Tuesday, August 25, 2009

CATATAN DI PERMATANG PASIR

Salam Ramadan…

Syukur Alhamdulillah akhirnya dapat disempurnakan tugas sebagai ketua delegasi Badan Perhubungan UMNO Terengganu bagi membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir (Dalam Parlimen Permatang Pauh), Pulau Pinang. Memang sungguh mencabar, apatah lagi kita ditugaskan di kawasan yang sememangnya terkenal sebagai kubu kuat Pas.

Cuba anda bayangkan bahawa BN telah tewas calon Pas, Allahyarham Datuk Mohd Hamzan Abdul Rahman dengan majoriti 5,400 undi pada pilihan raya umum lalu. DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi di mana 72.34 peratus pengundi Melayu, 25.86 peratus pengundi Cina, 1.64 peratus pengundi India dan 0.16 peratus pengundi kaum lain-lain.
Memang satu tanggungjawab yang berat sebenarnya untuk meraih sokongan dan mengembalikan keyakinan rakyat di kawasan berkenaan, apatah lagi BN dilihat dalam perspektif yang lemah. Dan, ditambah lagi dengan ketibaan Ramadan ini, ia meningkatkan lagi cabaran yang ada buat kami.

Bagi saya, Ramadan bukanlah satu halangan kita ini bukanlah pengalaman pertama berkempen di bulan Ramadan. Pilihan raya kecil DUN Lunas di Kedah pada tahun 2000 juga diadakan dalam bulan Ramadan. Ketika itu, saya adalah Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Cuma kali ini agak kebetulan sekali kerana tatkala pilihan raya kecil diadakan di DUN Permatang Pasir, ADUN Lunas (yang mana kerusi itu pernah diadakan pilihan raya kecil di bulan Ramadan sebagaimana yang saya sebutkan tadi) telah mengistiharkan dirinya keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya percaya bahawa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan mudah-mudahan ia diterjemahkan melalui undi penduduk Permatang Pasir sendiri.

Saya bersyukur kerana segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya bersama-sama rakan-rakan Ahli Parlimen dan kepimpinan bahagian yang lainnya, kita telah menggerakan jentera kempen kita dengan begitu berkesan sekali. Kita mempunyai pengalaman kerana kita adalah sebuah parti yang penah kalah di Terengganu pada pilihan raya umum 1999 yang lalu. Kekuatan itu telah kita gunakan bagi menggerakkan jentera kempen kita.

Alhamdulillah, saya Nampak kita mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk dan pengundi di Permatang Pasir sendiri.

Apa pun, kita telah melakukan yang terbaik dan sama-samalah kita berdoa agar BN mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil itu nanti, insyaAllah.

3 comments:

tok pawi said...

Insya-Allah

Anonymous said...

sgt setuju dgn pandangan datuk tu.,

Rahman,Ahchong,Muniandy said...

salam ziarah Dato,
Bn tidak patut kalah.Perlu menang.Kemungkinan akan ada unsur sabotaj dari org UMNO itu sendiri.Di setiap bahagian mmg ade perpecahan.ade yg dah jadi 2 puak.ade yg sudah jadi 3 puak.semua berlaku dalam UMNO itu sendiri.org sekarang tidak mempunyai semangat perjuangan seperti org2 UMNO yg dahulu.org2 sekarang semua berkiblat kpd RM pasal itu lah jadi berpuak2.ade projek deme kata UMNO baik.tak dapat projek deme sabotaj.entah ke mana akan kesudahan bangsa Melayu ini.