Sunday, November 8, 2009

GPMS: TERUSKAN AGENDA BESAR INI



Assalamualaikum dan salam blogger,

Terasa lega kerana semalam dapat menyelesaikan mesyuarat agung terakhir GPMS – satu pertubuhan pelajar tertua di Negara ini. Ia menjadi kali terakhir kerana mulai sekarang, GPMS akan dipimpin oleh mereka yang berusia 40 tahun ke bawah sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Belia yang baharu. Saya merasa lega kerana melepaskan jawatan ini yang akan disambung oleh mereka yang tidak kurang kemampuannya untuk mentadbir dan memimpin GPMS.

Saya gembira, dalam tempoh saya memegang jawatan sebagai Pengerusi GPMS Terengganu, kita telah sama-sama melakarkan banyak kejayaan hasil kesepakatan dan komitjmen yang kuat di kalangan pemimpin dan ahlinya. Pemimpin boleh silih berganti tetapi wadah perjuangan tidak sewajarnya terbiar atau dibiarkan. GPMS, khususnya di Terengganu telah pun membuat persiapan awal bagi menghadapi peralihan kuasa ini dan hari ini, prose situ telah berlaku dengan jaya dan mudahnya. Alhamdulillah.

Jika ditanya mengenai harapan saya, sudah tentu saya mahu melihat kepimpinan baharu GPMS akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang batu asasnya telah lama terpahat. Bukan mudah sebenarnya untuk memimpin sebuah pertubuhan pelajar yang ketika ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, dugaan dan tuntutan semasa serta persekitaran yang hebat. Saya percaya bahawa melalui proses yang telah kita siapkan, kepimpinan baharu GPMS pastinya lebih matang dan bijak dalam meneruskan agenda perjuangan pertubuhan yang kita sayangi ini.

Kita telah menyusun sekian banyak agenda dalam memperkasakan GPMS ini.. Maka menjadi hasrat dan impian saya agar semua itu diteruskan dengan jayanya oleh kepimpinan baharu. Hakikatnya GPMS bukan sekadar sebuah gerakan pelajar semata-mata. Sebaliknya, ia adalah simbol penyatuan Melayu dan sentiasa menyalakan obor memperkasakan anak bangsa yang berjiwa besar, bergagasan serta mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.

GPMS telah menjadi antara tunjang penting kepada wadah perjuangan Melayu itu sendiri walaupun di tengah-tengah ledakan krisis demi krisis yang berkaitan dengan pelbagai bangsa di Negara ini. Kita tidak. GPMS terus bergerak dengan satu nawaitu yang telah disepakatkan oleh setiap daripada kita. Oleh kerana itulah, dalam konteks Terengganu ini, GPMS sentiasa berjaya melalui peranannya dalam semua perkara. Kita telah mendepani segala cabaran itu dengan jayanya.,

Harapan saya kepada kepimpinan baharu yang muda ini, teruskan agenda GPMS dan bertindaklah berteraskan kepada pertimbangan dan penilaian yang matang dan bijaksana. Saya memberikan komitmen untuk terus membantu GPMS Terengganu dalam semua hal yang difikirkan perlu. Saya berharap semua pihak yang telah meninggalkan GPMS ini atas sebab-sebab usia dan dikaitkan dengan Akta Belia ini, juga akan terus memberikan kerjasama dan sumbangan mereka bagi memastikan badan ini akan terus cemerlang di persadanya.

2 comments:

anis said...

jika dia harus tahu
musim surutmu
biarlah dia mengenal pula
musim pasangmu
gerangan apakah sahabat itu
hingga kau sentiasa mencarinya
untuk sekadar bersama
dalam membunuh waktu
dalam manisnya perasahabatan
biarkanlah ada tawa ria
berbagi kebahagiaan
kerana dalam titik-titik embun pagi
hati manusia menemukan
fajar jati dan ghairah segar kehidupan

anis said...

kerana sekarang aku berkuasa
mereka puji aku setinggi langgit
dan kalau aku jatuh
mereka juga yang akan mencela aku
sampai ke kerak bumi
dan mereka kan memuji pula
orang yang mengalahkan aku
lebih daripada mereka hari ini
**Napoleon Bonaparte**