Wednesday, April 18, 2012

PELIK MAHASISWA ZAMAN SEKARANG


Assalamualaikum.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat kecenderungan golongan mahasiswa yang begitu gemar bermain politik dan menyertai politik. Tidak keterlaluan, dalam keadaan tertentu, mereka yang mendakwa sebagai mahasiswa ini lebih politik dari orang politik sendiri.

Sampai sekarang, saya masih tidak faham mengapa adik-adik mahasiswa kita (rata-rata bangsa Melayu kita) begitu ghairah menyertai aktiviti berkaitan politik kepartian di negara ini, khususnya dalam gerakan menentang kerajaan.

Cuma, apa yang saya faham, ramai di kalangan mahasiswa kita telah terpedaya atau sengaja membenarkan diri mereka diperdayakan pembangkang untuk mencapai cita-cita mereka. Sebagai orang Melayu dan pernah belajar di Universiti, saya amat malu dengan perangai segelintir mahasiswa yang menyertai kegiatan tersebut.

Sepatutnya mahasiswa kita lebih bijak, lebih tahu di mana bumi dipijak dan di mana langit yang dijunjung. Apakah tujuan nak matlamat mereka ke menara gading?. Pastinya mahu berjaya dalam pelajaran. Jadi, kalau mahasiswa sudah terlibat dengan politik mengatasi orang politik sendiri, apa lagi yang ada pada mereka.

Lebih menyedihkan, mahasiswa Melayu paling ramai terlibat dengan kegiatan sedemikian, manakala mahasiswa bangsa lain giat memberikan perhatian terhadap pelajaran untuk meraih kejayaan.

Kepada mahasiswa yang berkenaan, berfikiranlah dengan bijak. Kembalilah ke pangkal jalan dengan memberikan perhatian serius terhadap pelajaran. Apabila tamat pengajian nanti, buatlah apa yang anda mahu buat. Sertailah politik yang anda mahu sertai. Tidak ada sesiapa pun yang menghalangnya.

Adalah sesuatu yang memalukan dengan sikap segelintir mahasiswa kita hari ini. Mereka tidak mencerminkan golongan berpelajaran sehingga tergamak menjadi alat pihak tertentu untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Saya doakan, mereka akan sedar akan kesilapan langkah mereka dan kembali ke pangkal jalan.