Wednesday, February 17, 2010

HENTIKAN PERBUATAN TERKUTUK INI

Assalamualaikum.

Hari ini kita ketepikan seketika isu politik. Sungguh sedih saya mengikuti isu pembuangan bayi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Bukan setakat buang sehingga mati bayi itu, malah sudah ada yang tergamak membakar bayi. Apa ni!. Sesiapa pun akan marah melihat kejadian tersebut dan saya juga tidak terlepas daripada merasai perasaan yang sama.

Apakah gelaran yang sepatutnya diberikan kepada manusia yang tidak berhati perut itu. Walaupun bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku di zaman moden ini, namun ia tetap menjadi satu perbuatan yang terkutuk dan menjijikkan. Jelas sekali bagi saya, isu ini perlu segera ditangani dengan apa cara sekali pun.

Reaksi segera daripada pelbagai pihak – bermula dengan pucuk kepimpinan tertinggi negara sehinggalah rakyat biasa – ia telah menggambarkan betapa sebenarnya kita semua sudah tidak lagi mampu bertahan melihat kejadian ini berlaku. Bagi mereka yang otaknya sempit, pasti mereka mahu mengaitkan kelemahan kerajaan dalam hal ini. Golongan itu selalunya mahu menuduh dan melemparkan tuduhan kononnya ia berpunca daripada kegagalan kerajaan. Entahlah. Biarkan sahaja tanggapan tersebut kerana ia hanyalah satu permainan politik semata-mata.

Masalahnya, kes ini turut berlaku di Kelantan yang negerinya dipimpin oleh mereka yang terlalu selalu mendakwa mengenai pemerintahan Islamnya. Saya bukan mahu mengaitkan hal itu sebenarnya. Saya Cuma mahu mengajak anda berfikir bahawa isu ini adalah penyakit manusia yang berlaku di mana-mana. Ia adalah hal yang di luar kemampuan kita untuk tahu bahawa ia akan berlaku atau dilakukan.

Justeru, saya menyokong usaha mana-mana pihak untuk mewujudkan pusat khas bagi membantu gadis bermasalah ini agar gejala membuang bayi ini tidak terus berlaku. Ia tidaklah pula bermaksud, kita menggalakan perbuatan terkutuk itu berlaku tetapi ini semua lebih kepada membantu agar ia tidak berulang lagi.

Masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap setiap usaha kea rah itu. Pada masa yang sama, saya fikir ibu bapa juga perlu meningkatkan pemantauan ke atas pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka agar apa yang telah dan sedang berlaku tidak lagi berulang. Saya sedih dengan apa yang berlaku, sangat sedih sekali. Apatah lagi apabila melihat gambar-gambar mengenai kejadian ini.

Saya berharap, kita semua perlu membantu menghentikan semua ini. Kita perlu memulakannya sebelum segala-galanya terlambat. Penyakit dunia ini akan terus berlaku. Cuma di tangan kitalah bagaimana kaedah, cara dan kebijaksanaan kita dalam menangani. Itulah harapan saya. Marilah sama-sama kita membantu, memainkan peranan dalam memerangi gejala ini.

No comments: