Monday, July 27, 2009

JANGAN TERLALU TERUJA PELAWAAN NIK AZIZ


Salam bloger...

Saya seperti kebanyakan daripada anda, berfikiran bahawa tidak perlu dilayan secara berlebihan kenyataan MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang khabarnya sudah mula berlembut lidah mengenai UMNO. Katanya, dia mahu melupai segala sengketa dengan UMNO demi perpaduan.

Perpaduan?. Rakyat masih tidak lupa bagaimana Datuk Nik Abdul Aziz mengganyang cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan sehingga ke satu tahap beliau menyamakan UMNO dan BN dengan komunis dan pengikut ajaran sesat Ayah Pin. Jadi, adakah semudah itu beliau mahu menarik balik setiap kata-katanya sebelum ini dan kini mahu berbaik-baik pula dengan UMNO. Soalnya, layakkah Nik Aziz berbaik-baik dengan UMNO kerana akalnya yang masih belum suci dan bersih daripada prasangka buruk terhadap UMNO?.

Melihat reaksi yang agak ketara di kalangan segelintir orang UMNO sendiri terhadap reaksi terbaharu Nik Aziz itu, saya sebenarnya agak sedikit gusar mengenainya. Seolah-olah memang benar Nik Aziz mahu melupai segala sengketa hanya semata-mata kerana beliau melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad sebagai penasihat kepada satu acara kerajaan negeri. Saya tidak percaya bahawa Nik Aziz ada kejujuran dalam pandangan terbaharunya itu selain beliau mahu memasang jerat politik semata-mata.
Saya tidak nampak walau sedikit pun alasan Nik Aziz untuk berbaik-baik dengan UMNO lantaran kefahaman yang terbenam di otak beliau sudah terlalu songsang mengenai UMNO. Tidak ada sebab beliau mahu menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan tidak ada bukti mengenai nilai keikhlasan di sebalik pelawaan tersebut, tidak ada.

Apa yang saya nampak, Nik Aziz hanya mahu mencari jalan untuk mengendurkan ketegangan dengan Kerajaan Pusat melalui UMNO untuk kepentingan kerajaannya di Kelantan. Nik Aziz ada agenda dan permintaan yang akan menjadi satu desakan dan syarat utama untuknya berbaik-baik dengan UMNO. Isu royalti minyak yang kononnya berkaitan dengan Kelantan akan menjadi asas kepada permainan politik terbaharu Nik Aziz ini.

Begitu juga dengan isu-isu perpecahan di kalangan pemimpin PAS dan Pakatan Pembangkang. Nik Aziz cuba melontarkan sesuatu yang diketahuinya bahawa UMNO akan menyambutnya sehingga menjadi isu yang besar dan dibesarkan. Jadi, tenggelamlah segala kemelut, masalah dan hal-hal yang merugikan PAS.

Jadi, orang UMNO perlu berhati-hati, tidak boleh terlalu teruja dan memberikan reaksi secara melampau mengenai apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz itu. UMNO sudah mempunyai banyak sejarah dalam hal-hal sebegini. Maka, adalah amat malang jika UMNO terjerat dengan sesuatu yang sudah dipasang di depan mata mereka sendiri.

Hakikatnya, bukan mudah untuk UMNO bersatu dengan PAS, apatah lagi hanya dengan kenyataan seorang pemimpin seperti Nik Aziz yang dikenali sebagai seorang yang anti UMNO dan BN. Tidak mungkin!. UMNO dan PAS hanya boleh bersatu jika ada kenyataan atau penegasan rasmi daripada semua pemimpin PAS sendiri, bukan kenyataan yang bersifat peribadi atau individu. maka dalam konteks kenyataan Nik Aziz itu tadi, UMNO boleh membuat pertimbangan tetapi jangan terlalu melayan.

Ya, kita semua cintakan dan mahukan perpaduan tetapi bagi PAS, perpaduan adalah satu alat politik semata-mata. Mereka akan mencari perpaduan jika di situ ada kepentingannya. Pasti. Jika tidak, usah bermimpi PAS mahu menghulurkan tangan begitu mudah kepada UMNO. Saya tidak nampak itu akan berlaku.
Sejarah telah membuktikan mengenai banyak keadaan yang saya maksudkan. PAS tidak akan menawarkan perpaduan secara percuma kepada UMNO. Mereka pasti ada syarat-syaratnya yang bersifat memelihara dan mencari kepentingan partinya bukannya demi agama, bangsa dan negara. Itu PAS. Saya percaya, kenyataan Nik Aziz itu hanyalah satu permainan politik yang sudah boleh diramalkan apa kesudahannya.
Jika UMNO tidak berhati-hati, tidak mustahil sekali lagi PAS akan mendapat keuntungan daripada isu yang sengaja mereka ciptakan sendiri.

No comments: