Friday, January 20, 2012

DEMIKIANLAHLAH PAS ...



Assalamualaikum.

Mungkin saya agak terlewat sedikit untuk mengulas mengenai pemecatan Datuk Dr Hassan Ali sebagai ahli Pas, sekaligus sebagai Exco Kerajaan Selangor. Namun, dengan perkembangan menarik yang berlaku selepas  pelantikan exco kerajaan negeri yang menggantikan Datuk Dr Hassan Ali dibuat dengan portfolio hal ehwal agama Islam dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR, ia menarik perhatian saya.

Saya tidak peduli (seperti ayat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mengenai portfolio itu dipegang oleh PKR ke, Pas ke kerana bagi saya, selagi mereka berada dalam Pakatan Pembangkang yang didalamnya ada DAP, keadaan tidak mungkin mampu mengubah apa-apa.

Pada pendapat saya, saya tidak nampak bahawa selain Datuk Dr Hassan Ali, ada lagi pemimpin Pas yang berani dalam menegakkan perjuangan partinya. Soal pada pandangan UMNO, Pas adalah parti yang memperalatkan Islam itu soal lain yang kita ketepikan seketika – kerana jika tidak, ada yang beranggapan saya bersetuju dengan Datuk Dr Hassan Ali sewaktu beliau berada dalam Pas.

Begini, ketegasan Datuk Dr Hassan Ali dalam memperjuangkan isu murtad di kalangan umat Islam di Selangor misalnya, dilihat menjangkaui kepentingan politik semata-mata. Oleh sebab itu, ia dilihat dalam banyak perkara, bertentangan dengan ramai pemimpin tertinggi Pas dan saya amat yakin bahawa sesiapa pun yang rapat dengan Datuk Dr Hassan Ali, selain melihat trek rekod beliau dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan Islam, maka kita simpulkan bahawa Datuk Dr Hassan Ali adalah seorang yang ikhlas dalam perjuangannya.

Pokoknya ialah, mengapa manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali tersingkir dan disingkirkan. Ya, bagi seorang pemimpin UMNO dan BN, sudah tentu saya “gembira” dengan apa yang berlaku kerana ia sudah tentu membawa sedikit keuntungan kepada parti saya. Namun, apakah seorang manusia seperti Datuk Dr Hassan Ali yang tegas dalam perjuangan Islam, hendak kita letak ketepi.

Jauh daripada itu, ia lebih kepada soal perjuangan umat Islam yang merentasi sempadan parti politik pun sebenarnya.

Apa yang saya inginkan ialah, rakyat mesti membuka mata dan melihat apa yang sedang berlaku ini dengan matang dan terbuka. Kita tidak boleh terlalu fanatik kerana orang yang fanatik tidak akan dapat berfikir dengan waras dan bijaksana.
Oleh itu, marilah kita melihat isu ini dengan bijaksana untuk menilai, siapakah Pas sebenarnya. Apakah ia benar-benar sebuah parti Islam, atau hanyalah sebuah parti yang inginkan kuasa.

Apakah ia hanya sebuah parti yang pentingkan partinya mengatasi kepentingan lain termasuk Islam?. Atau apakah wajar rakyat yang selama ini terpedaya dengan Pas untuk terus menyokong Pas.

Anda fikir, renung dan tentukan pendirian anda.