Tuesday, September 13, 2011

HARAPAN SAYA KEPADA CALON UPSR

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, hari ini (Selasa), anak-anak kita akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya doakan, anak-anak kita yang selama ini menghabiskan banyak waktu mentelaah pelajaran akan memberikan jawapan terbaik pada ujian tersebut.

Saya percaya, dengan usaha gigih anak-anak serta disokong oleh doa dan dorongan daripada ibu bapa, anak-anak kita akan mencapai kejayaan. Saya berpendapat, hari ini adalah antara saat paling getir bagi anak-anak kita yang bukan sahaja mempunyai impian serta harapannya sendiri tetapi sudah tentu terlalu teruja bagi memenuhi impian ibu bapa juga.

Insya'Allah saya akan turun padang dan meninjau beberapa sekolah di kawasan Parlimen Kuala Nerus bagi memberikan sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan tersebut. Saya juga akan bertemu ibu bapa yang menemani anak-anak mereka ke sekolah nanti untuk memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Saya ingin sampaikan kepada mereka bahawa kejayaan anak-anak bukan sahaja menjadi harapan mereka sebagai ibu bapa tetapi juga saya sebagai pemimpin yang mereka pilih.

Saya sangat gembira dan teruja sebenarnya untuk bertemu mereka dan saya sebenarnya juga tidak sabar-sabar untuk ke sekolah bagi menunaikan apa yang saya sebutkan tadi. Umum mengetahui bahawa Terengganu telah mencatatkan kecemerlangan dalam UPSR bertahun-tahun lamanya. ia satu rekod yang menjadi saingan kepada sekolah di negeri-negeri lain.

Oleh itu, sebagai wakil rakyat, saya amat mengharapkan agar Terengganu sekali lagi akan dapat mengekalkan rekod tersebut. Bagaimanapun di tangan anak-anaklah yang akan menentuk impian serta harapan itu akan menjadi impian atau sebaliknya.

Sebenarnya saya mengikuti dengan dekat usaha anak-anak dan ibu bapa dalam usaha mereka mencapai kejayaan ini. Kegigihan ibu bapa menyediakan pendidikan tambahan kepada anak-anak termasuk menghantar mereka ke kelas tuisyen misalnya telah menjadi sebahagian hal yang biasa bagi ibu bapa. Itu tidak termasuk kelas-kelas yang diatur di rumah. Semuanya sebagai usaha untuk memastikan anak-anak kita mencapai kejayaan.

Tahniah saya ucapkan kepada ibu bapa yang sentiasa cakna, memberikan perhatian dan ingin melihat kejayaan anak-anak mereka.

Kejayaan mereka adalah kegembiraan saya. Doa saya, mereka semua, khususnya di dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus akan memperolehi keputusan yang terbaik, insya'Allah.