Monday, July 6, 2009

DEMOKRASI DAN PENGERTIANNYA

Salam bloger…

Sudah sah, berlaku pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan. Ia telah diputuskan pada proses penamaan calon yang diadakan hari ini (6hb Julai 2009). Apakah pengertiannya bagi anda apabila berlakunya pilihan raya kecil. Apakah bagi anda, anda hanya melihatnya dari sudut nilai politik kepartian semata-mata. Maksudnya jika anda penyokong BN, adakah memadai jika kita hanya menyertai pilihan raya seperti itu?. Atau bagi anda yang menyokong Pas, adakah hanya memadai dengan berceramah kosong, menahan bas yang disangka terisi hantu atau bersikap ganas terhadap orang lain?.

Bagi saya, ada sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang yang selama ini sengaja dan cuba diperdayakan oleh pembangkang terhadap pemikiran dan tindakan kita. Pilihan raya kecil itu adalah satu lagi bukti proses demokrasi masih segar dan hidup dengan mekarnya di negara kita. Ia adalah bukti betapa sebenarnya, apabila tiba masanya, rakyat akan diberikan hak untuk memilih pemimpin. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menolak dan menafikan hak tersebut. Oleh itu, setiap kali kita mendengar dakwaan pembangkang mengenai demokrasi, ia amat menjengkelkan. Mereka mahu mentafsir, demokrasi hanya sesuatu yang memberikan kemenangan atau memihak kepada mereka. Tidak bolehlah begitu.

Di Manik Urai, rakyat diberikan hak sebebas-bebasnya untuk memilih pemimpin mereka, yang mereka yakini mampu membela nasib mereka. Namun, kadangkala ramai di kalangan kita yang tersilap memilih pemimpin dan apabila pemimpin itu gagal melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan, rakyat di kawasan mereka mahu menyalahkan kerajaan pula. Sekali lagi, tidak bolehlah begitu.

Demokrasi telah terlaksana dan dilaksanakan. Jika, kita tersilap menunaikan hak kita, maka ia adalah sesuatu yang amat malang sekali. Demokrasi tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini, apatah lagi mahu dicemari, tidak boleh. Bagi saya, mereka yang berprasangka buruk terhadap demokrasi adalah mereka yang tidak mencerminkan diri. Mereka gagal melihat segarnya demokrasi disebabkan kesilapan mereka sendiri. Itulah yang menyedihkan. Sebagai pemimpin yang dipilih melalui proses demokrasi yang tulin, saya menyedari hakikat tersebut dan saya gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin untuk rakyat saya.

Kepada pengundi di Manik Urai atau lebih popular kini dipanggil “MU” (semacam pasukan bola sepak MU), mereka mesti bijak memilih pemimpin kerana jangan akhirnya nanti kesilapan yang dibuat menyebabkan mereka menunding jari kepada demokrasi. Memilih pemimpin biarlah berasaskan kemampuan pemimpin itu sendiri dan keupayaan parti yang diwakili pemimpin itu.

Demokrasi akan binasa jika hak yang diberikan telah disalahgunakan. Maksudnya, kita memilih pemimpin secara salah dengan berasaskan emosi, kepuakan dan seumpamanya tanpa kita memikirkan mengenai kepentingan kita, kemampuan pemimpin yang hendak dipilih dan nasih penduduk yang bakal diwakili pemimpin berkenaan. Kita kena bijak memilih dan mesti mengambil kira rekod parti yang diwakili pemimpin yang hendak dipilih. Jangan memilih hanya semata-mata kita diberikan hak memilih. Ingat, kita juga diberikan pertimbangan dan pertimbangan itu pula amat menuntut kepada kebijaksanaan kita.

Kita tidak boleh gagal. Tidak apa yang perlu dibuktikan di Manik Urai. Memadai jika sekadar kita memahami demokrasi dan menyokong ia terus disegarkan. Jika kita mampu memahami pengertian demokrasi, pilihan yang bakal dibuat pastinya tepat.

Dan, yang paling tepat semestinya pemimpin yang mewakili parti yang hebat dan telah terbukti berjaya memaju dan membangunkan negara ini selain sentiasa cakna terhadap kebajikan dan masa depan rakyat.

Anda tidak harus malu atau segan untuk mengakui bahawa parti yang saya maksudkan ialah BN. Muktamad.

3 comments:

Lambo said...

Salam YB Dto';

Apabila Manik Urai lebih popular dipanggil Man. U,teringat permainan bola sepak.

Walaupun penonton mengharapkan sebuah pesembahan yang bermutu tapi jaringan gol menentukan kemenangan. Oleh itu apa saja akan dilakukan untuk jaringkan gol asal saja terlepas dari pandangan pengadil.

Begitu juga dengan sesi ceramah, diharapkan tidak berlaku caci mencela sesama umat dan percaya kepada perkara karut (berita tidak soheh) seperti "pengundi hantu" dan seumpamanya kerana ianya amat ditegah dan dilarang keras.

Alangkah baiknya jika masing-masing memberi keyakinan beserta bukti kemampuan untuk membangunkan ummah dan negara.

Amatlah dkhuartiri, tindakan keterlaluan akan akhibatkan kerosakan. Ketika itu semua akan dipersoalkan tanggungjawab membangunkan umat.

Anonymous said...

alam dato', lame doh saya dok jengok blog dato' nin. doh beruboh. baru comel dato'. isinya pong doh hapok kohor molek. tahniah dato'.

Anonymous said...

pendapat datuk yg sangat betul dan tepat. orang salah faham mengenai demokrasi sebab dia ingat dia aja yang betui.