Friday, November 2, 2012

SAMA-SAMA KITA FIKIRKANNYA



Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah, Aidiladha sudah pun berlalu. Saya sendiri, selain menganjurkan majlis korban terpaksa memenuhi banyak undangan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Syukur, saya telah berusaha untuk memenuhi kesemua undangan tersebut. Saya gembira sebenarnya, melalui budaya kunjung mengunjung, ikatan muhibbah dapat kita jalinkan dengan begitu akrab sekali.

Melalui program korban pula, jelas kelihatan semangat kerjasama di kalangan masyarakat yang bergotong-royong menjayakan majlis yang diadakan. Kesemuanya dilakukan dengan hati yang ikhlas dan jujur dengan tujuan yang sangat baik sempena Aidiladha.

Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakana bahawa alangkah indahnya, apa yang kita lalui bersama di setiap perayaan termasuk Aidiladha dapat diteruskan sehingga ke hari-hari yang ke seterusnya.

Jika pada hari perayaan kita boleh mengetepikan atau melupakan segala sengketa serta perselisihan faham sesama kita, mengapakah ia tidak boleh diteruskan begitu sehingga selama-lamanya.

Inilah isunya sekarang. Hal-hal yang sangat baik yang telah kita lihat pada musim perayaan sebenarnya kadangkala hanya terhadap pada waktu tersebut sahaja. Ia tidak menular.

Bagi saya, setiap perkara yang baik ia wajar diteruskan tanpa apa-apa alasan sekali pun. Sesungguhnya kehidupan yang kita tonjolkan sepanjang musim perayaan adalah sesuatu yang wajar dikekalkan oleh kita semua.

Saya percaya bahawa anda pasti sependapat dengan saya, apatah lagi dalam keadaan umat Islam hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin getir demi masa depan mereka sendiri.

Saya berharap, apa yang saya catatkan ini akan membolehkan kita semua merenung, berfikir dan mengambil sesuatu di sebaliknya. Itulah harapan saya sebenarnya demi kita semua.