Monday, February 20, 2012

POLITIK WAJIB IKUT ISLAM, BUKAN ISLAM KENA IKUT POLITIK



Assalamualaikum.

Sejak agak lama sebenarnya, umat Islam khususnya di Malaysia ini telah dimomokkan dengan apa yang dipanggil sebagai politik Islam. Secara jelas, ia dipelopori PAS sebagai parti yang mendakwa ingin melaksanakan Islam dan perjuangannya Islam. Sama ada kita percaya atau tidak, sudah agak ramai yang terpedaya dengan perjuangan sedemikian.

Ramai yang terpedaya dengan gerakan ini sehingga ada yang tergamak menafikan apa yang dilaksanakan UMNO sebagai telah memenuhi tuntutan dan kehendak Islam. Lalu tidak hairanlah kita mendengar pelbagai fatwa politik dikeluarkan demi menghalalkan setiap tuduhan dan fitnah yang dilemparkan.

Hari ini saya ingin fokuskan perbincangan kita kepada topik, benarkah PAS adalah parti Islam, yang memperjuangkan Islam dan mahu melaksanakan Islam. Secara sejarahnya, PAS adalah parti serpihan UMNO yang diwujudkan bukanlah bermatlamat sebagaimana yang mereka laungkan sekarang. Dan, saya juga tidak nampak sehingga kini adanya asas dan bukti-bukti bahawa PAS mahu menegakkan Islam di Malaysia seperti yang mereka dakwa selama ini.

Apatah lagi sejak mereka berkawan dengan DAP, matlamat PAS sentiasa berubah-ubah. Baik, biarkan itu.

Apa yang hendak saya lontarkan kepada pembaca ialah betapa kita sebenarnya telah terpedaya dengan PAS. Saya berpendapat, jika PAS adalah sebuah parti Islam, ia mestilah mematuhi kehendak Islam serta menjarakkan diri mereka dengan hal-hal yang dilarang oleh Islam.

Apa yang saya maksudkan. Mari kita berfikir. Politik Islam yang sebenar adalah politik yang wajib memenuhi tuntutan Islam atau politik yang menjadikan Islam sebagai panduan mereka. Dalam maksud yang mudah, politik itu mestikan mengikut Islam.

Apa yang berlaku sekarang ialah, Politik telah memandu Islam. Dalam maksud yang mudah, Islam perlu mengikut politik. Ini pendekatan yang salah dan perkara ini mungkin ramai di kalangan kita terlepas pandang akannya.

Inilah yang membimbangkan kita. Apabila Politik telah memandu Islam, maka terjadilah apa yang sedang terjadi. Tidak hairanlah perkara yang dilarang oleh Islam tetapi dihalalkan politik, maka perkara itu tidak lagi dianggap salah.

 Sebagai umat Islam, saya mahu mengajak anda semua merenung dan berfikir akan perkara ini. Insaflah dengan apa yang telah kita lalui dengan penuhi kerugian akibat terpedaya dengan golongan yang memperalatkan agama untuk kepentingan politiknya.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Saturday, January 21, 2012


gambar hiasan

Assalamualaikum.

Kita tinggal seketika mengenai topik politik. Hari ini saya ingin menulis mengenai budaya bercuti panjang, terutama pada musim cuti perayaan seperti Tahun Baharu Cina. Dan, scenario itu seringkali dikaitkan dengan isu kemalangan jalan raya.

Seperti cuti panjang pada musim perayaan setiap tahun, kemalangan jalan raya terus menjadi isu yang panas. Melalui Opss Sikap yang dilaksanakan PDRM, bagitu banyak kematian dicatatkan. Saya yang mengikuti perkembangan itu, naik takut dibuatnya.

Yalah, kajian mendapati bahawa kebanyakan kemalangan berpunca daripada kealpaan pengguna mematuhi peraturan atau undang-undang jalan raya. Sikap takut kepada anggota pihak berkuasa seperti Polis atau JPJ telah menyebabkan orang kita kurang kesedaran atau sengaja mengabaikan tanggungjawab mematuhi undang-undang.

Lebih memilukan lagi apabila ada juga yang terkorban akibat kecuaian orang lain. Persoalannya, apakah masalah ini dapat kita tangani atau atasi?

Bagi saya, kita boleh jika semua orang mempunyai tanggungjawab atau kesedaran. Sikap berhemah, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri ketika memandu adalah resepi paling berguna bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Bayangkan jumlah mereka yang menderita akibat kemalangan. Itu belum termasuk kerugian terhadap negara apabila sekian ramai rakyat terkorban di jalan raya?.

Hakikatnya, ramai yang terkejut dan takut setiap kali melihat berlakunya kemalangan. Namun agak malang, orang yang sama jugalah gagal menjadi pemandu yang berhemah ketika memandu. Jadi, sampai bila semua itu harus dibiarkan.

Saya berharap, kita semua berhati-hati. Jangan memandang mudah tanggungjawab sebagai pemandu berhemah di jalan raya. Banyakkan bersabar, pastikan kenderaaan dalam keadaan baik dan pastikan tahap kesihatan memuaskan ketika memandu.

Semoga percutian anda dan kita semua tidak tercemar dengan kemalangan pada musim perayaan ini, InsyaAllah.

Friday, January 20, 2012

DEMIKIANLAHLAH PAS ...



Assalamualaikum.

Mungkin saya agak terlewat sedikit untuk mengulas mengenai pemecatan Datuk Dr Hassan Ali sebagai ahli Pas, sekaligus sebagai Exco Kerajaan Selangor. Namun, dengan perkembangan menarik yang berlaku selepas  pelantikan exco kerajaan negeri yang menggantikan Datuk Dr Hassan Ali dibuat dengan portfolio hal ehwal agama Islam dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR, ia menarik perhatian saya.

Saya tidak peduli (seperti ayat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mengenai portfolio itu dipegang oleh PKR ke, Pas ke kerana bagi saya, selagi mereka berada dalam Pakatan Pembangkang yang didalamnya ada DAP, keadaan tidak mungkin mampu mengubah apa-apa.

Pada pendapat saya, saya tidak nampak bahawa selain Datuk Dr Hassan Ali, ada lagi pemimpin Pas yang berani dalam menegakkan perjuangan partinya. Soal pada pandangan UMNO, Pas adalah parti yang memperalatkan Islam itu soal lain yang kita ketepikan seketika – kerana jika tidak, ada yang beranggapan saya bersetuju dengan Datuk Dr Hassan Ali sewaktu beliau berada dalam Pas.

Begini, ketegasan Datuk Dr Hassan Ali dalam memperjuangkan isu murtad di kalangan umat Islam di Selangor misalnya, dilihat menjangkaui kepentingan politik semata-mata. Oleh sebab itu, ia dilihat dalam banyak perkara, bertentangan dengan ramai pemimpin tertinggi Pas dan saya amat yakin bahawa sesiapa pun yang rapat dengan Datuk Dr Hassan Ali, selain melihat trek rekod beliau dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Islam, maka kita simpulkan bahawa Datuk Dr Hassan Ali adalah seorang yang ikhlas dalam perjuangannya.

Pokoknya ialah, mengapa manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali tersingkir dan disingkirkan. Ya, bagi seorang pemimpin UMNO dan BN, sudah tentu saya “gembira” dengan apa yang berlaku kerana ia sudah tentu membawa sedikit keuntungan kepada parti saya. Namun, apakah seorang manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali yang tegas dalam perjuangan Islam, hendak kita letak ketepi.

Jauh daripada itu, ia lebih kepada soal perjuangan umat Islam yang merentasi sempadan parti politik pun sebenarnya.

Apa yang saya inginkan ialah, rakyat mesti membuka mata dan melihat apa yang sedang berlaku ini dengan matang dan terbuka. Kita tidak boleh terlalu fanatik kerana orang yang fanatik tidak akan dapat berfikir dengan waras dan bijaksana.
Oleh itu, marilah kita melihat isu ini dengan bijaksana untuk menilai, siapakah Pas sebenarnya. Apakah ia benar-benar sebuah parti Islam, atau hanyalah sebuah parti yang inginkan kuasa.

Apakah ia hanya sebuah parti yang pentingkan partinya mengatasi kepentingan lain termasuk Islam?. Atau apakah wajar rakyat yang selama ini terpedaya dengan Pas untuk terus menyokong Pas.

Anda fikir, renung dan tentukan pendirian anda.

Sunday, January 1, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012


Assalamualaikum ..

Alhamdulillah, Allah memberikan kita lanjutan usia untuk sekali lagi bertemu tahun baru, kali ini tahun 2013.

Tahun baru sebenarnya banyak membawa petanda kepada manusia. Petanda paling penting ialah, ia membuktikan usia kita makin lanjut dan menuntut kita kepada lebih banyak perhitungan. Bagi orang kita, tahun baru sentiasa dikaitkan dengan azam yang baru. Walaupun mungkin ada yang belum menyempurnakan azam yang lama, namun apabila tibanya tahun baru, maka azam lama itu pun berlalu dan timbullah azam yang baru.

Apa pun, kita merasa bangga kerana yang berazam itu – sama ada azam baru atau lama – semuanya kea rah mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Ertinya, itulah keinginan orang kita, satu keinginan yang baik sebenarnya.

Bagi orang politik pula, kedatangan tahun baru 2012, ia dikaitkan dengan teka-teki tarikh PRU yang dikatakan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dengan ramai yang meramalkan ia mungkin diadakan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Walaupun semua orang tahu bahawa kuasa mutlak mengenai tarikh PRU hanya terletak di tangan Perdana Menteri, namun telaah itu tetap berlaku dan diwar-warkan. Apa pun, terpulanglah kepada kita semua.

Namun, sedikit mendukacitakan apabila kedatangan tahun baru diraikan oleh segelintir mahasiswa yang melakukan perhimpunan haram di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam semalam.

Apa pun alasan mereka, perbuatan itu sebenarnya amat memalukan kerana sebagai manusia yang digolongkan sebagai pelajar telah terpedaya dengan gejala yang merugikan.

Saya yang menonton video mengenai kejadian itu sangat malu melihat gelagat mahasiswa kita yang sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Demikian cara orang kita meraikan Tahun Baru – tahun 2012 yang sarat dan penuh dengan cabaran.

Saya berdoa kepada semua, agar tahun 2012 akan mendatangkan kita kepada lebih kebaikan, dan apa yang kita inginkan dapat kita capai dengan sebaiknya.

Kepada anda semua, selamat menyambut tahun baru 2012.

Tuesday, December 20, 2011

DENGAR TITAH TUANKU



Assalamualaikum ..

Apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa kecewa kerana masih ada kampung yang mempunyai dua masjid dalam satu kariah, ia kembali menarik perhatian.

Di Terengganu isu ini bukan baharu. Ia telah berlaku sejak lebih 30 tahun lalu. Malah sebelum ini, bukan sahaja berlaku dua masjid dalam satu kariah tetapi juga dua imam dalam satu masjid.

Umum sedar, hal ini berlaku disebabkan faktor politik sempit pembangkang, dan ditambah dengan fatwa-fatwa politik sehingga segelintir umat Islam telah terpedaya dengan mereka. Akibatnya, umat Islam bersengketa sesama mereka, manakala sekumpulan umat Islam yang lain dengan terang menafikan keislaman umat Islam yang lain.

Akibat daripada keadaan inilah, maka berlakunya kejadian dua imam dan dua masjid dalam satu kariah.

Sebagai umat Islam, saya juga turut sedih dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Hanya disebabkan cara berpolitik yang sempit, maka tergamak umat Islam berkenaan menimbulkan perpecahan dengan mewujudkan masjid lain di kawasan yang sama.

Saya masih ingat, sebelum PRU 1999, pemimpin Pas khususnya selalu melabelkan solat di masjid yang dibina kerajaan BN tidak Islam, tidak sah kononnya hasil duit judi dan sebagainya. Maka ramai pengikut yang tidak solat di masjid yang ada.

Peliknya selepas mereka menang pada PRU 1999, semua masjid yang dulu dihina, dilabelkan dengan begitu buruk telah menjadi halal.

Maksudnya di sini, masalah atau isu dua masjid dalam satu kariah boleh selesai jika pemimpin mereka memainkan peranan dengan memperbetulkan keadaan. Ini soal hokum yang tidak boleh dibuat main-main.

Justeru, saya melihat, apa yang telah dititahkan oleh Tuanku Sultan mengenai perkara tersebut menggambarkan betapa hal itu sememangnya dalam pengetahuan Baginda.

Titah Baginda juga seharusnya dipandang serius oleh seluruh umat Islam agar segera menanganinya agar tidak terus berlarutan.

Marilah sebagai umat Islam kita bersatu, dan cukuplah dengan perpecahan yang sekian lama berlaku ke atas kita sehingga kita mudah dipermainkan oleh musuh Islam.

Saya berdoa, semoga titah Baginda Tuanku itu menjadi permulaan yang penting ke arah mengembalikan keadaa yang ada kepada sedia kala demi perpaduan dan kesejahteraan hidup umat Islam keseluruhannya, insya’Allah.

Sunday, December 18, 2011

DAULAT TUANKU

Assalamualaikum ..

Apa khabar anda semua. Terima kasih saya ucapkan kerana anda masih setia membaca catatan saya di laman blog ini. Saya tahu, ramai yang ternanti-nantikan posting terbaharu saya di laman ini. Namun sekali lagi saya memohon maaf kerana tidak terlalu terluang untuk menulis dalam keadaan begitu kerap.

Alhamdulillah, sambutan keberangkatan balik Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah telah diadakan dengan jayanya.

Saya yang berpeluang menyertai upacara yang penuh istiadat itu sebenarnya sangat terharu dengan sambutan seluruh rakyat di sepanjang laluan Lapangan Terbangan Sultan Mahmud, Telaga Batin menuju ke Istana Maziah, di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu.

Baginda sebagai Raja yang sangat penyanyang dan prihatin terhadap kepentingan serta kesejahteraan rakyat sudah tentu diraikan oleh rakyat. Rata-rata saya melihat, rakyat sangat teruja untuk menyambut keberangkatan balik baginda berdua selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai Yang Dipertuan Agong selama lima tahun.

Tuanku sebagai payung negara dan rakyat tidak mungkin akan terpisah.

Dan, di sepanjang pemerintahan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong, baginda telah memainkan peranan penting dalam membantu bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bukan sahaja sedang giat menuju status negara maju menjelang tahun 2020 tetapi juga berada dalam suasana sejahtera dan terpelihara daripada sebarang anasir yang tidak sepatutnya.

Kami mendoakan Allah melanjutkan usia tuanku berdua untuk terus memerintah Terengganu ke arah yang lebih maju dan terbilang.

Patik-patik sekalian, sentiasa bersama Tuanku.

Tuesday, December 6, 2011

BULATKAN TEKAD, KEKANG PEMBANGKANG

Assalamualaikum dan salam perjuangan!,

Alhamdulillah Perhimpunan Agung UMNO sudah pun melabuhkan tirainya Sabtu lalu. Terlalu banyak pesanan, harapan, permintaan dan kemahuan pucuk kepimpinan parti terhadap semua ahli dan orang UMNO.

Melalui ikrar dan akujanji yang dilafazkan di hadapan pucuk kepimpinan UMNO yang dibacakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassih dan kemudiannya disemarakkan lagi dengan ucapan penggulungan yang mengandungi mesej penting daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, saya dapat lihat semangat dan momentum ahli UMNO masih kuat.

Hakikatnya, mereka sepakat untuk menyekat kemaraan pembangkang walaupun UMNO diasak bertubui-tubi oleh mereka demi memastikan pembangkang menguasai Putrajaya kononnya. Hakikat di sebalik perhimpunan yang dianggap yang terakhir menjelang PRU yang ke-13 itu, pemimpin dan ahli UMNO bertekad secara muktamad untuk melihat UMNO terus menjadi tunjang dan tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walaupun cabarannya dilihat getir, namun UMNO tidaklah selemah yang disangka pembangkang. Kita mempunyai cara dan strategi tersendiri dalam menghadapi lawan dan kebanyakan andaian mereka terhadap UMNO sebenarnya silap.

Tidak perlu pergi jauh, lihat bagaimana momentum yang tercetus sepanjang Perhimpunan Agung UMNO itu apabila ia bukan sahaja menarik perhatian perwakilan dan pemerhati tetapi juga rakyat di seluruh pelusuk tanahair. Jujurnya, mereka ingin tahu apakah perbincangan UMNO untuk negara dan rakyat. Mereka juga mahu tahu penjelasan-penjelasan terhadap isu yang selama ini sengaja dicetuskan pembangkang bagi mengelirukan otak dan pemikiran rakyat.

Walaupun ia mungkin kata-kata yang remeh, namun saya tetap menyatakan bahawa rakyat hari ini sudah bijak dalam menilai. Saya sangat komited untuk menyatakan bahawa UMNO masih kuat, masih mendapat sokongan, masih menjadi parti pilihan raya kerana rakyat melihat bahawa Malaysia tidak tertegak atau terbangun maju seperti sekarang jika tanpa Barisan Nasional (BN) yang menjadi parti yang ditunjangi UMNO.

Pembangkang telah membuat andaian yang silap terhadap UMNO dan rata-rata saya percaya bahawa pembangkang sebenarnya sangat bimbang dan takut dengan kebangkitan UMNO. Mereka faham bahawa UMNO bukanlah parti yang tidak semudah itu akan mengalah dengan asakan pembangkang.

UMNO adalah parti yang dilahirkan atas semangat untuk agama, bangsa dan negara. UMNO bukan parti yang tertegak disebabkan masalah peribadi pemimpinnya tetapi ia lahir di istana - tempat yang tertinggi di negara kita. Dan, UMNO akan terus kekal sebagai sebuah parti yang bukan sahaja menjadi pelindung kepada rakyat tetapi memastikan Malaysia terus maju dan berada dalam keadaan yang terbaik.

Saya tidak retorik dalam hal ini. Saya menulis bukan berdasarkan kepada andaian semata-mata. Pemimpin dan ahli UMNO sedia maklum akan tanggungjawab mereka. Mereka juga faham apakah pesanan yang diberikan kepada mereka melalui Perhimpunan Agung tempohari. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang mahu cuba untuk menghancurkan UMNO kerana kemahuan itu bukan sahaja akan disekat tetapi akan tersekat.

Kepada rakyat, lihatlah apa yang telah UMNO sumbangkang dan hargainya apa yang telah UMNO laksanakan untuk kita selama ini. Jangan hanya kerana terpedaya dengan tohmahan dan fitnah pembangkang, maka kita pejamkan mata untuk melihat hasa UMNO.

Seperti kata Datuk Seri Mohd Najib, kita harus tahu menghargai jasa UMNO yang telah meletakkan semua ini berada dalam genggaman kita. Hasil perjuangan UMNO sebenarnya bukan sahaja dikecapi oleh orang UMNO, malah pemimpin, ahli dan penyokong mereka juga telah mendapat faedah yang besar di sebalik sumbangan serta jasa UMNO ini.

Hakikat ini tidak boleh diubah sepertimana cubaan Mat Sabu mahu mengubah sejarah dengan mengangkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara.

UMNO adalah parti rakyat, parti yang mendahulukan rakyat. Hanya UMNO yang telah terbukti akan rekodnya dapat membela nasib rakyat. Saya bukan mahu merendah-rendahkan pembangkang tetapi melalui kuasa yang diberikan kepada mereka di Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, mereka telah menjadi kerajaan yang GAGAL.

Jika rakyat mampu melihat kegagalan itu, maka tidak ada sebab lagi untuk rakyat memilih mereka pada PRU akan datang.

Semoga UMNO terus mencapai kemenangan yang lebih besar dan rakyat sekaliannya akan kembali kepada UMNO, insya'Allah.