Sunday, April 29, 2012

BERSIH YANG KOTOR DAN MENJIJIKKAN


Assalamualaikum.

Seperti yang dijangkakan, himpunan paling kotor dalam sejarah negara BERSIH 3.0 berlangsung dalam suasana yang amat teruk, ganas dan melanggar etika rakyat sebenar Malaysia dan undang-undang di negara ini.

Bagi saya, saya tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana itulah pun yang mereka inginkan selama ini di sebalik tujuan penganjuran perhimpunan yang memalukan itu walaupun pihak berkuasa telah menawarkan tempat yang paling selamat kepada mereka.

Anda lihat di layar maya dan kaca TV, anda fikirkanlah sendiri. Inikah watak-watak manusia yang selama ini ditarbiyah oleh sebuah parti yang menggelarkan diri mereka kononnya sebagai Parti Islam?. Inikah manusia yang hendak kita serahkan kuasa kepada mereka?. Anda renungkan seketika dan fikir dengan sejujurnya.

Sesiapa yang waras dan melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur siang tadi, mereka akan menilai betapa sebenarnya sekarang ini, ada rakyat kita sendiri sedang berusaha untuk menghancurkan negaranya sendiri. Ini bukan perkara remeh dan mesti diberikan perhatian oleh semua rakyat.

Belajarlah dengan apa yang telah menimpa di kebanyakan negara luar sehingga memudahkan pengaruh luar menguasai kita. Bagi rakyat, mereka hanya faham dan ikut apa yang mereka lihat tetap mereka tidak faham apakah yang berlaku di sebaliknya.

Rakyat mungkin tidak faham mengenai hal-hal yang tidak pernah sampai ke telinganya. Akhirnya mereka terjebak dengan agenda jahat yang mahu mengheret mereka ke jalan yang salah.

Saya sedih melihat anak-anak muda Melayu yang majoriti menyertai perhimpunan tersebut. Mereka lupa, dalam sistem demokrasi, sebesar mana perhimpunan pun, ia tidak akan mampu mengubah apa-apa pun selainkan hanya dapat memuaskan nafsu semata-mata.

Kita berharap, pihak berkuasa mengkaji dengan teliti mengenai insiden ini dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat. Tiada kompromi dalam mempertahankan negara dan tiada maaf bagi mereka yang telah menjahamkan nama baik Malaysia.

Kepada rakyat, saya berharap mereka lihat dan menilai dengan jujur apa yang telah pembangkang lakukan terhadap negara kita sehingga begini masyarakat yang hendak kita lahirkan.

Rakyat, jauhkan pembangkang, tolak pembangkang yang telah merosakkan negara kita di mata dunia. Mereka tidak sayangkan Malaysia, mereka tidak sayangkan kita semua.

Friday, April 27, 2012

HIMPUNAN BERSIH SARAT AGENDA KOTOR


Assalamualaikum.

Esok, Sabtu sekali lagi puak pembangkang akan mengadakan perhimpunan di ibu negara kononnya bagi menuntut pilihan raya bersih.

Sejak mereka ini mengadakan demonstrasi berhubung tuntutan tersebut, banyak perkara yang saya tidak faham mengenainya. Soalnya, mengapa mereka tidak melalak dengan kemenangan mereka di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?. Jika pilihan raya tidak adil, mengapa mereka menerima kemenangan itu dan lagi pula, mengapa mereka beriya-iya nak menyertai PRU kalau tidak yakin ia tidak bersih?.

Perhimpunan 3.0 adalah lanjutan strategi mereka untuk melengah-lengahkan tarikh PRU kerana berlaku pelbagai kepincangan dalam pakatan pembangkang. Harus diingat bahawa kerajaan telah mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat parlimen dan disertai sendiri panel di kalangan parti pembangkang bagi membincangkan isu-isu mengenai pilihan raya ini. Dan, hampir kesemua tuntutan pembangkang sebelum ini telah dipenuhi. Jadi mereka mahu apa lagi?.

Jelas, mereka hanya mahu menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan BN dengan pada masa yang sama mereka mahu menutup kelemahan dalam pentadbiran kerajaan yang mereka perintah. Tidak lebih dari itu.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa pilihan raya bersih bukan sahaja menjadi keinginan pembangkang tetapi juga BN. Maka itu, kerajaan sentiasa terbuka dan memberikan perhatian terhadap teguran serta pandangan demi memastikan proses pilihan raya kita berjalan dengan lancar dan sempurna.

Jadi, untuk apa BERSIH 3.0 diadakan?. Ya, ia diadakan bagi membangkitkan semangat puak pembangkang yang semakin longlai, yang semakin tertekan dengan pelbagai isu yang membabitkan anwar Ibrahim. Saya tidak nampak asasnya perhimpunan tersebut.

Apa pun, kerajaan BN telah memberikan mereka ruang yang cukup untuk berhimpun. Malah kerajaan menyediakan stadium untuk mereka tetapi mereka tidak mahu. Kalau saya, itu bukanlah perkara pelik kerana tujuan sebenar mereka adalah untuk mencetuskan provokasi kepada pihak berkuasa. Mereka mahu menggambarkan kerajaan dan pihak berkuasa jahat. Itu saja.

Kepada rakyat, Lihatlah apa yang berlaku dengan jujur dan ikhlas. Fikirlah dengan matang mengenai apa yang sedang berlaku di depan mata mereka. Cukuplah negara kita rugi kerana kita melayan golongan yang tidak ada harga diri ini.

Mereka yang berhimpun itu tidak sedar bahawa mereka sedang merosakkan negaranya sendiri.

Kepada rakyat, marilah kita menolak pengkhianat negara ini. Bersatulah kita ke
arah itu.

Thursday, April 26, 2012

LAHIRNYA DAERAH KUALA NERUS


Assalamualaikum.

Antara perkara yang disentuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika istiadat pembukaan persidangan DUN Terengganu minggu lalu ialah baginda menyebut mengenai kewujudan daerah baru Kuala Nerus.

Selepas perkara tersebut dibentangkan dalam Bajet Negeri 2012 hujung tahun lalu, dan disentuh pula oleh Baginda dalam titahnya, saya amat menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku di atas kecaknaan dan keprihatinan baginda mengenai pentingnya kewujudan daerah baru Kuala Nerus ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri yang telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM20 juga bagi membolehkan kerja-kerja awal kea rah mencapai matlamat tersebut dimulakan tahun ini.

Alhamdulillah, kita telah pun mengenalpasti tapak pusat pentadbirannya dan YAB Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu sendiri telah pun melawat kawasan berkenaan baru-baru ini.

Sebenarnya kelahiran sebuah Daerah Kuala Nerus adalah sesuatu yang sangat-sangat dinantikan rakyat, bukan sahaja di Kuala Nerus tetapi juga seluruh Terengganu ini.

Usaha ini pula tidak berlaku dalam sehari dua ini. Sebaliknya, ia telah digerakkan secara tersusun dan penuh rapi bagi membolehkan ia menjadi kenyataan. Semua ini adalah hadiah untuk rakyat dan membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang bekerja dengan rakyat.

Daerah Kuala Nerus tidak akan lahir hanya kerana ia namanya Kuala Nerus. Namun, ia berlaku disebabkan Kuala Nerus telah pesat membangun dan memenuhi kreateria yang telah ditetapkan bagi membolehkan sebuah daerah baru menjadi kenyataan.

Kini lebih seratus ribu penduduk di Kuala Nerus menanti dengan penuh minat bagi melihat usaha ini segera menjadi kenyataan. Dan, berdasarkan kepada apa yang telah dilaksanakan, saya yakin ia sudah terlalu hamper menjadi kenyataan.

Saya berani menyatakan bahawa Kuala Nerus telah mempunyai segala-galanya untuk dibnobatkan atau dinaiktaraf sebagai sebuah daerah baru di Terengganu ini. Cuma, ia memerlukan kepada beberapa penambahbaikan yang wajar diberikan perhatian.

 Saya sangat teruja untuk menyatakan bahawa Daerah Kuala Nerus adalah hadiah untuk rakyat. Oleh kerana itu, rakyat mestilah bersama-sama kerajaan dalam hal ini. Rakyat jangan mudah terpedaya, terpengaruh dengan puak-puak yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak pernah melakukan apa-apa untuk rakyat.

Itulah harapan saya. Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, saya melakukan yang terbaik untuk Kuala Nerus dan saya sebenarnya sangat gembira di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam saya melewati perjuangan ini, khususnya menjadikan Kuala Nerus sebagai sebuah daerah baru di Terengganu, insya’Allah.


Wednesday, April 18, 2012

PELIK MAHASISWA ZAMAN SEKARANG


Assalamualaikum.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat kecenderungan golongan mahasiswa yang begitu gemar bermain politik dan menyertai politik. Tidak keterlaluan, dalam keadaan tertentu, mereka yang mendakwa sebagai mahasiswa ini lebih politik dari orang politik sendiri.

Sampai sekarang, saya masih tidak faham mengapa adik-adik mahasiswa kita (rata-rata bangsa Melayu kita) begitu ghairah menyertai aktiviti berkaitan politik kepartian di negara ini, khususnya dalam gerakan menentang kerajaan.

Cuma, apa yang saya faham, ramai di kalangan mahasiswa kita telah terpedaya atau sengaja membenarkan diri mereka diperdayakan pembangkang untuk mencapai cita-cita mereka. Sebagai orang Melayu dan pernah belajar di Universiti, saya amat malu dengan perangai segelintir mahasiswa yang menyertai kegiatan tersebut.

Sepatutnya mahasiswa kita lebih bijak, lebih tahu di mana bumi dipijak dan di mana langit yang dijunjung. Apakah tujuan nak matlamat mereka ke menara gading?. Pastinya mahu berjaya dalam pelajaran. Jadi, kalau mahasiswa sudah terlibat dengan politik mengatasi orang politik sendiri, apa lagi yang ada pada mereka.

Lebih menyedihkan, mahasiswa Melayu paling ramai terlibat dengan kegiatan sedemikian, manakala mahasiswa bangsa lain giat memberikan perhatian terhadap pelajaran untuk meraih kejayaan.

Kepada mahasiswa yang berkenaan, berfikiranlah dengan bijak. Kembalilah ke pangkal jalan dengan memberikan perhatian serius terhadap pelajaran. Apabila tamat pengajian nanti, buatlah apa yang anda mahu buat. Sertailah politik yang anda mahu sertai. Tidak ada sesiapa pun yang menghalangnya.

Adalah sesuatu yang memalukan dengan sikap segelintir mahasiswa kita hari ini. Mereka tidak mencerminkan golongan berpelajaran sehingga tergamak menjadi alat pihak tertentu untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Saya doakan, mereka akan sedar akan kesilapan langkah mereka dan kembali ke pangkal jalan.

Sunday, April 8, 2012

PEMBANGKANG TERPERANGKAP


Assalamualaikum.

Antara perkara yang paling ditakuti pembangkang sekarang adalah penyatuan dan perpaduan di kalangan pemimpin serta ahli UMNO. Sebabnya, selama ini mereka hanya tahu bahawa kononnya UMNO berpecah dan sebagainya.

Suasana telah berubah, dan iklim politik juga kian berubah. Lihatlah di mana-mana, rakyat sudah mulai sedar dengan hakikat politik sekarang.

Sah UMNO pula semakin mantap dan berada dalam keadaan yang sangat baik. Pembangkang sebenarnya telah membuat andaian yang salah jika berkata UMNO berpecah, dan hakikat itu akan dapat diterjemahkan pada PRU yang ke-13 nanti.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya, apabila mereka sendiri masih belum selesai dalam pengagihan kerusi yang mahu dipertandingkan puak mereka pada PRU akan datang ini.

Di Terengganu misalnya, PKR telah menuntut untuk bertanding 14 kerusi tetapi pada masa yang sama PAS tidak mungkin akan membiarkan perkara tersebut berlaku. PKR kian tamak kerana menyangka mereka kuat sangat sedangkan PKR hanya parti yang menumpang kekuatan Pas sahaja. Itu yang Pas tidak suka dan marah.

PKR memang tidak berpijak di bumi yang nyata. Tidak habis dengan membohongi rakyat melalui pelbagai isu-isu yang berlaku, mereka juga mahu membohongi Pas kononnya mereka adalah parti yang kuat sangat sehingga tergamak menuntut 14 kerusi.

Saya tidak nampak Pas akan berkompromi dalam perkara tersebut. Jika tidak diselesaikan menjelang PRU nanti, mereka akan menerima padah dan tidak mustahil akan berlaku pertandingan sesama sendiri sebagaimana ketika Pas bergabung dengan Parti Semangat 46 sebelum ini.

Inilah keadaan sebenar yang mereka sengaja tutup dari pengetahuan rakyat dengan melemparkan kononnya UMNO berpecah.

Sebenarnya, rakyat dah lama tahu bahawa pakatan pembangkang tidak sebulu. Masing-masing tamak dan perasan parti mereka kuat walaupun hakikatnya mereka tidaklah sebegitu.

Tapi bagi saya, tidak mustahil juga jika Pas menurut kehendak PKR sebab sebelum ini pun, mereka selalu ikut telunjuk PKR. Apakah sebabnya yang berlaku sedemikian itu, saya tidaklah pasti.

Apa pun saya berharap, rakyat akan lebih celik dan faham mengenai keadaan politik semasa hari ini. Ia penting bagi memastikan mereka tidak terjebak atau terpedaya dengan propaganda murahan pembangkang menjelang PRU ini.

AGENDA BERSIH ...


Assalamualaikum.

Diam tak diam,m kita dah pun masuk bulan April, empat bulan di tahun 2012 – tahun yang sarat dengan ramalan PRU ke-13 diadakan.

Seperti yang anda tahu, puak pembangkang akan menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara. Apa yang mereka tuntut juga sama sebagaimana perhimpunan haram Bersih 2.0 yang lalu.

Malah, Pas Terengganu juga dikatakan akan mengadakan demonstrasi besar-besaran sebelum itu di Kuala Terengganu, hadapan Wisma Darul Iman.

Sama ada kita sedar atau tidak, bahawa kerajaan telah pun menubuhkan jawatan khas bagi mengkaji dan mencadangkan mengenai pilihan raya bagi menambah baik proses pilihan raya yang sedia ada.

Jawatankuasa itu bukan sahaja terdiri daripada wakil kerajaan, malah wakil-wakil parting pembangkang. Oleh itu, mereka boleh dan telah pun memberikan pandangan bagi mencapai tujuan jawatankuasa tersebut ditubuhkan.

Malah, hasil kajian dan perancangan jawatankuasa berkenaan telah dibentangkan di Parlimen serta diluluskan walaupun pembangkang membuat kacau ketika pembentangan perkara tersebut di Parlimen baru-baru ini.

Namun, Bersih 3.0 yang sekali lagi akan diketuai Ambiga sebagai membantah terhadap sistem pilihan raya yang ada.

Jika orang lain tidak faham mengapa pembangkang tetap membantah, malah mahu mengadakan beberapa perhimpunan menjelang PRU ke-13 ini, tetapi saya boleh faham mengenainya.

Pertama, pembangkang sejak dahulu tidak pernah melihat apa yang diusahakan atau dilakukan kerajaan BN adalah tidak betul walaupun setiap keputusan yang dibuat turut melibatkan puak mereka. Itu perkara pokok yang sangat penting untuk diberikan perhatian.

Dan kedua, nampak sangat pembangkang tidak bersedia untuk menghadapi PRU. Apa yang mereka lakukan adalah untuk menarik perhatian banyak pihak dan mungkin juga satu kaedah untuk “memaksa” kerajaan melengahkan PRU.

Hakikat yang mereka sendiri sedar ialah betapa sokongan rakyat terhadap BN kian melonjak kerana rakyat kita semakin hari semakin melihat dan menilai pembangkang yang banyak menimbulkan masalah kepada rakyat.

Kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara walaupun pada masa yang sama pembangkang asyik melalak tanpa melakukan apa-apa pun.

Rakyat semakin sedar, semakin tahu mengenai tabiat buruk dan kelemahan pembangkang. Justeru, mereka kini beralih kepada BN yang telah terbukti mampu melakukan yang terbaik buat rakyat. Percayalah!.