Friday, July 10, 2009

PERGINYA SEORANG WANITA BERNAMA NATRAH

Rusuhan Natrah di Singapura

Natrah bersama ibu angkatnya, Che Aminah

Salam bloger,

Ramai yang tidak tahu, mungkin terlepas pandang mengenai seorang wanita bernama Natrah yang diberitakan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu lalu akibat penyakit leukemia pada usia 72 tahun.

Mengapa saya terdetik untuk mencatatkan mengenai wanita ini yang nama asalnya Bertha Hertogh. Beliau adalah seorang wanita yang mungkin boleh dianggap sebagai kontroversi kerana sejarah hidupnya yang berkahwin dengan seorang lelaki Islam.

Kerana Natrahlah, berlakunya satu rusuhan di Singapura pada tahun 1950 yang dikenali sebagai “Rusuhan Natrah” apabila masyarakat Islam di sana tidak berpuas hati dengan undang-undang British/Belanda yang tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada melangsungkan perkahwinan.

Natrah menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan antara ibu angkatnya yang dikenali sebagai Che Aminah dengan keluarga asalnya yang berketurunan Belanda. Natrah ketika itu baharu berusia 13 tahun dan telah memeluk Islam sebelum bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Natrah dilahirkan pada 24 mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh. Pada Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Natrah ketiak itu berusia 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam. Pada 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah. Pada 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda. September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Pada 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman dan 2 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura. Pada 24 April 1950 pula, Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura .


Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co. Pada 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura. 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Pada Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah. 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan. Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian?.

Bapanya lebih berhak ke atasnya. Pada 12 Disember 1950 adalah detik menyedihkan apabila hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Pada 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh. Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah meminta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda. Pada 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu. Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

Pada 1976, ibu angkat Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh bekas suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda.

Menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

"Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya," kata Dr Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

Demikianlah kisahnya mengenai manusia bernama Natrah. Saya catatkan untuk anda merenung, berfikir mengenai kisah seorang wanita yang pernah menggemparkan dunia melalui sejarah hidup yang tragis dan menyayat hati.
Hebatnya, seorang anak Terengganu berjuang hingga ke akhir hayat dalam mempertahankan keIslaman insan bernama Natrah.

Pemergian Natrah sudah tentu akan mengimbau banyak nostalgia dan ia pasti menyentuh perasaan terutamanya bagi penduduk di Kemaman yang pernah bersama-sama dengan wanita tersebut ketika hayatnya.

8 comments:

Anonymous said...

hebat datuk. rupanya datuk ni mmg kaji sejarah. maklumat yh berguna datuk. tahniah

Anonymous said...

yb, dari mana dato' dapat maklumat tuh. surat khabar pun tak siar. kagum saya dengan ilmu datuk. ramai og Terengganu tidak tahu, natrah pernah dibesarkan oleh orang kemaman dam che aminah tu berjuang habis-habisan untuk mempertahankan natrah dan keislamannya. hebat.

Anonymous said...

tulisan yang amat hebat setakat nin

Anonymous said...

nilah baru yb aku. hok ninglah aku sayang sebab ilmu dia hebak. org kuala nerus dok saloh pilih ketue bahagiang doh. baca tulisang ni, orang tahu doh datuk nasir tu hebak. ke guane?

Anonymous said...

tahnih yb atas tulisan yang hebat ini

Anonymous said...

datuk telah membawa nostalgia penduduk kemaman, kg saya ini .. terima kasih yb

Anonymous said...

BAGUSNYA MAKLUMAT

Anonymous said...

ibrahim fikri tu lebih hebat datuk. apa kata datuk tulis sikit kisah arwah datuk. ramai yg tak tahu.