian daripada kaedah untuk “meredakan” keadaan itu.


Jujurnya, saya begitu gembira dengan kehadiran anda semua ke majlis Rumah Terbuka saya baru-baru ini. Saya juga memohon ampun dan maaf jika ada kekurangan dan kelemahan sepanjang majlis itu berlangsung.


Saya juga bersyukur apabila pada sebelah malamnya, di tempat yang sama diadakan majlis tahlil untuk arwah ayahanda saya, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad. Dalam diam, sudah 37 tahun Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Terengganu telah meninggalkan kita semua.

Semoga Allah s.w.t menempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman dan diredhai.


Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada sahabat-handai yang telah sudi hadir ke majlis ringkas itu.


Friday, September 24, 2010

JEMPUTAN KE RUMAH TERBUKA PARLIMEN KUALA NERUS

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Terima kepada anda yang masih sudi melayari laman blog saya, bersama-sama berkongsi pandangan dan pendapat mengenai isu-isu semasa.

Bagi saya, anda semua adalah antara insan-insan yang saya hargai. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua pengundi dan penduduk di Parlimen Kuala Nerus untuk sama-sama memeriahkan majlis Rumah Terbuka saya yang akan diadakan di perkarangan Pejabat Perlimen Kuala Nerus di Seberang Takir pada Sabtu, 25 September 2010 bermula jam 10 pagi hingga 1 tengahari.

Mudah-mudahan dengan kehadiran kalian semua dapat memeriahkan lagi majlis tersebut.

Selamat hari raya, maaf zahir batin.

Thursday, September 23, 2010

ANTI MALAYSIA DI JAKARTA: SAMPAI BILA


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah sambutan Syawal masih berlangsung dengan meriahnya. Di semua tempat, penganjuran rumah terbuka diadakan. Demikianlah meriah dan nikmatnya hidup kita – yang kadangkala jauh berbeza dengan orang lain, di tempat yang lain.


Apa yang menarik perhatian saya hari ini ialah mengenai insiden tunjuk perasaan warga Indonesia di Jakarta. Kalau dulu, mereka ini melakukan tindakan biadab dengan membakar bendera Jalur Gemilang dan membaling najis manusia ke dalam pagar pejabat kedutaan Malaysia, kelmarin mereka mengepung rumah Duta Malaysia dan mahu menghalau keluar dari Indonesia.


Keadaan terbaharu itu berlaku disebabkan kes rogol yang membabitkan pembantu rumah warga Indonesia baru-baru ini.


Inilah akibatnya apabila setiap perkara mahu diberikan perhatian secara salah dan tidak professional.


Cuba kita faham, bahawa kes itu walaupun serius, ia bukanlah “besar” sangat kerana dalam jumlah warga Indonesia yang ramai di sini, hal sedemikian tidak boleh dielakkan. Kedua, ia bukan berlaku kerana faktor kerajaan tetapi lebih kepada sifat secara individu. Ketiga, pihak berkuasa ini dengan pantas menahan dan mendakwa mereka terlibat dalam maksud tindakan diambil dengan segera dan pantas.


Cuba juga kita faham, berapa ramai rakyat Malaysia menjadi korban angkara rompakan dan pembunuhan yang dilakukan warga Indonesia di Malaysia (Ulang: di Malaysia, BUKAN Indonesia) selama ini. Berapa ramai rakyat kita yang derita akibat perbuatan jenayah warga Indonesia di negara kita. Namun, apakah ada rakyat Malaysia mengambil tindakan seperti rakyat Indonesia di Jakarta?.


Saya bukan mahu mengata, tetapi perbandingan seperti inilah yang boleh memperlihatkan kebenarannya dan kematangan kita.


Di sinilah hilangnya kebijaksanaan orang Indonesia dalam menangani isu-isu berkaitan.


Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat sedih dengan keadaan ini. Peristiwa terbaharu itu telah membuktikan betapa tindakan tegas secara muktamad mesti diambil bagi menghentikannya agar tidak berterusan pada masa akan datang.


Saya menyeru, semua pihak agar segera berhadapan dengan keadaan ini secara bijak. Memanglah nampak mudah dan remeh kononnya ia dilakukan segelintir orang di Jakarta, namun ia tidak boleh dipandang sebelah mata.


Janganlah kita menanti sehingga nasi sudah menjadi bubur, maka ia sudah tidak berguna lagi.