Thursday, February 18, 2010

Salam bloger,

Sekali lagi kedengaran suara kuasa asing yang mahu mencampuri urusan hal ehwal negara kita. Kali ini, dari ahli Parlimen Australia pula. Menurut laporan, mereka ini mahukan kerajaan kita menggugurkan pertuduhan liwat yang kini sedang dihadapi Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim.

Menyedari betapa gesaan itu adalah sesuatu yang biadab dan menjadi satu pencabulan terhadap kedaulatan negara, saya turut sama dengan ahli Parlimen Malaysia petang tadi telah menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Australia di Kuala Lumpur. Ia bukan sahaja sebagai tanda protes tetapi juga kami mahu menyatakan betapa Malaysia adalah negara berdaulat yang tidak sewajarnya diperlukan sedemikian rupa.

Sebenarnya ini bukan kali pertama adanya pihak asing mahu mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara kita. Ia pernah berlaku sebelum ini. Sebagai rakyat, kita pastinya marah dengan apa yang berlaku. Namun malangnya apabila ada di kalangan rakyat kita sendiri yang membuka peluang dan memberi peluang kepada pihak asing untuk berbuat demikian.

Dalam konteks gesaan Ahli Parlimen Australia itu, saya sendiri tidak faham bagaimana ia boleh berlaku. Apakah yang mereka mahu tunjukkan selain nilai kebodohan semata-mata. Mereka itu jelas tidak faham mengenai undang-undang negara kita di mana institusi mahkamah tidak boleh diganggu-gugat oleh kerajaan dan meliwat itu pula adalah satu kesalahan di negara kita. Mengapakah mereka itu tidak memahami fakta tersebut atau sengaja mereka buat-buat tidak faham kerana mempunyai agenda dan tujuan tertentu.

Inilah bahananya apabila setiap kali ada golongan yang menghadapi masalah cuba meminta bantuan asing yang sekaligus membuka ruang kepada mereka untuk berbuat demikian. Gesaan Ahli Parlimen Australia itu jelas mencabuli hak negara ini, menghina Perlembagaan Negara dan mencetuskan provokasi serius terhadap perasaan rakyat.

Saya ingin bertanya, apakah belum memadai untuk rakyat menilai semula sikap dan tingkah laku pihak tertentu yang selama ini kononnya memperjuangkan keadilan dan kebebasan. Inikah wajah dan watak manusia yang hendak kita harapkan memimpin negara kita?. Rakyat harus menjawabnya dengan jujur mengenai perkara tersebut dan tidak terlalu terjebak dengan cara berfikir yang salah. Saya sebutkan ini kerana terdapat rakyat kita sendiri yang bagaikan tidak kisah dengan apa yang berlaku. Kita tidak boleh begitu. Apa yang sedang berlaku sebenarnya amat serius. Ia melibatkan kedaulatan negara bertuah ini.

Oleh itu saya berharap, rakyat kita lihatlah isu ini dengan penuh insaf dan tanggungjawab betapa sebenarnya campurtangan asing adalah sesuatu yang wajar ditentang. Pada masa yang sama, kita perlu menolak golongan tertentu di negara ini sendiri yang sentiasa gemar meminta bantuan pihak asing.

Cukuplah dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Semoga ia tidak berulang lagi dan rakyat yang selama ini telah memilih jalan salah dengan memilih pemimpin yang pendirian politiknya agak songsang agar segera kembali ke pangkal jalan.

Sesungguhnya mereka masih belum terlambat.

2 comments:

anisah roslina said...

***** HAYATI RUKUN NEGARA KITA *****

mmmmm ...... K ?

anisah roslina said...

Semoga Datuk cepat sembuh.
"Apabila kita disisi seorang kawan
kerana alpa kita kurang menghargai nya.Apabila kita disisihkan sebagai
kawan kerana silap kurang kesabaran.
Lantaran itu disaat begini airmata tiada berguna lagi " .... anis