Assalamualaikum ..
Apa khabar anda semua. Terima kasih saya ucapkan kerana anda masih setia membaca catatan saya di laman blog ini. Saya tahu, ramai yang ternanti-nantikan posting terbaharu saya di laman ini. Namun sekali lagi saya memohon maaf kerana tidak terlalu terluang untuk menulis dalam keadaan begitu kerap.
Alhamdulillah, sambutan keberangkatan balik Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah telah diadakan dengan jayanya.
Saya yang berpeluang menyertai upacara yang penuh istiadat itu sebenarnya sangat terharu dengan sambutan seluruh rakyat di sepanjang laluan Lapangan Terbangan Sultan Mahmud, Telaga Batin menuju ke Istana Maziah, di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu.
Baginda sebagai Raja yang sangat penyanyang dan prihatin terhadap kepentingan serta kesejahteraan rakyat sudah tentu diraikan oleh rakyat. Rata-rata saya melihat, rakyat sangat teruja untuk menyambut keberangkatan balik baginda berdua selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai Yang Dipertuan Agong selama lima tahun.
Tuanku sebagai payung negara dan rakyat tidak mungkin akan terpisah.
Dan, di sepanjang pemerintahan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong, baginda telah memainkan peranan penting dalam membantu bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bukan sahaja sedang giat menuju status negara maju menjelang tahun 2020 tetapi juga berada dalam suasana sejahtera dan terpelihara daripada sebarang anasir yang tidak sepatutnya.
Kami mendoakan Allah melanjutkan usia tuanku berdua untuk terus memerintah Terengganu ke arah yang lebih maju dan terbilang.
Patik-patik sekalian, sentiasa bersama Tuanku.
No comments:
Post a Comment