Thursday, October 25, 2012

SALAM IDUL'ADHA



Assalamualaikum.

Esok, Jumaat sekali lagi umat Islam akan merayakan Hari Raya Korban atau AidilAdha. Di negeri di Pantai Timur, Hari Raya Aidiladha disambut dalam suasana yang sangat meriah. Malah di sesetengah tempat, kemeriahannya mengatasi Hari Raya Aidilfitri. Demikianlah uniknya kami di sini.

Apa pun, setiap perayaan wajar disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Manakala dalam sambutan Aidiladha ini pula, umat Islam diberikan didikan agar mempelajari atau mengambil iktibar di sebalik ibadah korban yang dianjurkan oleh Islam.

Dalam konteks yang lain, Hari Raya sebenarnya mampu menjadi medan untuk merapatkan ukhhuwah dan meningkatkan jalinan perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri sebenarnya. Melalui budaya berkunjung dan ziarah menziarahi, ia dapat menyumbang kepada apa yang saya maksudkan tadi.

Begitu juga dengan ibadah korban. Setiap peristiwa yang diingati dalam Islam mempunyai mesej dan iktibarnya tersendiri. Sebagai umat Islam, kita sendiri lebih sedia maklum mengenai perkara tersebut.

Marilah pada hari yang baik dan bulan yang baik ini juga kita bermaaf-maafan sesame kita. Kita lupakan segala sengketa dan salah faham di antara kita jika ada. Kita merapatkan saf untuk berhadapan dengan lebih banyak cabaran pada masa hadapan.

Bersyukurlah dengan apa yang ada. Jika hendak dibandingkan dengan sesetengah negara Islam yang lain di dunia, kita sebenarnya jauh lebih bertuah sehingga membolehkan kita menyambut Hari Raya Haji dengan sangat sempurna.

Sesungguhnya kita semua amat bertuah kerana menjadi rakyat sebuah negara seperti Malaysia.

Kepada umat Islam, saya doakan Iduladha tahun ini akan lebih bermakna. Dan, marilah kita isi hari raya ini dengan segala kebaikan, insya’Allah. Bagi mereka yang menjalankan ibadah korban, semoga ibadah yang kita lakukan itu akan diberkati oleh Allah s.w.t.

Kepada semua, selamat hari raya Iduladha – maaf zahir dan batin.