Sunday, November 14, 2010

BERUBAHLAH UNTUK KEBAIKAN


Assalamualaikum dan salam satu Malaysia.

Kita sudah hampir kepada sambutan hari raya Aidil Adha atau juga disebutkan sebagai Hari Raya Haji. Tinggal beberapa hari sahaja lagi. Teringat saya ketika kecil dahulu, jika menjelangnya Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha, suasana gembira dapat dirasakan. Kemerian yang ada di hati sangat luar biasa sekali.

Bagaimanapun hari ini, keadaan sudah jauh berubah. Berubah mungkin disebabkan usia kita yang semakin dewasa, manakala jadual hidup pula begitu padat berbanding di zaman kanak-kanak dahulu. Atau mungkin juga disebabkan zaman itu sendiri sudah jauh berubah.

Sebenarnya yang merasai ia berubah ialah kita, dan yang mengubah juga adalah kita. Begitulah nilai kemeriahan Hari Raya yang saya mahu maksudkan.

Cuma saya ingin menarik perhatian betapa sebenarnya, di zaman ini, kadangkala kemeriahan itu kita lupakan kerana kita terlalu sibuk berpolitik. Akuilah bahawa sehingga di saat inipun, isu-isu politik telah menguasai sepenuhnya diri kita tanpa kita memberikan perhatian khusus terhadap peristiwa penting yang bakal kita lalui.

Secara jujurnya, saya melihat keadaan ini amat tidak sihat. Ia tidak menyumbang kepada kelebihan untuk kita sebagai rakyat Malaysia. Seharusnya kita memperbetulkan keadaan ini, kembali menjadikan budaya mengutamakan terhadap apa yang wajar diutamakan diberikan perhatian.

Keadaan menjadi bertambah kalut apabila politik kita dilihat menguasai semua perkara. Maksudnya, setiap perkara mesti dikaitkan dengan politik. Saya berpendapat itu tidak sewajarnya.

Oleh kerana itu, ada baiknya kita kembali kepada budaya hidup kita dahulu yang meletakkan kepentingan lain selain politik sebagai yang diutamakan. Kita harus menghayati semangat korban sempena Aidil Adha beberapa hari lagi ini untuk kita berkorban dalam mencari kebaikan.

Marilah kita bersatu, berpakat dan melupakan segala sengketa politik. Dan, jika pun kita mahu berpolitik, amalkanlah politik secara sihat dan bukannya politik yang merugikan.

Saya percaya bahawa jika kita semua mempunyai semangat untuk berubah, tiada ada sebab kita tidak boleh mencapai apa yang kita sendiri mahukan. Mudah-mudahan, kita boleh menjadi rakyat yang tahu memilih kepentingan dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya. Harapan saya, biarlah kita berpada-pada.

Seperti rakyat, saya juga amat bimbang dengan setiap perkembangan yang berlaku kerana saya khuatir kalau-kalau Negara kita boleh hancur kerana kita sendiri mengamalkan satu budaya yang tidak menguntungkan kita dan Negara kita.

Fikirkanlah.

No comments: