Monday, May 14, 2012

MENGINGATI SEJARAH SEBAGAI PENGAJARAN


Assalamualaikum.

Saya tidak pasti, sama ada ramai yang mengingati detik 13 Mei semalam. Bagi generasi muda, mereka mungkin tidak faham mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 1969 itu.

Walaupun ia merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk ditelan dalam sejarah negara, namun ia wajar dikenang sebagai pengajaran kepada semua agar apa yang pernah berlaku itu tidak akan berlaku lagi. Kita bertuah sebenarnya, dalam sebuah negara majmuk sebagaimana kita, kita masih boleh menjalani kehidupan yang sangat harmoni, saling menghormati sesama kita.

Sebenarnya sejarah tidak meninggalkan kita hanya sebagai sejarah untuk kita kenang mengenainya. Namun, sejarah yang berlaku adalah pengajaran yang sangat berguna untuk kita memiliki sesuatu yang lebih baik daripada itu.

Malang sekali apabila terdapat sesetengah pihak yang bukan sahaja takut kepada sejarah tetapi sangat sinis terhadapnya. Saya berpandangan, itu tidak bagus sebenarnya.

13 Mei adalah isu sensetif untuk dibincangkan. Namun, sebagai sejarah yang boleh mengajar kita erti perpaduan, kerjasama dan tolak ansur dalam mengisi kemerdekaan negara bertuah ini, maka bagi saya ia adalah sangat wajar kita kenang dan ingat.

Apatah lagi di saat negara kita kini mulai diresapi dengan anasir-anasir yang mampu memberikan kesan yang tidak baik terhadap perpaduan dan kesepakatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Kepada rakyat, khususnya anak-anak muda, mereka perlu tahu mengenai sejarah tanahair mereka sendiri. Mereka tidak wajar hanya menjadi golongan yang mengikut apa yang ditelunjukkan kepada mereka. Tidak boleh begitu. Bagi saya, generasi muda terutamanya perlu mempunyai pengetahuan sendiri mengenai sejarah negara, barulah mereka akan faham mengenai tanggungjawab mereka terhadap negara bertuah ini.

Apa pun, marilah kita mengingati sejarah. Marilah kita mempelajari sesuatu daripada sejarah itu. Semoga kita akan terus kekal memiliki sebuah negara yang aman, harmoni dan mempunyai masyarakat majmuk yang memiliki semangat setiakawan dan toleransi yang tinggi.

Semuanya, demi Malaysia!