Thursday, July 9, 2009

PPSMI: Kerajaan Berjiwa Rakyat

Assalamualaikum …

Walaupun mempunyai waktu yang agak terbatas, namun memandangkan apa yang saya tulis, ramai yang sudi membacanya dan berkongsi pandangan, maka saya lebih selesa meluangkan waktu untuk mencatatkan di sini.

Pastinya keputusan kabinet semalam mengenai pemansuhan dasar pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012 menjadi topik yang sangat diperkatakan. Semua orang mahu memberikan pandangan. Ada yang bersetuju, ada juga yang masih sinis dan tidak kurang pula yang hanya pandai mengkritik dan mahu berlagak betul seumur hidup.

Bagi mereka yang sentiasa tidak pernah sedar mengenai setiap kebaikan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), keputusan yang diumumkan kerajaan itu mungkin tidak membawa apa-apa nilai kepada mereka. Paling tidak pun, mereka akan mengandaikan bahawa keputusan kerajaan itu adalah hasil desakan mereka dan kumpulan mereka sebelum ini. Kononnya!.

Bagi saya, saya melihatnya dari perspektif yang berbeza. Bukan kerana saya ini seorang Ahli Parlimen dan wakil rakyat, tetapi saya pasti lebih merasai mengenai apa yang diputuskan oleh sebuah kerajaan yang parti sayalah yang menjadi tunjangnya. Pemansuhan PPSMI lebih kepada menterjemahkan gagasan Satu Malaysia yang antara lain telah meletakan kepentingan rakyat didahulukan. Sebagaimana yang pernah saya tuliskan sebelum ini, apa yang baik bagi rakyat, maka itulah yang baik bagi kerajaan.

Gagasan itulah bagi saya yang menjadi asas penting dalam setiap keputusan yang dibuat termasuk PPSMI ini dan ia dicantumkan pula dengan asas-asas yang lain.

Rakyat pasti akan diracuni oleh perosak akal manusia di negara kita kononnya keputusan yang dibuat itu adalah kerana kerajaan BN telah tunduk kepada desakan. Sebenarnya tidak!. Sebelum mereka membantah lagi, kerajaan telah memberikan jaminan bahawa setiap dasar akan sentiasa dikaji dan kerajaan sendiri tidak pernah menutup pintu perbahasan mengenainya. Maka begitulah dengan PPSMI.

Apa yang berlaku itu juga membuktikan bahawa kerajaan BN bukannya dipimpin oleh mereka yang hanya bercakap bermodalkan air liur semata-mata kerana setiap yang menjadi kebaikan rakyat, itulah yang akan didahulukan.

Percayalah bahawa kerajaan kita tidak pernah tunduk kepada mereka yang menyertai demonstrasi jalanan dalam menyelesaikan sesuatu isu. Sebabnya, demonstrasi jalanan tidak mempunyai pemikiran. Ia wujud dan diwujudkan berteraskan emosi semata-mata dan kerana itu, mereka yang tidak memahami langsung mengenai dasar PPSMI pun turut menyertai demonstrasi jalanan. Itu bukan pertimbangan kerajaan.

Selain mengambil kira pendapat dan pandangan rakyat, dan ditambah dengan hasil kajian yang terperinci serta teliti oleh pakar-pakar, maka baharulah setiap keputusan dibuat kerajaan. Ertinya, keputusan yang dibuat kerajaan adalah berteraskan pemikiran.

Kerajaan kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan itulah bagi kerajaan yang terbaik untuk rakyat, PPSMI dimansuhkan demi rakyat.

Tahniah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyddin Yassin.