Friday, April 19, 2013

DEMI RAKYAT, UNDILAH BN


Assalamualaikum.

Saya bersyukur kerana sekali lagi diberikan peluang untuk mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Sesungguhnya amanah ini  saya pikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan kemenangan BN, khususnya di peringkat Parlimen.

Sebagaimana yang dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa kita mahukan satu pasukan yang mampu membentuk kerajaan yang kuat selepas PRU ini, ia merupakan satu mesej betapa kita semua perlu bekerja keras bagi memenuhi impian tersebut.

Sepanjang sepenggal yang lalu, saya telah melakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan dan keupayaan saya untuk rakyat di Parlimen Kuala Nerus dan melihat penerimaan dan sokongan rakyat terhadap BN sebenarnya semakin hari semakin baik dan positif.

BN adalah parti yang dipimpin oleh mereka yang bekerja untuk rakyat dan kerana itu, setiap keperluan dan kemahuan rakyat sentiasa diutamakan.

Saya gembira dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi saya dan penduduk di Parlimen Kuala Nerus yang telah memberikan undi kepada saya pada PRU yang ke-12 yang lalu, dan sudah tentu, dengan kedudukan saya yang kembali bertanding di kerusi yang sama kali ini, saya amat mengharapkan agar pengundi saya akan terus mengundi saya di Parlimen Kuala Nerus dan juga calon-calon BN di peringkat DUN.

Kepada mereka yang pada PRU ke-12 dahulu yang mungkin tidak mengundi saya, saya berharap kali ini mereka akan memberikan sokongan dan undi kepada saya sebagai calon BN demi kelangsungan perjuangan membawa perubahan kepada rakyat.

Saya sedar, sebagaimana anda semua bahawa PRU ke-13 ini adalah detik pertarungan yang sengit antara parti-parti yang bertanding. Pun begitu, saya masih tetap optimis bahawa rakyat lebih bijak untuk terus mengekalkan wakil BN untuk menjadi wakil rakyat mereka. Ini bukan retorik sebenarnya tetapi hakikat yang ada di hadapan kita.

Hal tersebut saya sendiri lalui dalam siri jelajah menemui rakyat di kawasan saya dan mereka ternyata bersyukur kerana memilih wakil rakyat BN kerana bagi mereka, rakyat akan lebih selesa di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Saya sangat berharap, agar rakyat terus bersama-sama menyokong dan mendokong perjuangan BN untuk memajukan negara dan membawa lebih kesejahteraan kepada rakyat.

Hakikatnya ialah, hanya BN yang mampu membawa kebaikan kepada rakyat dulu, kini dan selamanya.


Sunday, April 14, 2013

RAKYAT MULA MEMPERAKUI KELEBIHAN BN



Assalamualaikum.

Parlimen telah pun dibubarkan, malah hari penamaan calon dan hari mengundi juga telah ditetapkan.

Tiga tarikh penting yang dinanti-nantikan oleh rakyat selama ini telah pun terjawab. Masing-masing kini sedang memberikan tumpuan terhadap kempen-kempen mereka bagi memastikan kemenangan pada PRU ke-13 ini.

Walaupun banyak pihak berpendapat bahawa PRU kali ini adalah yang paling hangat, paling sengit dan paling getir, namun nampak semuanya berjalan lancar. Bagi saya, sudah tentu saya sangat percaya bahawa rakyat akan sekali lagi memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri Terengganu serta negeri-negeri lain di Malaysia.

Begitu juga di peringkat Parlimen, BN sekali lagi dijangka mampu membentuk kerajaan yang lebih kuat berbanding PRU ke-12 yang lalu.

Banyak sebab sebenarnya mengapa saya berkata demikian, selain faktor kejayaan BN itu sendiri dalam membangun dan memajukan negara serta menjaga kebajikan rakyat, kecelaruan serta isu-isu yang menggemparkan yang melanda parti pembangkang sejak kebelakangan ini telah turut membuka mata rakyat.

Selain itu, rakyat semakin bijak dan matang walaupun persekitaran mereka sekarang sedang diasak dengan pelbagai isu-isu yang sengaja dicetuskan melalui internet dan sebagainya. Hakikatnya, rakyat telah bijak dalam menapis isu-isu yang dibawa ke pengetahuan mereka.

Jelas sekali hari ini, BN telah diberikan sokongan dan sambutan yang amat baik dan BN juga berada pada posisi yang sangat meyakinkan untuk memenangi PRU ke-13 ini.

Jika anda ingin mengesahkan apa yang saya katakana, anda boleh bertemu rakyat yang tidak fanatik dan pemikirannya pula terbuka, mereka pasti akan menyatakan secara terbuka mengenai kejayaan dan potensi kemenangan BN.

Kepada mereka yang masih kurang yakin atau tidak yakin kepada kerajaan BN terutamanya penyokong pembangkang, waktu masih ada untuk mereka berubah kepada yang lebih baik.

PAS telah pun memerintah Terengganu pada 1999-2004 dan telah terbukti menjadi kerajaan yang gagal. Oleh kerana itu, saya berpandangan, rakyat tidak lagi sepatutnya memberikan kepercayaan kepada kerajaan yang gagal itu pada PRU ke-13 kali ini.

Harapan saya, marilah kita semua sebagai rakyat bersatu dan bertekad untuk terus memberikan undi kepada BN untuk  menerajui Terengganu dan Malaysia ini.


Sunday, April 7, 2013

TERIMA KASIH RAKYAT


Assalamualaikum

Parlimen telah pun dibubarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 3 April lalu.

Apa yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat telah pun menjadi kenyataan dan apa yang dinantikan sekarang adalah hari penamaan calon dan hari pengundian.

Sempena pembubaran Parlimen itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pengundi, penduduk dan agensi-agensi kerajaan serta swasta yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen kepada saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus lima tahun yang lalu.

Sesunguhnya saya gembira kerana dapat bekerjasama bersama anda semua dalam melaksanakan amanah penting untuk rakyat dan kemajuan di Parlimen Kuala Nerus.

Saya berdoa, segala kejayaan itu akan berterusan dan selagi kita memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang memerintah, rakyat akan sentiasa mendapat faedahnya.